Anda di halaman 1dari 6

ARKIB : 13/01/2010

Memperkasa kokurikulum
UTUSAN: Apakah langkah-langkah yang diambil oleh Kementerian
Pelajaran dalam memperkasakan kokurikulum pendidikan negara?
DR. PUAD: Memang menjadi hasrat utama Kementerian Pelajaran bahawa
transformasi pendidikan yang akan dilaksanakan, antara lain untuk memastikan
apa yang ada dalam falsafah pendidikan negara. Soal pembangunan modal insan
mesti diberikan perhatian khusus iaitu kita tidak mahu lagi murid kita terlalu
obses dengan peperiksaan. Ini cukup jelas disebut oleh Menteri Pelajaran, Tan Sri
Muhyiddin Yassin dalam perutusan tahun baru 2010.
Beberapa langkah telah kita lakukan supaya pelajar tidak lagi terlalu obses
dengan peperiksaan. Tahun ini misalnya, sukan menjadi elemen wajib di
Kementerian Pelajaran. Kita akan memastikan pembinaan sekolah sukan yang
baru untuk melatih lebih ramai guru sukan. Guru-guru ini kita akan tempatkan
semula di sekolah sekali gus dapat mengatasi masalah yang dihadapi ketika ini
yang mana guru sukan dikongsi oleh beberapa sekolah.
Kita akan pastikan pelaksanaan sukan sebagai satu elemen wajib dan sebagai
antara kesungguhan dalam memastikan transformasi pendidikan dapat
dilakukan. Sebab...apa yang kita dapati berdasarkan kajian atitud pelajar UPSR
2009 yang pertama kali kita mulakan, adalah sesuatu yang sangat mengejutkan.
Hanya enam peratus sahaja murid UPSR itu meminati bidang sukan. Ini amat
membimbangkan kerana kita tidak mahu pendidikan kita tidak dapat melahirkan
pelajar yang dididik dari awal mengenai potensi berfikir. Sebab kita kena lihat
pendidikan adalah berkaitan penyampaian kepada anak-anak. Pelajar hari ini
menjadi obses kepada peperiksaan dan ibu bapa pula, ia menjadi satu budaya.
Saya masih ingat kes Tan Hui Lin, seorang pelajar cemerlang PMR yang mana
ayahnya terlalu mahukan dia berjaya dalam SPM. Tetapi disebabkan
kehidupannya yang susah dan dia mahu membantu ibunya berniaga, ayahnya
bertindak menyimbah asid semasa dia tidur kerana terlalu marah. Disebabkan
kejadian itu, dia hampir menjadi buta. Ini satu contoh seseorang terlalu obses
kepada peperiksaan. Sebab itu, kita mahu mengehadkan jumlah mata pelajaran
yang boleh diambil semasa SPM kepada 10. Tetapi sebab ada permintaan maka
kita benarkan kepada 12.
Tujuannya supaya anak-anak kita tidak terlalu obses kepada peperiksaan tetapi
turut melihat kepentingan kokurikulum. Ini kerana soal sahsiah mereka boleh
dibina dan potensi mereka boleh dicungkil melalui proses kokurikulum. Sebab
itulah, kejayaan kita pada tahun lalu menjadi juara keseluruhan robotik di
Pohang, Korea adalah satu contoh bahawa murid-murid kita sebenarnya
berpotensi.
Kokurikulum yang menyebabkan mereka lebih berdaya saing. Jadi, kenapa kita
tidak mahu memberikan perhatian khusus kepada kokurikulum? Sedangkan,
kokurikulum bukan sahaja membina sahsiah pelajar, tetapi juga daya fikir. Kita
tidak mahu melahirkan pelajar yang mati sebelah, iaitu hanya mendengar
melalui telinga sebelah kiri, tetapi tidak telinga sebelah kanan. Atau dua kaki di
belakang dan bukannya kedua-duanya melangkah.

Daya berfikir tidak dapat dibangunkan kerana pengaruh pendidikan akademik


sahaja. Jadi, pada saya kokurikulum boleh membantu membina daya fikir.
Dengan cara ini, apabila mereka melanjutkan pengajian ke institusi pengajian
tinggi (IPT), kokurikulum akan menyambung usaha membina sahsiah mereka.
Maka barulah dari awal lagi pembinaan itu akan menjamin kita menjayakan
usaha untuk membina generasi yang boleh berfikir.
Bagaimana pula di peringkat IPT?
SAIFUDDIN: Sebenarnya kita di Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) juga sentiasa
memberi penekanan yang cukup tinggi sebagai modal insan bersepadu.
Kokurikulum memang mendapat tempat yang besar. Saya fikir perbincangan
mengenainya menjadi hangat kebelakangan ini apabila kita melihat berlakunya
dua perkembangan. Pertama di Kementerian Pelajaran yang memberikan
penekanan baru kepada kokurikulum. Kedua di Kementerian Pengajian Tinggi
juga ada dua perkara besar iaitu kita melancarkan dasar sukan IPT. Kita juga
melancarkan buku panduan untuk memperkasakan kokurikulum. Jadi secara
asasnya, ada pengkayaan dasar dengan dua panduan yang baru ini.
Selain itu, kita juga perlu melihat apakah pandangan alam kita terhadap
pembangunan pelajar atau mahasiswa yang holistik dan bersepadu. Dari satu
sudut, memang ada kepercayaan bahawa kokurikulum itu penting dan ingin
diperkasakan. Tetapi pada masa yang sama, sejauh mana ia menjadi budaya
dalam kehidupan seharian. Kalau kita masih mendengar misalnya ada
mahasiswa yang merupakan atlet negara tetapi dipertikaikan matlamat mereka
di universiti, maka kita sebenarnya masih ada masalah dalam hal ini.
Kalau ada pensyarah yang masih skeptikal dengan beberapa orang aktivis
mahasiswa yang begitu aktif dalam kokurikulum, maka ia belum begitu menjadi
budaya. Kalau ada pensyarah yang hakikinya di fakulti tetapi kerana dia juga
adalah pegawai Hal Ehwal Pelajar (HEP), tetapi tidak begitu diambil kira dari
sudut akademik, maka ia belum membudaya. Maka ada dua perkara yang perlu
diberi perhatian. Satu, dasar itu memang sudah begitu baik dan telah
dilaksanakan. Ramai mahasiswa yang mendapat kredit dalam kokurikulum.
Tetapi masih ada persoalan dalam membudayakannya.
Sebab itu, kita mengajak seluruh warga IPT agar berfikir secara serius mengenai
pembangunan mahasiswa secara bersepadu dengan memperkasakan
kokurikulum. Melahirkan lebih ramai atlet bukan sekadar untuk bersukan di IPT,
tetapi untuk negara. Apa yang berlaku sekarang adalah universiti menjadi
tempat untuk atlet negara belajar tetapi tidak begitu berjaya melahirkan atlet.
Berbeza seperti di Amerika Syarikat, atlet dilahirkan oleh universiti. Tetapi kita,
mereka sudah sedia menjadi atlet dan mahu melanjutkan pelajaran. Universiti
hanya bertindak sebagai hos sahaja tetapi latihan masih lagi dengan Majlis
Sukan Negara.
Pusat sukan di universiti hanya menyediakan kemudahan untuk mereka sahaja.
Belum sampai ke tahap melahirkan atlet negara. Begitu juga dalam soal
kokurikulum. Umumnya masih dalam bentuk menyediakan kebolehpasaran
mahasiswa. Kerana itu, kita ada beberapa program yang disediakan. Tetapi kita
bukan hanya mahu melihat kebolehpasaran, kita mahu melahirkan pemimpin
negara dan korporat dalam sektor masyarakat sivil. Jadi, apabila kita melihat di
Kementerian Pelajaran ada satu suntikan baru penekanan yang lebih kuat

kepada kokurikulum, kita sambutnya dan mengajak seluruh IPT untuk


memperkayakan program-program kokurikulum sedia ada. Mudah-mudahan, kita
benar-benar melahirkan mahasiswa bersepadu.
Bagaimana dengan insentif kepada universiti yang berani menonjolkan diri
seperti Universiti Sains Malaysia (USM) yang kini memiliki pasukan bola sepak
sendiri dalam Liga Perdana?
SAIFUDDIN: Buat masa ini, universiti bergerak dengan kebijaksanaan dan
perancangan masing-masing. Tetapi satu daripada matlamat dalam dasar sukan
IPT adalah mereka seharusnya mempunyai dana untuk pembangunan sukan. Ini
belum berlaku tetapi dalam perancangan. Matlamatnya, kita mahu mencapai
sasaran 30 peratus daripada atlet negara dilahirkan oleh IPT. Ini satu sasaran
yang besar dan kita mahu setiap IPTA menjadi pusat kecemerlangan sukan.
Mereka diharapkan memilih satu atau dua sukan utama.
Bagaimanapun, semua prasarana sukan disediakan untuk mahasiswa tetapi kita
mahu mereka memilih sukan yang boleh diberikan tumpuan. USM misalnya
boleh menjadikan bola sepak sebagai pusat kecemerlangan. Universiti Kuala
Lumpur (UniKL) sudah ada pasukan hoki dalam liga hoki Malaysia. Sukan bola
keranjang pula ramai pemainnya dan kebetulan banyak terdapat di UPM. Jadi,
mungkin UPM boleh memberi tumpuan kepada sukan itu. Begitu jugalah di
universiti lain.
Berhubung dengan pentaksiran kokurikulum ini, mungkin ada beberapa ibu bapa
yang masih kabur terutama kerana nisbah 10 peratus itu terlalu kecil dan
penilaiannya juga tidak disertai oleh mereka yang mahir.
DR. PUAD: Sebenarnya memang kita akan rombak sistem pentaksiran kita.
Sebab itulah, kita mulakan dengan jumlah mata pelajaran. Rombakan ini juga
supaya tidak terlalu banyak mata pelajaran di peringkat sekolah rendah. Sampai
orang kata, murid kita bawa beg terlalu berat, sebab semua buku ada di
dalamnya. Apa yang kita lakukan adalah memastikan supaya pembelajaran itu
sesuatu yang menyeronokkan, bukannya satu bebanan. Juga sebagai sesuatu
yang benar-benar membentuk keperibadian mereka. Sebab itu sebenarnya kita
sudah bincangkan secara terperinci sistem pentaksiran yang baru ini. Cuma, kita
belum lagi dapat memutuskan dari segi peratusannya. Sebabnya, timbul banyak
perbahasan dan perdebatan, termasuk sama ada penilaian berasaskan sekolah
ini pada nisbah 70:30. Sebab itu juga Menteri Pelajaran pada perutusan tahun
baru memaklumkan bahawa sistem pentaksiran ini ditangguhkan ke tahun
depan.
Kita tetap akan laksanakan sebab kita komited. Maksudnya kita tidak mahu
pelajar obses kepada peperiksaan. Penilaian berasaskan sekolah akan menjadi
keutamaan kita dan ini akan melibatkan rombakan dan pembetulan. Supaya
akhirnya kita dapat melaksanakan apa yang kita sebut sebagai education is
fun (keseronokan dalam pembelajaran). Penekanan kepada kokurikulum ini akan
diberi perhatian yang serius. Saya tidak boleh memaklumkan sekarang sebab
menteri akan mengumumkannya nanti. Kertas itu sudah ada dan dibahaskan
dalam pasca Kabinet, tetapi ditangguhkan sebab ada beberapa pandangan baru.
Tentang bagaimana sistem pentaksiran ini boleh dilaksanakan supaya tidak
timbul masalah seperti kekeliruan sama ada kepada pihak sekolah, ibu bapa dan

sebagainya dan kerana itulah, ia ditangguhkan. Saya ingin katakan bahawa


kesungguhan dalam pelaksanaan kokurikulum ini ada. Contohnya kalau kita lihat
pada Sukan SEA baru-baru ini, kebanyakan yang menang emas ialah atlet sukan
dari sekolah. Seramai 28 atlet yang menyumbang emas itu ialah atlet sukan
sekolah kita. Ini satu kejayaan yang besar dan menteri sendiri memberi
keyakinan untuk memeriahkan semula temasya sukan MSSM mulai tahun ini
seperti penganjuran Sukan Komanwel. Inilah medan terbaik untuk melihat
pelajar kita bersaing.
Kokurikulum tidak boleh dilihat dari satu sudut sahaja, ia lebih daripada itu sebab
ia sangat luas termasuk badan beruniform. Kerana itu juga kita wujudkan banyak
pasukan kadet dan terbaru, kadet bomba di sekolah. Kita akan fikirkan apa lagi
badan beruniform yang akan kita kembangkan di sekolah. Ini penting kerana
penglibatan mereka dalam aktiviti kokurikulum akan menjadi perkiraan dalam
sistem pentaksiran baru nanti.
Dalam program-program motivasi di luar seperti perkhemahan dan sebagainya,
ia menjadi elemen penting dalam usaha kita memastikan kokurikulum itu akan
dapat mengimbangi keinginan kita melahirkan generasi pelajar yang mana
mereka adalah tonggak kepada pembinaan negara bangsa.
Dalam sistem pemarkahan di Kementerian Pelajaran, ada gred A dan A+. Jika
seseorang pelajar itu mendapat hanya A, adakah 10 peratus daripada
kokurikulum itu cukup untuk menyokong mereka ke universiti?
SAIFUDDIN: Kita masih menggunakan nisbah 90 peratus akademik dan 10
peratus kokurikulum untuk kemasukan ke IPTA. Tetapi ini pun sekarang ada
perbincangan yang mana nisbah itu mungkin perlu dilihat semula. Mungkin
kokurikulum itu sampai ke tahap 20 hingga 30 peratus. Tetapi proses ini masih
memerlukan masa yang lama. Apabila bercakap soal mahu memperkasakan
proses kokurikulum di IPTA, ia berlaku dalam dua keadaan. Pertamanya, ia
berlaku dalam kurikulum itu sendiri yang mana ketika ini setiap program
akademik harus mengikut generic student attribute.
Ada tujuh nilai atau kemahiran insaniah yang harus diterapkan di dalam
kokurikulum. Misalnya berfikir secara kritis, etika, moral, berkomunikasi dan
sebagainya. Kalau dulu di Fakulti Kejuruteraan, jarang berlaku mahasiswa perlu
membuat penyampaian (presentation), maka sekarang ia dimasukkan di dalam
proses pengajaran dan pembelajaran (PNP). Sebab ada kesedaran bahawa
komunikasi itu penting, maka bukan sahaja seorang jurutera itu perlu pandai
bekerja, tetapi juga boleh berkomunikasi dan sebagainya. Apa yang kita sebut
sebagai soft skill atau kemahiran insaniah.
Dalam kokurikulum itu, kita ada lapan teras dengan setiap satunya diukur
supaya mahasiswa mendapat kredit. Sebagai contoh kalau mahasiswa
kejuruteraan memerlukan 120 kredit untuk bergraduat, sebanyak enam kredit
diperuntukkan mereka dari sudut kokurikulum. Ada sesetengah kursus yang
boleh sampai lapan kredit. Soalnya sekarang bagaimana kita mahu
mengoptimumkan enam atau lapan kredit itu sebab tidak semua kokurikulum di
IPTA ada kredit. Itu pun sebenarnya ada perbahasan sebab jika semua diberi
kredit di mana pula semangat kesukarelawanan itu. Di mana pula latihan
patriotik dan sebagainya. Ini menjadi perbahasan yang berterusan.

Tetapi kita mahu sama ada mahasiswa itu mendapat enam atau lapan kredit dari
segi kokurikulumnya, kita mahu walaupun nisbahnya masih 90:10, umpama dia
dapat 70: 30. UKM meletakkan perkara ini di hadapan yang mana ia bukan
sahaja memberikan kredit untuk kokurikulum, tetapi pelajar yang betul-betul
cemerlang, akan beri satu sijil. Kalau mereka mendapat ijazah pertama dalam
kejuruteraan, maka dia akan dapat sijil khas dalam bidang kokurikulum untuk
mengiktiraf betapa aktifnya dia. Sebab kredit dia tadi sudah enam atau lapan,
tetapi dia sudah buat lebih daripada itu. Jadi, dia mendapat kredit melalui sijil
tambahan.
Sebelum ini kokurikulum juga merangkumi Seni dan Sukan. Kenapa bahagian ini
kemudiannya dipisahkan?
DR. PUAD: Kita kena faham bahawa Kementerian Pelajaran cukup besar. Kita
mempunyai kira-kira 12,000 orang kakitangan dan 308,000 orang guru. Sebab
itu untuk memastikan kualiti pendidikan meningkat, kita wujudkan bahagian
yang lebih khusus. Ada cadangan supaya diwujudkan Majlis Sukan Olimpik
Sekolah-Sekolah supaya dapat dipastikan fokus kita kepada sukan ini akan lebih
meningkat. Bahagian Pendidikan Khas misalnya, ramai atlet dari kumpulan ini
memenangi pelbagai kejuaraan di peringkat antarabangsa. Dalam sukan
pendidikan khas di China misalnya, kita mendapat tempat ketiga. Ini kejayaan
yang cukup besar. Sebab itu, kita lakukan pengkhususan kerana mahu
memastikan apa yang dihasratkan oleh Bidang Keberhasilan Utama Negara
(NKRA) iaitu akses kepada pendidikan berkualiti dapat dilaksanakan.
Kita hanya ada beberapa tahun untuk sampai ke tahun 2020. Salah satu perkara
untuk mencapai kriteria NKRA ini adalah apabila kita dapat memberikan
pendidikan yang berkualiti. Kerana pendidikan itu yang akan menjamin kita
memberikan keadilan kepada rakyat. Sebab itu kementerian akan memastikan
apa yang dihasratkan oleh Perdana Menteri itu dapat dilaksanakan dan
keberhasilannya dapat dipenuhi. Keberhasilan ini antaranya termasuk usaha kita
melahirkan sekolah-sekolah yang dipanggil Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT). Kita
juga akan memastikan semua sekolah termasuk sekolah harian, di pedalaman,
sekolah aliran Cina dan Tamil dan sekolah berasrama penuh bersaing sesama
mereka untuk terpilih menjadi 20 buah sekolah pertama yang akan mendapat
gelaran SBT. Ia akan diumumkan tidak lama lagi.
Saya pasti ada sekolah harian biasa yang akan mengalahkan sekolah berasrama
penuh dan sekolah premier. Sebab penilaian kita tidak lagi berasaskan akademik,
sebaliknya berasaskan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM). Ini turut
termasuk kejayaan mereka dalam kokurikulum, kebitaraan dalam pasukan
beruniform dan kemampuan mereka dalam pelbagai aktiviti. Kita juga memberi
kebebasan kepada mereka termasuk mana-mana sekolah yang ingin
mengadakan hubungan dua hala dengan sekolah antarabangsa. Saya
mengambil contoh, sebuah sekolah di Ba'kelalan, Bario dan Ulu Lebai di
Limbang, Sarawak yang memenangi hadiah di peringkat Komanwel. Bagaimana
mereka mengadakan hubungan dua hala dengan sekolah di luar negara
termasuk pertukaran pelajar, guru dan sebagainya. Sedangkan sekolah-sekolah
ini tergolong dalam kategori P3 iaitu jauh di pedalaman.
Menjadi hasrat kita apabila wujud persaingan antara sekolah-sekolah dan
sekolah berasrama penuh tidak lagi. Sebaliknya ibu bapa hari ini juga akan

memilih sekolah biasa kerana kejayaannya. Minggu lalu saya melawat Sekolah
Batu Lintang yang mana seramai 12 orang pelajarnya mendapat 5A dalam UPSR.
Tidak seorang pun daripada mereka yang memasuki sekolah berasrama penuh
kerana ibu bapa yakin bahawa di sekolah harian biasa sekali pun anak mereka
masih mampu kekal sebagai pelajar terbaik.
Salah satu keperluan kokurikulum dalam sistem pendidikan ialah pembangunan
modal insan yang menekankan pemupukan semangat patriotik. Tahun ini pula
dijadikan tahun inovasi. Jadi, bagaimana elemen-elemen ini diterapkan dalam
kedua-dua kementerian ini?
SAIFUDDIN: Elemen patriotisme dan inovasi ini sebenarnya sudah sedia ada,
sama ada di dalam kurikulum atau kokurikulum. Kebetulan pula tahun ini dipilih
sebagai tahun inovasi. Jika kita melihat Akta Universiti dan Kolej Universiti
(AUKU) misalnya, kita telah memberi banyak kebebasan berbanding ketika AUKU
diketatkan pada 1975. Dalam soal lebih patriotisme dan inovasi ini, kita
sebenarnya memberikan penghakupayaan baru kepada mahasiswa untuk
mereka menentukan sendiri program untuk disertai. Misalnya, kita sekarang
membenarkan mahasiswa menghidupkan semula sudut pidato. Kaedahnya, ia
perlu disesuaikan dengan lapan teras atau salah satu teras kokurikulum iaitu
pengucapan awam. Juga salah satu daripada kemahiran insaniah iaitu berfikir
secara kritis.
Kita juga baru menerima kertas cadangan daripada USM untuk membentuk
'Parlimen Mahasiswa' menggunakan model mereka sendiri. Jadi kita galakkan
universiti-universiti lain untuk membuat model Parlimen mereka sendiri.
Tujuannya, mahasiswa bukan sekadar diberikan pengajaran tentang patriotisme
dan digalakkan dengan budaya inovasi, tetapi mereka juga dapat berfikir sendiri
sebagai orang yang sudah matang dan bakal bergelar intelektual menerusi
program-program yang mereka mahu laksanakan kelak.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?


y=2010&dt=0113&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm#ixzz2g
Z4oBsou
Utusan Melayu (M) Bhd

Anda mungkin juga menyukai