Anda di halaman 1dari 6

KEBERKESANAN MODEL PEMBELAJARAN KOPERATIF TEAMS GAMES

TOURNAMENT (TGT) bagi TAJUK OPERASI BERGABUNG MURID TAHUN 4

1.0 PENDAHULUAN

1.1 PENGENALAN

Pendidikan merupakan salah satu bidang yang penting di dalam menyumbang


kepada pembangunan negara. Institusi pengajian sama ada di peringkat rendah,
menengah atau atas adalah berperanan di dalam melahirkan golongan sasaran yang
menjadi tunggak kepada pembangunan negara (Wahida, 2011). Golongan ini
berperanan serta dipertanggungjawab untuk merealisasikan wawasan negara demi
menjana kemajuan negara. Rentetan daripada itu, pelbagai usaha telah dijalankan
oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Pedidikan Tinggi untuk
memperbaiki dan meningkatkan sistem pendidikan di negara ini (Zainudin, Mohd Zaki
& Nur Azza binti Abd Aziz, 2015).

Matematik merupakan satu mata pelajaran yang penting dan juga merupakan
satu mata pelajaran yang mencabar bagi kebanyakan murid (Idris, 2005). Menyedari
bahawa murid memerlukan asas yang kukuh dalam membentuk konsep Matematik
untuk terus membangunkan dan mengaplikasikan pengetahuan mereka dengan
berkesan, maka guru perlu berusaha untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran
yang sentiasa melibatkan murid-murid. Aktiviti-aktiviti yang dirancang seharusnya
membolehkan murid melihat kesinambungan antara konsep-konsep Matematik
tersebut dan juga memberi peluang kepada mereka membuat hubungkait apa yang
dipelajari dengan kehidupan sebenar. Peluang untuk mengaitkan pengetahuan dan
kemahiran kepada konteks yang lebih luas akan mendorong mereka untuk belajar dan
menjadi murid sepanjang hayat.

Pengajaran dan pembelajaran yang betul digambarkan sebagai proses


mengajar dan belajar berasaskan kefahaman yang mendalam tentang interaksi dalam
bilik darjah dan alam persekitaran. Ia juga perlu mengambil kira keperluan, minat,
pedagogi yang betul dengan menyedari pelbagai permasalahan yang mungkin timbul
dan bagaimana menggunakan daya kreatif untuk menyediakan pelbagai peluang
pembelajaran untuk menangani cabaran yang mendatang (Yahya, 2010). Tujuan
utama pendidikan Matematik adalah untuk membolehkan murid membentuk
kefahaman yang betul terhadap setiap konsep yang dipelajarinya justeru mampu
memperbaiki dan mempertingkatkan mutu pendidikan negara untuk menghasilkan
generasi Malaysia yang bukan sahaja kreatif dan inovatif dalam pemikiran mereka
malah berketerampilan dan berintelek tinggi.

Joyce & Weil (2012) berpendapat bahawa model pembelajaran adalah


rancangan atau corak yang boleh digunakan untuk membentuk kurikulum, bahan
pembelajaran, dan membimbing perancangan guru di dalam kelas. Setiap guru perlu
memilih model dan strategi yang dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang
membina, aktif dan sesuai dengan objektif pembelajaran yang hendak dicapai.

Menurut Effandi Zakaria (1998), pembelajaran koperatif adalah suatu strategi


pengajaran dimana murid-murid saling membantu di antara satu sama lain di dalam
kumpulan kecil. Pembelajaran koperatif berlaku apabila pelajar bekerja secara
berkumpulan, berkongsi idea, saling membantu untuk menyelesaikan masalah, dan
memastikan semua ahli kumpulan menguasai isi pelajaran dengan meminta bantuan
daripada guru.

Banyak cara yang dapat digunakan daripada model pembelajaran koperatif,


salah satunya adalah model pembelajaran koperatif Teams Games Tournament
(TGT). Model pembelajaran koperatif TGT mudah digunakan dan semua murid terlibat
dalam aktiviti tanpa mengambil kira sebarang perbezaan status. Model TGT
menggunakan kaedah pertandingan akademik, di mana setiap murid yang
mempunyai tahap pembelajaran akademik yang sama dari setiap kumpulan akan
bersaing antara satu sama lain. (Slavin, 2005).

1.2 PERNYATAAN MASALAH

Mata pelajaran matematik adalah mata pelajaran teras dan merupakan salah satu
mata pelajaran yang dinilai pada peringkat penilaian antarabangsa seperti TIMSS dan
PISA. Secara umumnya, matematik dianggap sebagai suatu mata pelajaran yang
susah dan membosankan (Entonado & Garcia, 2003).

Menurut sumber Pembangunan Pendidikan 2001-2010, salah satu punca


masalah ini adalah kerana majoriti guru kurang menggunakan kaedah pengajaran
yang kreatif untuk menarik perhatian murid dan tidak mampu merangsang proses
pembelajaran murid dalam mata pelajaran tersebut (Kementerian Pendidikan
Malaysia, 2001).

Berdasarkan hasil kajian para sarjana, keadaan ini berlaku kerana majoriti guru
matematik pada hari ini masih menggunakan kaedah pengajaran tradisional yang
berpusatkan guru dalam pengajaran dan pembelajaran matematik dengan lebih
menekankan latih tubi dan penghafalan formula tanpa mengetahui konsep sebenar
(Abdul Razak Idris & Nor Asmah Salleh, 2010; Kheong, 2011; Nagel, 2008; Schackow,
2005). Suasana bilik darjah yang lebih berorientasikan peperiksaan, iaitu memberi
penekanan kepada pencapaian akademik semata-mata menjadi salah satu faktor
yang membuatkan murid menjadi pasif dan kurang berinteraksi sesama rakan dalam
melakukan tugasan (Salina Hamed, Peridah Bahari & Abdul Ghani Kanesan Abdullah,
2008). Dalam usaha untuk membolehkan pelajar menyertai proses pengajaran dan
pembelajaran dengan aktif, adalah penting untuk guru matematik mencari pelbagai
pendekatan yang sesuai agar pelajarnya dapat menghayati keindahan matematik
dalam proses pembelajaran konsep dan kemahiran matematik.

Laporan kajian Johari Surif (2006) yang menyatakan pencapaian Matematik


dikalangan pelajar semakin merosot sejak kebelakangan ini. Kajian Zolkepeli et al.
(2001) mendapati Matematik merupakan subjek yang paling sukar difahami
berbanding dengan subjek-subjek lain. Menyedari perkara tersebut, penekanan harus
diberi kepada proses penyelesaian masalah Matematik dan pemahaman konsep
semasa pengajaran. Dari segi pedagogi, perkembangan pendidikan kini memerlukan
strategi pengajaran yang lebih menitikberatkan penglibatan pelajar. Perlunya kaedah
pembelajaran Matematik yang baik yang dapat melatih pelajar dalam mentaksir
maklumat dan memahami soalan dengan berkesan (Ahmad, 2006).

Kaedah koperatif merupakan satu pendekatan pembelajaran yang baik yang


perlu diwujudkan dalam suasana pembelajaran di samping dapat mempertingkatkan
lagi mutu prestasi pelajar dalam akademik terutamanya kaedah TGT (Ghazali, 2002).
Dalam kajian ini, kaedah pembelajaran koperatif iaitu kaedah pembelajaran TGT
dapat membantu mengatasi masalah yang wujud di dalam pembelajaran Matematik
pada hari ini serta ciri-ciri interaksi yang perlu diamalkan sebagai kaedah pengajaran
dan pembelajaran yang berkesan. Oleh sebab itu, kajian ini dijalankan untuk melihat
keberkesanan model pembelajaran koperatif Teams Games Tournament (TGT) boleh
meningkatkan pencapaian murid dalam mata pelajaran Matematik.

1.3 TUJUAN KAJIAN

Kajian ini bertujuan untuk mengenalpasti keberkesanan Model Koperatif Teams


Games Tournament (TGT) terhadap topik operasi bergabung. Selain itu, kajian ini juga
bertujuan untuk meninjau minat murid-murid terhadap matematik melalui
penggunaan model TGT ini.

1.3.1 OBJEKTIF KAJIAN

i. Mengenalpasti sama ada kaedah pembelajaran koperatif TGT dapat


meningkatkan penguasaan murid Tahun 4 terhadap tajuk operasi
bergabung.
ii. Meningkatkan minat murid terhadap Matematik melalui penggunaan model
TGT.

1.3.2 SOALAN KAJIAN

i. Adakah model pembelajaran koperatif Teams Games Tournament (TGT)


dapat meningkatkan penguasaan murid Tahun 4 terhadap tajuk operasi
bergabung?
ii. Adakah model pembelajaran koperatif Teams Games Tournament (TGT)
dapat meningkatkan minat murid terhadap Matematik?

1.3.3 HIPOTESIS KAJIAN

Ho1 : Tidak terdapat perbezaan yang signifikan terhadap pencapaian ujian-pra


dan ujian-pos bagi kumpulan kawalan.

Ho2 : Tidak terdapat perbezaan yang signifikan terhadap minat murid


pembelajaran Matematik antara kumpulan eksperimen dan
kumpulan kawalan.

1.4 SKOP DAN BATASAN KAJIAN


Kajian ini dijalankan adalah untuk melihat keberkesanan kaedah pembelajaran
koperatif Teams Games Tournament (TGT) terhadap murid Tahun 4 bagi tajuk operasi
bergabung di sebuah sekolah yang terletak di sekitar Besut, Terengganu. Kajian ini
terbatas kepada 50 orang murid Tahun 4 sahaja.

Responden terdiri daripada murid kelas 4A dan kelas 4B. Murid-murid kelas A
dijadikan sebagai kumpulan kawalan dan kelas B dijadikan sebagai kumpulan
eksperimen. Ini bermakna responden yang dipilih untuk kajian ini tidak dapat mewakili
keseluruhan murid Tahun 4 di semua sekolah rendah.

Pengumpulan data kajian adalah melalui pengendalian ujian-pra dan ujian-pos bagi
tajuk operasi bergabung. Di samping ujian pencapaian, instrumen soal selidik juga di
gunakan dimana ketepatan kajian adalah bergantung kepada sifat keterbukaan subjek.

1.5 KEPENTINGAN KAJIAN

Tujuan kajian ini adalah untuk melihat keberkesanan kaedah pengajaran dan
pembelajaran secara koperatif melalui TGT dalam peningkatan prestasi pencapaian
murid Tahun 4 bagi tajuk operasi bergabung dalam mata pelajaran Matematik. Melalui
kajian ini, murid didedahkan dengan pendekatan pembelajaran yang kurang diaplikasikan
kepada murid sebelum ini iaitu pembelajaran koperatif model TGT. Ia secara tidak langsung
dapat memberi ruang kepada murid untuk bergiat aktif dalam proses PdP justeru
membentuk kemahiran sosial dan komunikasi antara murid dengan murid dan murid
dengan guru.

1.6 DEFINISI OPERATIONAL

1.6.1 Model Pembelajaran Teams Games Tournament (TGT)

Menurut Kurniasari (2006), model pembelajaran Teams Games Tournament (TGT)


merupakan model pembelajaran koperatif yang membentuk kumpulan kecil di dalam
kelas yang terdiri daripada 3 hingga 5 orang murid, tanpa mengira perbezaan tahap
akademik, jantina, kaum atau etnik. Di dalamnya model TGT, murid bertanding
dengan ahli kumpulan yang lain untuk mendapatkan markah kepada kumpulan
masing-masing. Permainan secara bertanding dilaksanakan untuk menguji
penguasaan murid terhadap pdp yang disampaikan oleh guru.

1.6.2 MINAT
Minat adalah kecenderungan dalam diri individu untuk tertarik pada sesuatu objek
atau menyenangi sesuatu objek (Sumadi Suryabrata, 1988). Menurut Crow and
Crow minat adalah pendorong kepada seseorang untuk memberi perhatian terhadap
sesuatu orang, aktiviti-aktiviti tertentu. Berdasarkan pendapat Crow and Crow, boleh
dikatakan seseorang individu yang mempunyai minat terhadap belajar, akan
terdorong untuk memberi lebih perhatian terhadap belajar tersebut.

1.7 RUMUSAN

Bab ini telah membincangkan kepentingan Matematik yang diperlukan kepada


seseorang murid pada zaman yang berteknologi canggih. Dalam bab ini, turut
dibincangkan tentang beberapa isu yang wujud dalam pendidikan Matematik bagi
menyokong permasalahan kajian ini. Tumpuan diberi kepada penggunaan strategi
pengajaran dan pembelajaran bagi meningkatkan keberkesanan peranan pendidikan.
Akhir sekali, pengkaji mengemukakan pernyataan masalah, objektif kajian, persoalan
kajian dan definisi operasional yang digunakan dalam kajian ini. Bab seterusnya
membincangkan kajian literatur berkaitan pembelajaran koperatif model Teams
Games Tournament (TGT) ini.

Anda mungkin juga menyukai