Anda di halaman 1dari 11

Hadis: Manusia seperti logam..

Apa kata sebelum nak belajar sejarah, kita belajar satu hadis yang dikenali sebagai hadis
logam terlebih dahulu??

Mesti ada yang tertanya-tanya, kenapa kita perlu belajar hadis ni kan??

Hmm..kita perlu belajar hadis ni agar kita berusaha memahami orang sekeliling kita. Selain
itu, kita tak nak lah jadi orang yang terus-terusan menyalahkan diri, kan??

Contohnya macam yang selalu kita dengar, “Saya ni tak layak nak dakwahkan orang, saya
masih jahil??”. Tak pun, “Saya ni dulu jahat sangat.” Biasa tak dengar ayat-ayat ni?? Biasa
kan?

Jom kita hayati hadis ni ..

“Manusia seperti logam, terpilihnya


mereka semasa jahiliyyah terpilih juga mereka semasa Islam, sekiranya mereka faham”

Faham tak maksud hadis ni? Nilai logam tidak akan berubah dalam mana-mana zaman.
Sekiranya ‘jahil’, nilai itu akan menyokong jahiliyyah dan sebaliknya, sekiranya dia Islam,
nilai itu akan menyokong Islam. Segalanya bergantung kepada kefahamannya.

Faham tak? Macam mengelirukan sahaja. Macam gini. Ok, kita bayangkan bahawa kita ada
seorang kawan. Kawan kita ni hebat sangat komputer. Macam-macam perkara yang dia boleh
lakukan dengan hanya menggunakan komputer. Cakap sahaja apa-apa, semua dia tahu. Tapi
masalahnya, kawan kita ni tidak faham sangat Islam. Apa yang kita nak buat?? Kita cubalah
bantu dia untuk memahami Islam. Dapat bayangkan tak apa yang akan jadi kalau dia faham
Islam?? Dia akan gunakan kemahiran yang dia ada tu untuk membantu Islam.

Macam kita jugak. Mungkin kita ada zaman jahiliyyah kita sendiri. Pernah lakukan perbuatan
yang tidak berfaedah suatu ketika dahulu. Hmm..satu hari Allah takdirkan kita dapat
kefahaman Islam. Apa kita nak buat? Kita gunakan segala perkara yang kita ketahui sewaktu
zaman jahiliyyah tu untuk membantu Islam. Mungkin suatu ketika dulu, kita pandai menulis
novel-novel cinta yang tidak berfaedah, sekarang kita kita tukarlah pulak. Kita menulis novel-
novel islamik misalnya.

Tu sebabnya kita kena pandang kelebihan orang lain berbanding kekurangannya. Bila kita
jumpa sesiapa pun, kita fikir-fikirkan la cara bagaimana nak bantu dia agar dia dapat gunakan
kelebihannya itu untuk Islam.

Macam kisah Saidina Umar. Dia yang ketika berada di zaman Jahiliyyah begitu tegas, tetapi
setelah dia memahami Islam, dia menggunakan kelebihannya itu untuk mengembalikan Izzah
Islam. Sama juga dengan Khalid Al Walid. Dia begitu mahir dalam selok belok peperangan
waktu jahiliyyah. Apa dia buat selepas dia menjadi seorang yang memahami Islam? Dia
menggunakan kelebihannya itu untuk membantu Islam.

Ramai yang mungkin mengetahui hukum


Fiqh tetapi bukan memahami Islam itu sendiri. Sedangkan memahami Islam itu sendiri lebih
penting sebelum mengetahui perkara-perkara lain termasuklah Ilmu Fiqh.

Mari kita melihat kembali apa yang berlaku semasa tahun 60an, ramai pelajar-pelajar jurusan
agama di Universiti Al-Azhar (ustazah-ustazah) yang banyak mengetahui soal hukum-hakam
tetapi masih tidak memakai tudung menutup aurat. Mereka mengetahui hukum Fiqh tetapi
masih tidak memahami Islam.

Berbeza pula pada tahun 80an, ramai pelajar-pelajar lepasan UK yang pulang ke tanah air
dengan keadaan bertudung menutup aurat (sebelumnya tidak). Mereka ini memahami Islam
tetapi tidak menguasai ilmu Fiqh. Mereka yang memahami Islam akan mengamalkannya,
sebaliknya yang tidak memahami akan meninggalkannya walaupun telah datang hujah dan
pengetahuan.

Jadilah seperti Sumayyah…Dia tak faham pun hukum fiqh, tapi dia benar-benar memahami
Islam. Sehingga kan dia tidak gentar untuk syahid membela Islam.

Kita memahami hukum Fiqh melalui kuliyah-kuliyah ‘Fardhu ‘Ain’. Tetapi bagaimana kita
mahu memahami Islam itu sendiri? Didiklah jiwa kita melalui proses usrah dan tarbiyyah.
Renungan Dalam Surah an-Naba’
May 13, 2009 renungan2u Leave a comment Go to comments

Ketika dakwah nabi Muhammad s.a.w. baru bermula, Allah Azza Wajalla mendedahkan
rahsia kehidupan sebenar yang telah disediakan untuk manusia. Kehidupan abadi selepas
mati.

Sebelumnya manusia hidup merebut kenikmatan dunia dengan apa saja cara yang mereka
suka tanpa ada apa-apa batasan. Yang kaya dan yang berkuasa akan dipandang mulia . Orang
yang miskin dan lemah akan menjadi hamba dan hidup kehinaan.

Pembunuhan kejam, penghinaan kepada bani insan adalah lumrah hidup manusia yang
berkuasa. Memendam dendam, kebencian, kebengisan dan menunggu peluang membalas
dendam adalah budaya semua manusia yang teraniaya.

Neraca pertimbangan mereka hanya terbatas kepada kehidupan dunia yang terlalu singkat,
semasa usia masih muda dan bertenaga dan akan hilang lenyap apabila usia menjamah tua.
Dalam sempadan masa yang sempit itu mereka bergelut, berebut menggunakan apa saja cara
tanpa batasan.

Kejahilan manusia terhadap hakikat Rububiyyah dan Uluhiyyah Allah dan kejahilan terhadap
hakikat kehidupan sebenar menjadikan tamaddun manusia hancur. Mereka hidup dalam
suasana penuh kebencian, sentiasa menaruh syak dan sangkan yang buruk antara satu sama
lain. Hidup dengan penuh perasaan berdendam dan mereka akan berperang dengan sebab
yang terlalu remeh. Pedang dan pemerintah kukubesi sahaja yang boleh mendisiplinkan
mereka.

Kehidupan sebenar yang diciptakan oleh Allah Pencipta segala kewujudan adalah kehidupan
abadi yang telah ditentukan waktunya.

Malangnya kekufuran yang menutup hati golongan kafir telah menghalang mereka daripada
mempercayai perkhabaran nabi s.a.w. mengenai hakikat kehidupan ini. Mereka lebih memilih
kehidupan dunia yang penuh dengan tipu-helah ini, penuh dengan kesusahan hidup, penat dan
lelah.

Berita mengenai hari kemusnahan dunia, hari dunia ini ditukarkan menjadi dunia baru yang
abadi, hari manusia dibangkitkan semula selepas mati, hari manusia dikumpulkan di padang
Mahsyar, hari semua amalan manusia di dunia fana ini dihitung dan semua perlakuan manusia
ditimbang dan di mahkamahkan, hari manusia ditentukan kesudahannya sama ada ke syurga
dengan penuh kenikmatan atau ke neraka dengan penuh keperitan segala-galanya ini dianggap
oleh mereka bagai omongan kosong yang tidak ada nilai kebenaran sedikitpun.

Sebenarnya bukan mereka meragui kebenaran nabi Muhammad s.a.w. tetapi sikap takabbur
yang ada di dalam dada mereka telah menjadikan mereka menentang Islam.
Kisah-kisah benar yang bakal menemui setiap manusia ini dipersoalkan oleh golongan kafir
Quraisy sebagai olok-olokan. Malah tidak sedikitpun timbul rasa bimbang dan gerun di dalam
jiwa mereka.

Sungguh amat menghairankan terhadap sikap tolol dan dungu mereka yang tidak sedikitpun
mengindahkan amaran Allah S.W.T sehinga Allah menempelak mereka .

Soalan Kehairanan.

Maksudnya:

” Tentang apakah yang mereka bertanya-tanya itu”..

Soalan ini hanyalah untuk menyatakan kehairanan terhadap kesombongan golongan kafir.
Kerana mahasuci Allah daripada kejahilan. Soalan ini sepatutnya menyedarkan orang-orang
kafir bahawa Allah maha Mendengar setiap apa yang mereka perkatakan. Tidak sepatutnya
manusia boleh mempersoalkan kemampuan Allah mengadakan hari kiamat dan hari
pembalasan lebih-lebih lagi golongan kafir Quraisy bukannya golongan athies yang tidak
percaya kepada Rububiyyah Allah.

”Tentang peristiwa besar yang bakal berlaku itukah ? yang mereka tidak mempercayainya.?”

Allah menyifatkan hari kiamat sebagai `al-naba’ al-`azim’. Berita tentang peristiwa besar
yang akan berlaku. Perkataan `Nabi’ adalah kata nama pembuat ( isim fa`il) iaitu orang yang
membawa berita tentang peristiwa besar yang akan berlaku.

An-Naba al-`Azim.

Al naba’ al-`azim ialah; Hari-hari terakhir dunia, hari kebangkitan semula manusia daripada
tanah, hari manusia dihimpunkan di sebuah padang luas berbumbungkan langit dengan
matahari terik di atas ubun-ubun, hari semua amalan manusia akan diaudit dan ditimbang, hari
ditayangkan semua bukti-bukti kesalahan dan kebaikan mereka di dunia dihadapan semua
manusia dan hari manusia diadili di mana manusia yang dizalimi semasa hidup di dunia diberi
hak menuntut hak-hak mereka daripada orang yang menzalimi mereka.

Apakah mereka tidak mahu mepercayai kebenaran peristiwa besar ini? Apakah mereka
meragui kekuasaan Allah Azza wa Jalla untuk mengadakannya?

”Janganlah mereka bersikap begitu, kerana kelak mereka pasti akan mengetahuinya. Sekali
lagi janganlah mereka bersikap begitu, kerana kelak mereka pasti akan mengetahuinya.”

Allah yang maha Pengasih sekali lagi mengugut mereka supaya mereka sedar dan beriman
sebelum terlambat. Janji Allah ini bukanlah janji-janji kosong yang selalu diucapkan oleh
manusia yang ingin melunakkan hati orang-orang bawahan mereka. Segala yang dikhabarkan
Allah pasti akan berlaku !.

Sememangnya orang-orang Quraisy tidak patut bersikap demikian rupa dan menentang ajaran
nabi Muhammad s.a.w.
Begitulah Allah yang Maha Penyayang menyedarkan manusia kafir agar kembali kepada
kebenaran dan mentarbiyah orang-orang yang beriman agar mereka merasai muroqobatullah
terhadap perjalanan hidup dan dakwah mereka. Agar orang-orang beriman merasai betapa
Allah mendengar dan melihat apa yang dilakukan oleh golongan Quraisy yang menentang
mereka. Melalui kritikan Allah ini akan bertambahlah keyakinan orang-orang yang beriman
bahawa Allah sentiasa mengawasi setiap gerak-geri manusia seluruhnya.

Setelah Allah menempelak keengkaran golongan kafir Quraisy Allah SWT menyatakan
hakikat Rububiyyahnya, kekuasaan dan Rahmatnya kepada sekelian makhluk, supaya
manusia sedar, insaf dan kembali kepada kebenaran. Betapa Allah yang berkuasa
menciptakan segala-gala ini mampu untuk menciptakan kehidupan selepas mati, kehidupan
sebenar yang abadi.

Surah ini tidak dikhususkan kepada kafir Quraisy sahaja malah untuk semua manusia yang
meragui hari akhirat maupun yang beriman.

Bukti Kekuasaan Allah

Allah berfirman yang bermaksud:

” Bukankah kami telah menjadikan bumi mudah untuk kehidupan, dan gunung-ganang
menjadi pasak, dan kami jadikan kamu berpasang-pasangan, dan kami jadikan tidur kamu
sebagai kerehatan, kami jadikan malam bagaikan pakaian yang menutupi, dan kami jadikan
siang untuk mencari kehidupan dan kami binakan di atas kamu tujuh lapisan langit yang
kukuh, dan kami jadikan untuk kamu pancaran matahari yang terang benderang, dan kami
turunkan daripada awan air hujan yang mencurah-curah supaya kami keluarkan kepada kamu
biji-bijian, tumbuh-tumbuhan dan taman-taman yang subur”

Allah menciptakan bumi menjadi sebuah planet yang sesuai dan mudah untuk kehidupan.
Bumi menerima cahaya matahari yang bersilih ganti siang dan malam menjadikan suhunya
stabil. Tanahnya subur yang ditumbuhkan dengan pelbagai spesis tumbuh-tumbuhan. Segala-
gala yang diperlukan oleh manusia untuk menikmati kehidupan diciptakan Allah dan
disediakan untuk manusia. Betambahnya ilmu pengetahuan manusia terhadap rahsia ciptaan
Allah Azza wa Jalla bertambahlah kesenangan dan kemakmuran yang boleh di berikan
kepada umat manusia yang dilantik sebagai khalifah di muka bumi ini.

Gunung-ganang yang dibentuk daripada batu-batan yang kukuh menjadi pasak bumi,
menstabilkannya ketika menghadapi ribut-taufan, hujan lebat dan banjir besar. Bumi yang
bergunung-ganang dengan pelbagai spesis tumbuhan pelbagai warna menjadikannya terlalu
indah, tenang dan damai apatah lagi apabila mengalir dicelah-celahnya sungai, jeram dan air
terjun yang tinggi.

Segala-gala ciptaan Allah diciptakan berpasang-pasang sebagai satu sistem bagi menjana
kehidupan ini dan kesinambungannya. Penciptaan siang dan malam, sejuk dan panas, cas-cas
positif dan negatif, jantan dan betina, lelaki dan perempuan, baik dan jahat segala-galanya
memainkan peranan yang telah ditentukan Allah dalam sistem ciptaannya untuk kesenangan
kehidupan di dunia ini.

Tidur adalah antara nikmat ciptaan Allah kepada manusia. Tidur yang nyenyak di malam
gelap tenang, sunyi dan suhu yang dingin memberikan kerehatan kepada otak dan badan
manuisa. Dengan tidur manusia dapat mengembalikan kesegaran tenaganya. Kepenantan
memerah otak dan tenaga untuk bekerja disiang hari akan pulih hanya dengan tidur nyenyak.

Allah jadikan siang hari mata manusia terjaga, tenaga manusia bersedia untuk berusaha dan
bekerja mencari keperluan kehidupan yang telah disediakan Allah untuk mereka.

Allah jadikan di atas manusia tujuh lapisan langit yang mempunyai peranan masing-masing
yang Allah mengetahui rahsianya. Ada yang diceritakan Allah Azza Wa jalla peranannya dan
ada yang masih memerlukan pengkajian dan penerokaan manusia untuk menyingkap rahsia
ciptaan Allah yang Agung ini. Matahari, bulan dan bintang-bintang dialangit telah diceritakan
Allah akan peranannya antaranya sebagi sumber cahaya, haba dan pelbagai sinar. Bagi
menghitung bilangan saat, minit, jam, hari, bulan dan tahun dan bagi menentukan arah utara,
selatan, timur dan barat.

Pelbagai sinaran cahaya yang terbit taripada matahari mempunyai pelbagai fungsi dalam
kehidupan di dunia ini selain daripada menerangi alam ia menjadi sumber tenaga kepada
manusia.

Angin, awan dan air hujan antara makhluk ciptaan Allah yang amat diperlukan oleh
kehidupan ini sebagai sebahagian daipada keperluan kehidupan dan penstabilan kehidupan di
dunia ini.

Dengan hujan yang mencurah-curah dibumi menjadikan bumi lembab dan subur berlaku
pelbagai proses kimia dan persenyawaan benih tumbuh-tumbuhan yang menghidupkan
mukabumi.

Bumi yang subur dengan pelbagai jenis bunga-bungaan yang berwarna-warni, pelbagai
haruman yang mengasyikkan, pelbagai bijian dan buah-buahan yang berbagai rasanya
merupakan tanda kebesaran Allah dan Nikmat Kurniaannya yang tidak terhitung oleh
manusia.

Ayat-ayat al-Quran yang ringkas ini cukup membuktikan keEsaan Allah, Kekuatan,
Kebijaksanaan dan Kemampuan Allah untuk melakukan apa sahaja yang di Kehendakinya.

Hari Perhitungan

Allah S.W.T yang menciptakan alam maya yang begitu hebat ini juga mampu untuk
memusnahkannya dan menciptakan alam baru untuk kehidupan manusia yang baru.

” Sesungguhnya hari perhitungan itu telah ditentukan waktunya. Pada hari itu akan ditiup
serunai sengkakala dan kamu akan datang berbondong-bondong. Akan dibukakan langit
menjadi berpintu-pintu dan gunung-ganang diterbangkan dan hilang menjadi seumpama sinar
fatamorgana”.

Hari itu manusia dibangunkan semula daripada tanah adalah hari yang telah ditentukan oleh
Allah. Setelah malaikat yang ditugaskan untuk meniup terompet meniupnya buat kali kedua,
manusia akan keluar daripada tanah dan mereka berduyun-duyun mengikut nabi-nabi mereka
menuju padang mahsyar. Langit akan dibuka menjadi berpintu-pintu dan malaikat turun
melaluinya ke padang Mahsyar. Bumi yang dahulunya dipenuhi gunung-ganang kini sudah
hilang menjadikan bumi terhampar luas sebagai padang mahsyar.
Balasan kepada Thaghut.

” Sesungguhnya Neraka Jahannam telah disedialan untuk golongan thaghin yang akan
menghuni neraka, mereka akan tinggal di dalamnya beberapa tahun lamanya, mereka tidak
akan menikmati kedinginan dan tidak juga minuman, melainkan daripada air leburan panas
dan danur , sebagai balasan yang setimpal terhadap dosa yang mereka lakukan. Mereka
semasa di dunia tidak pernah menyangka amalan mereka akan dihitung dan mereka tidak
pernah percaya kepada bukti-bukti kebenaran Allah. Pada hari ini semua amalan mereka
dihitung dan tertulis..Maka rasakan balasan azab dan Kami tidak akan menambahkan kepada
mereka melainkan keperitan azab”.

Inilah ancaman Allah kepada golongan kuffar, dzalim dan mereka yang mati dalam kefasikan
thaghut. Perkhabaran benar ini merupakan hujjah Allah kepada manusia, bahawa apa yang
bakal mereka temui di dalam kehidupan abadi nanti bukan suatu perkara rahsia yang tidak
pernah disampaikan Allah SWT kepada manusia.

Perkataan ”Mirshada” menceritakan keadaan Neraka Jahannam. Perkataan ini mempunyai


dua maksud iaitu ”disediakan” iaitu kepada golongan thaghut. Maksud kedua ialah
”mengintai-intai” golongan thaghut. ( Syed Qutub).

Untuk maksud yang kedua Allah menggambarkan seolah-olah neraka juga memiliki perasaan
marah, geram dan tidak sabar-sabar untuk memamah golongan yang telah tersenarai sebagai
ahli-ahli neraka dikalangan manusia yang tergolong di dalam golongan thaghut semasa hidup
di dunia.

”Thaghin” adalah kata nama plural kepada pembuat ( orang-orang yang melampaui batas) . Ia
adalah terbitan daripada perkataan ”thagha” yang bermaksud melanggar batas-batas Syarak.

Batasan Syarak.

Batas-batas Syarak termasuklah batas-batas aqidah, ibadah, muamalat, munakahat, jinayat,


dan siyasah.

Batas-batas aqidah adalah aspek-aspek keimanan kepada Allah dan seluruh perkara yang
wajib di imani. Melanggar batas-batas aqidah menjadikan seseorang itu termasuk di dalam
golongan zalim, kafir, munafiq dan syirik.

Golongan ini sudah pasti menjadi ahli neraka dan akan kekal di dalamnya selama-lamanya.

Batas-batas hukum ibadah adalah melaksanakan semua kefarduan syarak dalam hubungan
dengan Allah seperti solat, puasa, zakat dan haji. Meninggalkannya dengan sengaja
sedangkan mereka berkemampuan melaksanakannya bermakna mereka telah fasik atau ingkar
kepada perintah-perintah Allah dan termasuk kedalam golongan ”thaghin”.

Melanggar batas-batas hukum muamalat yang menjadi kewaiban syarak dan melakukan
perkara yang diharamkan.

Batas-batas hukum muamalat sesama manusia ialah akad-akad perjanjian muamalat yang
dilakukan sesama manusia dan hukum-hukum Syarak yang wajib di patuhi di dalam urusan
mu`amalat kewangan termasuk perkara yang berkaitan denganhak-hak dan tanggungjawab
sosial yang telah ditentukan oleh Syarak mengenainya.

Hukum-hukum muamalat seperti hukum yang berkaitan dengan urusan jual beli, sewa-
menyewa, pinjam-meminjam, upah-mengupah, hutang-piutang. Menjalankan urusan
muamalat yang di haramkan seperti mengamalkan riba, menjual arak, berjudi dan menjual
perkara-perkara haram.

Begitu juga melanggar batas-batas perhubungan antara lelaki dan wanita. Asalnya wanita
diwajibkan berada dirumah dan sekiranya wanita terpaksa keluar rumah kerana melakukan
urusa-urusan yang di izinkan syarak mereka diharamkan bertabarruj iaitu keluar dengan
mendedahkan aurat dan memakai pakaian yang menjolok mata lelaki.

Kaum wanita dan lelaki diwajibkan menundukkan pandangan mata daripada melihat kaum
satu lagi yang membuka panahan Iblis kehati mereka. Hubungan lelaki dan perempuan yang
bukan muhrim adalah diharamkan kecuali atas sebab-sebab yang dibenarkan syarak.

Sebaliknya sengaja berhubung dengan tujuan berseronok, bersuka-ria dan menikmati


kenikmatan nafsu mata, telinga dan deria sentuhan kulit adalah termasuk di dalam larangan
menghampiri zina.

Larangan ini hanyalah terangkat dengan akad pernikahan yang sah antara lelaki dan wanita
melalui walinya.

Apabila pasangan lelaki dan wanita mendirikan rumahtangga mereka wajib memelihara batas-
batas Syarak yang berkaitan hubungan suami isteri dan kewajiban melaksanakan
tanggungjawab kekeluargaan sebagai seorang suami dan bapa dan seorang isteri dan ibu.

Tugas seorang suami selain mencari nafkah untuk keluarganya beliau juga wajib mendidik
isteri dan anak-anaknya agar mentaati Allah dan RasulNya. Tugas isteri selain mentaati
suaminya beliau wajib membantu suami di dalam menguruskan rumahtanga dan membantu
suami dala mendidik anak-anak agar menjadi seorang muslim yang bertakwa.

Mengabaikan tanggungjawab Syarak dan melanggar hukum-hukum berkaitan perhubungan


lelaki dan perempuan dan kekeluargaan ini juga termasuk di dalam golongan fasik dan
”thaghin”.

Begitu juga batas-batas Syarak dalam urusan Siyasah sebuah pemerintahan seperti kewajiban
memilih pemimpin yang bertakwa dan terbaik, kewajiban menasihati dan mentaati
pemerintah. Kewajiban menegakkan maqasid Syarak di dalam menegak dan memelihara
agama Islam dalam kehidupan seluruhnya, memelihara akal rakyat jelata, memelihara harta-
benda, nyawa, memelihara kesucian keturunan manusia dan kehormatan diri mereka.

Termasuk di dalam kewajiban Siyasah ialah menguruskan urusan kewangan secara adil
berasaskan dasar-dasar kewangan Islam, menguruskan urusan pentadbiran berkaitan
kekeluargaan dan kemasyarakatan sebagaimana yang ditetapkan oleh Syarak . Termasuk juga
dalam tanggunjawab siyasah syariyyah melaksanakan hukum-hukum Syarak berkaitan hudud,
qisas dan taazir.
Oleh itu golongan `thaghin’ ini bukan sahaja golongan kafir sahaja tetapi termasuk juga
golongan yang beriman yang engkar daripada melaksakan hukum-hukum dan tanggunjawab
yang telah difardukan Syarak kepada mereka.

Tempoh Orang Fasik Tinggal di dalam Neraka.

” Ahqaba”.

Ia adalah kata plural kepada perkatan `Haqaba” iaitu satu tempoh masa tertentu. Ulama
berselisih pendapat dalam menentukan tempoh tersebut.

Antaranya terdapat riwayat daripada Sufyan al-Thauri daripada Ammar al-Duhni daripada
Salim bin Abi al-Ja’di berkata : Kata Ali bi Abi Thalib r.a. tentang bulan hijrah apakah yang
kamu tahu tentang al-Haqab dalam kitab Allah? Katanya kami dapati ia adalah 80 tahun,
setiap tahun 12 bulan, setiap bulan 30 hari dan setiap hari menyamai 1000 tahun.

Berdasarkan riwayat ini ada ulamak mengatakan mereka akan dihumbankan kedalam neraka
selama 700 haqab.

Diriwayatkan daripada Nafi’ daripada Ibnu Umar daripada nabi s.a.w. “ Demi Allah
seseorang itu tidak akan dikeluarkan daripada neraka sehingga tingal di dalamnya beberapa
ahqab. Sabdanya lagi satu haqab bersamaan lebih kurang 80 tahun, satu tahun 360 hari dan
satu hari bersamaan hitungan kamu 1000 tahun.

Ada pendapat yang mengatakan ayat ini dimansukhkan dengan ayat yang mengatakan:

” Maka rasakanlah azab dan kami tidak akan tambahkan kepada mereka melainkan azab”.

Dan ayat: ” melainkan dengan kehendak tuhanmu”

Namun sudah cukup untuk menggerunkan orang yag beriman dan sudah pasti mereka tidak
sanggup disiksa walaupun seminit.

”Hamima” adalah air yang teramat panas dan ”Ghassaq” adalah lendir, lendir dan nanah-
nanah manusia yang di azab di dalam neraka.

Balasan Golongan Muttaqin

Sebaliknya golongan yang bertaqwa bagi mereka kehidupan yang berbeza.

” Sesungguhnya untuk orang-orang yang bertakwa dikurniakan kepada mereka perlepasan


daripada azab dan dimasukkan mereka ke dalam syurga yang penuh dengan taman-taman dan
kebun-kebun anggur.”.

Muttaqin adalah orang-orang yang bertakwa.

Sifat muttaqin tersimpul di dalamnya ciri-ciri orang yang beriman, ciri-ciri seorang Islam dan
ciri-ciri seorang yang Ehsan.
Serendah-rendah darjat mereka ialah orang yang melaksankan semua kewajiban,
meninggalkan semua larangan dan carahidup mereka tidak menyusahkan makhluk lain dan
terselamat daripada termasuk di dalam golongan thaghin.

Golongan ini sahaja yang akan terlepas daripada terjebak ke dalam neraka melainkan mereka
yang mendapat keampunan Allah Azza wa Jalla.

Melahirkan identiti muttaqin adalah matlamat siyasah Islam dan Syariatnya.

Orang-orang yang beriman bukan sahaja diwajibkan beriman malah mereka wajib
mempertahankan keimanan mereka dan keislaman mereka . Mereka juga wajib berusaha
menyampaikan risalah Islam, mengajak golongan yang belum Islam untuk menganuti aqidah
Islam dan mendidik mereka agar mencapai darjat muttaqin. Inilah tanggunjawab dan amanah
Allah kepada manusia sebagai khalifah Allah dan hambanya. Hanya golongan muttaqin yang
akan berjaya melaksanakan misi ini.

Maka bagi golongan muttaqin yang mengharungi kehidupan dunia fana dengan penuh
kesabaran dan kesyukuran mereka mendapat balasan yang setimpal dengan kejayaan mereka.

Antara kurniaan Allah kepada mereka adalah pelepasan daripada Azab bermula dengan azab
kubur, azab berlakunya hari kemusnahan dunia, azab di padang mahsyar dan azab neraka.

Nikmat Bidadari.

Antara nikmat syurga yang disebut di dalam surah an Naba’ ini ialah:

” Dikurniakan kepada mereka gadis-gadis sunti sebaya sebagai isteri dan gelas-gelas
minuman yang terhidang, aman damai dan tidak kedengaran di sana suara-suara sumbang dan
pendustaan, sebagai balasan daripada Tuhanmu sebagai satu pemberian yang menepati
perhitungan”

”Kawa`iba atraba”.

Kawaib adalah bidadari-bidadari daripada kalangan gadis perawan yang puting susunya masih
tenggelam kerana mereka adalah gadis yang belum pernah disentuh oleh jin mahupun
manusia.

Atraba yang sebaya umurnya 33 tahun, yang berakhlak mulia, berkasih sayang, tiada perasaan
hasad dengki sesama mereka, bermesra dan bermain-main bersama-sama dan diwujudkan di
dalam jiwa mereka perasaan cinta dan rindu hanyalah kepada suami mereka sahaja.

Termasuk dikalangan bidadari ini adalah wanita-wanita dunia malah kemulian dan kecantikan
mereka melebihi bidadari syurga bagaikan zahir kaki dibandingkan dengan tapaknya.

Manakala wanita yang berkahwin lebih daripada seorang semasa di dunia akan dikurniakan
kepada suami yang terlebih baik akhlaknya.

Hari Pengadilan
” Tuhan langit dan bumi dan segala isi diantara kedua-duanya yang Maha Pengasih dan pada
hari itu tiada siapa yang boleh berkata-kata. Pada hari itu malaikat Jibril dan sekelian malaikat
akan berdiri tegak tersusun berbaris-baris. Tidak ada sesiapapun yang akan bercakap
melainkan mereka yang diberi keizinan oleh al-Rahman untuk bercakap dan dia hanya akan
bercakap benar”

Pada hari pengadilan di padang Mahsyar para malaikat berdiri tersusun berbaris-baris. Semua
manusia dan malaikat berdiri dan diam. Suasana sunyi dan sepi masing-masing mansia hanya
menunggu nasib diri mereka sendiri.

Tidak ada sesiapapun dibenarkan bercakap di majlis mahkamah Allah itu melainkan mereka
yang diizinkan untuk berkata-kata. Ketika dia bercakap dia akan bercakap benar.

Hari Kiamat Terlalu Hampir.

”Hari itu adalah suatu yang benar. Sesiapa yang mahu maka kembalilah bertaubat kepada
Tuhannya. Sesungguhnya kami memperingatkan kamu terhadap azab yang terlalu hampir.
Pada hari itu manusia akan melihat segala apa yang mereka pernah lakukan dan orang-orang
kafir akan menyesal dan berkata alangkah baiknya kalau aku hanyalah seketul tanah..”

Bandingan hidup di dunia dengan hidup di akhirat hanyalah terlalu sedikit. Sehari di akhirat
menyamai 1000 tahun mengikut kiraan masa di dunia ini. Tempoh kehidupan seseorang di
dunia amat singkat dan tidak sampai seratus tahun. Maka tempohnya untuk menempuh alam
akhirat amatlah dekat.

Oleh itu bersegeralah bertaubat daripada sikap seorang thagha kepada bersikap dengan sikap
orang yang bertakwa kerana tidak guna lagi penyesalan di hari akhirat apabila semua amalan
manusia dipamerkan didepan manusia seluruhnya.

Wallahua’lam.
Rujukan : Tafsir Ibn Katsir dan Fi Dzilal al-Quran.

Anda mungkin juga menyukai