Anda di halaman 1dari 3

Sesi Latihan Pengajaran Pemulihan Pelbagai Senario

Perancangan Pengajaran Pemulihan Dalam Kelas Biasa


Guru perlu membantu murid-murid yang tidak menguasai kemahiran bahasa yang telah
diajarkan di dalam setiap sesi pengajaran dan pembelajaran di kelas supaya murid-murid
tersebut dapat menguasai kemahiran yang diajarkan seperti rakan-rakannya yang lain. Guru
perlu memastikan semua murid mencapai objektif pembelajaran yang telah ditetapkan oleh
guru dan tiada murid yang ketinggalan atau tercicir dalam menguasai kemahiran bahasa yang
telah diajarkan. Selepas mengesan murid-murid yang tidak menguasai kemahiran bahasa yang
diajarkan melalui penilaian formatif, guru perlu menjalankan aktiviti pemulihan kepada murid
yang berkenaan secara serta merta. Guru perlu menjalankan pengajaran kepada murid yang
berkenaan dengan teknik yang khusus dan menggunakan bahan bantu belajar yang sesuai
dengan keupayaan murid yang tidak atau kurang berjaya menguasai kemahiran bahasa yang
diajarkan. Dengan tindakan segera ini, guru dapat membantu murid yang bermasalah dalam
sesuatu kemahiran bahasa untuk menguasai hasil pembelajaran tersebut dengan lebih baik,
jelas, dan betul. Dengan ini murid tersebut akan dibantu untuk menguasai kemahiran bahasa
yang diajar secara langsung dan segera.Jika masalah pembelajaran murid didapati agak serius,
guru boleh membuat pengajaran secara individu selepas kelas dijalankan atau pada suatu
masa yang ditetapkan supaya lebih banyak masa dapat digunakan untuk membantu murid yang
bermasalah dalam kemahiran bahasa yang diajar.
Murid-murid yang bermasalah dalam menguasai kemahiran lisan, bacaan dan
kefahaman, atau menulis, perlu diberikan pengajaran dan pembelajaran berbentuk konkrit dan
penggunaan dalam situasi sebenar. Aktiviti pemulihan akan membantu murid-murid
mempelajari kemahiran bahasa dengan cara yang lebih mudah dan secara khusus daripada
guru mereka. Guru juga dapat meningkatkan keyakinan murid-murid tersebut kerana mereka
dapat menguasai kemahiran bahasa yang dipelajari dalam kelas sama seperti yang dikuasai
oleh rakan-rakan mereka dalam kelas. Dengan ini mereka akan lebih bermotivasi dan aktif
dalam pembelajaran untuk seiring dengan rakan-rakan mereka yang lain.
Proses pengajaran pemulihan dalam kelas dijalankan mengikut langkah-langkah yang
tertentu. Setiap langkah menyokong proses pemulihan dijalankan dengan teratur. Menurut
Jamilah (1999), pemulihan boleh dijalankan dengan menggunakan kaedah JARLIN iaitu Jejak,
Rancang, Laksana, Nilai.

Guru perlu mengenal pasti masalah murid dalam kemahiran bahasa yang dipelajari dan
mengesan punca masalah tersebut. Proses JEJAK ini sangat penting supaya guru jelas aktiviti
tambahan yang perlu dijalankan untuk membantu murid mencapai penguasaan pembelajaran
bahasa dengan jelas, betul dan mudah. Selepas mengetahui aspek masalah dan punca
masalah, guru perlu RANCANG pengajaran pemulihan dengan membina aktiviti pengajaran
pemulihan yang sesuai untuk murid-murid berkenaan dari segi objektif, kemahiran, persediaan
dan pemilihan bahan serta proses menilai. Setelah dibuat perancangan, guru akan LAKSANA
aktiviti tambahan secara khusus itu kepada murid-murid yang berkenaan mengikut proses
pengajaran dan pembelajaran di kelas. Setelah dilaksanakan pengajaran aspek kemahiran
bahasa tersebut, guru perlu membuat penilaian hasil pengajarannya atau NILAI untuk
mengetahui pencapaian objektif pengajaran dan pembelajaran murid dalam aktiviti pemulihan.
Pemulihan dalam kelas biasa dijalankan apabila guru dapat mengesan murid-murid
yang tertentu tidak dapat menguasai hasil pembelajaran dengan baik. Selepas guru membuat
penilaian formatif dalam pengajaran dan pembelajaran kemahiran bahasa, guru dapat
mengesan murid yang tidak menguasai kemahiran yang diajarkan dengan baik. guru
menyediakan aktiviti tambahan yang khusus bagi murid-murid yang tidak mencapai objektif
seperti yang ditetapkan. Kebiasaannya, guru sudah dapat mengenali murid-murid yang lambat
dan bermasalah menguasai kemahiran bahasa dalam pengajaran dan pembelajaran di
kelasnya. Oleh itu, guru dapat menyediakan aktiviti tambahan dan bahan bantuan belajar yang
lebih mudah dan berkesan, untuk membantu murid menguasai sesuatu kemahiran bahasa
tersebut. Aktiviti tambahan untuk murid bermasalah dalam menguasai sesuatu kemahiran
dalam pengajaran dan pembelajaran dijalankan semasa murid pencapaian normal membuat
latihan aktiviti pembelajaran. Ini bermakna pemulihan dijalankan secara terus dan serta merta
semasa pengajaran dan pembelajaran. Pemulihan boleh dijalankan secara individu,
berpasangan atau kumpulan kecil.
Latihan Pengajaran Pemulihan Kemahiran Lisan
Apabila guru menjalankan aktiviti pembentukan sesuatu kemahiran lisan semasa sesi
pengajaran dan pembelajaran di kelas, guru perlu mengesan dengan jelas dan tepat muridmurid yang berjaya menguasai dan yang tidak atau kurang menguasai kemahiran tersebut.
Guru perlu membuat penilaian yang tepat mengikut kriteria dan ciri-ciri yang betul bagi setiap
aktiviti lisan yang diajarkan apabila murid membuat persembahan. Melalui maklumat tersebut,
guru membuat pemulihan kepada murid yang kurang atau tidak menguasai kemahiran lisan

tersebut. Contohnya murid tidak boleh bercerita dengan lancar dan tersusun. Guru
menyediakan gambar bersiri dan meminta murid bercerita berdasarkan gambar tersebut. Cara
lain, guru boleh menggunakan rajah atau carta alir, dan kad perkataan dan meminta murid
bercerita berdasarkan kad perkataan dan carta alir cerita.
Latihan Pengajaran Pemulihan Kemahiran Membaca
Penguasaan kemahiran membaca adalah sangat penting bagi setiap murid. Murid perlu
membaca dan memahami bahan yang dibaca dengan jelas dan betul. Apabila guru
menjalankan pengajaran membaca secara mekanis, guru perlu memastikan murid yang dapat
membaca dengan lancar, sebutan yang betul, intonasi yang sesuai dan mengikut tanda baca
yang betul. Bagi murid yang tidak menguasai bacaan mekanis yang baik, guru hendaklah
menjalankan pemulihan kepada murid tersebut dengan mengadakan aktiviti khusus untuk murid
tersebut seperti membaca perkataan-perkataan atau beberapa ayat yang disediakan oleh guru.
Pengajaran ini boleh dijalankan secara individu atau berpasangan.
Pemulihan bacaan dan kefahaman boleh dijalankan oleh guru di kelas kepada murid
yang bermasalah untuk memahami maklumat yang dibaca. Guru boleh menggunakan soalansoalan yang memandu murid untuk mengesan maklumat penting dalam sesuatu perenggan.
Dengan aktiviti berfokus seperti ini, murid dibimbing cara mengesan isi penting atau maklumat
yang betul tentang petikan.Guru juga boleh membantu murid mengesan maklumat dengan cara
membantu murid mengesan ayat topik dalam perenggan.
Latihan Pengajaran Pemulihan Kemahiran Menulis
Kemahiran menulis merupakan kemahiran yang rumit untuk dikuasai oleh sebahagian
murid. Selain perlu mengingati bentuk huruf yang betul, cara menulis yang betul, tulisan yang
kemas dan tulisan yang seragam atau bentuk sekata, murid juga bermasalah untuk melahirkan
idea dan menulis karangan mengikut genre penulisan yang baik. Guru perlu memastikan
penguasaan kemahiran tulisan mekanis murid adalah baik terlebih dahulu supaya murid tidak
bermasalah untuk menguasai penulisan produktif. Contohnya, guru boleh membetulkan tulisan
mekanis yang tidak betul dengan meminta murid menulis menggunakan buku garis tiga. Bagi
murid yang bermasalah dalam menulis perkataan dengan betul, guru boleh menjalankan aktiviti
imlak atau melengkapkan ayat dengan perkataan yang betul.

Anda mungkin juga menyukai