Anda di halaman 1dari 1

HARGA PETROL

Kenaikan harga petrol telah membebankan kehidupan rakyat.


Berikan cara-cara yang boleh dilakukan oleh kerajaan untuk mengurangkan bebanan
rakyat ini.

Kenaikan harga petrol bermaksud harga barang mentah ini akan dinaikkan lebih kerap
apabila harga pasaran dunia melonjak naik. Perkara ini menyebabkan golongan rakyat
berpendapatan rendah dan sederhana akan menderita kerana kos hidup melambung
tinggi. Lantaran itu, pihak berkuasa boleh melakukan pelbagai tindakan untuk
menjamin kehidupan rakyat lebih selesa.

Tindakan yang boleh dilakukan oleh kerajaan untuk membantu meringankan beban
kehidupan rakyat dalam isu ini ialah kerajaan menggalakkan rakyat berkongsi kereta.
Amalan ini bukan sahaja mengurangkan kos petrol individu tetapi turut membantu
mengekalkan keindahan alam sekitar daripada tercemar. Ringkasnya, amalan yang
mudah seperti berkongsi kereta akan membantu pengurusan perbelanjaan rakyat
menjadi lebih baik lagi.

Selain itu, kerajaan boleh memajukan sistem pengangkutan awam negara untuk
membantu rakyat jelata. Kos tambang pengangkutan awam terutamanya bas dan lrt
begitu murah berbanding kos menggunakan kenderaan sendiri apabila pergi ke pejabat
atau bersiar-siar. Jadi, semakin maju pengangkutan awam negara semakin banyaklah
rakyat yang akan menggunakannya lalu kos hidup mereka menjadi kurang berbanding
menggunakan kenderaan sendiri.

Tambahan pula, usaha menambah jumlah produk menjadi barang kawalan dilihat satu
kaedah untuk meringankan beban kehidupan rakyat negara. Semua barang kawalan
akan ditetapkan harganya oleh kerajaan lalu peniaga tidak boleh menaikkannya sesuka
hati seperti harga beras, gula, tepung, susu, dan minyak masak. Akibatnya, rakyat
tidak akan dibebankan dengan alasan harga barang naik ekoran harga petrol yang
melambung itu.

Kerajaan juga boleh mengurangkan cukai pendapatan individu dalam usaha membantu
rakyat hidup dengan selesa. Pengurangan ini membolehkan setiap orang mempunyai
wang lebihan yang berguna untuk disimpan atau membiayai kos lain yang meningkat
ekoran harga minyak mahal tersebut. Sesungguhnya, cukai yang berkurangan akan
memberikan satu kelegaan kepada rakyat dalam mengharungi cabaran harga petrol
yang tinggi tersebut.

Kesimpulannya, semua kaedah yang diberikan tadi berupaya meringankan beban


kehidupan rakyat apabila harga petrol menjadi mahal. Rakyat harus bijak dan menilai
sendiri keperluan yang utama dalam kehidupan jika mereka mahu hidup dengan
tenteram ketika masalah minyak ini berterusan. Peribahasa ukur baju di badan sendiri
mengingatkan kita supaya berbelanja mengikut gaji yang diterima setiap bulan dan
bukannya mengikut hawa nafsu.

Anda mungkin juga menyukai