Anda di halaman 1dari 5

Posted by Posted by Im Koyu be on March 07 2007 03:00:55

Saya sering ditanya oleh adik-adik di kampus tentang dakwah, tentang jamaah,
tentang kaedah memilih badan yang ingin disertai dengan pelbagai format
pertanyaan.
Namun, adik-adik di kampus perlu berhenti sejenak dan menapak selangkah ke
belakang. Jawab dahulu soalan yang paling penting, MENGAPA MAHU BERDAKWAH?
Jawab dahulu soalan ini, sebelum pergi kepada soal organisasi dan jamaah.
Ada orang mengambil keputusan untuk berdakwah, kerana persekitarannya penuh
kerosakan dan maksiat. Pengikut aliran Nafsu Nafsi semakin tinggi, mengatasi
pendukung Salafi Khalafi. Ketika segelintir rancak berbincang tentang kaedah
melahirkan daie, siswi melahirkan anak luar nikah lebih meninggi. Sesuatu mesti
dilakukan, lantas keputusan diambil, saya mesti berdakwah.
Salahkah pemikiran seperti ini? Tentu tidak salah, tetapi ada kekurangannya di situ
Ada segelintir yang mengambil keputusan untuk berdakwah kerana hasil ilmu dan
pengetahuannya, dia mendapat tahu bahawa dakwah itu wajib. Kewajipan dakwah
itu sangat rasional. Fathi Yakan di dalam bukunya Apa Erti Saya Menganut Islam
menegaskan tiga sudut yang membawa kepada kewajipan dakwah. Himpunan ayat
al-Quran dan al-Hadith tentang kewajipan dakwah, sudah pun dihadam di dalam
pelbagai siri usrah dan seminar. Dakwah itu wajib, maka ia mesti dilaksanakan.
Apakah salah berpemikiran sebegini? Tentu sekali pemikiran ini adalah pemikiran
yang lurus dan benar tentang dakwah. Tetapi di sana ada sesuatu yang kurang.
Kurang itu mungkin tidak muncul semasa kita di kampus. Ia datang kemudian

Sama ada kita mengambil keputusan untuk berdakwah kerana persekitaran, atau
kerana sedar akan kewajipan dakwah, kedua-dua motif dakwah ini letaknya di luar.
Ia datang dari luar ke dalam diri. Apabila ia datang dari luar ke dalam, kita
bergerak di medan dakwah hasil dorongan luar diri.
Apa nak jadi dengan masyarakat di kampus kita, kalau kita tidak berdakwah, pesan
seorang naqib kepada anak buahnya.
Takkanlah aku nak malas-malas dan mengabaikan dakwah. Ini bukan cakap naqib
aku, tapi Allah yang cakap, Nabi yang cakap, monolog seorang siswa yang baru
menerima panggilan telefon memanggilnya hadir ke mesyuarat Program Minggu
Dakwah tidak lama lagi.
Ya, mata melihat kemungkaran. Otak tunduk kepada rasional dalil wajib dakwah.
Tetapi sudahkah HATI merasainya?

TAHU DAN MAHU


Jika kita berdakwah kerana keyakinan akal terhadap hujah dan dalil, akal kita
menawarkan TAHU. Apabila kita duduk dalam dunia akal di kampus, ia sudah cukup
untuk membantu diri kita terjun ke medan dakwah. Dunia realiti bukan dunia akal.
Ia bukan dunia tahu, dunia kita adalah dunia MAHU.
Sudah berkali-kali saya cuba buktikan, bahawa manusia tidak bertindak hanya
berasaskan apa yang dirinya TAHU. Manusia bertindak berasaskan apa yang dia
MAHU, dan mahu itu adalah soal hati.

Bagaimanakah apa yang kita TAHU tentang dakwah itu boleh dikesan telah terserap
ke dalam hati menjadi MAHU? Jawapannya tidak sukar, pada jalan dakwah itu kita
mendapat KEPUASAN hidup.
Bekas peserta kursus saya (rujuk artikel Apa Tajuk Bab 1 Dakwah Anda),
mengatakan bahawa beliau bersyukur dapat hadir ke kursus tersebut dan merasa
rugi di pihak kawan-kawannya yang tidak hadir. Dalam keadaan baju masih dedah
sana sini, dan lidah masih bertindik, beliau berkata, saya mahu sampaikan apa yang
saya dapat dalam kursus ini kepada kawan-kawan saya!
Tidakkah beliau sudah menerima konsep dakwah? Hatinya sudah mahu, sebelum
akalnya tahu
ANALOGI 3 PEKERJA
Analogikan sahaja kepada 3 pekerja. Pekerja pertama merampus-rampus dan
merungut semasa mengecat dinding kerana tertekan dengan kerjanya itu. Pekerja
kedua lebih tenang dan gembira mengecat dinding kerana dia tahu, kerjanya itulah
nanti yang bakal menjadi gaji. Bekerja untuk menerima imbuhan. Manakala pekerja
ketiga sangat gembira dan mendapat kepuasan kerja, sebelum gaji diterima, kerana
padanya perbuatan mengecat dinding bukan sekadar sebahagian kerja menyiapkan
bangunan, tetapi beliau menganggap dirinya sebagai sebahagian dari kebahagiaan
keluarga yang bakal duduk di rumah itu. Bukan hanya cat, tetapi yang disalut pada
rumah itu adalah sebuah harapan agar ahli rumah itu nanti bahagia.
Anda pendakwah kategori mana?
Semasa berdepan dengan mesyuarat dan tekanan kerja dakwah, adakah anda
merampus dan merungut-rungut? Bandingkan sahaja diri seperti ini dengan
pengecat pertama. Buat sesuatu kerana terpaksa, tiada matlamat, dan penuh
rungutan.
Atau anda gembira dengan dakwah di kampus? Gembira kerana penglibatan anda
bakal dikira di dalam jam kredit, dan boleh dimasukkan di dalam resume? Setiap kali
di awal program, nama anda akan dialu-alukan oleh penceramah? Dapat berdamping
dengan orang besar-besar yang datang? Dapat kawan?
Macam-macam kita boleh dapat melalui kerja dakwah. Hati gembira apabila
berdakwah untuk MENERIMA.
Dakwah kategori ini, tarafnya hanya sekadar ko kurikulum. Aktiviti persatuan. Makna
dakwah yang dilakukannya kepada sebuah kehidupan, tidak begitu difikirkan.
Semasa miskin jam kredit dan semasa baru berkenalan dengan pengaruh, mungkin
dorongan berdakwah untuk menerima sudah cukup kuat untuk mengajak kita turun
ke medan dakwah.
Tetapi jika anda berdakwah di kategori ketiga, anda berdakwah untuk mencari
makna hidup. Dakwah bukan semata-mata untuk menerima pengiktirafan kampus,
tetapi dakwah anda adalah untuk memberikan makna kepada diri dan rakan. Setelah
diri merasa begitu bertuah terpilih menerima sentuhan Iman, terasa dalam diri untuk
berkongsi tuah itu dengan saudara yang lain.

Dakwah anda bukan hanya untuk kejayaan diri, tetapi juga untuk kejayaan orang
lain. Bukan hanya berjaya mengubah cara fikir, cara pakai dan cara cakap, tetapi
berjaya mengubah erti hidup dan bertemu jalan menuju Syurga!
Akhirnya pendakwah ketiga, berdakwah kerana pada dakwah itulah dia bertemu
kepuasan hidup. Pada dakwah itulah dia memberi makna kepada hidup. Keinginan
untuk berdakwah, adalah kerana kemanisan iman dan penghargaan yang tinggi
terhadap hidayah Tuhan, yang melimpah ruah di dalam hati, sebelum datang soal
wajib dakwah dan panggilan dakwah terhadap kerosakan biah (persekitaran).
Dakwah ini adalah dakwah dalam ke luar. Bukan lagi dakwah luar ke dalam.
Dakwah ini adalah dakwah untuk memberi, bukan sekadar menghitung terima.
Kenapa soal ini penting?

DUNIA KERJAYA DAN RUMAHTANGGA


Apabila adik-adik di kampus terjun ke medan kerjaya dan berumahtangga, mereka
yang dahulunya aktif berdakwah akan kecundang satu demi satu.
Mereka kecundang bukan kerana fikiran telah berubah.
Dulu saya yakin dakwah itu wajib, tetapi kini di alam kerja dan rumahtangga, saya
berjumpa dengan wajib yang lebih besar dan tinggi. Tidak ramai yang gugur kerana
berfikir begini.
Mereka kecundang bukan kerana suasana persekitaran sudah kekurangan maksiat
dan sebab dakwah. Malah maksiat makin banyak, makin menggila. Tetapi lagi
banyak maksiat bertebaran, makin kurang pendakwah yang bertahan.
Gugurnya daie dari jalan dakwah bukan kerana itu semua.
Gugur itu hanya kerana 5 huruf yang sakti.
S.I.B.U.K.
Ya, jika sibuk dijadikan alasan, tidak akan ada sesiapa pun yang berani membantah.
Jika dahulu kita sendiri, kini sudah bersuami atau beristeri. Anak-anak bakal
menyusul. Dulu satu ibu dan satu bapa, satu keluarga dan satu saudara mara. Kini
semua berganda dua. Hujung minggu hanya sehari atau dua.
Tanpa disedari, sudah setahun tidak berusrah. Sudah setahun tidak berceramah,
sudah setahun bercuti dari dakwah. Salahkah bercuti dari dakwah? Akal mungkin
berkata ya, tetapi hati sedap menikmatinya.
Jika dahulu, makna hidup dicari pada kawan yang madu dan diri yang daie, tetapi
kini makna hidup beralih pada kerjaya, pada rumah tangga, pada semua selain
dakwah.
BAGAIMANA MENGATASINYA?
Bagaimanakah adik-adik boleh selamat dan terkecuali dari fenomena warisan ini?
Saya sendiri masih bertarung, selagi nyawa dikandung tubuh.
Tetapi saya percaya, saya berdakwah bukan untuk menerima, tetapi kerana mahu
memberi. Dan pada memberi itu, saya mengertikan hidup, lantas terasa berbaloi
mengorbankan Sabtu dan Ahad demi Sabtu dan Ahad, meninggalkan anak sendiri
untuk bertemu anak orang lain, demi erti hidup yang pada MEMBERI.
Kerana itulah saya masih terus bertahan, walaupun dalam seribu kepayahan.
Kenapa mahu berdakwah?, tanyalah kepada diri.

Anda mungkin juga menyukai