Anda di halaman 1dari 3

LITERASI BAHASA

PENGENALAN

Penguasaan literasi bahasa berperanan sebagai pelengkap kepada


kewajaran individu sebagai seorang anggota masyarakatnya kerana kecelikan
literasi dapat digunakan bagi melibatkan diri dalam kehidupan bermasyarakat.
Umum mengetahui keperluan mendapatkan maklumat selain menerusi aktiviti
pendengaran, kita juga perlu membaca untuk mendapatkannya.

Takrifan literasi (celik huruf atau kenal huruf ) biasanya memaksudkan


keupayaan membaca dan menulis, atau keupayaan menggunakan bahasa untuk
membaca, menulis, mendengar, dan bertutur. Bahasa adalah milik manusia yang
paling penting untuk membezakan manusia dengan makhluk-makhluk lain. Bahasa
adalah satu struktur yang unik daripada bunyi-bunyi ucapan yang dipilih dan disusun
untuk dipakai oleh sesuatu masyarakat sebagai pelat berkomunikasi.

Literasi Bahasa Melayu bermaksud proses untuk melihat kemampuan


minimum murid membaca dan menulis dalam Bahasa Melayu. Perkataan literasi
diambil daripada perkataan Inggeris, literacy yang bermaksud kenal huruf.
Manakala dalam bahasa Arab pula dikenali sebagai taarub yang bermaksud
mengenal huruf. Kegiatan literasi dalam sesuatu bahasa ialah satu proses membina
makna. Makna dibina menerusi interaksi antara seseorang individu dengan teks
serta konteks persekitaran yang dialaminya.

Literasi bahasa berlaku secara serentak dengan menggabungkan


keseluruhan kemahiran berbahasa iaitu mendengar, bertutur, membaca, menulis
dan berfikir. Hal ini bermakna, dalam pengajaran guru di dalam bilik darjah, semua
kemahiran berbahasa diajar kepada murid-murid secara serentak supaya aspek
kemahiran tersebut terbina secara bersepadu dan saling membantu antara sama
lain.

PRABACAAN

Kemampuan murid membaca dan memahami sesuatu bahan sangat berkait


dengan kejayaan dan keberkesanan sistem pendidikan kita masa kini. Kefahaman
merupakan aspek terpenting dalam sesuatu aktiviti bacaan. Justeru, membaca boleh
dianggap sebagai aktiviti memahami hasil pemikiran penulis atau menyedut
maklumat daripada bahan yang ditulis. Membaca merupakan aktiviti lanjutan
daripada kemahiran mendengar dan bertutur yang melibatkan deria penglihatan dan
alat-alat artikulasi, khususnya sebagai gabungan aktiviti verbal dan literasi secara
serentak.

Prabacaan merupakan tahap kesediaan murid-murid untuk membaca, iaitu


mengenal dan mengecam huruf. Ianya meliputi kemahiran pengamatan
pendengaran, penglihatan, aktiviti kordinasi psikomotor, latihan menajamkan daya
ingatan dan latihan bahasa pertuturan. Aktiviti pengamatan penglihatan bertujuan
untuk melatih keupayaan mata mengecam bentuk-bentuk manakala aktiviti
pengamatan pendengaran bertujuan untuk mempertingkatkan ketajaman
pengamatan penglihatan dan pendengaran. Murid-murid perlu didedahkan dengan
aktiviti yang boleh mendorong mereka dalam mempertingkatkan ketajaman
penglihatan dan pendengaran. Ia perlu bagi membentuk kelaziman membaca seperti
membaca dari kiri ke kanan dan dari atas ke bawah.

Membaca memerlukan satu tingkat berfikir yang tinggi dan komunikasi mesej
atau makna atau sebutan makna. Membaca merupakan proses kognitif iaitu berfikir
melalui bahan bercetak. Proses menguasai bacaan melibatkan tahap penguasaan
yang berbeza-beza. Pada setiap aras penguasaan mencerminkan tahap
penguasaan pembacaan bagi individu tersebut. Pada setiap penguasaan bacaan ini
terdapat beberapa kaedah yang boleh diaplikasikan oleh pembaca seperti Kaedah
Abjad (Tahap prabacaan), Kaedah Fonik (Tahap bacaan mekanis), Kaedah
Seluruhan Perkataan (Tahap bacaan dan kefahaman), Kaedah Frasa dan Kaedah
Kalimat.
PEMULIHAN BACAAN

Membaca adalah proses menterjemahkan bentuk penulisan kepada bacaan


atau mendapatkan makna daripada bahan bertulis itu. Masalah membaca di
kalangan murid sekolah bukanlah perkara luar biasa lagi walaupun mereka telah
mengikuti pembelajaran bacaan terutamanya dalam pelajaran mata pelajaran
Bahasa Melayu. Kemahiran membaca adalah merentas semua mata pelajaran dan
kelemahan dalam kemahiran membaca akan menyebabkan pencapaian rendah
dalam pelajaran di sekolah.
Adalah menjadi tugas guru mengesan kelemahan membaca muridnya dan
seterusnya menjalankan pengajaran pemulihan bacaan dengan segera. Berbagai-
bagai kaedah dan teknik mengajar bacaan boleh digunakan oleh guru untuk
mengajar bacaan. Kaedah dan teknik mengajar bacaan yang digunakan oleh guru
hendaklah sesuai dengan kebolehan membaca murid.

Terdapat dua faktor yang menyebabkan seseorang murid itu tidak dapat
membaca:

a) Faktor yang ada pada murid itu sendiri (pembaca)


Faktor-faktor yang tergolong dalam bahagian ini adalah seperti kecerdasan
berbahasa, kebolehan berbahasa, pengetahuan, dan pengalaman sedia ada.

b) Faktor yang ada pada bahan bacaan.


Faktor-faktor yang tergolong dalam bahagian ini pula meliputi
perbendaharaan kata, panjang pendek ayat, kendungan bahan, struktur
cerita, penggunaan dan organisasi bahan grafik.

Justeru, aktiviti pemulihan membaca perlu dilakukan terhadap murid yang


tidak dapat menguasai kemahiran ini. Aktiviti utama dalam mengajarkan pemulihan
bacaan adalah pengajaran fonetik dengan betul. Penghasilan artikulasi yang
berbeza akan menyebabkan penerimaan akustik yang berbeza. Pengajaran bunyi
vokal, diftong, dan konsonan juga perlulah ditekankan.

Ujian diagnostik bacaan akan dapat membantu guru mengesan kesukaran-


kesukaran khusus bacaan murid. Ujian bacaan perlu diberikan kepada murid supaya
guru dapat mengesan secara objektif kesukaran-kesukaran yang dihadapi oleh
murid dalam proses membaca. Bermula dari sinilah guru akan dapat merancang
aktiviti-aktiviti pengajaran pemulihan bacaan. Ujian bacaan nyaring merupakan
langkah pertama untuk mengesan kesukaran-kesukaran secara khusus dalam
bacaan secara diagnostik.

Anda mungkin juga menyukai