Anda di halaman 1dari 18

MEMPERKASAKAN DASAR PEMBUDAYAAN SAINS Norazilawati Bt Abdullah Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris

ABSTRAK Kertas konsep ini bertujuan untuk membincangkan dasar pembudayaan sains. Definisi budaya sains dijelaskan terlebih dahulu sebelum menyentuh aspek amalan dan cabaran yang dihadapi dalam membudayakan sains di kalangan pelajar. Kemudian, ia diikuti dengan cadangan untuk memperkasakan pembudayaan sains. Di antara punca utama kegagalan dalam membudayakan sains adalah kerana kurangnya minat terhadap sains, tanggapan subjek sains susah, dan prospek kerjaya yang terhad. Beberapa strategi khusus dan saranan telah dikenalpasti dan dikemukakan seperti memperkenalkan budaya sains seawal prasekolah, peranan bersama harus dimainkan oleh pihak Kementerian Pelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi, guru dan ibubapa. Perkembangan sains juga harus dilihat dari perspektif Islam, kerana jika kita ingin lahirkan saintis itu sendiri iaitu rohnya (spiritual science) ianya harus seimbang pembangunan akal, roh dan nafsunya. Adalah diharapkan kertas konsep ini akan dijadikan panduan kepada semua pihak dalam memastikan pendidikan sains menjadi lebih berkesan. Harus diingat bahawa pendidikan itu ialah nyawa, roh dan nadi pada sesuatu bangsa dan negara. Identiti sesuatu bangsa ditentukan oleh pendidikan ertinya pendidikanlah yang akan menentukan maju atau mundurnya sesuatu bangsa, bertamadun atau tidak, berani atau penakut, bersatu atau berpecah, berjiwa besar atau kecil dan ada cita-cita atau tidak. Pendidikan jugalah yang akan menentukan hala tuju sesuatu bangsa di sesebuah negara samada bangsa itu menjadi satu bangsa yang baik atau jahat, lembut atau kasar, bangsa yang individunya memikirkan diri sendiri atau memikirkan bangsa, agama dan negaranya Kata Kunci: Pembudayaan sains

PENGENALAN Malaysia sedang gigih menggapai matlamat untuk bergelar negara maju pada tahun 2020 yang berbaki lapan tahun lagi. Untuk menjadi negara maju, sains mesti ditekankan dalam kalangan rakyat seiring dengan matlamat pendidikan sains yang menekankan usaha ke arah melahirkan masyarakat berliterasi serta membudayakan sains dalam setiap dimensi kehidupan. Namun

demikian, realitinya pelajar yang kita harapkan memberikan impak kepada matlamat ini semakin berkurangan, sekali gus menjejaskan wawasan negara untuk mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif. Baru-baru ini, media mendedahkan bahawa hanya 29 peratus pelajar menuntut dalam aliran sains di sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) awam tempatan dan hal ini menunjukkan kemerosotan pada tahap yang sangat kritikal. Kajian Pelan Hala Tuju Modal Insan Sains dan Teknologi Tahun 2020 yang memerlukan 60 peratus aliran sains dan 40 peratus aliran sastera, nampaknya masih belum lagi dicapai. Keadaan ini boleh membantutkan usaha kerajaan untuk meningkatkan inovasi teknologi ke arah transformasi ekonomi negara maju berpendapatan tinggi. Sebenarnya, kemerosotan bilangan pelajar jurusan sains sama ada di sekolah mahupun di IPT bukanlah perkara baharu. Ada tiga sebab utama masalah itu berlaku, iaitu kerana kurang minat, tanggapan subjek sains susah, dan prospek kerjaya yang terhad. Yang membimbangkan kita, ketiga-tiga faktor yang berakar umbi sejak di sekolah menengah itu menyebabkan bilangan pelajar sains peringkat universiti turut merosot dengan ketara. Jika pasaran kerjaya terhad menjadi punca utama, kerajaan harus mengambil langkah memastikan pelajar aliran sains mendapat jaminan pekerjaan apabila tamat pengajian. Ekoran daripada permasalahan tersebut, satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi mengkaji punca serta penyelesaian kepada masalah kemerosotan minat pelajar untuk mengambil jurusan sains dan matematik di sekolah. Arahan penubuhan jawatankuasa itu dikeluarkan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin pada mesyuarat pascaKabinet Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Jawatankuasa khas itu diminta mengkaji secara menyeluruh termasuk memikirkan langkah bagi mencapai sasaran 60 peratus pelajar sains dan 40 peratus sastera. Kertas ini cuba menghubungjalinkan antara institusi Pendidikan dan potensi menyemai budaya sains, iaitu bagaimana memanfaatkan ruang pendidikan di sekolah sebagai pentas memupuk budaya sains. Rasional isu ini dibincang kerana pengajian sains bukan setakat isu teknikal, kaedah mengajar pedagogi atau penekanan penguasaan sesuatu bahasa tetapi lebih jauh

dari itu ialah elemen keserasian budaya yang membina persepsi, komitmen dan kesungguhan mendalam generasi saintis masa depan. Justeru itu elemen-elemen ini perlu diberikan perhatian secara serius dalam dunia pendidikan kini. Hal ini perlu dipandang berat oleh para pendidik, pengelola malahan perancang kurikulum untuk mengorak langkah yang sistematik dalam melihat isu pembudayaan sains.

TUJUAN KERTAS KONSEP Tujuan kertas konsep ini ialah untuk memperkasakan budaya sains di kalangan pelajar. Definisi budaya sains, cabaran dalam membudayakan sains dan cadangan untuk membudayakan sains kepada pelajar turut dibincangkan.

OBJEKTIF KERTAS KONSEP Objektif kertas konsep ini ialah untuk : 1. 2. 3. Melihat amalan budaya sains. Mengenal pasti cabaran-cabaran dalam membudayakan sains. Memberikan cadangan-cadangan dalam memperkasakan budaya sains di kalangan pelajar.

BUDAYA SAINS

Budaya dalam Kamus Dewan mempunyai pengertian umum tamadun, peradaban dan kemajuan akal budi sementara kebudayaan adalah cara hidup sesuatu masyarakat yang merupakan manifestasi keadaan akal budi yang bertamadun, beradab atau pun maju. Dari sudut yang lain pembudayaan adalah suatu pendekatan indoktrinasi yang mengajak atau menyeru amalan harian

yang berteraskan sesuatu paradigma. Menurut Khalijah (1995), pembudayaan sains merujuk kepada unsur-unsur sains khususnya ilmu, kemahiran dan nilai-nilai sains yang menjadi teras kepada kemajuan dan peradaban akal budi manusia. Manakala kebudayaan sains disifatkan sebagai satu pola peradaban akal budi, idea-idea dan kefahaman sains lantas membentuk tingkah-laku dan juga artifak hidup. Beliau seterusnya menyatakan penterjemahan tingkah-laku ini melalui kaedah empirik dan deduktif. Kaedah empirik amat menitikberatkan pencerapan terhadap objek, kejadian mahu pun sistem yang akhirnya membina konsep dan hubungan. Kaedah deduktif pula menzahirkan pernyataan khusus daripada sesuatu yang umum. Kedua-dua kaedah ini perlu dilihat sebagai saling lengkap-melengkapi yang membina pandangan alam tentang sains dan nilai-nilainya. Nilai-nilai sains yang perlu dijelmakan ialah (i) cinta kepada ilmu dan kebenaran, (ii) menghargai pelbagai benda yang diciptakan Allah swt, (iii) mempunyai perasaan ingin tahu dan mencari penemuan baru (eksplorasi), (iv) boleh berasional secara logik, (v) boleh melakukan analisis kritikan, (vi) boleh menyelesaikan masalah, dan (vii) teratur secara sistematik dalam mendekati sesuatu isu atau masalah. Menurut beliau lagi, prasyarat membudayakan sains mesti bermula dengan pembinaan masyarakat yang mempunyai asas dan kefahaman ilmu, metod dan nilai sains. Seterusnya perlu berlaku penerapan dan penghayatan nilai sains ketika bertindak dan menghasilkan apa juga artifak hidup.

Hakikat pembudayaan sains dan penzahiran nilai-nilai baik berkenaan adalah bersesuaian dengan tuntutan semasa apabila pembangunan berteraskan sains berada di puncak dunia. Syed Muhammad Naquib (2001) secara bijaksana mempersepsikan bahawa sains perlu diletakkan pada maratib ilmu alat. Iaitu ilmu yang digunakan sebagai ilmu operasi mengurus dan mentadbir dunia. Justeru itu kekuatan dan batas-batas ilmu sains perlu diketahui agar dapat membezakan diri dari keghairahan Tamadun Barat sehingga meletakkan ilmu sains melampaui batas agama atau kadang-kadang ilmu sains dipamerkan sebagai agama mereka (menolak semua yang bukan sains, termasuk agama Kristian). Oleh yang demikian pembudayaan sains yang bersandarkan acuan kemalaysiaan khususnya berteraskan panduan Al-Quran dan Hadith perlu ditampilkan secara utuh dan menyeluruh kerana tujuan akhir pembudayaan sains adalah melahirkan insaninsan soleh yang bertaqwa kepada Allah SWT. Pada waktu yang sama berupaya membangunkan peradaban teknologi dan aplikasi sains yang lebih baik untuk memakmurkan dunia.

Satu kaji selidik dalam kalangan pelajar bumiputera di sebuah IPT tempatan mendapati, 50% para-pelajar sainsnya berhadapan dengan pelbagai persepsi negatif dan masalah asas ketika mempelajari sains dan matematik. Kebuntuan dalam belajar serta tanggapan serong berkenaan dibimbangi akan menjadi faktor penghambat potensi sebenar mereka untuk terus maju dalam bidang sains. Adalah dipercayai bahawa persepsi dan masalah responden berkenaan bukan baru timbul tetapi telah mula berakar-umbi ketika mereka melalui sistem pendidikan semasa di peringkat sekolah menengah lagi. Kemudian persepsi dan masalah ini terus berkembang di Universiti. Salah satu kesimpulan yang boleh dibina dari kajian ini ialah, pembinaan persepsi yang betul dan positif perlu disemai dan dibenihkan para peringkat yang lebih awal lagi. Pembinaan persepsi yang betul ini akan menjadi benteng kekuatan semangat dan kesungguhan kudrat dan usaha. Kajian ini turut mendokong idea dan keperluan pembudayaan sains perlu disemai seawal usia kanak-kanak di peringkat prasekolah. Dari sudut yang lain pembudayaan sains perlu dibangunkan dalam kalangan ibu bapa. Iaitu penyertaan ibu bapa sangat penting untuk memperkukuhkan pendidikan sepanjang masa. Pihak berkaitan dengan pembangunan keluarga perlu memperbanyakkan peluang-peluang pendidikan keibubapaan dan kempen kesedaran pentingnya penglibatan ibu bapa dalam pembudayaan sains.

CABARAN MEMBUDAYAKAN SAINS Dalam mengejar impian untuk merealisasikan pembudayaan sains, pelbagai cabaran perlu diatasi. Menerusi kertas konsep ini, tiga cabaran utama telah dikenalpasti iaitu: (i) Persepsi negatif terhadap sains Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam Amanat Tahun Baru 2012, baru-baru ini melahirkan kebimbangan mengenai kemerosotan bilangan pelajar yang mengambil mata pelajaran sains di peringkat sekolah. Masalah berkenaan perlu diberi perhatian serius kerana telah sampai ke tahap sangat kritikal walaupun banyak inisiatif diperkenalkan oleh kerajaan untuk memajukan bidang sains. Fenomena itu bukan saja berlaku di Malaysia, malah hampir di serata dunia, termasuk di negara maju seperti Amerika Syarikat dan Eropah. Di Amerika contohnya, bilangan pelajar yang memohon untuk mengikuti pengajian di universiti

dalam bidang sains, matematik dan teknologi kurang berbanding jumlah tempat yang ditawarkan kerana kekurangan pelajar dalam aliran berkenaan di peringkat sekolah tinggi.

Masalah yang diperkatakan oleh Menteri Pengajian Tinggi itu berlaku disebabkan persepsi negatif daripada kalangan pelajar terhadap subjek sains sejak mereka masih di bangku sekolah rendah lagi. Pelajar beranggapan bahawa mata pelajaran sains adalah sukar untuk lulus dengan cemerlang dan boleh menjejas peluang melanjutkan pengajian di universiti.

Memandangkan sistem pembelajaran di negara ini berorientasikan peperiksaan, maka ramailah pelajar beralih kepada aliran sastera atau agama berbanding sains dengan harapan lebih cemerlang dalam peperiksaan supaya mereka dapat menyambung pengajian di universiti. Walhal tempat melanjutkan pengajian dalam bidang yang memerlukan kelulusan mata pelajaran sains lebih banyak disediakan oleh kerajaan berbanding aliran lain. Peluang pekerjaan yang tersedia juga lebih luas dalam bidang sains, teknologi dan kejuruteraan yang pasaran pekerjaannya melangkau sempadan negara. Bagaimanapun, pemilihan kursus yang tidak sejajar dengan kehendak semasa menyebabkan berlaku lambakan graduan yang gagal mendapat pekerjaan bersesuaian dengan bidang pengajian yang mereka ikuti.

Sebelum ini kerajaan telah menetapkan sasaran supaya 60 peratus pelajar sekolah menengah terdiri daripada mereka yang belajar dalam aliran sains. Sekolah akan bertindak sebagai pembekal calon mahasiswa kepada universiti untuk melahirkan modal insan terlatih dalam bidang sains dan teknologi bagi menjayakan agenda pembangunan negara.

Bagaimanapun, agenda itu masih belum tercapai kerana berdasarkan kepada Kajian Hala Tuju Modal Insan Sains dan Teknologi Tahun 2020 seperti yang diumumkan oleh Menteri Pengajian Tinggi menyaksikan peratusan pelajar yang mengambil jurusan sains sejak 2007 terus menunjukkan penurunan sehingga 27 peratus pada2012. Oleh itu, impian kerajaan untuk melahirkan 200,000 jurutera menjelang 2020 masih jauh daripada jangkauan kerana nisbah 60:40 pelajar sains berbanding aliran lain di universiti belum tercapai.

Bagi mengatasi masalah kekurangan calon mahasiswa yang memohon mengikuti pengajian dalam bidang sains di institusi pengajian tinggi (IPT), jumlah pelajar yang lulus

dengan cemerlang dalam subjek berkenaan di peringkat sekolah perlu diperbanyakkan. Mahasiswa yang mempunyai asas sains yang kukuh di peringkat sekolah mampu menjadi graduan yang cemerlang dan menyumbang kepada penghasilan tenaga kerja profesional berkualiti. Sebagai negara yang sedang menuju ke arah negara maju, Malaysia memerlukan ramai sumber tenaga mahir dalam bidang sains. Oleh itu, pihak yang berkenaan perlu mencari alternatif baru agar dapat menarik minat pelajar terhadap mata pelajaran sains. Antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah membangunkan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang dapat menjadikan mata pelajaran berkenaan lebih menarik dan menyeronokkan.

(ii) Pelajar kurang meminati sains Masalah pelajar kurang meminati mata pelajaran sains, matematik dan teknologi turut mendapat perhatian kalangan ahli akademik dan pembuat dasar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Baru-baru ini, UTM dan Institut Teknologi Massachusetts (MIT) bekerjasama untuk menyediakan program bagi membantu kerajaan menjadikan pendidikan sains, matematik dan teknologi lebih kreatif dan inovatif. Bagi tujuan itu, Pengarah Pusat Asas Sistem Kejuruteraan dan Konsortium Rangkaian Pembelajaran Antarabangsa MIT, Prof Richard Larson telah dijemput untuk menyumbangkan idea. Beliau ialah pengasas program Gabungan Pembelajaran Sains atau Matematik (Blended Learning Open Source Science or Math - BLOSSOMS) yang diperkenalkan pada 2002. BLOSSOMS ialah sumber pembelajaran terbuka yang dibiayai oleh beberapa yayasan bukan kerajaan di Amerika Syarikat membabitkan kaedah pembelajaran sains, matematik dan teknologi menggunakan video yang diharap dapat mengatasi masalah pelajar kurang minat terhadap bidang sains dan teknologi di negara ini.

Program berkenaan yang telah dilaksanakan di beberapa negara seperti Arab Saudi, Pakistan, Jordan, Lebanon, India, China serta di sekitar Boston mampu melahirkan pelajar yang berfikir secara lateral dan kreatif. Dalam pada itu, pihak berkuasa di negara Scandinavia menjemput jurutera ke sekolah untuk mengajar subjek berkaitan kejuruteraan bagi menarik minat pelajar terhadap mata pelajaran berkenaan. Sementara itu, Pemegang Kerusi Pembelajaran Berdasarkan Masalah dalam Pendidikan Kejuruteraan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsabangsa Bersatu (UNESCO), Prof Dr Anne Kolmos, berkata usaha perlu ditingkatkan bagi

menarik lebih ramai pelajar, terutama wanita agar tertarik kepada bidang kejuruteraan yang dianggap kotor. Oleh itu, sebagai negara yang sedang berusaha melengkapkan diri menjadi negara maju, Malaysia memerlukan ramai calon mahasiswa yang cemerlang dalam bidang sains, matematik dan teknologi. Sesungguhnya, masalah pelajar kurang minat terhadap subjek berkenaan perlu diatasi segera kerana seperti kata Menteri Pengajian Tinggi, sains adalah asas kepada inovasi dan inovasi pula menjadi asas teknologi dan tranformasi ekonomi negara. Kewujudan aliran sains bermula apabila pelajar memasuki Tingkatan Empat di sekolah menengah. Mereka boleh memilih salah satu aliran yang ditawarkan iaitu aliran sains, kemanusiaan atau vokasional. Bagi pelajar aliran sains tulen mereka dikehendaki mengambil mata pelajaran Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi di samping mata pelajaran teras iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Sejarah dan Pendidikan Agama Islam atau Pendidikan Moral. Kebiasaannya pelajar yang mengikuti aliran sains ini adalah terdiri daripada mereka yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Kemerosotan bilangan pelajar sekolah menengah yang mengikuti aliran sains ini boleh menjejaskan usaha untuk meramaikan siswa mengikuti subjek kritikal di peringkat universiti. Para siswa perlu mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau Matrikulasi untuk membolehkan mereka mengikuti bidang perubatan, farmasi, kejuruteraan, akauntansi dan lain-lain. Sebagai sebuah negara sedang memasuki fasa negara maju bilangan tenaga kerja yang ramai berkelulusan dalam bidang tersebut sangat diperlukan. Mereka akan berperanan menjadi penyelidik, saintis, teknologis, jurutera, perekacipta dan tenaga pengajar di universiti. Itulah sebabnya Kementerian Pelajaran memperkenalkan dasar 60 : 40. Dasar ini mempunyai kaitan rapat dengan usaha menjadikan Malaysia sebagai negara maju melalui slogan Wawasan 2020 yang diperkenalkan lewat 1980an. Tidak dapat dinafikan bukanlah mudah untuk pelajar mendapat kelulusan cemerlang dalam bidang sains kerana ia dikatakan lebih sukar jika dibandingkan dengan mata pelajaran sastera atau kemanusiaan. Ada pelajar yang ingin mendapat keputusan cemerlang dalam

peperiksaan SPM atau STPM akan memilih bidang kemanusiaan atau vokasional walaupun mereka layak mengikuti bidang sains. Dengan keputusan cemerlang dalam peperiksaan itu membolehkan mereka diterima dengan mudah ke institusi pengajian tinggi dan memilih subjek yang mereka minati. Kemerosotan bilangan pelajar aliran sains ini perlu dilihat secara holistik. Ini bermakna untuk mengatasi isu tersebut perlu dilihat dari semua aspek dan melibatkan semua pihak. Dengan ini tidaklah dibebankan kepada sekolah atau guru semata-mata. Isu kekurangan pelajar mengikut aliran sains khususnya di kalangan pelajar bumiputera disedari sejak negara belum mencapai kemerdekaan lagi. Bagi mengatasinya dalam Laporan Razak 1956 mencadangkan penubuhan sekolah berasrama penuh bagi memberi kemudahan kepada pelajar khususnya daripada luar bandar untuk mendapat pendidikan yang terbaik. Justeru wujud, Sekolah Tunku Abdul Rahman, Ipoh; Sekolah Dato Abdul Razak, Tanjung Malim (sekolah asal); Sekolah Sultan Abdul Hamid, Jitra; Sekolah Seri Puteri, Kuala Lumpur dan Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru. Cadangan yang sama dinyatakan dalam Laporan Rahman Talib 1961 berikutannya wujud Sekolah-Sekolah Sains di seluruh negara dan bilangannya kini mencecah hampir 60 buah. Namun demikian sekolah berasrama penuh sahaja tidak dapat menampung keperluan yang ramai bilangan pelajar aliran sains tanpa mendapat sokongan daripada sekolah menengah harian dan sekolah swasta. (iii) Prospek kerjaya terhad Dari segi kerjaya nampaknya bidang profesional seperti doktor, jurutera, ahli farmasi atau akauntan kurang menarik minat sebahagian pelajar kerana dalam masa yang sama terdapat ratusan jenis pekerjaan lain yang boleh dipilih oleh mereka. Melalui kajian-kajian didapati ramai pelajar yang lebih berminat menjadi ahli perniagaan, usahawan, petani, kontraktor, bidang perkhidmatan, bidang hospitaliti seperti masakan, perhotelan, pengendalian restoran dan lainlain. Bidang kerjaya ini bukan sahaja memberi cabaran baru menarik tetapi turut menjanjikan pendapatan lumayan yang boleh mengatasi pendapatan mereka di bidang profesional itu. Dari segi perjawatan pula terutama untuk menjadi ketua atau pegawai kanan dalam sesebuah jabatan atau organisasi sama ada di sektor awam atau swasta termasuk bidang korporat

dan badan politik sebahagian besarnya dimonopoli oleh mereka yang berkelulusan sains sosial atau kemanusiaan. Ini disebabkan mereka mempunyai kelebihan kerana telah mendapat pendedahan awal bidang pengurusan, pentadbiran dan kewangan semasa belajar di universiti. Berbeza dengan mereka yang mengikuti bidang kritikal atau sains tulen di mana lebih fokus dengan kandungan subjek pengajian mereka sahaja. Oleh itu ada pelajar memikirkan lebih baik memilih bidang yang mempunyai masa depan lebih baik dalam kerjaya nanti. Sains adalah satu bidang yang mendapat perhatian tinggi di negara ini. Malah, bidang itu juga dianggap sebagai satu bidang penting untuk mengekalkan pembangunan ekonomi, memperbaiki mutu hidup dan keselamatan negara melalui Dasar Sains Negara. Oleh itu, pelbagai usaha dijalankan supaya bidang sains diterima dan menjadi sebahagian yang penting dalam hidup masyarakat negara ini. Malangnya, setelah sekian lama usaha dilakukan bagi mencapai hasrat itu, kemajuan dan kejayaan dicapai dalam bidang sains di negara ini masih belum dapat dibanggakan. Malah, dalam banyak keadaan, timbul banyak salah faham terhadap bidang berkenaan. Pelajar, malah ibu bapa sendiri beranggapan bahawa bidang atau mata pelajaran sains adalah sukar. Buktinya, laporan Kajian Kesedaran Awam terhadap Sains dan Teknologi (2004) menunjukkan bahawa 42.3 peratus rakyat negara ini berpendapat bahawa mata pelajaran sains adalah sukar. Bagaimanapun, tidak pula dinyatakan apakah bentuk kesukaran itu. Hasil pengamatan penulis, sukar di sini mungkin membawa maksud sukar untuk lulus atau mungkin sukar untuk difahami. Hal itu menimbulkan ketakutan tanpa sebab terhadap bidang dan mata pelajaran sains, terutama di kalangan pelajar Melayu. Bentuk kesukaran itu wajar dibincangkan dengan lebih lanjut. Namun, perbincangan ini hanya akan menyentuh mata pelajaran sains sebagai satu mata pelajaran yang sukar untuk difahami. Persoalannya, kenapakah mata pelajaran sains sukar difahami? Pada pandangan penulis, jawapan mudah kepada persoalan ini adalah mata pelajaran sains dianggap sukar difahami kerana kelemahan dalam kaedah pengajaran dan pembelajarannya. Bagi mengukuhkan kenyataan ini, saya merujuk kembali kepada laporan Kajian Kesedaran Awam terhadap Sains dan Teknologi (2004). Kajian itu mendapati 32.4 peratus penduduk menganggap pengajaran sains dan teknologi adalah terlalu akademik. Dengan kenyataan itu maka wajarlah kita

mengambil perhatian untuk memperbaiki kaedah pengajaran dan pembelajaran sains, terutama pada peringkat sekolah. Jika kaedah pengajaran dan pembelajaran pada peringkat itu sudah mematikan minat pelajar terhadap bidang sains, maka kemungkinan besar minat itu akan terus terkubur. Mungkin atas sebab itulah ramai pelajar kurang berminat melanjutkan pelajaran dalam bidang sains. Buktinya, kita boleh melihat kepada Laporan Petunjuk Sains dan Teknologi Malaysia (2004) yang menunjukkan bahawa pada peringkat universiti, lebih ramai pelajar memasuki bidang sains kemasyarakatan berbanding bidang sains dan teknologi. Persoalan seterusnya yang ingin dibawa adalah, apakah kelemahan dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran sains sehingga gagal menarik minat pelajar terhadap bidang itu? Ada beberapa jawapan yang boleh digariskan di sini. Contohnya, kelemahan mungkin disebabkan kekurangan kemudahan atau mungkin disebabkan bahan dan alat bantu mengajar yang tidak menarik. Selain itu, kelemahan juga boleh dikaitkan dengan bahasa pengantar yang digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran. Kemungkinan besar penyampaian serta penerimaan ilmu tidak begitu lancar kerana kelemahan menguasai bahasa Inggeris di kalangan guru dan pelajar. Kelemahan itu sememangnya boleh memberi kesan kepada minat pelajar dalam bidang sains. Kemungkinan yang lain adalah berkaitan maklum balas dalam kelas. Jika pelajar tidak dapat memberi maklum balas dalam pembelajaran, maka itu juga boleh menimbulkan rasa bosan. Terakhirnya adalah berkaitan daya cipta guru dalam pengajaran. Kaedah pengajaran yang sama pada setiap kali kelas pastinya menimbulkan kebosanan. Berdasarkan kemungkinan itu maka adalah wajar satu revolusi dilakukan bagi mengubah kaedah pengajaran dan pembelajaran sains kini. Pada pandangan penulis, penyampaian ilmu sains (malahan ilmu lainnya) akan menjadi lebih menarik jika wujudnya interaksi atau maklum balas yang pelbagai. Apa yang dimaksudkan di sini adalah, dalam pengajaran dan pembelajaran sains sewajarnya pelajar dibenarkan berinteraksi dengan persekitaran, guru dan rakan sekelas. Lebih tinggi perhubungan itu adalah lebih baik.

Oleh itu, dalam pembelajaran sains, pelajar seharusnya tidak duduk dalam kelas sematamata. Mereka seharusnya digalakkan untuk meneroka persekitarannya. Contohnya, jika mempelajari tumbuh-tumbuhan, pelajar seharusnya diberi peluang untuk melihat, merasai dan mengkaji tumbuhan dalam alam persekitaran. Jika mempelajari mengenai serangga pula, guru boleh membenarkan pelajar mencari serangga dari taman di persekitaran sekolah. Apa yang cuba disampaikan di sini adalah pembelajaran sains akan menjadi lebih menarik jika pelajar tidak hanya duduk dalam kelas. Selain itu, pelajar sepatutnya diberikan banyak tugasan secara berkumpulan. Mungkin guru boleh menetapkan satu-satu tugasan seperti membuat kincir angin daripada botol plastik atau meminta pelajar membuat model kawasan perumahan mereka. Apabila tugasan itu selesai maka pelajar diminta membentangkan hasil tugasan itu di depan kelas. Tugasan secara berkumpulan ini bukan saja baik untuk menggalakkan daya cipta pelajar, juga pergaulan serta membina keyakinan diri. Oleh itu, penekanan terhadap perhubungan atau maklum balas dalam pembelajaran sains adalah sangat penting. Ahli fizik terkenal, K T Compton menyatakan bahawa sains adalah sikap ingin tahu, pemerhatian dan penaklukan mengenai dunia ini. Oleh itu, bagaimanakah kita hendak membentuk sikap ingin tahu, pemerhatian dan penaklukan jika pelajar tidak dibenarkan untuk merasai alam persekitarannya. Perhubungan dengan alam persekitaran akan merangsang semua deria pelajar dan apabila ini berlaku, pembelajaran sains akan menjadi lebih menarik. Apabila pembelajaran menjadi menarik maka minat pelajar terhadap bidang itu akan meningkat. Oleh itu, penting bagi kita melihat semula kaedah pengajaran dan pembelajaran sains masa kini. Kelemahannya wajar diperbaiki supaya tidak mematikan minat pelajar terhadap bidang itu. Sudah kerap kali perkara itu disebut namun sehingga kini masih belum nampak adanya perubahan besar dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran sains. Memang benar ada beberapa perubahan dilakukan seperti menggunakan teknologi maklumat dalam pembelajaran. Namun, kejayaan kaedah itu untuk meningkatkan minat terhadap sains masih diragukan. Jika pelajar hanya belajar melalui teknologi maklumat tanpa wujudnya perhubungan dengan alam maka minat pelajar terhadap bidang sains tetap akan mati akhirnya. Untuk membentuk suasana pembelajaran sains yang menarik, kreativiti guru sangat penting.

Pada masa sama, usaha guru untuk membina kaedah pengajaran yang menarik haruslah mendapat sokongan. Selain itu, dalam membentuk minat terhadap bidang sains juga, ibu bapa punya peranannya. Apa yang diajar di sekolah tidak akan dapat dikembangkan jika tidak mendapat sokongan ibu bapa. Ibu bapa sendiri boleh membawa anak mereka meneroka alam persekitaran. Dengan itu, ibu bapa sudah membentuk sikap suka meneroka yang sememangnya sangat penting dalam bidang sains. Jiwa anak kecil sememangnya suka meneroka persekitaran mereka. Oleh itu, jika kaedah pengajaran dan pembelajaran kini menghalang dan seolah-olah tidak mengiktiraf jiwa atau fitrah anak-anak ini maka kegagalan demi kegagalan akan kita tempuhi. CADANGAN MEMPERKASAKAN BUDAYA SAINS Beberapa strategi baru perlu dirangka untuk membudaya dan memperkasakan sains di kalangan pelajar. Antaranya ialah, satu kumpulan tokoh pemikir hendaklah diwujudkan untuk merangka strategi-strategi tersebut dan mereka perlu menjalani kajian terperinci mengenai status pencapaian pelajar dalam bidang sains. Dengan adanya maklumat ini, kajian dan analisis seterusnya dapat dikembangkan sebelum kesimpulan dan saranan-saranan dapat dibuat untuk membudayakan sains di kalangan pelajar. Tidak dapat dinafikan bahawa terdapat pelajar yang telah meraih kejayaan cemerlang sebagai doktor perubatan, jurutera dan saintis pelbagai bidang sains tetapi jumlahnya adalah masih sedikit dan masih ketinggalan jika dibandingkan dengan negara membangun lain. Untuk membudayakan sains di kalangan pelajar , usaha menyemai minat pelajar dalam bidang sains hendaklah bermula dari sekolah rendah agar mereka menjurus kepada bidang tersebut di peringkat sekolah menengah dan universiti. Selain itu, dicadangkan juga agar bilangan pelajar sekolah dan graduan universiti dalam jurusan Sains ditambah, yang kini jumlahnya dikatakan masih rendah. Di sini, mungkin IPTA harus memainkan peranan penting dengan meningkatkan pengambilan pelajar ke Pusat Asasi yang menyediakan kepada pelajar satu saluran kemasukan ke IPTA dalam jurusan sains. Ke arah membudayakan sains, disarankan juga agar prasarana yang berkaitan dalam membudayakan pendidikan Sains harus dibangunkan atau dinaiktaraf di sekolah-sekolah.

Peruntukan dan bajet mesti diberikan untuk membangunkan keperluan pendidikan sains di sekolah dan IPT Ibu bapa memainkan peranan secara langsung dalam pembelajaran Sains di rumah dan ianya bukan sekadar dalam bentuk dorongan dan sokongan moral sahaja, Sokongan ibu bapa yang lebih meluas dan menyeluruh amat diperlukan bagi membudayakan anak-anak agar menerapkan budaya ilmu sains dalam hidup seterusnya membolehkan mereka menelusuri hidup dengan yakin dan selesa di alaf genomik, robotik, informasi dan nanoteknologi. Sebenarnya, ibu bapa tidak perlu menjadi ahli sains untuk mencapai matlamat ini. Jika kita tahu maksud sains yang sebenarnya, kita akan mendapati bahawa tugas ini adalah sesuatu yang mudah. Dalam kata-kata yang mudah, sains adalah cara kita memerhati dan berfikir tentang alam dan menyampaikan pemikiran itu kepada orang lain. Andai sahaja kita dapat melatih anakanak melakukan ketiga-tiga perkara ini, kita telah menanamkan asas-asas sains dalam diri mereka. Dengan asas-asas ini, mereka akan lebih mudah memahami sains dan ini akan menarik minat mereka terhadap subjek tersebut. Menurut Peter Rillero, kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak berminat terhadap sains apabila mereka diberi peluang untuk bereksperimen dengan sains. Jadi, anak-anak perlu digalakkan untuk memikirkan tentang alam di sekeliling mereka dan berinteraksi dengannya. Pengalaman konkrit yang melibatkan pancaindera mereka seperti menanam benih dan melihatnya bercambah dan tumbuh, memberikan kerangka yang kuat untuk pemikiran abstrak di kemudian hari. Kemahiran-kemahiran empirikal seperti memerhati, mengukur,

mengkategorikan, meramalkan, mengawal pembolehubah, menterjemah data, membuat kesimpulan, menyampaikan dan menghasilkan model adalah kemahiran-kemahiran penting dalam proses sains. Ia bukan sahaja penting bagi kerjaya dalam sains, tetapi juga untuk semua jenis kerjaya dan untuk digunakan dalam kehidupan seharian kita. Masa terbaik untuk memberi pendidikan sains kepada anak-anak ialah ketika mereka berasa ingin tahu tentang persekitaran mereka. Pengalaman-pengalaman yang menggunakan deria seperti merasa, mendengar, menyentuh, melihat dan menghidu, dapat membantu kanakkanak untuk menjadi lebih observant (teliti dalam pemerhatian) dan curious (rasa ingin tahu).

Dikatakan sains bermula bagi kanak-kanak bila mereka menyedari bahawa mereka boleh belajar tentang alam mereka melalui perbuatan mereka sendiri seperti meniup buih sabun boleh menghasilkan belon, menambah sekeping lagi blok menyebabkan struktur itu runtuh dan seumpamanya. Untuk itu, cara terbaik untuk mereka belajar sains ialah dengan bereksperimen dengan sains. Pengalaman yang mereka peroleh sendiri dan perbualan mengenai apa yang berlaku, dapat membangunkan kemahiran sains di kalangan mereka. Oleh itu, antara langkah-langkah yang boleh diambil oleh ibu bapa ialah pertama, perkenalkan anak-anak kepada persekitaran yang memberi stimulasi seperti laut, pantai, paya, taman, lapangan terbang, malah dapur, bilik mandi atau halaman rumah dan berikan mereka peluang untuk memerhati dan berbincang tentang sains. Apabila membawa mereka ke tempattempat ini, ambil masa untuk memerhatikan persekitaran - bangunan, tumbuhan, haiwan, warna dan berbuallah tentang apa yang anda lihat. Kedua, tunjukkan minat kepada minat sains anak-anak anda. Kenal pasti minat anak-anak anda dalam sains dan galakkan mereka. Jika mereka sukakan dinosour, baca buku dinosour, bincang tentang dinosour, bina dinosour dari tanah liat dan lawat muzium yang ada mempamerkan model atau fosil dinosour. Ini akan menambahkan minat mereka. Ketiga, gunakan peluang untuk mengajar sains dengan sebaik-baiknya. Peluang yang baik bukannya mengajar bila kita ingin mengajar tetapi mengajar bila anak ingin belajar. Bila anak anda melihat bunga raya yang cantik dan bertanya tentangnya, gunakan masa ini untuk menambahkan pengetahuannya tentang bunga tersebut. Ini boleh diikuti dengan usaha menanam bunga itu di sekitar rumah dan perhatikan bagaimana ia tumbuh. Dalam kata-kata lain, gunakan masa anak bertanya tentang sains untuk mengajar mereka tentang sains. Keempat beri peluang untuk mereka bereksperimen. Pengalaman yang mereka peroleh sendiri adalah cara terbaik untuk belajar dan ini juga boleh membuatkan mereka berminat tentang sains. Tidak perlu memberikan mereka radas-radas seperti yang ada dalam sebuah makmal sains. Memadai dengan bereksperimen dengan persekitaran mereka. Akhirnya, peruntukkan masa untuk berbincang. Berbincang sebenarnya merupakan satu aktiviti yang amat berpengaruh untuk membuat anak-anak berfikir dan memfokuskan idea

mereka. Galakkan anak-anak bercakap ketika makan atau semasa bersiar-siar atau semasa melakukan sesuatu aktiviti. Melalui perbincangan, kanak-kanak dipaksa untuk membina pemikiran, membentuk konsep-konsep dan menilai saling perkaitan antara idea. Ukuran terhadap perbincangan yang baik bukannya berapa banyak orang dewasa menjelaskan sesuatu kepada kanak-kanak tetapi berapa banyak kanak-kanak itu digalakkan untuk berfikir. Membantu anak anda mendapatkan kemahiran empirikal ini akan menambahkan kejayaan mereka dalam sains. Tetapi bukan itu sahaja matlamat kita. Sebenarnya ini juga dituntut oleh Islam. Di dalam al-Quran, banyak ayat yang menyuruh kita memerhatikan kejadian Tuhan, yang menyuruh kita berfikir dan seumpamanya. Sebagai contoh dalam ayat 46 surah AlHajj, Allah berfirman yang bermaksud, Apakah mereka (manusia itu) tidak mengembara di atas muka bumi ini, supaya mereka dapat mempunyai hati yang dapat mereka gunakan untuk meningkatkan daya pemikiran mereka ataupun supaya mereka mempunyai telinga yang dapat mereka gunakan untuk mendengar segala sesuatu yang ada. Perintah-perintah ini sebenarnya seperti yang terbukti dalam kajian - merupakan asas kepada kemahiran empirikal yang boleh membuatkan kita bukan sahaja berjaya dalam sains tetapi juga menggunakannya dalam kehidupan kita. Fakulti Sains Universiti Putra Malaysia (UPM), yang mana baru-baru ini telah membimbing 100 pelajar sekolah sekitar Serdang berumur 6 sehingga 17 tahun meneroka bidang sains melalui Kelab Tunas Saintis Muda Kelab yang pertama kali ditubuhkan itu bertujuan memupuk minat pelajar dalam bidang sains dengan menggunakan konsep bermain sambil belajar. Menurut Pengerusi Program, Dr. Muskhazli Mustafa berkata program itu mewujudkan keseronokan dalam sains melalui aktiviti-aktiviti yang berkaitan penggunaan dan konsep sains dalam kehidupan seharian pelajar. Penubuhan kelab ini bukan sahaja untuk memenuhi tanggungjawab sosial fakulti terhadap masyarakat malah ia merupakan inisiatif fakulti untuk memberi galakan kepada pelajar sekolah meneroka kerjaya dalam bidang sains. Minat pelajar terhadap sains perlu dipupuk sejak kecil kerana mereka adalah aset negara yang akan menggantikan kita suatu hari nanti. Sementara itu pengetua sekolah seharusnya memperbanyakkan aktiviti pendedahan yang boleh menarik minat pelajar dan memberi keyakinan bahawa mata pelajaran aliran sains adalah

mudah dipelajari serta mempunyai masa depan yang cerah. Peranan guru tidak kurang pentingnya di mana kaedah pengajaran yang menarik minat pelajar hendaklah sentiasa digunakan dan menjadikan subjek itu tidak membebankan. Untuk menarik minat pelajar mengikuti aliran sains mereka seharusnya diberi beberapa keistimewaan di antaranya adalah mendapat bantuan kewangan dan laluan mudah untuk melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi. Selain kerajaan maka badan-badan korporat boleh memainkan peranan dan turut membantu bagi merealisasikan hasrat tersebut. Dengan dorongan ini diharapkan lebih ramai pelajar akan berusaha keras untuk membolehkan mereka ditempatkan dalam aliran sains. Kemerosotan bilangan pelajar jurusan sains di institusi pengajian tinggi (IPT) dan kekurangan graduan cemerlang dalam jurusan sains pula akan membantut matlamat kerajaan yang memerlukan modal insan berkepakaran dalam bidang berkenaan kerana merekalah penentu untuk menjadikan Malaysia sebagai negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020. Bagi menangani masalah itu, terkini cadangan dikemukakan Majlis Profesor Negara (MPN) supaya kerajaan memberikan elaun bulanan sekurang-kurangnya RM200 setiap bulan kepada pelajar sains adalah antara opsyen yang boleh ditimbangkan tetapi penulis berpendapat ia bukanlah jalan penyelesaian terbaik. Cadangan itu memerlukan kajian mendalam kerana ia bukan saja membabitkan peruntukan tinggi, malah dikhuatiri ia boleh mencetuskan masalah lain di kalangan pelajar.

Apakah dengan pemberian wang, ianya mampu menarik minat dan kecenderungan pelajar untuk mengikuti jurusan sains? Apa yang dibimbangkan, langkah itu akan mewujudkan amalan diskriminasi di kalangan pelajar aliran sains dan sastera, terutama yang cemerlang. Cadangan itu juga dibimbangi akan melahirkan generasi manja, lemah dan tidak mempunyai jati diri. Pemberian ganjaran kepada semua pelajar tanpa mengira cemerlang atau sebaliknya boleh dianggap merendahkan moral individu berkenaan walaupun niat asalnya baik iaitu sebagai dorongan supaya memilih bidang lebih mencabar. Cadangan MPN itu berbeza dengan pemberian biasiswa kerana penerima biasiswa dipilih berdasarkan merit dan diberi kepada pelajar cemerlang serta berkelayakan. Sekiranya cadangan itu mahu dilaksanakan, suatu mekanisme perlu diwujudkan bagi menentukan kriteria pelajar yang layak seperti menggunakan sistem

meritokrasi atau mewajibkan pelajar menduduki peperiksaan khas. Apa pun, satu kajian menyeluruh perlu dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kemerosotan pelajar sains. Jika pasaran kerjaya terhad menjadi punca, kerajaan harus mengambil langkah memastikan pelajar sains mendapat jaminan pekerjaan apabila tamat pengajian.

KESIMPULAN Pembudayaan sains bermula pada peringkat prasekolah perlu diberi perhatian khusus sekiranya negara ini ingin melahirkan aplikasi sains dan teknologi sendiri pada masa depan. Walaupun usaha ini memerlukan kesabaran dan masa yang panjang namun kesannya lebih baik dan sempurna. Kerjasama, komitmen dan kesungguhan dari semua pihak perlu diraikan untuk merumuskan suatu Dasar Pembudayaan Sains yang lebih menyeluruh. Pembudayaan sains yang menyeluruh patut dikembangkan secara sistematik dari peringkat prasekolah, sekolah rendah, menengah dan pada peringkat Institusi Pengajian Tinggi. Justeru itu pihak pemerintah perlu melaksanakan dasar pembudayaan sains yang jelas agar usaha ini berlaku secara bersepadu.

RUJUKAN

Kajian Pelan Hala Tuju Modal Insan Sains dan Teknologi Tahun 2020 Khalijah Mohd. Salleh (Ed.) 1995.Methods of Teaching, Learning and Evaluation, Faculty of the Physical and Applied Sciences, Universiti Kebangsaan Malaysia Syed Muhammad Naquib, Islam and Secularism. Kuala Lumpur: ABIM Dewan Siswa April 2012

Anda mungkin juga menyukai