Anda di halaman 1dari 10

BAB I

PENGENALAN

1.1

PENDAHULUAN

BAB I akan menghuraikan tentang latar belakang dan permasalahan kajian yang telah
dijalankan berkaitan penggunaan kaedah bacaan berulang dalam meningkatkan kelancaran
dan kefahaman membaca dalam kalangan murid-murid pendidikan khas. Objektif kajian,
persoalan kajian, kepentingan kajian dan batasan kajian turut dihuraikan dalam bab ini diikuti
perbincangan tentang elemen-elemen yang membentuk kerangka konseptual kajian.
Seterusnya, definisi istilah-istilah yang digunakan dalam kajian ini dihuraikan dengan jelas di
bahagian akhir bab ini sebagai panduan untuk mendapatkan kefahaman berkaitan kajian ini.

1.2

LATAR BELAKANG KAJIAN

Salah satu sumber untuk mendapatkan ilmu pengetahuan adalah melalui membaca. Menurut
Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), membaca bermaksud memerhatikan isi sesuatu yang
tertulis atau tercetak dengan teliti dan memahamkan makna kandungannya, mengucapkan apa
yang tertulis atau tercetak pada buku, papan tanda secara lisan dengan kuat, dan
memahamkan sesuatu makna. Melalui pembacaan, seseorang akan mendapat maklumat yang
boleh digunakan dalam kehidupan mereka (Tamam Timbang et al. 2010). Yahya (2008) pula
menyatakan bahawa tujuan membaca adalah untuk memahami teks yang dibaca dan
kandungan teks tersebut memberi makna kepada pembaca.
Khairuddin Mohamad (2011) menyatakan keberkesanan sistem pendidikan negara
berkait dengan kemampuan murid dalam membaca dan memahami sesuatu bahan. Menurut
Abdul Rasid dan Zulkafli (2008), masalah menguasai kemahiran membaca dan menulis

menjadikan murid lemah dan tidak berminat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Murid
yang gagal untuk menguasai kemahiran membaca akan menyebabkan keciciran dalam
pelajaran. Laporan berita bertarikh 23 September 2006 mengenai 163,835 orang murid tahun
satu yang menghadapi masalah membaca dan menulis menunjukkan situasi yang
membimbangkan. Melalui keputusan ujian saringan, hanya 57.5% sahaja yang berjaya
melepasi ujian tersebut.
Dalam

konteks

bacaan,

kegagalan

memulihkan

penguasaan

bacaan

akan

menimbulkan banyak masalah dan implikasi kepada individu yang terlibat serta kepada
program pemulihan sendiri. Pada pihak murid, kegagalan menguasai bacaan boleh
menjejaskan pembelajaran dan kemajuan dalam prestasi seharian dan apa mata pelajaran
sekali pun, termasuk ujian dan peperiksaan (Abdul Rasid 2011; Scahill, 2010; Slavin,
Cheung, Golf, & Lake, 2008), menghalang pembelajaran dan penguasaan ilmu di tahap yang
lebih tinggi (Slavin et al., 2008; Merold, 2008), di samping boleh membantut dan membunuh
minat serta keinginan untuk terus belajar dan mencari ilmu pengetahuan (Abdul Rasid, 2011;
Robiah, 1992).
Kegagalan menguasai bacaan juga khususnya pada Tahap 1 sekolah rendah amat
merugikan diri murid yang berkaitan kerana kajian-kajian membuktikan manusia mempunyai
keupayaan

untuk

berbahasa

secara

semulajadi

(Chomsky,1965;

Lenneberg,1967;

McNeil,1970; Piaget, 1971) atau pun dengan mempelajarinya (Braine, 1971; Jenkins &
Palermo,1964; Skinner, 1957) dan manusia juga mudah mempelajari bahasa pada 10 tahun
usia pertama mereka (Lenneberg, 1967; Martin, 1990; Tansley, 1967).
Antara permasalahan membaca yang dikenalpasti adalah seperti keliru mengecam
huruf besar dan huruf kecil semasa membaca, tidak dapat membunyikan perkataan dengan
betul dan tepat, tidak dapat menyebut perkataan yang dieja serta sering meninggalkan
perkataan yang tidak ketahui makna atau gagal membunyikannya. Ini menimbulkan pola
bacaan yang merangkak-rangkak dan pastinya menjadikan murid-murid tidak memahami
maklumat dan makna bahan bacaan tersebut. Berbeza dengan murid yang berjaya menguasai
kemahiran membaca ayat-ayat mudah dengan lancar akan merasa gembira dan berminat
untuk mengikuti pelajaran.

Dalam kemahiran membaca, tujuan membaca adalah untuk memahami teks yang
dibaca. Justeru proses pemahaman turut menjadi matlamat utama dalam membaca agar
pembaca dapat memahami kandungan teks yang dibaca. Aspek kelancaran dalam membaca
perlu dititikberatkan oleh guru semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Ada sesetengah
guru yang lebih mementingkan kebolehan menjawab soalan kefahaman dalam petikan
dengan betul. Sekiranya murid lancar dalam membaca, mereka dapat melakukan pelbagai
tugasan pada masa yang sama seperti kefahaman dan mengecam perkataan.

1.3

PERNYATAAN MASALAH

Masalah penguasaan kemahiran membaca dalam kalangan murid merupakan satu isu yang
perlu diberi perhatian khususnya oleh para guru dan ibu bapa. Laporan berita yang diselitkan
dalam akhbar Berita Harian (2009) menunjukkan kira-kira 85000 murid tahun satu masih
belum mampu membaca dan menulis.. Selain itu juga, setiap tahun masih ada murid yang
gagal menguasai kemahiran membaca walaupun telah sampai ke Tahun 6. Hasil dapatan
dalam Program for International Student Assessment (PISA) pada tahun 2009 menunjukkan
skor min literasi bacaan dalam kalangan murid berusia 14 tahun di Malaysia adalah di bawah
pencapaian min semua negara Organisation for Economic Co-operation and Development
(OECD, 1999). Pada tahun 2008, Dapatan Bidang Keberhasilan Utama Nasional (National
Key Result Area/NKRA) masih terdapat lebih kurang 13.0% (54 000) murid Tahun 1 tidak
menguasai bacaan dan penulisan Lebih membimbangkan, pendedahan yang dibuat oleh
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam
Utusan Malaysia bertarikh 15 Februari 2010, menunjukkan 60% murid tahap satu di seluruh
negara masih belum menguasai kemahiran asas 3M. Perkara ini dianggap amat serius kerana
apabila melangkah ke Tahap 2, akan masih terdapat murid-murid yang tidak menguasai 3M
(KPM, 2012).
Satu langkah yang efisien perlu diambil bagi mengatasi masalah ini. Rancangan
Pembangunan Pendidikan 2001-2010 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut
menekankan supaya penguasaan membaca dan pemantapan program pemulihan terus dibuat
di sepanjang tempoh dekad berkenaan (KPM, 2000). Fokus membasmi masalah membaca,
selain menulis dan mengira ada termaktub dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan

(PIPP) 20062010 (KPM, 2005) melalui Teras Ketiga (Memperkasa Sekolah Kebangsaan)
dan Teras Keempat (Merapatkan Jurang Pendidikan).
Menurut Yahya Othman et al. (2012), murid dapat membaca dengan berkesan apabila
menguasai kemahiran membaca di sekolah. Namun demikian, kebanyakan guru lebih
mementingkan murid menguasai kemahiran membaca seperti mengenal abjad, membunyikan
suku kata, membaca perkataan dan ayat mudah. Aspek kelancaran membaca kurang diambil
perhatian. Ini kerana mereka beranggapan murid akan membaca dengan lancar apabila
menguasai kemahiran membaca. Masih ramai murid yang menguasai kemahiran membaca
tetapi tidak dapat membaca dengan lancar. Terdapat juga murid yang perlu mengeja terelbih
dahulu untuk membaca perkataan dan ayat mudah. Hal ini menyebabkan murid menjadi
kurang minat untuk meneruskan pembacaan kerana tidak dapat membaca dengan lancar dan
seterusnya tidak dapat memahami apa yang dibaca.
Menurut Rasisnski (2006), kefahaman merupakan matlamat yang penting semasa
membaca. Pembaca berkemungkinan kurang memperolehi makna daripada teks apabila salah
satu komponen dalam kelancaran membaca hilang. Oleh yang demikian, guru perlu
menggunakan kaedah pengajaran yang sesuai agar proses penguasaan kemahiran tersebut
dapat berlaku dengan mudah dan berkesan. Antara langkah untuk meningkatkan kelancaran
dan kefahaman ketika membaca dalam kalangan murid pemulihan khas adalah menggunakan
kaedah bacaan berulang. Kajian yang dijalankan oleh Musti-Roa, Hawkins dan Barkley
(2009) menunjukkan kaedah bacaan berulang memerlukan murid untuk membaca berulang
kali teks atau petikan dalam tempoh masa yang tertentu atau sehingga murid tersebut
menguasai dan lancar membaca. Kajian Rasinski (1990) membuktikan keberkesanan bacaan
berulang dalam meningkatkan kelancaran dan kefahaman murid dalam membaca. Justeru,
amatlah sesuai untuk menjalankan bacaan berulang kepada murid-murid yang mengalami
kesukaran untuk membaca dengan lancar kerana kaedah ini memberi peluang kepada murid
untuk berlatih membaca teks secara beulang-ulang sehingga lancar dengan disokong
berdasarkan kajian-kajian terdahulu.

1.4

TUJUAN KAJIAN

Kajian ini dijalankan bertujuan untuk mendapatkan maklumat dan melihat keberkesanan
kaedah bacaan berulang dalam meningkatkan kelancaran dan kefahaman membaca muridmurid pendidikan khas. Secara khususnya, objektif kajian ini ialah :
1. Mengenalpasti tahap kelancaran dan kefahaman murid-murid pendidikan khas
2. Mengenalpasti sama ada kaedah bacaan berulang dapat membantu meningkatkan
kefahaman membaca murid-murid pendidikan khas
3. Mengenalpasti kesan penggunaan kaedah bacaan berulang dalam meningkatkan
kelancaran membaca murid-murid pendidikan khas

1.5

PERSOALAN KAJIAN

Kajian ini dijalankan merujuk kepada persoalan-persoalan berikut :


1. Sejauh manakah penguasaan tahap kelancaran dan kefahaman murid-murid
pendidikan khas?
2. Adakah kaedah bacaan berulang dapat meningkatkan penguasaan tahap kelancaran
murid-murid pendidikan khas?
3. Adakah kaedah bacaan berulang dapat meningkatkan kefahaman membaca muridmurid pendidikan khas?

1.6

KERANGKA KONSEPTUAL KAJIAN

Kajian ini menggunakan kerangka konseptual yang diadaptasikan daripada Teori Pelaziman
Operan yang dipelopori oleh Edward Thondike dan B.F Skinner. Teori behavioris dapat
dikaitkan dengan kaedah bacaan berulang kerana dalam teori ini, ia bersandarkan kepada
prinsip yang menekankan latihan yang berulang. Thondike yang terkenal dengan teori Law
of Effect menyatakan jika tindak balas diikuti dengn keadaan yang memuaskan, maka
tindakan tersebut akan diulang (Azizah, 2007). Hal ini turut disokong oleh kajian Rohani,
Nani dan Sharani (2007) yang menjelaskan kanak-kanak akan belajar selepas didedahkan
secara berulang-ulang kepada sesuatu rangsangan. Dalam konteks bacaan ini, murid
dikehendaki membaca secara berulang-ulang teks atau petikan yang diberikan oleh guru. Hal
ini akan membantu murid untuk mengecam perkataan dan seterusnya dapat mengelakkan

bacaan terhenti ketika membaca. Hasilnya, kelancaran murid membaca akan meningkat kesan
daripada latihan bacaan yang berulang-ulang. Guru yang berinisiatif akan memberikan
ganjaran supaya boleh meningkatkan motivasi murid untuk terus membaca. Ini kerana murid
akan mendapat peneguhan positif sekiranya mereka dapat mengecam perkataan serta
mengingati perkataan yang terdapat di dalam petikan dan seterusnya dapat membaca dengan
lancar.

Teori pelaziman operan


(Teori Pembelajaran Cuba Jaya Thondike)

Hukum kesediaan :
1. Kesediaan kognitif
2. Kesediaan afektif

Hukum Latihan :
Latihan membaca secara berulang melalui aktiviti :
1. Bacaan kuat
2. Bacaan bergilir-gilir
3. Bacaan berpasangan

Hukum Kesan :
Peningkatan dari segi
1. Kelancaran membaca
2. Kefahaman

Rajah 1 Kerangka konseptual kajian

1.7

KEPENTINGAN KAJIAN

Antara fokus polisi dan program utama dalam pendidikan di Malaysia adalah masalah
pembelajaran iaitu berkaitan dengan kegagalan dalam menguasai kemahiran membaca di
peringkat sekolah rendah (BPPDP, 2002). Hal ini disebabkan kadar pembelajaran dan kadar
penyertaan murid dalam meneruskan pengajian di peringkat sekolah rendah dipengaruhi oleh
faktor pencapaian dalam kemahiran asas 3M. Selaras dengan usaha ke arah memastikan
universalization of primary education, adalah penting bagi semua pihak yang berkenaan
untuk menangani isu kegagalan menguasai kemahiran 3M khususnya kemahiran membaca.
Pada masa yang sama, usaha ini adalah untuk mendokong pendemokrasian pendidikan di
mana pendidikan universal pada tahap rendah merupakan salah satu komponen utama dalam
program Pendidikan untuk Semua.
Oleh yang demikian, melalui kajian ini diharapkan dapat mengenalpasti masalah
dalam kelancaran membaca dan seterusnya dapat merangka strategi pemulihan yang
bersesuaian. Guru-guru pendidikan khas khususnya dapat memanfaatkan maklumat yang
diperolehi untuk diaplikasikan di dalam pengajaran bahasa. Hadil dapatan ini dapat memberi
panduan dalam mengenalpasti masalah kelancaran murid-murid serta kaedah yang sesuai
bagi mengatasi masalah tersebut.
Kajian ini juga memberi pendedahan dan membuka mata kepada pihak pentadbir
mengenai masalah ini yang wujud dalam kalangan murid. Pihak pentadbir dapat mengetahui
tahap penguasaan kemahiran membaca murid-murid. Bertitik tolak dari itu, mereka dapat
merangka program yang bersesuaian untuk mengatasi masalah tersebut. Dengan itu, ia dapat
mengurangkan bilangan murid yang gagal menguasai kemahiran membaca dengan baik dan
seterusnya dapat meningkatkan pencapaian sekolah.
Diharapkan kajian ini dapat menyumbang ke arah peningkatan penguasaan Bahasa
Melayu terutamanya dalalm kemahiran membaca. Penambahbaikan dan pemantapan terhadap
strategi pengajaran kemahiran membaca adalah satu usaha murni dan wajar diteruskan.
Penambahbaikan dan pemantapan melalui usaha kajian yang mendalam, lengkap dan
terperinci akan dapat menjamin keberkesanan matlamat yang telah ditetapkan. Dengan
demikian peningkatan kemahiran membaca akan berlaku.

1.8

BATASAN KAJIAN

Beberapa batasan kajian telah ditetapkan dalam kajian ini untuk mendapatkan maklumat,
antaranya ialah :

i.

Kajian ini tertumpu di kelas program pendidikan khas integrasi (PPKI) sekolah
rendah di daerah Dungun, Terengganu

ii.

Sampel kajian melibatkan 8 orang murid pendidikan khas

iii.

Skop kajian memfokuskan kepada tahap penguasaan kemahiran membaca iaitu


membabitkan aspek kelancaran dan kefahaman

1.9

DEFINISI ISTILAH

1.9.1

Kemahiran membaca

Menurut Pusat Perkembangan Kurikulum (1982), membaca adalah salah satu kemahiran asas
yang perlu dipelajari dan dikuasai oleh setiap murid sekolah rendah, di samping menulis dan
mengira. Kemahiran membaca didefinisikan sebagai kebolehan menamakan huruf dan
membunyikan vokal, membaca dan memahami perkataan, ayat dan perenggan (JPK, 1999).
Pada Tahap 1, KBSR menekankan penguasaan terhadap bacaan mekanis, iaitu sebutan yang
betul mengikut sebutan baku sesuatu bahasa, tanda baca dan intonasi mengikut teks yang
dibaca dan pemahaman tentang apa yang dibaca (PPK, 1982).

1.9.2

Kelancaran membaca

Kelancaran membaca ditentukan oleh kebolehan memahami isi kandungan yang dibaca.
Pembaca dapat menghubungkan tulisan dengan maknanya. Dapat disimpulkan kelancaran
membaca merupakan keadaan di mana pembaca boleh membaca secara spontan dan dapat
memahami apa yang dibacanya.

1.93

Murid Pendidikan Khas

Menurut Samuel A. Kirk (1962) dalam Jamila (2005) masalah pembelajaran merujuk kepada
kerencatan, kerencaman (confesion) atau perkembangan yang lewat di dalam satu atau lebih
proses yang berkaitan dengan pertuturan, bahasa, bacaan, ejaan, penulisan atau pengiraan
yang mungkin hasil daripada ketidakfungsian saraf dan emosi atau gangguan tingkah laku
dan bukannya dari faktor terencat akal, kekurangan deria, budaya atau faktor arahan. Muridmurid berkeperluan khas ini perlu diberi pendidikan seperti mana kanak-kanak lain untuk
memberi peluang kepada mereka memperolehi ilmu pengetahuan. Kanak-kanak ini boleh
dididik jika diberi peluang berkembang mengikut keupayaan masing-masing.

1.9.4

Teori Pelaziman Operan Thondike

Teori Edward L. Thorndike (1874-1949) dikaitkan dengan teori pelaziman operan. Thorndike
terkenal dengan teori cuba jaya dan tiga hukumnya iaitu hukum kesediaan, hukum latihan dan
hukum kesan. Thorndike amat menyarankan bahawa ketiga-tiga hukum tersebut digunakan
dalam mengawal pembelajaran manusia kerana beliau percaya jika hukum-hukum tersebut
dipatuhi, maka pembelajaran akan menjadi mudah dan berkesan.

Anda mungkin juga menyukai