Anda di halaman 1dari 9

CABARAN DAN PENDEKATAN PENGAJARAN DALAM PENDIDIKAN PELAJAR PINTAR

CERDAS DAN BERBAKAT


Oleh: Haniff Asyraf Khairul Anam

PENGENALAN

Pelajar pintar cerdas merupakan satu aset yang bemilai bagi sesebuah negara. Kegagalan membantu
pelajar pintar cerdas bagi memperkembangkan potensi dan bakat mereka adalah satu kerugian yang besar
kepada negara dan masyarakat keseluruhannya. Pengajaran guru yang tidak mencabar pemikiran mereka akan
menyebabkan mereka cepat rasa jemu dan bosan, seterusnya akan mengurangkan minat belajar. Personaliti
pelajar, khususnya watak, perangai, tingkah laku dan cara gaya pembelajaran mereka perlu difahami oleh guru
bagi merancang strategi pengajaran yang sesuai. Falsafah Pendidikan Negara bermatlamat untuk
memperkembangkan potensi individu pelajar secara menyeluruh dan bersepadu dari segi jasmani, emosi, rohani
dan intelek. Oleh itu seluruh usaha dan langkah yang diambil dalam sistem pendidikan mestilah mengambil kira
potensi dan keperluan setiap individu pelajar. Setiap individu pelajar yang normal semenjak dari usia bayi telah
memiliki potensi dan bakat yang boleh diperkembang dan dipertingkatkan. Pendedahan awal dan penerimaan
pelbagai sumber maklumat akan memberi impak yang besar dalam perkembangan dan pertumbuhan fizikal,
kognitif, psikomotor dan emosi mereka.

Pelajar pintar cerdas mempunyai pelbagai kelebihan yang luar biasa. Mereka mampu mempelajari
sesuatu dengan pantas dan mempunyai pelbagai kemahiran. Walau bagaimanapun, mereka juga mengalami
beberapa masalah berkaitan dengan kepintaran mereka. Secara umumnya, sesetengah ciri-ciri dan personaliti
pelajar pintar cerdas boleh menimbulkan beberapa masalah kepada kanak kanak tersebut, ibubapa dan guru.
Antaranya ialah terdapat banyak faktor bukan kecerdasan yang mempengaruhi pencapaian akademik, seperti
motivasi dan konsep kendiri. Contohnya masalah emosinya menjadikannya menghadapi masalah kemurungan,
seorang yang murung tidak bermaya, kehilangan motivasi dan sasaran. Sudah tentu seorang pelajar yang
murung tidak akan berjaya dalam akademik.

CABARAN YANG DIHADAPI OLEH INDIVIDU PINTAR CERDAS

Memiliki atau menjadi individu pintar cerdas dan berbakat ini sememangnya suatu rahmat daripada tuhan.
Namun, walaupun mereka diberikan anugerah ini, mereka tetap berhadapan dengan isu dan cabaran dalam hidup
mereka. Isu dan cabaran yang mereka hadapi ini sudah pastinya akan memberi kesan terhadap perkembangan
mereka. Cabaran yang mereka hadapi ini memungkinkan kita akan kehilangan aset yang berharga buat agama,
bangsa, dan negara. Berikut merupakan isu dan cabaran yang dihadapi oleh individu pintar cerdas dan berbakat.

Sistem Pendidikan
Sistem pendidikan merupakan institusi yang memberikan pendidikan kepada semua individu sehingga
mereka boleh memberikan sumbangan kepada negara semula. Pelbagai program telah dilaksanakan oleh
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam usaha untuk menjaga murid pintar cerdas dan berbakat ini.
Antaranya ialah Ujian Penilaian Tahap Satu yang difokuskan kepada murid tahun tiga. Namun, program ini
hanya dijalankan selama lima tahun sahaja. Kini, negara boleh berbangga dengan program terbaru iaitu Permata
Pintar kendalian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Program ini bermula pada 17 Januari 2011. Terdapat
empat program yang telah diperkenalkan iaitu Pintar Permata (akademik), Pintar Seni (seni), Pintar Insan
(agama), dan Pintar Kurnia (autisme). Cabaran sistem pendidikan negara ialah pihak yang terlibat perlu
memastikan setiap program yang dilaksanakan dengan mantap dan berkesan.

b Perbelanjaan

Perbelanjaan merupakan isu atau cabaran yang sangat signifikan dalam sesuatu perkara. Setiap
program yang dilaksanakan menelan kos yang cukup tinggi dan telah menyebabkan beberapa program yang
telah dijalankan sebelum ini terpaksa diberhentikan. Selain itu, kerajaan juga memerlukan kos yang tinggi untuk
menghantar murid pintar cerdas ke luar negara demi memastikan mereka mendapat pendidikan yang sempurna.
Seperti kes Sufiah Yusof, kerajaan telah menghantar beliau ke Universiti Oxford seawal 13 tahun. Namun, kita
terpaksa berputih mata kerana permata tersebut hilang selepas belajar beberapa tahun belajar di sana. Akhirnya,
beliau telah terjerumus dalam industri pelacuran di sana membabitkan kelas atasan. jelaslah bahawa hal ini telah
memberi kesan kepada kerajaan dan negara.

c Guru dan Ibu Bapa

Ketiadaan strategi yang kreatif telah menyebabkan pendekatan yang digunakan untuk mengajar murid
pintar cerdas ini tidak berkesan. Menurut Chiam (1992) menyatakan bahawa perhatian yang kurang dan tidak
sempurna terhadap intelek akan memerangkap murid ini terperangkap dalam kumpulan berpencapaian rendah.
Hal ini mungkin disebabkan oleh pengetahuan dan kemahiran guru yang kurang dalam mengedalikan murid
pintar cerdas dan berbakat ini. Oleh itu, guru seharusnya diberikan pendedahan yang banyak untuk menangani
perkara ini agar sesi PdP tidak membosankan murid pelajar pintar cerdas dan berbakat.

d Menentukan Bidang Yang Sesuai

Perkembangan tidak boleh dirancang dan pembelajaran boleh jadi terpendam. Mungkin masanya belum
tiba untuk mereka menjadi terserlah dalam bidang tertentu. Sejarah mencatatkan banyak individu yang tidak
menonjol atau disalah anggap sebagai lembab oleh guru semasa kecil. Ini adalah akibat kadar pembelajaran
mereka yang tidak sekata dan juga sikap guru yang tidak sensitif. Pelajar pintar cerdas menunjukkan kebolehan
am yang lebih tinggi, tetapi ini tidak memadai tanpa menemui kekuatan sebenarnya yang tidak setanding oleh
orang lain. Pengkhususan dan usaha berterusan adalah kunci kepada kejayaan dalam mana-mana juga lapangan.
Mereka yang berjaya bukan berkebolehan dalam segala apa kerja, mereka hanya berjaya dalam bidang kekuatan
mereka sendiri. Pekerjaan dan bidang yang tidak sesuai menjadikan seseorang yang pintar cerdas menjadi biasa.
e Persekitaran

Faktor persekitaran seperti budaya keluarga, sumber keluarga, taraf sosio-ekonomi, pendedahan dan
peluang merupakan faktor yang penting untuk mempercepatkan perkembangan. Antara faktor yang penting
termasuklah guru yang memahami dan persaingan budaya sekolah. Budaya sekolah yang tidak mementingkan
persaingan secara tidak langsung menjejaskan perkembangan mereka. Budaya yang lain termasuklah disiplin,
keterbukaan, hubungan guru-pelajar dan budaya aktiviti ko-kurikulum. Walaupun pelajar pintar-cerdas yang
popular dan memiliki konsep kendiri yang positif juga menghadapi masalah-masalah yang tertentu. Masalah-
masalah ini adalah akibat keistimewaan yang ada pada mereka dan faktor persekitaran seperti kesedaran
masyarakat yang rendah, guru yang tidak sensitif dan tidak prihatin. Konflik keluarga juga satu aspek yang perlu
diberi perhatian oleh pengkaji akan datang. Oleh itu, ia amat penting bagi ibubapa dan guru untuk
mengenalpasti masalah yang mungkin timbul seperti yang diterangkan seterusnya.

f Masalah Dalaman

i. Kekosongan jiwa
Mereka mampu membaca buku pada tahap yang lebih tinggi daripada rakan sebaya mereka. Mereka
diiktiraf sebagai genius oleh semua orang, berpengetahun yang luas, pemikiran yang tajam, pemahaman yang
luar biasa dan sebagainya. Di sebalik kepintaran mereka, mereka sebenarnya menghadapi krisis mental, krisis
identiti dan tidak mempunyai minat yang khusus. Mereka tidak memahami bagaimana dan di manakah mereka
patut menyalurkan kecerdasannya. Mereka keliru dengan masa depan mereka. Jiwa mereka kosong dan cetek,
tidak ada emosi, seolah-olah mereka tidak pernah merasa, wujud dan hidup. Jiwa dan hidup mereka bagai kapal
tanpa kelasi, terbawa-bawa arus yang tidak menentu. Setakat ini, semua perbincangan yang menuju kepada
golongan pintar cerdas seolah-olah menggambarkan golongan ini adalah sempurna dan tinggi pencapaiannya
secara keseluruhan seperti bercita-cita tinggi, bertanggungjawab dan dedikasi. Gambaran ini sebenarnya
membahayakan. Perkembangan yang tidak seimbang adalah sesuatu yang biasa bagi mereka. Kekosongan jiwa
ini bermaksud, mereka hilang hala tuju. Mereka merasakan hidup ini tidak bermakna dan nyawa mereka tidak
bernilai. Walaupun keadaan ini berlaku kepada golongan pintar cerdas yang menghadapi masalah kemurungan
secara sementara, ia adalah lebih kerap berlaku pada individu-individu yang tertentu, dan ia belaku secara
kronik pada golongan ini. Seseorang yang tinggi pencapaian matematik atau bahasa mungkin cetek dari segi
pemikirannya. Kecerdasan eksistensialisme (kewujudan), kecerdasan intrapersonal yang rendah menjadikan
mereka susah menangani masalah sosioemosi. Mereka tidak berfikir panjang dan mensia-siakan bakat yang ada
pada mereka disebabkan mereka tidak mengenal apa yang dikejar-kejar dalam hidup mereka. Mereka berasa
keliru dengan apakah makna hidup ini dan menimbus kekosongan jiwa ini dengan mengejar nama, kedudukan,
prestij dan kebendaan. Masalah mereka tidak dapat diatasi dengan mencapai kejayaan ini, sebab ia tidak
memberi kepuasan sebagaimana yang dijangka. Siapakah golongan yang menghadapi masalah ini? Mereka
mungkin bercita-cita tinggi tanpa memberi komitmen kepada apa yang ingin dicapainya. Mereka mungkin
mengatakan dia ingin menjadi Bill Gate atau memasuki Universiti yang ternama tanpa menunjukkan usaha dan
pengetahuan yang sewajarnya. Selain daripada itu, kadar membunuh diri dalam kalangan mereka juga tinggi,
selain tanda-tanda masalah emosi yang lain seperti kemurungan, gaya pemakanan yang tidak seimbang,
penyalahgunaan dadah atau arak, hubungan seksual yang rambang dan lain-lain. Perkembangan yang
menyeluruh adalah sangat penting bagi golongan ini sebagai faktor pelindung. Kepentingan kaunseling di sini
bukannya untuk memahami masalah mereka, tetapi membantu mereka memahami tentang diri mereka. dan ini
mungkin disebabkan oleh perkembangan kecerdasan intrapersonal yang tidak matang.

ii. Masalah kesempurnaan dan emosi yang sensitif

Sikap kesempurnaan boleh menyebabkan mereka takut kepada kegagalan sehingga mereka menjadi
seorang yang putus asa. Pelajar pintar cerdas memerlukan data-data yang lengkap sebelum manjawab soalan-
soalan yang diberikan. Mereka lebih suka mencari jawapan sendiri kerana mereka tidak suka bersosial. Sikap
sensitif dan perkembangan minda mereka membolehkan mereka memikirkan hal-hal seperti peperangan,
kebuluran, pencemaran, ketidakadilan dan keganasan. Jika mereka terlampau memikirkan isu-isu ini mereka
akan mengalami masalah “introverted” dan mungkin menjurus kearah “existential depression”

g Keyakinan Murid

Segelintir individu pintar cerdas selalu bergelut dengan isu masalah keyakinan. Konsep kendiri mereka
tidak menentu. Mereka mungkin sangat yakin pada satu masa dan menjadi tidak yakin pada masa lain (sifat
kompleksiti). Apa yang menyebabkan situasi ini berlaku walaupun mereka memiliki kelebihan yang nyata
dalam persaingan? Ini adalah akibat daripada sikap kesempurnaan yang tidak sihat. Mereka menjangka terlalu
tinggi terhadap pencapaian mereka sendiri. Jangkaan yang tinggi ini adalah salah satu pendorong kuat kepada
pencapaian tinggi. Namun begitu, ia juga membawa tekanan yang besar kepada diri mereka sendiri. Jurang yang
besar antara jangkaan dan kebolehannya yang nyata menjadikannya merasakan dirinya tidak sempurna. Untuk
membantu mereka dalam masalah ketidaksempurnaan ini, guru dan ibubapa perlu mengingatkan mereka bahawa
mereka tidak perlu menjadi sempurna pada setiap masa. Kesempurnaan adalah biasa dalam kalangan pintar-
cerdas, tetapi “neurotic perfectionist” menjadi satu masalah psikologi. Ini kerana ia menjejaskan konsep kendiri
pelajar pintar cerdas dan memberi kesan negatif kepada hubungan perseorangan seperti cenderung menyalahkan
orang lain apabila gagal, sukar bekerjasama, selalu menyalahkan sendiri dan sebagainya. Ia adalah benar
bahawa golongan pintar cerdas memiliki kelebihan dalam persaingan. Walaubagaimanapun, ini tidak bermakna
mereka akan berasa yakin diri, sebab mereka mungkin tidak membandingkan diri dengan orang lain.
Sebagaimana yang kita ketahui, golongan ini mendukung sistem nilai yang tersendiri, mereka mungkin tidak
berminat membandingkan dirinya dengan orang lain dari segi pencapaian akademik, kerjaya dan sebagainya.
Sebaliknya, mereka seolah-olah membuat sesuatu akibat dorongan dalaman sendiri. Dengan erti kata lain,
mereka membandingkan diri mereka sendiri dan jangkaan yang tinggi selalunya memberi tekanan kepada
mereka sendiri. Kesempurnaan diri merupakan satu motivasi yang kuat dalam mempengaruhi tingkah laku
mereka. Semua individu mempunyai keupayaan yang tersendiri. Pelajar pintar cerdas tidak terkecuali daripada
keunikan tersebut. Sebagai contoh, seseorang yang mencapai tahap yang tinggi dari segi kecerdasan bahasa dan
logik matematik mungkin mempunyai kelemahan dalam kemahiran fizikal seperti mengimbangkan badan,
kordinasi badan ataupun tidak mempunyai bakat dalam melukis atau menyanyi. Jika pelajar ini diletakkan dalam
situasi di mana dia perlu menggunakan kecerdasan kinestetik, muzik dan visual ruang, dia mesti berasa malu
dan janggal kerana mempunyai maruah diri yang tinggi dan bersifat sensitif. Perkembangan yang tidak
seimbang ini mungkin boleh menimbulkan pelbagai masalah dalam kehidupan mereka. Pada masa yang sama,
keyakinan yang terlalu tinggi juga menjejaskan perkembangan mereka. Memandangkan mereka mempunyai
kebolehan akademik dan kebolehan mental yang lain, sesetengah individu menjadi terlampau yakin dalam dunia
yang berorientasikan akademik. Akibatnya, mereka tidak nampak kelemahan sendiri dan hidup dalam dunia
sendiri. Masalah keyakinan (terlampau yakin atau inferioriti) ini akan menjejaskan pandangan orang lain
terhadap diri mereka.

PENDEKATAN PENGAJARAN UNTUK PELAJAR PINTAR CERDAS

Secara umumnya, sebenarnya tiada satu pun pengajaran khas yang boleh dianggap sebagai pendekatan
yang mantap untuk digunakan oleh seseorang guru. Seseorang guru seharusnya mempunyai pemikiran yang
kreatif untuk menarik minat seseorang pelajar pintar cerdas dan tidak menggunakan kaedah pengajaran
tradisional.Khadijah M. Shahid (1992) yang membuat kajian ke atas beberapa pelajar pintar cerdas mendapati
bahawa mereka mudah berasa bosan dan kecewa dengan suasana di sekolah kerana kebanyakan guru yang
mengajar menggunakan kaedah tradisional, yang umumnya kurang memahami kehendak dan cita rasa
mereka. Berikut merupakan pendekatan yang telah dicadangkan :

a. Pendekatan koperatif
Pendekatan koperatif merupakan pendekatan yang berpusatkan kepada murid. Pendekatan ini memerlukan para
pelajar bekerjasa untuk menyelesaikan setiap tugasan yang diberikan oleh guru. Persekitaran yang membina ini
akan menyebabkan pelajar pintar cerdas lebih bersemangat dan tidak bosan. Menurut Chiam (1992), pelajar-
pelajar pintar cerdas ini akan mengalami kekecewaan jika mereka tidak mendapat galakan dan rangsangan yang
mencabar dalam bilik darjah. Oleh itu, guru wajar menyediakan PdP yang tidak hanya menguji intelek pelajar
tetapi menyentuh aspek perkembangan lain seperti bersosiolisasi, berkomunikasi, emosi, dan tingkah laku.

b. Pendekatan Inkuiri

Pendekatan inkuiri merujuk kepada pendekatan berpusatkan murid. Pendekatan ini memerlukan murid
membuat penerokaan terhadap tugasan yang telah diberikan oleh guru. Pendekatan ini sangat sesuai kepada
murid pelajar pintar cerdas kerana mereka sukakan cabaran untuk menjana pengetahuan mereka. Aktiviti-
aktiviti dirancang sebegitu rupa supaya murid berpeluang melibatkan diri secara aktif dalam pembelajaran
(Pusat Perkembangan Kurikulum 1994). Hal ini akan menyebabkan pelajar pintar cerdas akan berkongsi
pengetahuan (intelek), memupuk nilai-nilai murni (rohani), bertimbang rasa (emosi) dan mempertingkatkan
kemahiran berkomunikasi (sosial) bersama –sama dengan rakan – rakan yang lain dalam kumpulan. Oleh itu,
pendekatan inkuiri ini juga sesuai digunakan oleh guru untuk mengajar murid pintar cerdas dan berbakat ini.
c. Pendekatan Kolaboratif

Pendekatan kolaboratif pula merujuk kepada hubungan kerjasama antara guru pendidikan khas dengan guru
aliran perdana. Pendekatan ini sangat penting kerana suasana PdP yang tidak kreatif akan menyebabkan murid
pintar cerdas akan hilang minat untuk belajar. Ketiadaan strategi ini mungkin berpunca daripada kekurangan
pengetahuan dan kemahiran guru pelajar aliran perdana untuk mengendalikan murid ini. Oleh itu, kerjasama ini
dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran guru tersebut. Guru – guru boleh bekerjasama dalam proses
penyediaan rancangan pengajaran, objektif, aktiviti yang sesuai untuk pelajar ini.

d. Pendekatan Bermain Sambil Belajar

Kaedah bermain adalah kaedah pembelajaran yang mendekatkan diri pelajar kepada pengalaman sebenar
secara langsung, terutama apabila mengajar konsep atau kemahiran. Apabila digunakan secara berkesan boleh
menambah respon murid dan kepekaan kepada perasaan orang lain, iaitu murid tidak akan dapat memahami atau
mengaplikasikan prinsip yang dipelajari dengan berkesan dan bermakna kecuali diberi peluang menyaksikan
sendiri situasi sebenar dan menilai hasil aplikasi mereka dalam situasi bermasalah. Murid berpeluang dan boleh
mempertingkatkan kebolehan empati, menambah kepekaan proses interaksi dan memiliki kebolehan
menganalisis situasi secara objektif. Kaedah bermain sambil belajar merupakan situasi yang dilakukan secara
spontan dengan arahan dan bahannya diambil daripada kisah benar. Untuk kaedah ini digunakan dengan
berkesan, beberapa proses asas harus diikuti iaitu:

 Pengenalan dan kesedian murid

Murid berada dalam keadaan baik untuk belajar apabila mendapati reaksinya terhadap situasi sebelum
ini tidak memuaskan. Maka dengan ini murid akan bermotivasi untuk mencuba cara yang baru. Contohnya
membentangkan situasi bermasalah dengan beberapa cara bereaksi terhadapnya dan murid memilih cara
bereaksi jika dia terlibat dalam situasi itu. Lepas itu murid dikehendaki menunjukkan empati atau yang boleh
membina perasaan empati. Misalnya, jika rakan kamu cedera selepas menggunakan alatan tajam, apakah yang
perlu kamu lakukan dan bagaimana kamu menunjukkan tanda simpati dan cara membantunya.

 Mendefinisikan situasi dan peranan


Situasi dibentuk oleh murid dengan bimbingan guru. Namun dalam pendidikan khas, guru haruslah
membentuk situasi dan memberi arahan yang lebih jelas supaya murid lebih memahami situasi serta dengan
bimbingan berterusan. Selepas pemilihan murid-murid yang terlibat, maka mereka akan melakukan lakonan itu.
Guru haruslah membantu murid mendapatkan pengertian tentang masalah dan berasa selesa dalam peranannya.
 Menyediakan Kelas untuk Pemerhatian dan Analisis

Fasa ini melibatkan mengorientasikan murid yang memerhati supaya mereka tahu tanggungjawab
mereka dan akan melibatkan diri secara aktif dalam pengalaman pembelajaran. Kemudian murid diminta
memberi pendapat tentang isu yang dilakonkan.

 Bimbingan

Guru membimbing murid khas dalam lakonan yang ditentukan. Murid melakonkan watak contohnya
pekebun sayur di kebun sayurnya yang menghadapi masalah dimusnahkan oleh haiwan ternakan. Pelajar
dibimbing melakonkan setiap watak, pekebun, tuan punya kebun, tuan punya haiwan dan watak lain.

 Analisis dan perbincangan

Pada peringkat ini, guru dan murid membuat analisis dan perbincangan tentang keseluruhan tema yang
dilakonkan dan mengeluarkan daya kreativiti penyelesaian masalah secara spontan. Guru dan murid akan
bersoal jawab tentangnya.

e. Pendekatan Kumpulan, Kelas, dan Individu

i. Pendekatan kumpulan

Pendekatan berkumpulan bermaksud murid bekerja dalam kumpulan. Walaupun berkumpulan setiap murid
mengekalkan individualitinya dan dibantu untuk menyumbang idea kepada kumpulan. Setiap murid dalam
kumpulan bertanggungjawab berkongsi idea dan memberi sumbangan yang baik, bukan mengikut sahaja. Guru
memainkan peranan penting lebih-lebih lagi bagi murid pendidikan khas. Guru haruslah memastikan murid
boleh mengalami pembelajaran bertujuan dan matlamat serta objektif kumpulan secara beransur dan penilaian
diadakan berterusan. Guru mestilah berulang-ulang kali menyatakan objektif kerja secara kumpulan, kelas dan
individu. Ini supaya murid memahami peranan dan akan meningkatkan kerjasama untuk kejayaan kerja
kumpulan. Pendekatan kumpulan sebagai satu kaedah pengajaran membantu murid menjadi bebas serta yakin
dan pada masa yang sama belajar bahawa seseorang itu bergantung antara satu sama lain. Ia sesuai sebagai satu
cara untuk mempertingkatkan penyesuaian sosial.

ii. Pendekatan kelas

Pendekatan pengajaran kelas pula, guru akan berada di hadapan kelas dan mengajar. Murid akan
memberi perhatian, membuat tugasan atau menulis dan lain-lain. Selepas itu, pelajaran baru bermula, guru akan
bertanyakan pelajaran lepas dan meneruskan dengan maklumat baru, memberi sedikit kerja kelas, menekankan
fakta penting, menyoal, memberi tugasan untuk hari berikutnya, menjawab soalan murid dan pelajaran berakhir.
Walau bagaimanapun, dalam pendidikan khas, guru banyak membimbing murid dalam tugasan ini, memberi
tugasan yang mampu dilakukan oleh murid. Apabila murid faham akan pelajarannya, maka penguasaan ilmu
mereka akan diuji melalui kerja-kerja latihan.

iii. Pendekatan individu

pendekatan individu pula menekankan rancangan untuk sesuatu pelajaran itu mengambil kira perbezaan murid.
Setiap murid bekerja dengan bebas dan meneima bantuan apabila mereka memerlukannya. Murid akan melalui
pembelajaran mengikut kadar kebolehannya. Jadual juga dirancang untuk mereka, tugasan akan disusun supaya
murid ini akan bekerja berterusan. Ada beberapa kaedah untuk pengajaran individu seperti:

i) Menggunakan panduan yang rancangannya ditulis mengarah murid dalam pembelajarannya. Dalam panduan
itu, guru memberi objektif serta aktiviti yang disusun mengikut urutan supaya pada akhir aktivti itu, objektif
pembelajaran tercapai. Dengan cara ini, murid boleh membuat tugasan mengikut kadar kebolehannya. Melalui
kaedah ini, segala arahan dan tugasan sentiasa ada dan panduan belajar menyatakan apa yang perlu dilakukan.

ii) Bahan dan program juga merupakan kaedah yang digunakan dalam pendekatan individu. Setiap langkah
mempunyai sedikit matlamat, disusuli dengan soalan dan meminta respon daripada murid. Apabila murid
memberi respon, dia akan ditunjukkan dengan jawapan yang betul yang memberi peneguhan kepada tindakan
murid tersebut. Maklumat baru, kemahiran, saranan dan cadangan dimasukkan dalam program itu.

iii) Memberi tugasan individu yang sesuai dengan tahap murid. Tugasan individu ini berbeza dari segi kuantiti
dan kualiti mengikut kebolehan dan keperluan murid.

iv) Menggunakan tahap kesukaran dalam program pengajaran dan juga menggunakan tahap jangkaan dalam
memperihalkan kemajuan atau kualiti murid. Apabila murid diberikan tugasan mengikut tahap kesukaran
tertentu, maka setiap tahap itu menjadi tahap jangkaannya. Murid itu diharap akan mencapai kualiti dan kuantiti
kerja yang dibentuk untuk tahap itu dan kemajuannya dilapor secara berterusan.

f. Pendekatan Berasaskan Penyelidikan

Meese (2001) dalam bukunya “Teaching Learners With Mild Disabilities Intergrating Research and Practice”
Second Edition, menyenaraikan beberapa pendekatan berasaskan penyelidikan, iaitu:

a) Pengajaran Secara Terus

Pengajaran ini berprinsipkan penilaian secara berterusan dan dibuat secara langsung dan menekankan
kepada komponen-komponen kemahiran tertentu dalam memberi tugasan kepada murid. Ia juga berfokuskan
kepada kecekapan guru pendidikan khas dalam merealisasikan teknik pengajaran untuk membantu
meningkatkan pencapaian murid.

Pendekatan ini telah diperkenalkan oleh Bereither dan Engelmann (1996). Pengkaji ini telah
menggunakan pengajaran secara berstruktur dan pendekatan secara berulang-ulang dalam mengajar kemahiran
asas kepada pelajar. Antara kebaikan pendekatan ini ialah, ia jelas, pengajaran dapat dijalankan dengan teratur,
berfokuskan kepada kemahiran tertentu sahaja, cepat dan sistematik serta dapat memberi maklum balas yang
baik kepada murid.

b) Pengajaran Strategi Kognitif

Murid khas dengan ketidakupayaan ringan merupakan murid yang agak sukar untuk mengaplikasikan
apa sahaja kemahiran dan tingkah laku yang dipelajari di dalam kelas ke dalam situasi baru atau aktiviti di luar
kelas. Oleh itu, dengan adanya gabungan strategi pengajaran seperti modifikasi tingkah laku kognitif, strategi
pengajaran dan pembelajaran dan strategi pengajaran metakognitif dapatlah membantu murid memberi tumpuan,
tujuan, memilih strategi yang sesuai dan efektif dalam menjalankan tugas dan dapat mengawal perkembangan
individu.

C) Bimbingan Rakan Sebaya


Penglibatan rakan sebaya adalah amat penting dalam mempengaruhi pembelajaran murid khas di dalam kelas. Ia
juga dapat meningkatkan pencapaian murid dengan memaksimumkan masa dalam proses pengajaran dan
pembelajaran akademik. Apa yang penting adalah interaksi antara mereka dalam menjalankan tugas seperti
mewujudkan kerjasama antara mereka. Guru akan memainkan peranan sebagai perancang, melatih murid untuk
berkongsi dengan rakan-rakan sebaya agar dapat memastikan objektif pengajaran dan pembelajaran tercapai.

d) Pembelajaran Berasaskan Keadaan Sebenar

Pendekatan ini akan dapat membantu murid dengan ketidakupayaan ringan mengaplikasikan apa yang telah
dipelajari dalam masalah yang dihadapi dalam keadaan sebenar atau aktiviti luar kelas seperti perkebunan.
Murid akan lebih bersedia untuk menghadapi keadaan sebenar apabila murid tersebut telah didedahkan dengan
pembelajaran yang berbentuk pengalaman sebenar yang akan berlaku di luar kelas apabila proses pengajaran
pembelajaran dijalankan di dalam kelas.

KESIMPULAN

Kesimpulannya, kita berharap agar pelajar pintar cerdas dan berbakat ini dijaga dengan baik bagi
menjamin kesejahteraan agama, bangsa dan negara. Negara kita memerlukan golongan ini untuk memacu
pembangunan negara dalam semua bidang yang mereka ceburi. Sewajarnya, kita harus menjaga individu ini
bukan hanya dalam akademik tetapi juga dalam aspek emosi, akhlak, dan jati diri mereka. Oleh itu, kita
berharap agar para cendekiawan Malaysia merintis usaha – usaha untuk menyelamatkan permata ini daripada
hilang dalam peredaran masa.

Anda mungkin juga menyukai