Anda di halaman 1dari 17

Patriotisme

Patriotisme merupakan satu ungkapan yang sering kita dengar dan diwar-warkan
apabila menjelang sambutan hari kemerdekaan. Patriotisme merupakan satu
semangat kecintaan dan ketaatan seseorang kepada negaranya sendiri. Patriotisme
merupakan sesuatu yang abstrak dan ia tidak dapat diukur secara metrik tetapi
semangat patriotisme ini dapat dilihat melalui tindakan, tingkah laku, perbuatan
atau perlakuan seseorang itu. Jika seseorang itu patriotik, segala tindakan dan
amalan yang dilakukannya mesti menepati ciri-ciri patriotisme.[1]

Malaysia merupakan sebuah negara yang unik, memandangkan rakyatnya terdiri


daripada pelbagai etnik dan kaum. Meskipun negara kita telah mencapai
kemerdekaan hampir setengah abad, ini tidak bermakna semangat patriotisme
tidak lagi penting bagi rakyatnya. Malah jika dikaji dengan lebih mendalam,
semangat patriotisme amat penting pada masa kini kerana kita sedang dilanda oleh
ledakan teknologi maklumat dan dunia globalisasi yang menuntut semangat
patriotisme yang tinggi. Era globalisasi[2] dan informasi teknologi maklumat yang
melampaui sempadan secara tidak langsung membuka ruang kepada anasir
anasir yang mampu merosakkan negara[3]. Jangan kita membiarkan pemikiran
rakyat dikuasai oleh sesuatu fahaman yang salah dan merugikan khususnya
generasi muda. Dunia hari ini dikongkong oleh ideologi media barat yang bersifat
neo-colonialism dan melanjutkan agenda western imperialism ke atas negara
membangun. Sejajar dengan kemajuan teknologi ini, negara membangun dipaksa
supaya tunduk mengikut arahan dan mematuhi pandangan yang dikeluarkan oleh
diktator barat yang angkuh dan sombong. Kecenderungan media barat melaporkan
sesuatu mengikut kaca mata mereka yang bercanggah dengan nilai-nilai
masyarakat timur seperti meniup dan melaga-lagakan isu budaya, agama,
hubungan kaum, demokrasi, kebebasan akhbar dan memperkecilkan pencapaian
dan kejayaan masyarakat timur merupakan sesuatu yang mengecewakan. Malaysia
menghadapi pelbagai ancaman negatif dan destruktif media barat serta ada
kalanya kritikan dan laporan yang begitu menggugat dan memberi kesan buruk
kepada kepimpinan negara. Majalah The Economist keluaran 5-11 April 2003
mengupas kepimpinan Malaysia di bawah Tun Dr. Mahathir selama 22 tahun tidak
berjaya membawa banyak perubahan terutama dari segi kepimpinan yang bersifat
authoritarianism. Tulisan dalam laporan ini mengandungi kritikan yang bersifat
destruktif dan memburukkan imej kepimpinan Malaysia. Media barat juga menjadi
dalang kepada berlakunya pelbagai masalah yang menyulitkan dan mengancam
keharmonian negara seperti kebencian terhadap kerajaan, memburuk-burukkan
kredibiliti kepimpinan negara dan sebagainya.

Keadaan ini lebih genting lagi apabila kesedaran mengenai patriotisme di kalangan
rakyat Malaysia semakin terhakis akibat sikap individualistik dan materialistik.
Apabila rakyat tidak cintakan negara, mereka lebih senang dipengaruhi dan

dipecah-belahkan. Justeru itu, semangat patriotisme ini perlu tersemat dalam


sanubari rakyat Malaysia dan dihayati sebaik yang mungkin.

Peristiwa berdarah 13 Mei 1969[4] merupakan satu pengajaran kepada kita bahawa
sekalipun negara telah 12 tahun mencapai kemerdekaan pada ketika peristiwa itu
berlaku, kita masih menghadapi pelbagai kekangan untuk membentuk sebuah
bangsa yang berjiwa Malaysia. Ini disebabkan Malaysia mempunyai rakyat yang
terdiri daripada pelbagai etnik, budaya, kepercayaan dan fahaman politik[5].
Peristiwa hitam itu juga membuktikan bahawa kita masih gagal membentuk bangsa
Malaysia yang tidak bersandarkan etnik dan kaum. Kefahaman dan semangat
patriotisme generasi hari ini tidak sekuat semangat yang didukung oleh generasi
sebelum merdeka. Ini kerana generasi sebelum merdeka hidup di bawah telunjuk
imperialis, mereka terkongkong, tidak bebas dan menghadapi pelbagai sekatan
daripada pihak penjajah British. Mereka mempunyai semangat patriotik yang
meluap-luap dan sentiasa berusaha untuk mendapatkan kebebasan daripada
kolonial British. Sebaliknya bagi generasi pasca-merdeka lebih memfokuskan ke
arah usaha pengisian kemerdekaan yang menyebabkan mereka lalai dan lupa
sejarah serta tidak pernah bersyukur bahawa segala nikmat yang dirasai hari ini
adalah hasil perjuangan air mata dan darah serta pengorbanan wang ringgit
pejuang terdahulu.

Malah kebimbangan ini pernah dilontarkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad:

Patriotisme semakin hilang di kalangan generasi muda. Justeru itu, usaha-usaha


pemupukan perlu dilakukan oleh orang-orang dewasa untuk menghidupkan dalam
sanubari generasi muda tentang patriotisme. Patriotisme adalah unsur penting
dalam menghidupkan semangat perpaduan dan kesatuan arah-tuju negara.[6]

Lebih malang lagi apabila para pelajar hari ini menganggap mata pelajaran sejarah
tidak sepenting mata pelajaran sains dan matematik kerana tidak mempunyai nilai
komersialnya. Sejarah dianggap lapuk dan ketinggalan zaman oleh para pelajar
zaman dan tidak begitu sesuai pada zaman millenium ini. Tanggapan seperti inilah
yang perlu diperbetulkan oleh guru-guru, para pensyarah dan pemimpin negara
agar kita tidak menjadi satu bangsa hanyut yang hanya tinggal nama sahaja kerana
kesedaran sejarah adalah pra-syarat kepada patriotisme. Orang yang tidak
mengetahui dan memahami sejarah, sukar menjiwai semangat patriotisme.

Perpaduan amat penting bagi negara Malaysia, ia tidak boleh diambil mudah
sebaliknya kita seharusnya berusaha lebih gigih ke arah pemupukan perpaduan
masyarakat dan negara yang berpaksikan identiti kebangsaan dan integrasi
nasional. Walau bagaimanapun, dalam usaha memupuk semangat patriotisme ini
perlu berhati-hati dalam sebarang tindakan agar tidak terpesong yang akhirnya
menjatuhkan maruah negara dan memalukan negara[7].

Malaysia masih menghadapi masalah pertubuhan yang bersifat perkauman. Ini juga
menjadi faktor penghalang untuk proses perpaduan kebangsaan di negara ini.
Kewujudan pertubuhan-pertubuhan yang berasaskan kaum telahpun wujud di
Malaysia sejak zaman kolonial lagi seperti Malay Club, Chinese Club dan Indian Club
atau Ceylonese Club. Sebahagian besar pertubuhan perkauman ini telah
melangkaui batasan-batasan toleransi atau bertindak ekstrem demi memelihara
kepentingan kaum sendiri. Meskipun pertubuhan ini tidak bermotifkan politik,
namun tindakan mereka memperoleh sokongan yang kuat daripada etnik mereka
sendiri. Sebagai contoh, pada tahun 2001, hubungan antara kaum tergugat sedikit
apabila Jawatankuasa Rayuan Pilihanraya Persatuan-persatuan Cina Malaysia
(Suqiu)[8] telah mengemukakan tuntutan terbuka 83 perkara kepada kerajaan yang
mana sebahagian daripadanya telah menyentuh isu-isu sensitif tentang hak dan
keistimewaan orang Melayu. Rentetan daripada itu, Gabungan Pelajar Melayu
Semenanjung (GPMS)[9] mengemukakan pula tuntutan terbuka 100 perkara yang
menuntut Menteri Pelajaran berkuasa untuk menutup kesemua sekolah dan juga
kuota di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta
(IPTS) masing-masing dinaikkan kepada 70% dan 60% untuk pelajar bumiputera.
GPMS juga menganjurkan Perhimpunan Suara Rakyat di beberapa tempat di seluruh
negara sebagai bantahan kepada Suqiu.[10]

Salah satu kaedah yang sesuai untuk menyemai semangat patriotisme di kalangan
rakyat Malaysia adalah kembali kepada sejarah. Memahami sejarah dan liku-liku
perjuangan para pemimpin pada zaman silam dapat meningkatkan rasa kecintaan
kita kepada negara. Dengan mengetahui dan memahami sejarah akan dapat
melahirkan masyarakat Malaysia yang mempunyai semangat patriotisme yang
tulen, jitu dan luhur kepada negara. Malaysia memerlukan semua rakyatnya berjiwa
patriotik yang tulen, rakyat yang sayang, kasih,dan cinta kepada pemimpin serta
negara. Dengan berbalik kepada sejarah pembinaan negara dan bangsa, rakyat
Malaysia akan lebih mengenali dan memahami asal-usul bangsa. Perkara ini sering
ditegaskan oleh Tun Dr. Mahathir, beliau berpendapat sesuatu bangsa itu perlu
sensitif terhadap perkembangan semasa di serata dunia untuk membandingkan
dengan sejarah silam di negaranya sendiri dan sejarah silam di seluruh alam.
Dengan cara ini sejarah akan menjadi cermin perjuangan[11]. Dengan mengetahui
dan memahami sejarah tanah air, akan membolehkan sesuatu bangsa menganalisis
segala kelemahan dan kemungkinan yang akan terjadi. Sejarah juga akan
membantu sesuatu bangsa menentukan gaya, cara dan merangka masa yang
paling sesuai untuk melaksanakan segala strategi yang telah direncanakan secara
halus dan teliti, demi keselamatan, kesejahteraan, kemakmuran dan kecemerlangan

pada hari muka. Semestinya kita mengambil iktibar daripada sejarah yang berlaku
pada zaman lampau dan memberi pengiktirafan kepada ahli-ahli sejarah yang telah
memberi sumbangan dalam penulisan sejarah negara kita. Perkara ini ditegaskan
oleh George Santayana ahli fikir Barat bahawa Mereka yang tidak belajar daripada
Sejarah akan didera dengan mengulangi kesalahan mereka berkali-kali.[12]

2.1 Definisi Patriotisme

Dalam negara yang rakyatnya terdiri daripada berbilang kaum, semangat


patriotisme sangatlah penting bagi memastikan negara dan rakyatnya berada
dalam suasana aman, harmoni dan stabil serta dapat menikmati kekayaan di bumi
bertuah ini secara adil. Patriotisme berperanan penting dalam pembentukan bangsa
Malaysia. Ia juga penting untuk mengukuhkan ketahanan nasional. Ini kerana
patriotisme adalah semangat kenegaraan yang melangkaui batas-batas bangsa,
agama, bahasa dan budaya. Semestinya patriotisme ini lebih mudah diterima oleh
rakyat yang terdiri daripada masyarakat majmuk seperti Malaysia.

Istilah patriotisme hanya mula digunakan di Malaysia sekitar tahun 1990an.


Sebelum ini, bagi menggambarkan patriotisme kebanyakan ahli akademik,
sejarawan dan tokoh-tokoh politik kerap menggunakan istilah kewarganegaraan dan
cintakan negara. Istilah patriotisme berasal dari perkataan patriot yang bererti

orang yang mencintai dan mempertahankan kedaulatan negara atau pembela


negara. Patriotisme pula merujuk kepada perasaan cinta yang kuat terhadap
negara.[13] Istilah patriotisme dikatakan berasal daripada bahasa Latin iaitu
Patriota dan patriote dalam bahasa Perancis dan patriot dalam bahasa Greek yang
membawa pengertian individu yang mencintai negara sehinggakan sentiasa
menyokong dan mempertahankan negara sendiri secara berterusan dan
berpanjangan. Manakala isme pula merujuk kepada fahaman, perasaan dan juga
semangat. Cantuman dua rangkai kata ini akhirnya telah melahirkan satu istilah
baru dalam bahasa Inggeris dan juga bahasa Melayu bagi menggambarkan
semangat dan perasaan cintakan tanah air dan sanggup berkorban
mempertahankan tanah air daripada musuh.[14] Manakala menurut Webster,
1990; love of country or devotion to the welfare of ones country. Those who are
loved their country simply because it is their country because it is the birth place
and the mansion of their father.

Selain daripada itu, beberapa definisi patriotisme telah diberikan berdasarkan


kepada pandangan Barat seperti Bertrand Russel yang mengatakan patriotism is
the willingness to kill and be killed for triviak reasons.[15] Bernard Shaw pula
menyatakan patriotism is the conviction that this country is superior to all other
countries because you were born in it[16]. Jika kita merujuk kepada Kamus
Webster istilah patriotisme telah didefinisikan sebagai love of country, devotion to
welfare of ones country: The virtues and actions of a patriot, the passion which
inspires one to serve ones country.[17] Manakala menurut Walter memberikan
definisi patriotisme sebagai those who are love their country simply because it is
because it is their country because it is the birthplace and the mansion of their
father.

Menurut Idris Mohd. Noor, patriotisme telah difahamkan sebagai satu bentuk
penerimaan, pengamalan dan keupayaan untuk mempertahankan sesuatu asas
atau pokok yang menjadi dasar negara.[18] Dengan ini dapat difahami bahawa
patriotisme adalah satu bentuk perasaan kecintaan dan kesetiaan yang tidak
berbelah-bahagi terhadap negara sehinggakan sanggup mempertahankan
kedaulatan dan maruah negara daripada individu yang dianggap sebagai pembelot
negara.

Menurut Mohd. Taib Osman, patriotisme adalah perasaan, sikap, world-view serta
nilai terhadap negara atau negeri sendiri. Perasaan seperti cinta, kasih dan
menghormati terhadap objek yang ditujukan. Sikap pula difahamkan sebagai
perlakuan yang positif seperti sanggup berkorban terhadap sesuatu atau
menyanjung tinggi terhadapnya. World-view pula ialah pandangan hidup bahawa
negara itu melindungi hak-hak warganegara, iaitu sesuatu yang mendatangkan
kebaikan. Nilai diertikan sebagai satu pertimbangan yang tinggi lagi positif terhadap
apa sahaja yang berkaitan dengan tanahair.[19] Patriotisme juga dilihat sebagai

sesuatu yang abstrak dan mempunyai nilai-nilai dalaman yang berkaitan dengan
perasaan dan emosi seseorang.

Professor Nik Anuar Nik Mahmud mentakrifkan patriotisme sebagai kesetiaan dan
ketaatan sesorang kepada negaranya sendiri, apabila segala amalan dan
tindakannya menepati ciri-ciri patriotisme. Patriotisme itu adalah sesuatu yang
abstrak dan tidak dapat diukur secara metrik tetapi semangat patriotisme yang ada
pada diri seseorang itu dapat dilihat melalui tindakan, tingkah laku atau perbuatan
seseorang itu[20]. Menurut Saifuddin Abdullah dari Majlis Belia Malaysia,
patriotisme merupakan sesuatu yang amat besar dan ia bukan sekadar semangat,
bukan isu politik mahupun gimik kerana ia melibatkan setiap dan seluruh rakyat
Malaysia. Ini kerana patriotisme melibatkan aspek-aspek yang meliputi keyakinan,
keberanian, kebijaksanaan, kesungguhan dan kesinambungan bagi
mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan yang merupakan tanggungjawab
setiap warganegara Malaysia.[21]Patriotisme juga boleh dimaksudkan sebagai
kesanggupan untuk mempertahankan kedaulatan dan maruah negara khasnya
apabila berhadapan dengan individu yang dianggap pembelot negara tanpa tolakansur. Istilah ini juga sering dikaitkan dengan kemerdekaan dan kebebasan.
Seseorang itu akan dianggap patriot apabila mempunyai perasaan cinta, sentiasa
menyokong negara dan mempertahankan negara secara berterusan dan
berpanjangan.[22]

Berdasarkan beberapa definisi yang diberikan di atas, penulis dapat mendefinisikan


patriotisme sebagai semangat cintakan tanahair dan berbangga sebagai
warganegara merdeka di atas tempat kelahiran yang sama di bumi Malaysia.

Islam merupakan agama yang syumul dan sudah pastinya patriotisme dapat dilihat
sebagai sesuatu yang baik. Perpaduan merupakan senjata penting bagi sesuatu
ummah, lebih-lebih lagi bagi bangsa Malaysia yang rakyatnya terdiri daripada
berbagai etnik dan keturunan. Kesatuan dan perpaduan yang dibina atas asas-asas
ini melangkaui sempadan bangsa atau keturunan, malah sempadan geografi.
Segala perbezaan bahasa dan pertuturan serta warna kulit akan tenggelam dalam
perpaduan yang bersifat global ini. Nikmat perpaduan ini diperingatkan oleh Allah
menerusi firmanNya yang bermaksud:

Dan ingatlah nikmat Allah yang dilimpahkan ke atas kamu ketika mana kamu
dahulunya bermusuh-musuhan, lalu Allah menjinakkan hati-hati sesama kamu,
justeru dengan nikmatNya itu kamu manjadi insan-insan yang bersaudara.

Bangsa yang selalu berpecah dan bermusuh sesama sendiri lebih mudah bagi
mana-mana musuh hendak memusnahkannya. Hal ini ada dijelaskan dalam AlQuran yang bermaksud:

Janganlah kamu berbantah-bantah (berpecah-belah) nescaya kamu akan lemah,


hilangkan kekuatan kamu[23]

Perpecahan pasti timbul di kalangan masyarakat apabila mereka mempunyai


matlamat kehidupan yang berbeza. Perbezaan pendapat di kalangan manusia
memang tidak dapat dielakkan[24]. Itulah lambang keistimewaan akal yang
dikurniakan kepada kita. Perbezaan inilah yang melahirkan kehidupan. Tetapi
perbezaan pendapat mesti selari dengan asas yang ditetapkan oleh
perlembagaan[25] yang menjadi rujukan kita. Sebarang idea yang bercanggah dan
tidak selari dengan perlembagaan mesti ditolak dan dikesampingkan. Malah dua
hadith Nabi s.a.w di bawah ini menjelaskan lagi bahawa Islam menganjurkan
perpaduan bukan keganasan sebagaimana dilabelkan oleh pihak yang bersikap
anti-Islam.

Nabi bersabda yang bermaksud:

Bersatu membawa rahmat dan berpecah mengundang seksa

Sabda Nabi lagi yang bermaksud:

Adakah kamu mengetahui amalan yang fadhilatnya lebih baik daripada darjat puasa
dan sholat? Sahabat menjawab Ya. Nabi s.a.w bersabda: Menyelesaikan
permusuhan dan berusaha mewujudkan perpaduan kerana sesungguhya
kemusnahan ikatan mesra di kalangan masyarakat itu boleh mengundang
kebinasaan.

Ajaran Islam menyarankan umatnya agar sentiasa mempunyai semangat cintakan


tanahair dan di dalam konteks Islam ia sering dikaitkan dengan watan. Ini dapat

dirujuk berdasarkan sepotong hadith Rasulullah s.a.w yang menyatakan bahawa


cintakan tanahair merupakan sebahagian daripada keimanan.[26] Dalam hadith
ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa Islam tidak melarang umatnya
berkelompok dan bersatu untuk mempertahankan negara tetapi tindakan yang
diambil haruslah berlandaskan kepada hukum syarak yang telah ditetapkan.

Patriot ialah orang yang memperjuang dan mempertahankan kebebasan dan hak
tanahair kerana sayangkannya. Setiap patriot perlu menjaga harga diri,
kehormatan, ada maruah dan mempunyai rasa malu untuk melakukan perkaraperkara yang bertentangan dengan ciri-ciri patriotisme. Sifat-sifat lain yang sering
dikaitkan dengan seseorang patriot ialah mempunyai semangat keperwiraan,
keberanian, kepahlawanan dan kependekaran serta mempunyai rasa cinta kepada
keluarga, bangsa dan tanahair. Patriot juga digambarkan seseorang yang
mempunyai cita-cita untuk berjaya, berprinsip dan berpendirian tegas.[27]
Patriotisme pula ialah perasaan cinta yang kuat terhadap negara. Dalam bahasa
Melayu biasanya disebut cintakan negara. Dalam bahasa Arab patriotisme
disebut wataniyyah bermaksud cintakan negara secara ikhlas dan sanggup
berkorban untuknya. Sehinggakan seorang ulama Patani; Syeikh Daud bin Abdullah
pernah menyatakan bahawa mempertahankan negara daripada penjajahan kuasa
asing adalah fardhu ain[28]. Ini bermakna kita wajib mempertahankan kedaulatan
negara daripada ancaman musuh sama ada dari dalam atau luar negara.
Perpecahan merupakan tajaan para pendurhaka kepada negara apabila mereka
melakukan perkara-perkara yang boleh menjurus kepada persengketaan. Justeru
itu, kumpulan petualang ini perlu diingatkan supaya kembali sedar akibat daripada
tindakan buruk mereka itu kepada negara.

Patriotisme mempunyai perbezaan dengan apa yang dikatakan dengan perpaduan


dan integrasi nasional[29]. Ini kerana patriotisme merupakan tonggak utama
kepada kewujudan perpaduan mahupun integrasi nasional. Perpaduan dan integrasi
nasional boleh didefinisikan sebagai pelaksanaan proses bagi mewujudkan identiti
nasional di kalangan kumpulan yang terpisah dari segi kebudayaan, sosial dan
lokasi dalam sesebuah unit politik. Patriotisme pula dapat dirumuskan secara
keseluruhan sebagai satu semangat cintakan negara dan taat setia kepada negara
tanpa wujudnya batasan terutamanya daripada aspek perkauman dan juga
kebudayaan yang berbeza. Patriotisme juga adalah suatu ideologi atau sesuatu
kumpulan sikap dan kepercayaan yang merujuk kepada kasih sayang dan ketaatan
individu kepada negara mereka.

2.2 Patriotisme Dari Sudut Pandangan Malaysia

Sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, patriotisme merupakan


satu perkara yang sering dikaitkan dengan perpaduan serta keharmonian negara.
Ini kerana tiadanya patriotisme maka segala dasar yang dibentuk dan diwar-warkan
oleh kerajaan tidak akan terhasil. Perpaduan dan keharmonian negara hanya akan
terbentuk sekiranya lahir semangat patriotisme di dalam jiwa setiap warganegara
Malaysia. Oleh itu dapatlah dikatakan bahawa perpaduan, keharmonian dan juga
semangat nasionalisme merupakan jantung kepada patriotisme. Menyedari hakikat
mengenai kepentingan semangat ini kerajaan melalui Kementerian Pelajaran,
Kementerian Perpaduan dan Kebajikan Masyarakat serta Kementerian Belia dan
Sukan begitu aktif mengadakan program-program yang dikatakan dapat membantu
menanam semangat cintakan negara.

Tun Dr. Mahathir Mohammad dengan tegas mengatakan bahawa jika sekali merdeka
tidak pasti selama-lamanya akan merdeka. Malaysia perlu bersedia untuk
mengelakkan diri daripada bentuk penjajahan baru melalui konsep yang
diperkenalkan oleh Barat yang sememangnya terkenal dengan sikap suka menjajah
dan menakluki apa yang dimiliki oleh orang lain. Beliau turut menyatakan bahawa
patriotisme perlu ada pada setiap warganegara dan perlulah ditonjolkan melalui
sikap seperti berdisiplin.[30] Tun Dr. Mahathir menyeru semua rakyat agar
berdisiplin bagi membentuk satu pasukan yang mantap untuk mempertahankan
negara dalam memajukan negara. Semangat dan keberanian perlulah bertempat
dan bukannya semata-mata berani tanpa memikirkan apa yang akan berlaku pada
negara. Apa yang difahamkan di sini ialah semangat juang dan keberanian setiap
warganegara perlulah berada di landasan yang betul dan bukan melulu tanpa
menggunakan akal fikiran yang waras.

Setakat ini patriotisme sering digambarkan sebagai sesuatu yang mulia dan satu
pegangan yang positif sehingga melahirkan satu slogan yang ditampilkan sebagai
merujuk kepada patriotisme iaitu right or wrong, my country atau benar atau salah
negeriku. Malaysia tidak membenarkan rakyatnya mempunyai pegangan yang
sebegitu kerana pegangan ini akhirnya akan merosakkan negara. Oleh itu, saranan
pemimpin Malaysia agar patriotisme yang disemai perlulah ada landasan yang
sesuai. Dalam mewujudkan semangat cintakan negara kata-kata John F. Kennedy
kepada rakyat Amerika boleh dijadikan panduan kepada kita. Kata-katanya berbunyi
jangan fikirkan sangat apa yang negeri boleh manfaatkan kita tetapi fikirkanlah
bagaimana kita boleh menyumbang kepada kebaikannya.

Semangat patriotisme yang perlu ada pada rakyat Malaysia bukanlah seperti
semangat asssabiyah[31] yang tidak wajar. Oleh sebab itu, dalam memperjuangkan
pemupukan semangat ini perlulah berhati-hati dalam sebarang tindakan agar tidak

terpesong yang akhirnya menjatuhkan maruah negara dan memalukan negara.


Semenjak tahun 1957 lagi kerajaan Malaysia telah mengutamakan proses
pembangunan dan pembinaan negara agar masyarakat mempunyai semangat dan
identiti kebangsaan yang tersendiri dan benar-benar bercorak Malaysia.

Patriotisme pada pandangan Malaysia bukanlah di dalam ruang lingkup yang sempit
tetapi patriotisme yang dapat membina sebuah negara bangsa yang utuh.
Patriotisme Malaysia tidak hanya dilambangkan melalui perlambangan bendera,
jata negara atau logo semata-mata tetapi patriotisme Malaysia perlulah mempunyai
nilai-nilai estetika yang murni serta berlandaskan kepada Rukunegara[32],
Perlembagaan Negara dan ajaran agama yang menjadi pegangan kaum masingmasing. Untuk mengejar cita-cita menjadikan Malaysia sebuah negara yang aman,
damai di samping mempunyai kestabilan ekonomi, politik dan juga sosialnya seperti
yang terkandung dalam sembilan cabaran Wawasan 2020[33] diperkenalkan. Demi
mencapai cita-cita yang murni ini, didapati cabaran yang paling rumit untuk
diharungi ialah cabaran yang pertama iaitu :

Membentuk sebuah negara bangsa yang bersatu padu serta menyanjung masa
hadapan yang dikongsi bersama. Bangsa itu mestilah sejahtera, berintegrasi
wilayah-wilyah dan kelompok-kelompok etniknya, menikmati kehiduapan bersama
yang sepenuhnya berasaskan persamaan hak dan keadilan, membentuk sebuah
Bangsa Malaysia dengan rasa taat setia dan pengabdian yang tidak berbelah bagi
terhadap bangsa tersebut.[34]

Dalam cabaran tersebut, mendapati bersatu padu atau perpaduan yang


dimaksudkan di atas bukan sekadar mewujudkan integrasi di kalangan kelompok
etnik dan wilayah tetapi lebih dari itu. Negara Malaysia yang bersatu padu itu
mestilah dicirikan oleh kesejahteraan rakyatnya yang bersama-sama menikmati
kehidupan yang aman dan persamaan hak serta keadilan. Hanya apabila
kesejahteraan hidup ini dicapai barulah proses pembentukan satu Bangsa
Malaysia[35] yang taat setia dan sanggup mengabdikan diri terhadap negara dan
bangsa tersebut dapat menjadi realiti. Justeru itu, dalam melahirkan sebuah negara
yang mantap semangat cintakan negara adalah lebih penting daripada semangat
perkauman atau individualistik. Hasrat kerajaan Malaysia untuk mewujudkan
bangsa Malaysia adalah satu langkah yang bijak. Dalam pada itu, perpaduan
merupakan asas utama kepada keamanan dan kemakmuran sesebuah negara. Oleh
itu, segala cabaran Wawasan 2020 yang dikemukakan oleh Perdana Menteri
Malaysia yang keempat itu kesemuanya menekankan soal-soal perpaduan
termasuklah aspek negara bangsa, identiti, sikap dan pendirian positif yang perlu
ditanam pada setiap hati sanubari warga Malaysia. Wawasan 2020 juga membuka

ruang yang lebih luas dan jelas untuk menghindari sebarang sejarah hitam seperti
13 Mei 1969 agar tidak berulang kembali. Malahan jika dinilai semula, Wawasan
2020 yang murni ini menggalakkan masyarakat yang berbilang kaum supaya
mempunyai kefahaman dan penghayatan yang mendalam terhadap perpaduan
nasional. Ini adalah penting untuk memastikan cita-cita pembinaan sebuah negara
bangsa dan mengukuhkan struktur sosio-budaya negara tercapai dengan jayanya.

Patriotisme ialah perjuangan yang menjiwai kepada kepentingan bangsa dan


negara. Ia menonjolkan semangat juang yang tinggi mendaulatkan kedudukan,
status serta pengaruh bangsa dan negara. Soal bangsa adalah sinonim dengan soal
negara, oleh itu soal ketuanan Melayu menjadi tonggok kepada negara. Ketuanan
Melayu merupakan satu konsep nasionalisme yang memerlukan satu kerangka bagi
menonjol dan mendaulatkan Melayu sebagai satu bangsa yang mencorakkan
negara. Soal-soal kemelayuan adalah lambang adalah identiti bagi negara.
Meskipun ada bangsa-bangsa lain yang diberi tempat dan dibawa berkongsi dalam
hal-hal kenegaraan, tetapi ia perlu bernaung di bawah panji-panji Melayu.

Patriotisme juga memerlukan komitmen pemimpin dan segenap lapisan rakyat


dengan mempertahankan asas pembinaan dan kedaulatan negara.
Mempertahankan negara daripada musuh dan ancaman luar adalah satu
tanggungjawab rakyat. Kesetiaan kepada raja dan negara yang ditunjukkan oleh
warganegara melalui sumbangan dan pengorbanan merupakan unsur patriotisme
yang amat penting. Unsur ini perlu ditanam di kalangan generasi muda khususnya
dalam konteks masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia. Nilai patriotisme
seperti kesetiaan, keberanian, rela berkorban, kesukarelaan, cintakan bangsa dan
negara perlu dipertingkat bagi membentuk rakyat Malaysia yang patriotik dan
bertanggungjawab pada bangsa dan negara.

Satu rangka bagi membangunkan semangat patriotisme perlu dilakukan melalui


dasar pembangunan manusia, ekonomi, politik, sukan, hubungan diplomatik dan
penglibatan Malaysia dalam konteks globalisme. Nasionalisme dalam konteks ini
merupakan satu langkah bagi menonjolkan imej Malaysia sebagai bangsa dan
negara yang berwibawa di arena antarabangsa.

2.3 Unsur-unsur Patriotisme

Apabila memperkatakan tentang patriotisme ia merupakan satu perkara


yang abstrak dan sukar untuk diukur serta dinilai tetapi sekiranya sesorang individu
tersebut mempunyai ciri-ciri[36] yang dinyatakan maka ia bolehlah dikatakan
mempunyai semangat patriotisme. Walaupun semangat patriotisme tidak dapat
diukur secara metrik namun melalui perbuatan serta tingkahlaku ia telah
mencerminkan semangat patriotisme yang ada di dalam diri setiap individu.

a.

Berbangga sebagai rakyat Malaysia

Patriotisme bukan sahaja dapat dipupuk dan ditanam di kalangan generasi muda
hari ini tetapi kita dapat menzahirkan semangat itu dengan melahirkan rasa bangga
sebagai rakyat Malaysia. Sebagaimana yang dikatakan patriotisme merupakan
sesuatu yang abstrak dan hanya dapat dilihat melalui perlakuan, tingkahlaku atau
perbuatan seseorang. Sebagai contoh kita boleh menunjukkan perlakuan
menghormati raja dan pemimpin negara. Selain itu bagi menzahirkan rasa bangga
sebagai rakyat Malaysia boleh ditunjukkan melalui cara menghormati lambanglambang atau simbol-simbol negara seperti bendera negara atau negeri, jata
negara, dan lagu kebangsaan atau negeri.

Bagi memupuk semangat patriotisme dan cintakan negara ia hendaklah dengan


cara memberi kesedaran kepada seluruh lapisan masyarakat di negara ini tentang
peri pentingnya kemerdekaan. Mereka perlu didedahkan dengan sejarah,
bagaimana sukarnya pemimpin-pemimpin ketika itu berusaha untuk mendapatkan
kemerdekaan negara. Melalui pembacaan penulisan sejarah tanah air kita dapat
mengenal dan memahami perjuangan tokoh-tokoh negara ketika memperjuangkan
kemerdekaan dan jasa serta pengorbanan tokoh-tokoh tersebut perlulah dihargai.
Ini kerana tanpa kesedaran serta perjuangan tokoh-tokoh yang terlibat sudah
tentulah generasi hari ini tidak dapat mengecapi erti nikmat kemerdekaan.

Semangat patriotisme secara tidak langsung dapat disemai dan dipupuk melalui
pengkisahan sejarah tokoh-tokoh patriot dan dapat dijadikan iktibar kepada
generasi hari ini. Seharusnya kita berbangga dengan sumbangan para sejarawan
dan sarjana tempatan yang telah banyak menulis perjuangan tokoh-tokoh tempatan
walaupun pada awalnya dianggap oleh para orientalis Barat mereka ini

diklasifikasikan sebagai penderhaka. Perkembangan penulisan sejarah bercorak


tempatan telah membela nasib dan meletakkan jasa para pejuang yang terdahulu
pada tempat yang sesuai. Sumbangan dan peranan para penulis tempatan ini amat
besar ertinya kerana telah berani memperbetulkan fakta bias yang dihasilkan oleh
sejarawan atau penulis Barat[37].

b.

Bersemangat Setia Negara

Kesetiaan terhadap negara merupakan satu ciri penting di dalam memastikan


kelahiran masyarakat Malaysia yang berjiwa patriotik. Setiap rakyat Malaysia harus
memiliki sifat setia atau taat kepada raja dan negara. Selepas mencapai
kemerdekaan, institusi pemerintahan beraja telah diteruskan tetapi beberapa
pindaan telah dibuat supaya dapat disesuaikan dengan konsep demokrasi
berparlimen daan kemerdekaan.[38] Raja berpelembagaan tidak seperti raja
berkuasa mutlak iaitu memerintah dengan kuasa terbatas. Peranan dan fungsinya,
sama ada sebagai ketua negara atau ketua negeri ditetapkan secara bertulis oleh
perlembagaan. Meskipun kedudukan institusi raja pada hari ini berbeza daripada
zaman kegemilangannya namun langkah menjaga dan memelihara daripada
lenyapnya institusi yang agung ini harus dipuji. Yang Dipertuan Agung masih kekal
kedudukannya sebagai ketua negara dan perlu dihormati sebagai simbol perpaduan
rakyat Malaysia. Tidak dapat dinafikan bahawa institusi raja amatlah penting
terutamanya untuk maksud perpaduan negara, darjat negara sebagai sebuah
negara merdeka dengan mempunyai sistem raja berpelembagaan. Demi
kepentingan institusi raja, adalah menjadi tanggungjawab rakyat untuk mendokong
Perlembagaan Negara dan mendokong institusi raja mengikut lunas undangundang. Sekalipun raja-raja Melayu selepas merdeka tidak lagi mempunyai kuasa
mutlak dan mereka hanya menjadi raja berperlembagaan tetapi mereka tetap diberi
kedudukan yang cukup istimewa. Fasal (1) Perkara 32 memperuntukkan bahawa
Yang Dipertuan Agong tidak boleh didakwa dalam apa-apa juga perbicaraan di
mana-mana mahkamah. Imuniti di sisi undang-undang ini juga diberikan kepada
sultan. Namun ini tidak bermakna bahawa raja bebas melakukan sesuka hati[39].

Bersemangat setia kepada negara bukanlah hanya mentaati sultan, raja atau
pemimpin sebaliknya setiap warganegara Malaysia haruslah mempunyai satu
semangat sedia mempertahankan negara daripada musuh atau anasir-anasir yang
boleh mengugat kestabilan politik dan perpaduan masyarakatnya. Saranan Tun Dr.
Mahathir agar rakyat bukan bumiputera turut serta dalam pasukan keselamatan
adalah satu langkah bijak bagi meningkatkan semangat patriotisme di kalangan
rakyat di negara ini kerana sanggup berjuang mempertahankan negara daripada

ancaman musuh.[40] Ini dapat menjelaskan lagi tugas dan peranan sebagai rakyat
Malaysia seperti slogan Negara Kita adalah Tanggungjawab Kita.

c.

Bersemangat Kekitaan

Semanagat kekitaan bererti setiap warganegara Malaysia seharusnya memiliki


semangat bekerjasama, semangat bantu-membantu dalam masyarakat tanpa
mengira bangsa agama mahupun keturunan atau semangat persaudaraan.
Bersemangat kekitaan merupakan satu ciri yang ada pada dasarnya nampak mudah
untuk dibentuk tetapi pada hakikatnya ciri inilah yang paling sukar dibentuk. Ini
kerana ia melibatkan hubungan pelbagai hala di antara masyarakat. Jika sebelum ini
ciri-ciri patriotisme digambarkan melalui hubungan individu dengan negara dan
juga pemimpin tetapi semangat kekitaan melibatkan hubungan sesama
masyarakat. Bagi menjamin stabiliti sesebuah negara keamanan dan kemajuan
negara merupakan perkara yang penting. Lantaran itu, kehidupan masyarakat yang
bersatu padu, harmoni, bertolak ansur, bekerjasama, bersefahaman dan
bermuafakat merupakan asas kepada semangat kekitaan. Dasar kebudayaan
Kebangsaan, Kempen Kejiranan dan Masyarakat Penyayang merupakan usahausaha murni yang perlu diberi perhatian dalam membentuk sebuah masyarakat
yang unggul.

d.

Berdisiplin

Rakyat yang mempunyai semangat patriotisme mestilah seorang yang berdisiplin.


Ini membawa maksud setiap warganegara Malaysia perlu patuh dan taat kepada
peraturan, undang-undang mahupun perlembagaan negara. Seseorang
warganegara yang bertanggungjawab sudah pastinya akan sentiasa patuh dan
mengikut undang-undang dan perlembagaan negara. Kesediaan rakyat Malaysia
mematuhi undang-undang adalah amat penting kerana tanpa undang-undang
negara akan berada di dalam keadaan kacau-bilau. Keadaan negara yang tidak
stabil akan menyukarkan proses pembentukan perpaduan di kalangan rakyat, dan
ini boleh menjejaskan perancangan kerajaan untuk mencapai tahap negara maju
menjelang tahun 2020. Lantas semangat patriotisme yang diimpikan tidak akan
tercapai kerana perpaduan rakyat tunjang lahirnya semangat cintakan negara.
Dalam konteks membentuk perpaduan di kalangan rakyat perlu ada sifat-sifat
seperti berkelakuan sopan, bertatasusila dan berhemah tinggi. Kepelbagaian kaum

di Malaysia menuntut kesemua rakyatnya memahami tuntutan setiap kaum dari


aspek agama, budaya dan bahasa yang berbeza melalui perlakuan tingkahlaku dan
juga pertuturan. Menyedari kepada wujudnya perbezaan ini maka setiap
warganegara perlulah patuh kepada undang-undang dan perlembagaan dan setiap
warganegara tidak akan menerima keistimewaan dari segi perundangan sekiranya
melakukan kesalahan.

e.

Berusaha dan Produktif

Wawasan 2020 berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah neagra


perindustrian yang setanding dengan negara maju di dunia. Untuk mencapai ke
tahap negara maju menjelang tahun 2020 rakyat Malaysia perlulah rajin berusaha,
mengamalkan sikap suka berdikari, berdaya saing, tabah, proaktif dan produktif.
Untuk mempercepatkan proses ini, Malaysia memerlukan warganegara yang
berilmu pengetahuan, mempunyai kemahiran, bermaruah, sanggup berkorban,
melakukan anjakan paradigama terhadap sikap dan nilai daripada hanya
mengharapkan bantuan atau sokongan daripada pihak kerajaan. Sebaliknya
warganegara Malaysia perlu mengamalkan sikap-sikap positif dan inovatif dalam
melahirkan sesuatu yang baru melalui proses R&D dan penggunaan kemudahan ICT
yang canggih. Justeru itu, sekiranya wujud perasaaan patriotisme yang jitu di
kalangan rakyat Malaysia memudahkan pihak kerajaan mengatur rancangan ke
arah membangunkan dan memajukan negara seiring dengan pencapaian negaranegara maju.

Tun Dr. Mahathir sering mengingatkan rakyat Malaysia agar sentiasa bekerja kuat
demi untuk memartabatkan maruah negara:

Mereka dari negara maju sudah mempengaruhi orang Malaysia dengan berbagai
pendapat yang bertujuan supaya kita tidak bekerja dan oleh itu tidak dapat
bertanding dengan mereka. Bilakah kita akan sedar bahawa kita telah dipermainkan
oleh mereka, bahawa walaupun negara telah dibebaskan, fikiran kita masih dijajah.
Bilakah kita akan sedar bahawa masa depan kita bergantung kepada kesanggupan
kita bekerja dan bekerja dengan rajin, buka sebagai hamba kepada upahan tetapi
kerana tanggungjawab dan kesayangan kepada kebebasan dan maruah kita.[41]

f.

Berilmu / Peka terhadap isu-isu dalam dan luar negeri

Untuk menjadi satu bangsa yang kuat dan disegani, masyarakat Malaysia
hendaklah memiliki ilmu dalam segala bidang. Malah faktor penentu kejayaan kita
ke arah mencapai matlamat wawasan 2020 ialah penguasaan ilmu. Justeru sebagai
seorang warganegara yang patriotik seharusnya kita menjadi seorang yang berilmu
pengetahuan, pekerja yang berilmu dan kewujudan budaya ilmu dalam masyarakat.
Peranan yang dimainkan oleh masyarakat Malaysia bukan hanya sebagai penerima
atau pengguna ilmu dari luar tetapi dalam waktu yang sama juga menjadi
penyumbang kepada perbendaharaan ilmu dunia. Perkara ini ditegaskan oleh Tun
Dr. Mahathir dalam ucapan beliau:

Justeru itu, penguasaan ilmu sains dan teknologi dan pemerolehan hasil daripada
ilmu-ilmu ini juga adalah jihad, bahkan lebih baik daripada mereka yang secara
membuta tuli menyerang musuh dan mengundang malapetaka kepada umat Islam
yang lain.[42]

Menuntut ilmu bagi tujuan mengukuhkan ummah adalah suatu jihad. Tanpa ilmu
pengetahuan, masyarakat Malaysia tidak akan dapat mempertahankan diri dari
pencerobohan musuh. Tanpa ilmu pengetahuan, pemimpin negara tidak akan dapat
menguruskan negara dengan baik. Malah agama Islam memandang tinggi
kedudukan orang yang berilmu seperti dalam surah al-Mujahadah ayat 11: Allah
akan mengangkat darjat orang yang beriman dan diberikan ilmu di kalangan
kamu[43]

Kepentingan untuk menambah atau meningkatkan ilmu pengetahuan kepada


rakyat Malaysia khususnya orang Melayu pernah ditegaskan oleh Tun Dr. Mahathir
Mohamad. Di mana berliau berkata Selagi kita jahil dalam bidang-bidang
pengetahuan dan kecekapan yang terdapat di zaman ini, selama itulah
kemerdekaan kita mudah digugat dan kita terpaksa tunduk kepada kuasa asing.

Selari dengan semangat sayang dan cintakan negara setiap rakyat Malaysia
mestilah mempunyai rasa ingin tahu terhadap isu-isu yang berlaku di dalam atau di
luar negeri. Tahap kepekaan yang tinggi sudah tentu dapat menjadikan masyarakat
Malaysia sebagai masyarakat yang berilmu pengetahuan dan sentiasa mengambil
iktibar daripada peristiwa-peristiwa yang berlaku sama ada di dalam atau di luar
negara. Sebagai contoh kekejaman dan serangan tentera Israel ke atas Lubnan
yang telah mengorban ratusan nyawa yang tidak berdosa telah menuntut negaranegara Islam di seluruh dunia mengutuk kekejaman tentera zionis itu. Perasaan
simpati dan sedih terhadap mangsa peperangan yang entah bila selesainya itu
dapat dijadikan iktibar bahawa setiap warganegara Malaysia tanpa mengira kaum,
bahasa dan warna kulit mesti mempunyai kewajipan untuk mempertahankan
negara daripada ancaman pihak yang tidak bertangungjawab.

Anda mungkin juga menyukai