Anda di halaman 1dari 3

30 Jun 2008

Buli semakin berleluasa di sekolah kita. Keadaan ini menyebabkan masyarakat


semakin gusar. Huraikan punca-punca dan langkah-langkah yang tercetus.

Apakah itu kes buli? Kes buli membawa maksud masalah yang meliputi kegiatan
seperti memeras ugut, menghina, mengejek, menumbuk, memaki dan sebagainya yang
dilakukan oleh seseorang terhadap pemangsanya. Memang tidak boleh dinafikan
bahawa dewasa ini, kes buli yang berlaku di sekolah semakin berleluasa dan menjadi-
jadi. Hal ini telah mencapai satu tahap yang amat merimaskan dan membimbangkan
pelbagai pihak seperti pihak sekolah, ibu bapa, kerajaan, masyarakat dan lain-lain lagi.

Menurut kajian, kes buli ini menjadi semakin meningkat pada setiap tahun dalam
kalangan pelajar dan semakin serius masalahnya. “Jika tidak kerana angin masakan
pokok bergoyang”. Oleh itu, setiap masalah yang berlaku tentu mempunyai puncanya.
Terdapat beberapa punca yang telah dikenal pasti sebagai penyumbang kapada
masalah kes buli ini.

Antaranya ialah kekurangan penghayatan nilai-nilai agama yang ada pada


pelajar yang sanggup melibatkan dirinya dalam kes buli. Mereka sanggup berbuat
demikian hanya untuk mendapatkan perhatian orang lain dan menunjukkan
kekuatannya kepada orang lain. Mereka semakin ketandusan nilai kemanusiaan.

Selain itu, ibu bapa yang kurang memberikan belaian kasih sayang dan prihatin
kapada anak juga menjadi antara puncanya kes buli ini berlaku. Ibu bapa yang selalu
sibuk mencari duit dan bersikap materialistik telah mengabaikan tanggungjawab
mereka terhadap anak mereka.

Di samping itu, para pelajar yang masih berumur setahun jagung dan berdarah
setampuk pinang ini mudah terpengaruh dengan tindakan rakan sebayanya. Jika
kawan-kawannya merupakan pembuli, pelajar tersebut juga akan terikut-ikut perbuatan
kawannya supaya dapat diterima oleh ahli-ahli kumpulannya. Pengawasan yang
longgar di sekolah juga menjadi puncanya kerana telah memberi peluang kepada
pelajar yang ingin menjalankan pembulian mereka terhadap pelajar lain.

Bak kata pepatah ‘tiada penyakit yang tiada penyembuhnya’.Terdapat pelbagai


langkah drastik yang boleh dijalankan untuk membendung dan membanteras kemelut
ini.Antaranya ialah pihak kerajaan seperti Kementerian Pelajaran dan juga pihak
sekolah harus menitikberatkan isu kes buli ini dalam pelajaran di sekolah dengan
melalui mata pelajaran tertentu seperti Pendidikan Moral, Pendidikan Islam, Pendidikan
Sivik dan sebagainya. Dengan itu, pelajar akan menyedari bahawa perbuatan buli ini
merupakan satu kesalahan dan pelajar juga didedahkan dengan pelbagai maklumat
tentang kesan buruk daripada perbuatan membuli dan cara-cara mengelakkannya
daripada terbabit dalam kes buli ini.
Selain itu, ceramah atau kempen seperti kempen anti-buli juga boleh diadakan
secara berterusan di setiap sekolah dari semasa ke semasa bagi menyedari para
pelajar agar menjauhi diri daripada gejala buli. Aktiviti seperti kuiz tentang kes buli juga
boleh dilaksanakan sebagai salah satu inisiatif dalam menangani masalah kes buli ini.

Namun begitu, pihak sekolah juga perlu sentiasa memastikan bahawa


pengawasan di setiap pelosok kawasan sekolah seperti di belakang bangunan sekolah
dan kaki lima sekolah yang sunyi diperketat supaya tidak memberi sebarang peluang
kepada mereka yang mempunyai keinginan untuk membuli mangsanya.

Pihak sekolah juga boleh menggalakkan para pelajar supaya menyertai Kelab
Pencegah Jenayah di sekolah dengan aktif. Hal ini kerana para pelajar akan
memperoleh lebih banyak pengetahuan tentang cara-cara mencegah masalah kes buli
sekiranya pelajar menjadi pemangsa dalam kes itu dan para pelajar juga boleh
menyebarkan info yang diperoleh itu kepada rakan-rakan yang lain agar semua pelajar
tahu akannya.

Langkah yang lain ialah para pelajar juga harus pandai memilih kawan kerana
para pelajar biasanya juga akan mudah terpengaruh dengan perbuatan kawannya.
Contohnya, jika kawannya minat membaca buku, maka pelajar tersebut juga akan
dipengaruhi dan membaca bersama-sama. Perkara ini sama juga jika kawan pelajar itu
sentiasa melibatkan diri dalam kes buli di sekolah.

Di samping itu, para pelajar juga harus berganding bahu dengan pihak sekolah
dalam usaha untuk membendung gejala ini. Para pelajar yang ternampak kes buli itu
berlaku atau menjadi mangsa pembuli harus memberanikan diri untuk melaporkan
kepada pihak sekolah dengan segera agar masalah itu dapat diatasi dengan secepat
mungkin demi kesejahteraan sekolah.

Manakala, pihak sekolah yang telah menerima laporan aduan daripada pelajar
juga harus berusaha mengatasi masalah itu dengan bersungguh-sungguh dan bukan
sebaliknya dengan menutup kes itu dengan sesuka hati sahaja. Jika kes ini masih tidak
dibicarakan, masalah kes buli akan semakin bertambah dan berleluasa lagi.

Pihak sekolah boleh berjumpa dengan pelajar yang disyaki melibatkan diri dalam
kes buli dan juga ibu bapanya untuk membincangkan masalah yang dihadapi oleh
pelajar tersebut dan mendapatkan jalan keluarnya. Pihak sekolah harus mengenakan
hukuman yang setimpal kepada pelajar tersebut agar dia tidak mengulangi perbuatan
itu lagi dan juga dijadikan sebagai iktibar kepada pelajar yang lain.

Selain itu, ibu bapa juga memainkan peranan yang penting dalam usaha untuk
membendung kemelut ini. Ibu bapa haruslah menampilkan teladan yang baik kepada
anak-anak mereka supaya anak akan mencontohi kelakuan ibu bapa mereka kerana
pada tanggapan anak mereka, perbuatan ibu bapa adalah sentiasa betul dan patut
diikuti. Janganlah ibu bapa berlakuan baik di hadapan anak-anak sahaja, sedangkan
mereka juga sering mengejek, menghina orang dan sebagainya. Bak kata pepatah
‘bapa borek, anak rintih’, ‘ketam mengajar anaknya berjalan lurus sedangkan dirinya
berjalan senget’.

Tambahan pula, di samping mengejarkan kebendaan dalam kehidupan dan


sibuk bekerja, ibu bapa juga harus sentiasa mengambil perhatian tentang keadaan
anak mereka semasa di sekolah dan memberikan belaian kasih sayang yang
sepenuhnya kepada mereka supaya mereka tidak berasa sunyi dan diabaikan. Ibu
bapa juga harus memupuk anak mereka sejak kecil lagi seperti melentur buluh biarlah
dari rebungnya agar sentiasa sudi meluahkan isi hati dan masalah yang dihadapi
kepada mereka bagi mengatasinya bersama-sama.

Natijahnya, selagi masalah ini masih berleluasa, impian negara kita yang ingin
melahirkan satu bangsa yang bermartabat mulia dan berdaya maju akan tinggal
sebagai khayalan sahaja. Hasrat negara kita yang ingin mencapai Wawasan 2020 juga
akan tinggal sebagai angan-angan Mat Jenin semata-matanya. Hal ini kerana para
pelajar merupakan aset negara yang penting dan akan menerajui negara ini pada masa
depan. Bak kata peribahasa Melayu ‘pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara’.
Oleh itu, semua pihak haruslah sehilir semudik dan sehati sejiwa dalam usaha
menangani masalah kes buli ini walaupun kita terpaksa mengharungi liku-liku yang
penuh dengan onak duri ini. Semoga berkat daya usaha yang gigih, kita dapat
melahirkan generasi muda yang dapat menjulang nama negara dan mengangkat
martabat bangsa di persada dunia.

Anda mungkin juga menyukai