Anda di halaman 1dari 14

BAB 2

KEPINTARAN DAN PINTAR CERDAS BERBAKAT:


DEFINISI DAN MAKNA
Rosadah Abd Majid
Noriah Mohd Ishak
Melor Mohd Yunos
PENGENALAN

ita sering mendengar orang menyebut perkataan pintar. Sehubungan itu kita juga
sering mendengar orang menyebut perkataan pintar cerdas. Kedua-dua istilah
tersebut, pintar dan pintar cerdas sering dikaitkan dengan segolongan pelajar
atau individu yang mempamerkan ciri-ciri tertentu. Namun adakah kita benar-benar
memahami apakah yang dimaksudkan oleh istilah tersebut. Bab ini akan menerangkan
dan membincangkan makna istilah-istilah tersebut, dan makna istilah-istilah yang sering
dikaitkan dengan kedua-dua istilah itu, seperti berbakat, tidak mencapai tahap, dan
kemampuan kognitif. Ada kalanya pelajar terbabit dirujuk pula sebagai pelajar pintar
cerdas berbakat (PCB). Dinamika penggunaan istilah yang bercampur aduk sering
mengundang kekeliruan dalam kalangan mereka yang mendalami pengkajian untuk
memahami bidang ini. Sebelum itu adalah penting bagi pembaca untuk memahami
konteks yang meletakkan kepentingan yang tinggi terhadap pendidikan untuk pelajar
pintar cerdas. Justeru bab ini dimulakan dengan latar belakang yang merupakan sandaran
asas atau punca kepada cetusan perkembangan bidang ilmu ini.
Latar Belakang Pendidikan Pintar Cerdas
Negara-negara yang mempunyai tamadun purba terawal seperti Cina, Athens, Jepun,
dan Rom, telah lama memberi perhatian terhadap individu berbakat. Di Cina semasa
pemerintahan dinasti Tang, kanak-kanak yang berbakat prodigies telah dihantar
ke institusi khusus untuk belajar sesuatu ilmu tertentu yang dianggap penting kepada
masyarakat pada waktu itu. Antara mereka ada yang dihantar untuk mempelajari
sistem perundangan negara sejak dari kecil lagi. Masyarakat Rom pula mementingkan
pengembangan ilmu seni bina, kejuruteraan, perundangan dan pentadbiran. Di Athens,
individu yang pintar cerdas dan berbakat dalam aktiviti lasak dipilih untuk mengikuti
program di Akademi Plato secara percuma (Davis & Rimm 2003). Di sekitar tahun
1604-1868, terdapat beberapa institusi pendidikan swasta di Jepun yang menyediakan

20 /

PERMATApintar Negara : Pengalaman UKM

perkhidmatan pendidikan kepada individu yang pintar cerdas dari golongan bangsawan
dan juga dari kalangan rakyat biasa.
Sejarah pendidikan di Amerika Syarikat memaparkan betapa sistem pendidikan di
negara tersebut telah dikecam hebat selepas Russia melancarkan satelitnya yang pertama,
Sputnik pada tahun 1957 (Davis & Rimm 2003). Sistem pendidikan Amerika Syarikat
dikatakan tidak memberi perhatian yang sewajarnya kepada individu yang berpotensi
atau yang pintar cerdas dan berbakat. Perkara ini telah merugikan Amerika Syarikat
yang akhirnya kalah dalam persaingan dengan seterunya pada ketika itu, iaitu Russia.
Selepas peristiwa tersebut, Amerika Syarikat telah mengambil tindakan yang lebih serius
untuk membangunkan potensi rakyatnya melalui sistem pendidikan di negara tersebut,
khasnya pendidikan pintar cerdas dan berbakat.
Sehingga kini banyak negara lain turut memberi perhatian khusus terhadap
pendidikan pintar cerdas dan berbakat. Antaranya ialah negara Australia, Austria,
Belgium, Brazil, Bulgaria, tanah besar China, Columbia, Croatia, republik Dominica,
Mesir, United Kingdom, Finland, Perancis, Jerman, Guam, Hong Kong, Hungary, India,
Indonesia, Israel, Jepun, Korea, Latvia, Mexico, Belanda, Filipina, Poland, Romania,
Russia, Saudi Arabia, Scotland, Singapore, Slovakia, Slovenia, Afrika Selatan, Sepanyol,
Sweden, Switzerland, Taiwan, Ukraine, dan Wales (Davis & Rimm 2003).
Pelajar Pintar Cerdas dan Pendidikan
Piirto (1999) berpendapat bahawa sejak dari zaman Plato lagi, falsafah tentang sebuah
masyarakat yang ideal ialah sebuah masyarakat di mana setiap ahlinya memberikan
khidmat kepada masyarakat berdasarkan kemampuan atau potensi yang ada pada diri
masing-masing. Plato juga berpendapat bahawa setiap individu mempunyai keupayaan
atau potensi tertentu. Sternberg (1991) menyarankan bahawa golongan PCB adalah
antara sumber semula jadi utama sesebuah negara di samping sumber-sumber semula
jadi yang lain. Malaysia, seperti juga negara-negara lain di dunia, mempunyai aset
individu atau rakyat yang boleh dikategorikan sebagai PCB. Sumber ini perlu diberi
perhatian dengan sebaik-baiknya dalam usaha untuk membina tamadun negara.
Namun
setakat ini kepentingan pendidikan untuk golongan PCB jarang diperkatakan dalam
masyarakat Malaysia.
Piirto (1999) juga berpendapat sekiranya pendidikan untuk pelajar PCB tidak
disediakan, yang rugi bukannya pelajar PCB dari golongan yang berada tetapi para
pelajar PCB yang datangnya dari golongan yang tidak berada. Golongan yang berada
mampu menyediakan persekitaran yang sesuai lagi terancang dalam membantu dan
menyokong perkembangan pelajar PCB. Namun bagi pelajar-pelajar PCB yang
kurang berada mereka kurang bernasib baik kerana persekitaran mereka hanya sekadar
memenuhi keperluan hidup. Persekitaran ini jauh berbeza daripada persekitaran pelajarpelajar yang lebih berkemampuan, yang mendorong mereka mencapai kecemerlangan
dalam pelbagai bidang termasuk bidang akademik. Tanpa program pendidikan yang
dirancang khas untuk pelajar-pelajar PCB di sekolah-sekolah, pelajar-pelajar PCB yang

Kepintaran dan pintar cerdas berbakat: Definisi dan makna

/ 21

kurang berada tidak berpeluang mendapat sokongan, bantuan serta adaptasi pendidikan
yang diperlukan untuk perkembangan mereka secara optimum.
Pelajar-pelajar PCB juga terdapat dalam kalangan pelajar-pelajar khas yang
mempunyai pelbagai kategori keistimewaan (Gallagher & Gallagher 1994). Ini
merujuk kepada golongan yang mempunyai keistimewaan yang pelbagai, atau multiple
exceptionalities. Pelajar-pelajar PCB terdapat dalam kalangan pelajar dalam kategorikategori keistimewaan seperti berikut; masalah penglihatan, masalah pendengaran,
masalah fizikal, masalah pembelajaran, masalah emosi serta tingkah laku, dan juga
dikalangan pelajar pemulihan. Pendidikan untuk pelajar yang pintar cerdas menuntut
agar para guru memahami hakikat kewujudan pelajar-pelajar PCB dalam semua kategori
tersebut. Para guru perlu merancang dan menangani pengajaran dan pembelajaran
untuk pelajar PCB dari golongan khas dengan berkesan. Ini penting untuk memastikan
perkembangan bakat mereka tidak terbantut disebabkan oleh ciri-ciri keistimewaan
yang ada pada diri mereka.
Kepentingan Pembangunan Modal Insan Negara
Milgram (2000) merujuk kepada Feldhusen sebagai menyatakan bahawa sehingga ke
hari ini perubahan yang besar telah berlaku dalam bidang pendidikan untuk pelajar
pintar cerdas dan berbakat. Cabaran kepada pendidik dalam bidang pintar cerdas dan
berbakat bukan lagi untuk menentukan siapakah pelajar PCB berlandaskan ukuran darjah
kecerdasan atau IQ. Sebaliknya pendidik PCB dilihat berperanan untuk mengenalpasti
potensi serta bakat-bakat atau abilities and talents tertentu yang ada pada diri setiap
pelajar. Bakat-bakat tersebut terdapat dalam pelbagai domain yang bermanfaat dan
bernilai kepada masyarakat. Domain atau bidang-bidang tersebut ialah; akademik, seni,
muzik, matematik, kepemimpinan, sukan, drama, penulisan kreatif, literasi komputer,
dan penguasaan berbahasa (Milgram 2000).
Setiap rakyat Israel dianggap sebagai aset kepada negara tersebut. Ini adalah
kerana Israel sedar bahawa sumber semula jadinya seperti hasil galian dan hasil tanaman
adalah terhad (Milgram 2000). Justeru ia meletakkan kebergantungan yang tinggi
terhadap setiap individu rakyatnya untuk pembangunan negara. Setiap individu dikenal
pasti potensinya sejak dari bangku sekolah lagi. Pendidikan untuk pelajar-pelajar pintar
cerdas di Israel telah mula diperkenalkan sejak tahun 1961. Pendidikan tersebut telah
mengalami perkembangan yang pesat pada awal tahun 70 han sehingga ke hari ini. Pada
hari ini terdapat ramai ahli-ahli akademiknya yang dikenali diperingkat antara bangsa.
Wu (2000) melaporkan negara Taiwan juga mempunyai pandangan yang sama
dalam hal ini. Taiwan sebagai sebuah pulau yang mempunyai sumber semulajadi yang
terhad, memberi tumpuan khusus terhadap usaha-usaha untuk memperkembangkan
sumber kepakaran tenaga manusia. Menurut Wu (2000), pendidikan untuk pelajar-pelajar
pintar cerdas di Taiwan telah bermula sejak tahun 1962 lagi di sekolah-sekolah biasa
dalam bentuk kelas-kelas khas. Jepun pula mempunyai program untuk mengenalpasti
pelajar-pelajar yang cemerlang dalam bidang sains dan matematik untuk dimasukkan
ke dalam program robotik. Namun pendekatan pendidikan di negara tersebut masih

22 /

PERMATApintar Negara : Pengalaman UKM

dibendung oleh falsafah bangsanya yang mengutamakan prinsip sama rata dan kerja
berkumpulan. Masyarakat Jepun kurang selesa untuk menonjolkan seorang pelajar yang
cemerlang mengatasi kumpulan pelajar yang ramai. Oleh itu pendidikan pintar cerdas
di Jepun tidak dilaksanakan secara terperinci dan terancang. Sehubungan itu, didapati
Jepun agak terkebelakang dalam menghasilkan paten dan dalam memenangi hadiah
Nobel jika dibandingkan dengan negara-negara maju yang lain (Cooper 1999).
DEFINISI ISTILAH
Setelah dilihat betapa penting dan perlunya dibangunkan kesedaran tentang pendidikan
pintar cerdas, justeru segala istilah yang berkaitan yang sering ditemui dalam
penulisan atau karya ilmiah berkaitan dengan pendidikan pintar cerdas, perlu dihurai
dan diperjelaskan dengan baik. Bagi mengelak kekeliruan yang mungkin timbul dari
kecelaruan dalam penggunaan istilah, berikut diberikan ringkasan definisi beberapa
istilah penting yang sering ditemui dalam bahan-bahan bacaan berkaitan dengan pintar
cerdas dan berbakat. Istilah-istilah tersebut ia lah; kepintaran, darjah kecerdasan (DK),
berbakat, pintar cerdas, tidak mencapai tahap, dan kemampuan kognitif.
Pelbagai Definisi Kecerdasan
Sebelum membincangkan maksud istilah kecerdasan adalah lebih baik untuk difahami
maksud istilah kepintaran. Pintar atau smart merujuk kepada sesuatu tingkah laku
atau kemahiran yang diperaku sebagai bijak atau cerdik sifatnya. Tingkah laku atau
kemahiran tersebut membuktikan kecekapan berfikir sipelakunya. Justeru orang
yang mempamerkan tingkah laku yang pintar (smart) dikatakan orang yang cerdas
(intelligent). Ini memberi dua keadaan di mana kedua-dua istilah ini digunakan. Individu
yang mampu mempamerkan tingkah laku atau kemahiran yang pintar dikatakan seorang
individu yang mempunyai kecerdasan. Lantaran itu, pintar merujuk kepada tingkah laku
bijak sipelakunya yang sangat cerdas. Kecerdasan pula merujuk kepada kemampuan
mental seseorang yang semula jadi (innate mental ability).
Istilah kecerdasan atau Intelligence mempunyai pelbagai makna menurut beberapa
pandangan pengkaji-pengkaji terdahulu. Paling mudah, kecerdasan merujuk kepada
tahap kemampuan seseorang untuk memahami daripada apa yang dilihat, dialami,
dan didengari. Apabila seseorang itu boleh memahami sesuatu yang lebih abstrak dia
dikatakan mempamerkan tahap kecerdasan yang lebih tinggi. Kecerdasan juga sering
dirujuk sebagai kemampuan seseorang untuk menaakul, menyelesaikan masalah,
menggunakan bahasa, dan untuk mempelajari sesuatu. Burt (1931) menyatakan bahawa
kecerdasan ini adalah sesuatu yang semula jadi atau innate.
Wechsler (1994) pula mencadangkan makna kecerdasan sebagai kemampuan
umum seseorang untuk bertindak secara bermatlamat, berfikiran rasional, dan bertindak
dengan berkesan dalam menangani persekitarannya. Bagi Sternberg (2003), apa yang
penting dalam mendefinikan kecerdasan ialah pada aspek tingkah laku yang dipamerkan.

Kepintaran dan pintar cerdas berbakat: Definisi dan makna

/ 23

Justeru beliau merujuk kepada kecerdasan sebagai tingkah laku adaptif yang menjurus
kepada pencapaian matlamat yang positif.
Gardner (1983) melihat kecerdasan dari sudut kemampuan individu untuk berfikir.
Oleh itu beliau merujuk kepada kecerdasan sebagai kompetensi atau kecekapan untuk
menyelesaikan masalah yang genuine atau asli, dan kadang kala ia turut menghasilkan
sebuah produk yang berkesan. Gardner turut mencadangkan bahawa individu pintar juga
berkemampuan untuk mencari atau mencipta masalah yang menjurus kepada cetusan
penemuan ilmu baru.
Turut membicarakan tentang istilah kecerdasan ia lah Feurstein (1990). Beliau
menggabungkan istilah kognitif dalam menghuraikan makna kecerdasan. Lantas Feurstein
mendefinisikan kecerdasan bersandarkan kepada teori Keanjalan Struktur Kognitif
(Theory of Structural Cognitive Modifiability). Ini merujuk kepada keunikan minda
manusia untuk mengubah struktur kefungsian kognitifnya agar boleh mennyesuaikan
diri dengan perubahan permintaan suasana atau situasi yang sentiasa berubah.
Ukuran Tahap Kecerdasan
Apabila membincangkan tentang kecerdasan atau kepandaian seseorang, kita sering
disogokkan dengan satu singkatan yang amat popular ia itu IQ. Namun apabila ditanya
apakah maksud atau makna IQ yang disebut itu, tidak ramai yang berjaya memberikan
penghuraian yang menepati makna singkatan tersebut. Bacaan dan rujukan tentang
pintar cerdas memberikan maklumat kepada kita tentang kritikan yang ditujukan kepada
penggunaan ukuran IQ bagi mengenalpasti pelajar pintar cerdas.
Antara hujah kepada kritikan tersebut menyentuh ketidakadilan dalam membuat
keputusan dalam memberi peruntukan pendidikan pintar cerdas kepada seseorang pelajar.
Seorang pelajar yang mempunyai ukuran IQ yang menepati ukuran yang ditetapkan
sebagai pintar cerdas dan layak mengikuti pendidikan tersebut, sudah tentu tidak timbul
isu tidak adil kepadanya. Namun bagi mereka yang tidak mencapai tahap ukuran IQ
yang ditetapkan, dan hanya mendapat ukuran yang kurang 2 atau 3 poin di bawah tahap
ukuran yang ditetapkan, adakah kita akan menidakkan peruntukan pendidikan untuk
pelajar ini dan mengatakan bahawa dia tidak pintar cerdas?
Bagi menangani isu ini, pandangan yang sering diberikan ialah perlu wujud sistem
identifikasi yang menyeluruh dalam mengenalpasti pelajar pintar cerdas agar semua
aspek perkembangan yang positif turut diambil kira dan tidak hanya membataskan kepada
penggunaan keputusan ujian IQ semata-mata. Sistem identifikasi yang menyeluruh
dicadangkan perlu mengambilkira produk (Renzulli 1999) yang telah dihasilkan oleh
pelajar, aspek sosio emosi pelajar, aspek motivasi dan komitmen, dan aspek ciri-ciri
kreatif pelajar.
Dalam pada itu, Delisle (2000) merujuk kepada kenyataan Linda Kreger Silverman
yang menyatakan bahawa sekiranya ukuran IQ seseorang itu menunjukkan bahawa dia
adalah seorang yang pintar cerdas, memang wajar diterima hakikat tentang kemampuan
aras tinggi yang dipamerkan oleh individu terbabit dalam melakukan penakulan abstrak.
Justeru tidak timbul isu apabila dia layak mengikuti pendidikan pintar cerdas dan oleh

24 /

PERMATApintar Negara : Pengalaman UKM

itu menggunakan ujian IQ untuk pelajar tersebut adalah wajar. Apa yang dikhuatiri oleh
Silveman ialah terdapat pelajar yang cerdas tetapi tidak layak mengikuti pendidikan
pintar cerdas kerana keputusan ujian IQ nya yang kurang daripada skor IQ yang
ditetapkan.
Timbul persoalan di sini adakah mereka ini sebenarnya memang tidak layak, atau
ujian itu yang tidak sepatutnya dijadikan hanya satu-satunya kayu pengukur untuk menilai
kecerdasan seseorang. Mungkin pelajar terbabit hanya kurang dua mata daripada skor
yang ditetapkan. Namun dia merupakan seorang yang bermotivasi tinggi atau seorang
yang komited dalam tugasnya. Namun kedua-dua ciri tersebut tidak diukur oleh ujian
IQ. Justeru

adakah kita akan menidakkan peluang pelajar berkenaan mengikuti program


pendidikan pintar cerdas. Hakikatnya adalah lebih adil sekiranya ujian IQ tidak dijadikan
satu-satunya penentu kelayakan seseorang pelajar untuk mengikuti pendidikan pintar
cerdas. Sewajarnya beberapa aspek penilaian perlu diambil kira dalam menentukan
kelayakan tersebut.
Bagi mengenalpasti pelajar untuk mengikuti program PERMATApintar buat kali
pertama ini, ujian yang setara dengan ujian IQ telah digunakan dan ianya ditadbir secara
dalam talian. Langkah ini telah diambil dengan penuh sedar tentang peri pentingnya
pelbagai kaedah untuk mengenalpasti pelajar pintar cerdas dan tidak terbatas kepada ujian
IQ sahaja. Semua ini seperti yang kita telah sedia maklum termaktub dalam penulisan
tentang identifikasi pelajar pintar cerdas. Namun dalam usaha PERMATApintar untuk
menyaring seramai mungkin pelajar dalam kohort umur 9-15 tahun, aspek pelbagai
penilaian untuk tujuan mengenalpasti ini tidak mungkin dapat dilaksanakan. Keterbasan
yang menghadkan proses ini termasuk kekurangan individu berkemahiran untuk
melaksanakan.
IQ adalah singkatan kepada istilah Intelligence Quotient. Istilah ini dalam Bahasa
Melayu disebut sebagai Darjah Kecerdasan (DK). Ia merujuk kepada pengukuran
tahap kemampuan mental seseorang. DK adalah nilai hasil darab 100 dengan nisbah
umur mental kepada umur hayat (umur sebenar). Umur mental merujuk kepada ukuran
pencapaian seseorang dalam sesuatu ujian yang setara dengan ukuran norma yang telah
dicapai oleh individu dalam kumpulan umur tersebut. Rumus untuk DK adalah seperti
berikut:
DK = UM (Umur Mental) X 100
US (Umur Sebenar)
Lantaran daripada kiraan rumus ini kita akan memperolehi ukuran darjah
kepintaran atau kecerdasan seseorang. Bagi seseorang yang memperolehi ukuran Umur
Mental yang sama seperti ukuran Umur Sebenar (UM=US), dia akan memperolehi
ukuran DK sebanyak 100 (DK=100, atau IQ = 100). Ini bermakna kefungsian mental
individu ini adalah pada tahap kefungsian purata individu yang sama umur dengannya.
Sebaliknya, sekiranya Umur Mental seseorang itu lebih besar daripada Umur Sebenar
(UM > US), ukuran DK nya akan menjadi melebihi 100 (DK > 100, atau IQ > 100). Ini
berlaku apabila individu terbabit berupaya mendapat pencapaian skor dalam ujian DK

Kepintaran dan pintar cerdas berbakat: Definisi dan makna

/ 25

setara dengan individu yang berumur lebih tua daripadanya. Misalnya seorang pelajar
berumur 9 tahun mendapat pencapaian skor dalam ujian DK yang setara dengan purata
skor untuk pelajar berumur 12 tahun. Dalam kes ini pelajar itu dikatakan mempunyai
DK= 133 (IQ = 133).
Istilah-Istilah yang Sering digunakan
Bahagian ini membincangkan makna istilah-istilah yang sering diguna pakai dalam
penulisan ilmiah berkaitan pintar cerdas berbakat. Antara istilah-istilah berikut ialah
berbakat, pintar cerdas, pintar cerdas berbakat, tidak mencapai tahap, kemampuan
kognitif, dan pembezaan.
Berbakat: Gifted merujuk kepada keadaan seseorang yang mempunyai potensi
untuk menjadi cemerlang dalam bidang-bidang tertentu sama ada dalam bidang
akademik atau dalam bidang bukan akademik. Menurut Gagne (1995) seseorang itu di
anggap berbakat dalam bidang-bidang tertentu apabila dia menampakkan potensinya
dalam bidang tersebut. Kadang-kadang pencapaiannya dalam bidang itu belum terbukti
cemerlang.
Pintar cerdas: Talented ialah keadaan seseorang yang berbakat berjaya menempa
kecemerlangan dalam domain-domain bakatnya pada peringkat-peringkat tertentu
(Gagne 1998; Piirto 1999). Pintar cerdas berpunca dari suatu sifat semula jadi yang ada
dalam diri seseorang (Piirto 1999). Individu pintar cerdas ialah individu yang berbakat.
Seseorang yang berbakat belum pasti akan menjadi seorang yang pintar cerdas. Banyak
faktor mempengaruhi laluan seseorang itu daripada berbakat menjadi pintar cerdas
(Gagne 1998; Piirto 1999). Seseorang yang dianggap pintar cerdas dalam sesuatu bidang
tertentu ialah seorang yang berbakat dan juga cemerlang dalam bidang tersebut
Pintar Cerdas Berbakat (PCB): Gifted and talented (GAT) satu kategori umum yang
merangkumi semua jenis bakat atau kecerdasan di kalangan individu. Istilah ini sering di
pakai dalam penulisan-penulisan ilmiah yang dirujuk untuk kajian ini. Terdapat banyak
penulisan yang menggunakan istilah GAT atau TAG bagi merujuk kepada sekumpulan
pelajar yang berpotensi menjadi cemerlang dalam bidang-bidang tertentu. Pada waktu
yang sama, istilah ini juga ada kalanya digunakan untuk merujuk kepada pelajar yang
telah terbukti cemerlang dalam bidang-bidang tertentu. Ringkasnya PCB merupakan satu
trait sama ada masih dalam bentuk potensi atau sudah menempa kecemerlangan pada
tahap-tahap tertentu. Renzulli (2002) menyatakan bahawa PCB tidak merujuk kepada
satu sifat yang tetap atau kekal. Sebaliknya PCB sentiasa berubah mengikut keadaan
dan persekitaran. Ada kalanya persekitaran akan menyumbang kepada perkembangan
individu menjadi pintar cerdas (talented) daripada keadaannya yang asal yang dikenali
sebagai berbakat (gifted).
Tidak mencapai tahap (TMT): Underachievement ia itu fenomena seseorang yang
gagal mencapai kecemerlangan setanding dengan bakat atau potensinya (Dewan Bahasa
dan Pustaka 1997). Ia juga didefinisikan sebagai jurang diantara pencapaian pelajar di
sekolah dengan keupayaan pelajar berkenaan (Rimm 1997).
Kemampuan Kognitif: Merujuk kepada kemahiran dan pemprosesan mental

26 /

PERMATApintar Negara : Pengalaman UKM

seseorang untuk menyelesaikan tugasan yang melibatkan pemikiran. Ini merupakan


tahap serta kemahiran pemprosesan maklumat diminda seseorang. Pemprosesan
maklumat tersebut merangkumi daripada yang paling mudah kepada yang paling
kompleks. Sekiranya kemampuan kognitif tidak dipergunakan, kemampuan tersebut
akan terhapus. Sebaliknya sekiranya kemampuan kognitif sering digunakan ia akan
menjadi bertambah baik.
Pembezaan: Differentiation adalah satu pendekatan untuk menyesuaikan pengajaran
dan pembelajaran dengan keperluan pelajar yang pelbagai, termasuk pelajar pintar
cerdas dan berbakat. George (1992) mendefinisikan pembezaan sebagai proses untuk
mentaksir keperluan pelajar dan menyesuaikan pengalaman belajar dengan keperluan
tersebut. Justeru, pendekatan ini berusaha untuk memberi cabaran yang sesuai dengan
keperluan pembelajaran pelajar pintar cerdas dan berbakat agar pembelajaran mereka
berlaku secara optimal.
KERANGKA TEORI BERASASKAN MODEL BERBAKAT
DAN PINTAR CERDAS GAGNE
Model ini adalah hasil usaha Gagne (1995) untuk mengurangkan kecelaruan yang
timbul kerana penggunaan perkataan berbakat dan perkataan pintar cerdas secara
bebas dan bercampur aduk (rujuk Rajah 1). Perkara ini mengundang masalah apabila
maksud perkataan-perkatan atau istilah-istilah yang digunakan tidak jelas. Menurut
Gagne seseorang itu mungkin dilahirkan dengan aptitud atau kecenderungan semula
jadi untuk melakukan sesuatu. Domain-domain aptitud adalah pelbagai termasuk aspek
intelek, penghasilan kreatif, kepimpinan berserta interpersonal, dan psikomotor. Aptitud
merujuk kepada potensi kecekapan (innate competency) seseorang untuk melakukan
sesuatu. Ia mungkin ciri semula jadi seseorang atau mungkin juga ciri yang dipelajari.
Bila dikatakan ianya kompetensi atau potensi kecekapan seseorang, ia berbeza daripada
pencapaian yang merujuk kepada kemampuan hasil daripada usaha pembelajaran formal.
Justeru menurut Gagne(1995) aptitud adalah bakat semula jadi.
Individu yang berbakat semula jadi atau yang mempunyai aptitud yang tinggi
dalam domain-domain tertentu yang berguna kepada masyarakat, akan berkembang
menjadi individu pintar cerdas. Ini adalah natijah daripada proses perkembangan yang
dipacu oleh pemangkin-pemangkin yang membantu. Pemangkin tersebut boleh jadi
dari unsur intrapersonal dan juga dari unsur persekitaran. Model ini meletakkan teras
kepentingan terhadap proses perkembangan yang meliputi pembelajaran, latihan, dan
percubaan. Justeru bagi individu yang asalnya berbakat (gifted) akan menjadi pintar
cerdas (talented) apabila melalui proses perkembangan tersebut yang turut dipacu oleh
pemangkin-pemangkin intrapersonal dan persekitaran. Misalnya, seorang anak yang
mempunyai potensi atau aptitud intetelek yang tinggi akan berjaya mendapat keputusan
yang cemerlang dalam peperiksaannya. Dia mungkin berada pada kedudukan 5% teratas
dalam kumpulan yang seumur dengannya dalam keputusan peperiksaan tersebut. Justeru
dia boleh dianggap sebagai pelajar pintar cerdas akademik pada ketika itu. Sebaliknya

Kepintaran dan pintar cerdas berbakat: Definisi dan makna

/ 27

mungkin ada pelajar yang juga mempunyai aptitud yang tinggi dalam domain intelek,
namun dia tidak termasuk dalam kelompok 5% teratas. Ini mungkin disebabkan oleh
masalah dalam proses perkembangan yang dilalui yang kurang membantu ke arah
pencapaian tersebut.
Mungkin juga fenomena ini
berlaku disebabkan oleh kekurangan
pada pemangkin-pemangkin. Antaranya persekitaran yang tidak membantu, sifat dan
sikap diri yang berpegang pada nilai yang salah atau minat yang lebih memberi tumpuan
kepada perkembangan diri dalam bidang lain seperti dalam bidang sukan misalnya.

28 /

PERMATApintar Negara : Pengalaman UKM

KONSEP PINTAR CERDAS PERMATApintar Negara


Berikut dibincangkan konsep atau pengertian istilah pintar cerdas yang mendasari
program PERMATApintar Negara. Gambar rajah di bawah menggambarkan konsep
tersebut.

RAJAH 2: Konsep Pintar Cerdas Program PERMATApintar


Konsep Pintar Cerdas Program PERMATApintar Negara percaya bahawa individu
pintar cerdas dilahirkan dengan kemampuan semula jadi (SJ) yang unik. Ini digambarkan
oleh bulatan paling tengah di dalam kerangka konsep. Ia dirujuk sebagai kemampuan
dalaman yang lahir secara semula jadi atau innate ability yang juga boleh dikaitkan
dengan kandungan genetik kekeluargaan. Kemampuan ini adalah dalam pelbagai
domain. Namun program PERMATApintar buat masa ini membataskan pencarian
pelajarnya, berasaskan kepada kemampuan domain kognitif. Pandangan tentang elemen
kemampuan semula jadi adalah selari dengan pandangan Piirto (1999) yang meletakkan
genetik sebagai dasar kepada perkembangan individu pintar cerdas berbakat. Justeru
model ini melihat SJ sebagai elemen asas kepada perkembangan individu pintar
cerdas.
Kemampuan dalaman semula jadi boleh dilihat daripada tindakan serta tingkah
laku yang berprestasi tinggi khususnya dalam tingkah laku yang memerlukan kemahiran
kognitif. Ini termasuk kebolehan manaakul (reasoning), menyelesaikan masalah, dan
merancang. Kemampuan kognitif yang baik turut dipamerkan menerusi kepantasan
belajar dan kecekapan dalam menguruskan maklumat yang telah dipelajari.

Kepintaran dan pintar cerdas berbakat: Definisi dan makna

/ 29

Seseorang yang mempunyai kemampuan kognitif yang tinggi tidak sentiasa,


pada setiap ketika boleh dianggap pintar cerdas. Seseorang itu dianggap pintar cerdas
sekiranya dia bukan sahaja memiliki kemampuan kognitif yang tinggi bahkan boleh
menggunakan kemampuan tersebut dengan baik. Dia dikatakan berada dalam keadaan
pintar cerdas seperti yang digambarkan oleh bulatan kedua (KP). Namun individu
terbabit kadang kala berhadapan dengan situasi di mana dia terhalang daripada peluang
untuk menggunakan kemampuan semula jadinya yang berprestasi tinggi itu. Justeru
dia tidak berpeluang untuk mempamerkan kemampuan atau potensinya untuk berada
dalam keadaan pintar cerdas. Ini kerana keadaan atau persekitarannya tidak menyokong
keperluan pembelajarannya (Gagne 1995, Piirto 1999). Lantaran itu, individu terbabit
tidak akan mempamerkan sifat pintar cerdasnya sekiranya persekitarannya tidak
menyokong penggunaan kemampuan semula jadi yang ada pada dirinya.
Sifat pintar cerdas akan hanya menyerlah apabila adanya persekitaran yang sesuai
lagi menyokong kepada pembangunan sifat tersebut. Sokongan yang dimaksudkan
boleh diberi menerusi pelbagai pendekatan pembelajaran seperti pengayaan, pecutan,
dan pemampatan kurikulum. Apa yang diperlukan ialah pengajaran dan pembelajaran
berserta suasananya yang mampu mencabar minda pelajar-pelajar yang berkemampuan
tinggi tersebut.
Seterusnya sikap serta ciri peribadi yang memuaskan (PM) adalah penting dalam
memperkayakan dan menyokong pembangunan aspek kemampuan peribadi yang semula
jadi (SJ), yang ada pada diri seseorang sehingga individu terbabit berjaya mencapai
tahap pintar cerdas (Gagne 1995, Piirto 1999). Ciri-ciri tersebut termasuk bersikap
mesra masyarakat serta cermat dan teliti dalam bertindak. Dalam pada itu sifat individu
terbabit yang berkeupyaan untuk mempengaruhi orang lain termasuk mempunyai daya
pujuk, berwibawa kepimpinan, dan mahir berkata-kata turut menyumbang terhadap
pembangunan individu menjadi pintar cerdas. Justeru semua aspek-aspek berikut;
kemampuan semula jadi (SJ), peluang untuk berada dalam keadaan pintar cerdas (KP),
dan sifat serta peribadi yang memuaskan (PM) perlu dalam memastikan perkembangan
individu menjadi pintar cerdas.

30 /

PERMATApintar Negara : Pengalaman UKM

MODEL PEMBANGUNAN PINTAR CERDAS


BERSEPADU (MPCB) PERMATAPINTAR

RAJAH 3: Model Pembangunan Pintar Cerdas


Bersepadu (MPCB) PERMATApintar
Projek PERMATApintar di Universiti Kebangsaan Malaysia akan membangunkan
program pendidikannya berteraskan kepada Model Pintar Cerdas Bersepadu (Rajah 3).
Kesepaduan program pendidikan tersebut digambarkan oleh model yang mempunyai
tiga bulatan yang merangkumkan bulatan teras ditengah yang melambangkan aspek
pembangunan kerohanian. Pendidikan di PERMATApintar dirangka berpusatkan
kepada pembangunan kerohanian sebagai teras kepada pembangunan holistik pelajar
pintar cerdas berbakat. Bulatan paling tengah mewakili Kecerdasan Rohani (KR). Di
luar bulatan KR ialah bulatan yang mewakili pembangunan emosi. Bulatan ini mewakili
Kecerdasan Emosi (KE). Ini bermaksud kemampuan dan kemahiran kerohanian yang
tinggi akan menjadikan seseorang itu mempunyai kecerdasan emosi yang baik.
Ringkasnya individu yang mempunyai kesedaran yang tinggi tentang kewujudan
kuasa tuhan di setiap saat di mana sahaja, akan mampu mencorakkan emosinya sesuai
dengan konteks keadaan dan situasi ketika itu. Ia tergambar dalam tingkah laku serta sikap
yang sejahtera, berakhlak, dan bermoral. Simbol bulatan ketiga yang merangkumi keduadua bulatan KR dan KE di dalamnya mewakili kemampuan individu untuk melaksanakan
aktiviti mental dengan baik. Ini merujuk kepada kecerdasan atau kemampuan mental

Kepintaran dan pintar cerdas berbakat: Definisi dan makna

/ 31

yang tinggi. Kita telah fahami kecerdasan ini sebagai Darjah Kecerdasan. Namun untuk
membezakan ia daripada kedua-dua kecerdasan yang pertama tadi kita akan merujuk
kepada bulatan ini sebagai mewakili Kecerdasan Intelek (KI). Semua kecerdasan
tersebut bertanggungjawab mencorakkan tingkah laku kreatif dan penyelesaian masalah
yang pintar, berakhlak dan bermoral.
Program PERMATApintar akan melaksanakan aktiviti perkhemahan yang
menjadikan model MPCB sebagai rujukan dalam usaha untuk membangunkan
pelajar-pelajar pintar cerdas secara holistik.
Selain itu semua program pendidikan
di PERMATApintar turut akan menjadikan model MPCB ini sebagai teras kepada
pembangunan kurikulum dan penyampaian kurikulum. Model pembangunan ini adalah
satu model yang unik untuk pelajar di Malaysia. Ini kerana rakyat Malaysia perlu
berpegang kepada prinsip rukun negara yang pertama ia itu kepercayaan kepada tuhan.
Justeru, pelajar akan diasuh untuk sentiasa menyuburkan rasa percaya kepada tuhan
dengan cara-cara tertentu dan melalui aktiviti-aktiviti khusus yang dirancang. Refleksi
terhadap pengalaman yang dilalui serta perkongsian pelbagai pengalaman akan turut
dijadikan sebagai landasan untuk menyuburkan kepercayaan tersebut.
Semua aktiviti yang dirancang akan menjurus kepada perkembangan Jasmani
Emosi, Rohani, dan Sosial (JERIS). Aktiviti tersebut perlu kreatif, inovatif, dan dinamik.
Justeru kita berpendapat pelajar akan berkembang secara holistik. Mereka bukan sahaja
akan menjadi individu yang pintar berkemampuan melaksanakan pemikiran aras tinggi
dalam domain-domain ilmu tertentu. Malah akhlak dan nilai moral yang baik akan
menjadi tunjang kepada segala aktiviti intelek yang mencabar. Semoga natijahnya akan
membuahkan masyarakat Malaysia yang cemerlang.
RUJUKAN
Burt, C. (1931). The

Differentiation Of Intellectual Ability. The British Journal of


Educational Psychology
Cooper, E. 1999. A Reflection: The Japanese Approach to Gifted and Talented Students.
Gifted Child Today Magazine, v22 n2 p18-21 Mar-Apr 1999.
Davis, G.A. & Rimm, S.B. 2003. Education of the gifted and talented. Boston; Allyn &
Bacon.
Delise, J. R. 2000. Once Upon a Mind; The stories and scholars of gifted child education.
Orlando; Harcourt Brace.
Gagne, F. 1995. From giftedness to talent: A developmental model and its impact on the
language of the field . Roeper Review, Dec95, Vol. 18 Issue 2, p103-111.
Gardner, H. (1983). Frames of mind: The theory of multiple intelligence . New York:
Basic Books.
Gallagher, J.J. & Gallagher, S.A. 1994. Teaching the gifted child. 4th. Ed. Boston: Allyn
and Bacon.
George, D. 1992. The challenge of the able child. London: David Fulton
Milgram, R.M. 2000. Identifying and enhancing talent in Israel: A high national priority.

32 /

PERMATApintar Negara : Pengalaman UKM

Roeper Review, Jan. 2000, 22 (2): 108-110.


Piirto,J. 1999. Talented children and adults; their development and education. Edisi ke2. Ohio: Merrill Prentice Hall.
Renzulli, J.S. Reiss, S.M. 1991. The school wide enrichment model: A comprehensive
plan for the development of creative productivity. Dlm. Colangelo, N. & Davis,G.
A. (pnyt.).Handbook of gifted education, hlm. 111-141. Massachusetts: Allyn
& Bacon
Renzulli, J.S. 2000. The identification and development of giftedness as a paradigm for
school reform. Journal of Science Education and Technology 9(2) : 95-114.
Rimm, S.B. 1997. An underachievement epidemic. Educational Leadership. 54,7
April 1997. (atas

talian)
http://www.ascd.org/oth/el/97/apr/rimmm.html (12 Jun
2003).
Wechsler, D (1944). The measurement of adult intelligence. Baltimore: Williams &
Wilkins. ISBN 0195022963.
Sternberg, R. J. (2003). A broad view of intelligence: The theory of successful
intelligence. Consulting Psychology Journal: Practice & Research 55: 139154
Feuerstein, R., Feuerstein, S., Falik, L & Rand, Y. (1979; 2002). Dynamic assessments
of cognitive modifiability. ICELP Press, Jerusalem: Israel;
Feuerstein, R. (1990). The theory of structural modifiability. In B. Presseisen (Ed.),
Learning and thinking styles: Classroom interaction. Washington, DC: National
Education Associations
Wu-Tien Wu. 2000. Talent identification and development in Taiwan. Roeper Review.
22, 2, 131-133.

Anda mungkin juga menyukai