Anda di halaman 1dari 10

KEMAHIRAN PEMIKIRAN SEJARAH DALAM KALANGAN GURU

SEJARAH: ISU DAN CABARAN


_____________________________________________________

Muhammad Ridzuan Bin Idris (Ph.D)


Abdullah Bin Deraman (Ph.D)
Norazan bin Mat Nor
Wan Adi bin Yusoff

Jabatan Sains Sosial


IPG Kampus Kota Bharu

Abstrak
Kertas kerja ini membincangkan mengenai kemahiran pemikiran sejarah dalam kalangan
guru sejarah di Malaysia. Kemahiran pemikiran sejarah meliputi kemahiran memahami
kronologi, meneroka bukti, membuat interpretasi, membuat imaginasi dan membuat
rasionalisasi. Kemahiran ini seharusnya difahami dan dihayati oleh guru-guru sejarah bagi
membolehkan mereka mengaplikasikan kemahiran ini dalam aktiviti pengajaran dan
pembelajaran di dalam kelas. Walau bagaimanapun, masih terdapat segelintir guru sejarah
yang gagal untuk memahami kemahiran pemikiran sejarah walaupun telah lama bergelar
guru. Masalah ini telah menyebabkan penguasaan pelajar terhadap mata pelajaran sejarah
menjadi lemah dan merencatkan proses penerapan nilai-nilai patriotisme dan semangat
kekitaan dalam kalangan pelajar. Penerapan kemahiran pemikiran sejarah ini juga
bersesuaian dengan matlamat kerajaan yang menjadikan mata pelajaran sejarah sebagai mata
pelajaran teras dan juga mata pelajaran wajib lulus peringkat SPM. Oleh yang demikian, guru
sejarah perlu segera sedar dan cuba mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran
pemikiran sejarah. Penguasaan kemahiran ini akan memberi kesan besar kepada corak
pemikiran pelajar dan juga tingkah laku pelajar selaras dengan falsafah dan hala tuju
pendidikan negara.

Kata Kunci: Kemahiran Pemikiran Sejarah, Guru Sejarah, Pendidikan Sejarah

Pengenalan
Perkembangan mutakhir sistem pendidikan di Malaysia kini menuntut kebijaksanaan
pendokongnya untuk merealisasikan wawasan pendidikan negara dan citra Wawasan 2020
yang menekankan konsep perpaduan dalam sistem pendidikan negara. Visi Kementerian
Pelajaran Malaysia adalah untuk menzahirkan sistem pendidikan berkualiti serta mampu
menjadi wadah penting bagi kestabilan politik, sosial dan ekonomi negara.

“Pendidikan adalah penyumbang utama pembangunan modal insan dan


ekonomi negara. Pendidikan juga merupakan pencetus kreativiti dan penjana
inovasi yang melengkapkan generasi muda dengan kemahiran yang
diperlukan untuk bersaing dalam pasaran kerja, dan menjadi pengupaya
perkembangan ekonomi keseluruhannya. Sehubungan dengan itu, kerajaan
perlu memastikan sistem pendidikan negara berfungsi secara berkesan untuk
menjayakan Model Baru Ekonomi, Program Transformasi Ekonomi dan
Program Transformasi Kerajaan yang menjadi asas perkembangan ekonomi
negara dalam persaingan ekonomi global”
(Laporan Awal Plan Pembangunan Pendidikan Malaysia, 2013-
2025, September 2012)

Bagi menjayakan hasrat berkenaan guru perlu dilengkapi dengan pelbagai kebolehan
sama ada dari kemahiran pedagogi, kemahiran isi kandungan dan juga kemahira teknologi.
Guru yang berkualiti akan melahirkan murid yang berkualiti. Penekanan kepada
pembangunan insaniah dalam kalangan pelajar amat dititikberatkan memandangkan negara
berada dalam abad 21 yang mencabar serta memerlukan jati diri unggul dalam diri setiap
pelajar. Kepentingan mata pelajaran sejarah tidak dapat disangkal lagi terutama dalam proses
tranformasi pendidikan. Justeru, tindakan kerajaan menjadikan mata pelajaran sejarah sebagai
mata pelajaran teras adalah bertepatan dengan matlamat negara untuk menyatupadukan kaum
melalui sistem pendidikan.

Isu Kritikal Dalam Pembelajaran Sejarah Di Sekolah


Pada 29 Oktober 2010, Kabinet telah bersetuju membentuk Panel Pembelajaran Sejarah yang
akan memastikan mata pelajaran sejarah menjadi ‘subjek wajib lulus’ peringkat Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013 dan mata pelajaran teras di sekolah rendah pada 2014.
Isu kepentingan pembelajaran sejarah turut dihangatkan dengan penemuan terbaru hasil soal
selidik Unit Khas Utusan Malaysia yang mendapati ramai golongan muda negara ini buta
sejarah (Utusan Malaysia, 30 Oktober, 2010).

Responden yang terlibat gagal menyatakan dengan tepat hari Kemerdekaan Negara,
tarikh penubuhan Malaysia, Rukun Negara dan lain-lain lagi. Walaupun keseluruhan
responden berumur daripada 16 hingga 51 tahun, namun mereka yang buta sejarah ini
menjurus kepada kelompok usia di bawah 30 tahun khususnya antara 16 hingga 20 tahun.
Jika kita lihat perangkaan yang diberikan ianya bermaksud golongan muda khususnya pelajar
sekolah buta sejarah walaupun mata pelajaran merupakan mata pelajaran teras di sekolah.

Persoalannya, adakah golongan pelajar yang buta sejarah ini gagal mengaplikasikan
kemahiran pemikiran sejarah atau guru sejarah tidak mempunyai kemahiran dan persediaan
yang mencukupi. Persoalan-persoalan ini menjadi ‘duri dalam daging’ kepada institusi
pendidikan, guru dan juga seterusnya kepada para pelajar. Kemahiran pemikiran sejarah
merupakan satu proses berfikir bagi membolehkan pelajar meneroka idea yang kompleks dan
abstrak dengan bimbingan guru. Tinjauan awal ini dijalankan untuk melihat sejauh manakah
kesediaan guru-guru sejarah menerapkan kemahiran pemikiran sejarah kepada para pelajar.
Persoalan-persoalan ini perlu di rungkai agar sistem pendidikan negara terus relevan, berdaya
saing dan mampu membentuk generasi unggul berlandaskan Falsafah Pendidikan Negara.

Dalam sistem pendidikan negara, mata pelajaran sejarah merupakan salah satu mata
pelajaran teras dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM). Oleh yang
demikian, mata pelajaran sejarah adalah mata pelajaran yang wajib dipelajari oleh semua
pelajar secara berterusan selama lima tahun. Matlamat dan objektif mata pelajaran ini ialah
melahirkan para pelajar yang bukan sahaja mengetahui secara fakta perkembangan sejarah di
tanah air mahupun di negara luar tetapi mampu untuk merangsang pemikiran pelajar melalui
proses pembelajaran yang dilalui oleh mereka. Namun demikian, kegagalan pelajar dalam
mencapai objektif berkenaan telah memberi gambaran bahawa wujudnya kepincangan dan
permasalahan yang perlu ditangani segera dalam pembelajaran sejarah.
Isu pertama dalam pengajaran sejarah di Malaysia ialah pengajaran sejarah dilihat
bersifat ‘kaku’ dan membosankan. Ia tidak seharusnya tertumpu kepada muntahan fakta
daripada guru kepada pelajar. Sebaliknya, mata pelajaran ini mestilah lebih bercorak
merangsang pemikiran sejarah, iaitu situasi di mana pelajar berfikir secara kritis, mampu
untuk membuat perkaitan antara satu peristiwa dengan satu peristiwa yang lain, membuat
interpretasi, mencari bukti, membuat pertimbangan dan ramalan serta imaginasi. Pengajaran
dan pembelajaran sebegini bukan sahaja akan menarik minat pelajar terhadap pendidikan
sejarah tetapi mampu membentuk pelajar supaya mempunyai ciri-ciri seorang sejarawan.
Isu yang kedua ialah mengenai tahap kesediaan guru-guru sejarah yang perlu
dipertingkatkan. Guru sejarah seharusnya bersedia dan mempunyai pengetahuan, pemahaman
serta kemahiran pemikiran sejarah. Penguasaan pengetahuan ini adalah amat penting kerana
guru merupakan tunjang dalam pengajaran dan pembelajaran sejarah. Menurut Abd Rahim
Abd Rashid (2000), guru sejarah yang efektif perlu memiliki kualiti personal, professional
dan kepimpinan yang baik bagi membolehkannya melayakkan diri dalam dunia pendidikan
dan perguruan yang dinamis.

Isu yang ketiga ialah kemahiran amalan pedagogi yang statik dan ketandusan dengan
inovasi dan kreativiti mencerminkan kelemahan profesionalisme guru sejarah itu sendiri.
Kelemahan amalan pedagogi ini menyebabkan guru sejarah gagal melahirkan pelajar
sebagaimana yang digariskan dalam objektif pendidikan sejarah. Pelajar yang dilahirkan
seharusnya mempunyai pemikiran yang positif dan mampu mengintepretasi peristiwa yang
berlaku dengan corak latar masa hadapan negara. Menurut Muhd.Yusof Ibrahim (2009)
komponen pendidikan sejarah seperti pendidikan kewarganegaraan, pengurusan
pemerintahan, sejarah kerajaan awal amat berguna kepada pelajar kerana pengetahuan ini
boleh dijadikan tauladan mahupun sempadan demi mewujudkan kesejahteraan insan,
masyarakat dan juga negara. Justeru, adalah amat penting bagi guru sejarah mempunyai tahap
kesediaan yang tinggi sama ada sebelum, semasa atau selepas sesi pengajaran agar segala
ilmu yang diberikan dapat difahami dan dihayati secara betul dan konsisten terutamanya
dalam soal menginterpretasikan segala peristiwa masa lalu. Ketiga-tiga isu yang
diketengahkan telah menyebabkan pengajaran sejarah di sekolah membosankan serta gagal
mencapai matlamat sebenar pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

Kemahiran Pemikiran Sejarah Dalam Kalangan Guru Sejarah


Sejarah menurut Maharom Mahmood (1998), adalah satu mata pelajaran yang dapat
merangsang pemikiran dan proses pemikiran secara kritis dan analitis. Oleh yang demikian,
guru-guru sejarah memainkan peranan penting untuk menerapkan kemahiran pemikiran
sejarah melalui aktiviti-aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang menggalakkan pelajar
berfikir. Hanya proses pengajaran dan pembelajaran yang bermakna sahaja boleh merangsang
pemikiran para pelajar. Malangnya corak pengajaran mata pelajaran Sejarah di sekolah masih
bersifat tradisional dan membosankan murid, guru lebih mengutamakan kepada penyampaian
fakta sejarah (Abdul Shukor Abdullah, 1998), dan pengajaran masih lagi terikat dan berpusat
kepada guru (Jemaah Nazir Persekutuan, 1993, 1994, 1995 dalam Abdul Shukor Abdullah,
1998).
Menurut Hassan Haris, Abdullah Mohd. Noor dan Puteh Mohamad (1993) pula
mendapati guru sejarah lebih memberi keutamaan kepada penyampaian isi pelajaran daripada
mengajar kemahiran pemikiran sejarah. Manakala Bhasah(2000) dalam kajiannya terhadap
pelaksanaan Kerja Kursus Sejarah di Peringkat Menengah Rendah, mendapati aspek yang
sukar dilaksanakan oleh pelajar daripada perspektif guru sejarah ialah menghayati peristiwa
sejarah, menghayati iktibar daripada peristiwa sejarah dan mengamalkan unsur-unsur
kesetiaan serta bersatu padu. Dapatan-dapatan ini membimbangkan kita kerana kegagalan
pelajar untuk dalam menguasai kemahiran ini akan menyebabkan pengajaran sejarah akan
terus terkebelakang dan gagal mencapai matlamatnya.

Salah satu objektif Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) ialah untuk
mengembangkan dan meningkatkan daya intelek pelajar. Pengembangan daya intelek ini
akan menyebabkan corak pemikiran pelajar akan lebih rasional, kritis dan kreatif
(Kementerian Pelajaran Malaysia, 1992). Oleh yang demikian, guru-guru haruslah bijak
dalam menggunakan kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran yang bersesuaian agar
daya intelek pelajar dapat ditingkatkan. Kaedah pengajaran yang tepat juga akan membantu
mencetus, merangsang dan mengembangkan daya pemikiran pelajar serta berupaya memupuk
dan mengembangkan daya kreativiti dalam pemikiran. Dalam huraian Falsafah Pendidikan
Kebangsaan (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2001a), unsur intelek dijelaskan seperti
berikut.

i. Mempunyai kemahiran asas dalam membaca, menulis dan mengira;


ii. Sentiasa berusaha untuk mendapat, meningkat dan menyebarkan ilmu;
iii. Sentiasa berfikir secara kreatif dan berusaha untuk mengembangkan daya
pemikirannya supaya individu mampu menghurai, mencerakin, menaakul,
merumus dan menghasilkan idea-idea yang bernas; dan
iv. Berupaya memanfaatkan ilmu untuk kesejahteraan diri serta memberi
sumbangan kepada kemakmuran masyarakat dan Negara.

Berdasarkan huraian di atas, proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah perlulah


memberi lebih penekanan kepada penerapan kemahiran berfikir aras tinggi (High Order
Thinking) dan bukan hanya sekadar menyampaikan ilmu pengetahuan semata-mata. Pelajar-
pelajar juga turut digalakkan untuk terlibat secara langsung dalam semua aktiviti pengajaran
dan pembelajaran di dalam kelas. Penglibatan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran
akan membolehkan mereka berupaya membina ‘pemikiran sendiri’ berasaskan kepada
prinsip-prinsip yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Negara. Oleh yang demikian,
Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran telah menegaskan bahawa…
individu yang dilahirkan daripada sistem persekolahan negara perlu selaras dengan tujuan
pembangunan kemanusiaan (Kementerian Pendidikan Malaysia, 1992, para 452:227)

Bagi mencapai matlamat tersebut, maka proses pengajaran dan pembelajaran


hendaklah berpusatkan pelajar sepenuhnya. Guru-guru Sejarah haruslah merancang aktiviti
pengajaran dan pembelajaran yang bersifat aktif dan kreatif. Mereka juga perlu menanamkan
sikap sukakan sejarah dan menjadikan mata pelajaran sejarah sebagai mata pelajaran yang
‘hidup’ dan menyeronokkan. Abd.Rahim Abd. Rashid (2000) menyatakan bahawa
penonjolan sejarah hendaklah dilakukan sebagai satu kuasa yang hidup serta boleh
mengaitkan peristiwa masa lalu dengan hakikat semasa. Hal ini juga sejajar dengan
pandangan Carr, E.H (1965) dan Evans, R.J (1997) di mana beliau merumuskan sejarah
sebagai “an unending dialogue between the present and the past”. Keadaan ini membuktikan
bahawa pentingnya pelajar membuat perkaitan antara masa lalu dan masa kini bagi
membentuk pemikiran sejarah. Crabtree, C. (1989), menyatakan bahawa para pelajar perlu
difahamkan bahawa setiap permasalahan yang berlaku pada masa kini atau masa akan datang
hanya boleh diketahui melalui peristiwa-peristiwa masa lalu, dan corak pengajaran di bilik
darjah oleh guru-guru sejarah akan memberi pengaruh penting kepada kualiti pengajaran
sejarah di sekolah.
Sesungguhnya pendidikan sejarah tidaklah sekadar membincangkan tentang masa lalu
dan hanya terikat kepada tarikh, masa, peristiwa dan hafalan fakta semata-masa tetapi ia
haruslah dijadikan pemangkin kepada pembangunan diri pelajar yang merangkumi aspek
rohani, jasmani, intelek, emosi dan sahsiah sebagaimana yang tersurat dalam Falsafah
Pendidikan Negara. Hal ini akan menjadikan mata pelajaran sejarah lebih bermakna dan
membuka persepsi pelajar bahawa ia bukan satu bidang yang kaku dan membosankan. Di
samping itu, pelajar juga dapat mengetahui bagaimana seseorang ahli sejarah itu bekerja
melalui aktiviti-aktiviti pembelajaran yang dilakukan oleh guru-guru sejarah mereka (Isabel,
Gracia and Valvada, 1997).

Oleh yang demikian, konsep kemahiran pemikiran sejarah bolehlah ditafsirkan


sebagai satu corak dan proses pembelajaran sejarah yang merangsang pemikiran pelajar
melalui pembelajaran aktif. Melalui aktiviti-aktiviti pembelajaran aktif ini seseorang pelajar
akan berupaya memahami kronologi, meneroka bukti, membuat interpretasi, imaginasi,
rasionalisasi, membuat rujukan, mengakses maklumat daripada pelbagai sumber, memilih
maklumat yang relevan, mengorganisasikan maklumat secara sistematik dan bermakna.
Sehubungan dengan itu, guru-guru sejarah perlu bersedia dan mempunyai pengetahuan dan
pemahaman yang jelas mengenai cara-cara menerapkan kemahiran pemikiran sejarah kepada
pelajar.

Guru-guru sejarah juga perlu memahami struktur disiplin sejarah yang menjadi teras
kepada pendidikan sejarah supaya proses pengajaran dan pembelajaran lebih berkesan dan
memberi ‘makna’ kepada para pelajar. Struktur disiplin pendidikan sejarah KBSM
merangkumi inquiry dalam sejarah, pengumpulan sumber, kemahiran pemikiran sejarah,
penjelasan sejarah, pemahaman sejarah dan empati (Kementerian Pendidikan Malaysia,
2001b). Kesemua struktur disiplin tersebut jika diteliti ternyata menunjukkan proses
pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sejarah adalah bersifat aktif dengan guru-guru
sejarah menjadi fasilitator kepada para pelajar.

Kemahiran pemikiran Sejarah yang diterapkan oleh guru dalam proses pengajaran dan
pembelajaran sejarah adalah bagi menjana pemikiran pelajar tentang perkara-perkara yang
abstrak. Keadaan ini membolehkan pelajar memahami secara kritis dan imaginatif tentang
segala aspek kehidupan manusia zaman dulu hingga sekarang. Antara kemahiran pemikiran
sejarah yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (April 2002) untuk dipupuk
oleh guru-guru sejarah kepada para pelajar ialah:

i. Memahami kronologi iaitu melihat masa lalu, kini dan masa akan datang
mengikut urutan sesuatu peristiwa sejarah itu berlaku;
ii. Meneroka bukti iaitu melibatkan kemahiran mengenal pasti sumber pertama
dan kedua serta membuat perbandingan antara kedua-dua sumber tersebut di
samping mendapatkan maklumat sejarah daripadanya;
iii. Membuat interpretasi bermaksud membuat tafsiran terhadap sesuatu peristiwa
dengan memberi ulasan dan kupasan;
iv. Membuat imaginasi iaitu suatu usaha melibatkan murid-murid dengan sesuatu
situasi dalam peristiwa sejarah yang dikaji. Kemahiran imaginasi ini ialah
secara visual dan empati; dan
v. Membuat rasionalisasi iaitu melibatkan penggunaan akal fikiran dan membuat
pertimbangan yang wajar dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Usaha ini
memerlukan kemahiran murid-murid untuk mengumpul data, membuat
hipotesis, menentukan signifikan bukti dan membuat inferens daripada data
yang dikumpul.

Kejayaan penerapan kelima-lima kemahiran tersebut kepada para pelajar semasa


proses pengajaran dan pembelajaran amat bergantung kepada kepakaran guru-guru sejarah.
Para guru akan membimbing pelajar untuk membuat perkaitan antara masa lalu, kini dan
akan datang, menganalisis, merumus dan menilai fakta-fakta sejarah melalui pembelajaran
yang aktif.

Dalam Modul Latihan Pengajaran dan Pembelajaran Sejarah (Kementerian


Pendidikan Malaysia 2001c) terdapat beberapa objektif tentang kemahiran pemikiran sejarah
yang perlu diterapkan kepada para pelajar. Di antara objektif yang digariskan ialah:

i. Membolehkan pelajar berfikir secara kreatif dan kritis.


ii. Memahami ciri-ciri sejarah.
iii. Melihat sesuatu peristiwa sejarah secara empati.
iv. Meneroka idea yang kompleks dan abstrak dengan bimbingan guru dan
v. Memahami bagaimana sejarawan membina peristiwa lalu dengan menggunakan
bukti-bukti sejarah bagi menentukan kesignifikan sesuatu peristiwa.

Objektif-objektif tersebut memperlihatkan betapa pentingnya penerapan kemahiran


pemikiran sejarah bagi perkembangan pemikiran pelajar dalam proses-proses sejarah. Selain
daripada perkembangan pemikiran pelajar penerapan kemahiran pemikiran sejarah juga dapat
merangsangkan nilai-nilai afektif para pelajar seperti berbangga, bertanggungjawab,
bersyukur, empati, adil, berusaha, amanah dan jujur. Kesimpulannya, pelaksanaan kemahiran
pemikiran sejarah dalam pengajaran dan pembelajaran akan merangsang domain ilmu, nilai,
intelek dan juga afektif.

Peranan Guru Dalam Menerapan Kemahiran Pemikiran Sejarah


Dalam konteks pembinaan negara bangsa, kepentingan sejarah sebagai mekanisme utama
telah disuarakan sejak sekian lama oleh pelbagai pihak. Wang Gung Wu (1968), umpamanya
mengangkat martabat sejarah dari sudut kepentingan mengingati masa lalu khususnya dalam
membentuk keperibadian sesuatu kumpulan, puak atau masyarakat. Sartono Kartodirdjo
(1992) pula menyatakan pendidikan sejarah berperanan sebagai alat didaktik khususnya
sebagai tunjang pendidikan nasional. Dalam hal ini, pengetahuan sejarah khususnya sejarah
nasional akan membolehkan sesuatu bangsa terutamanya generasi muda menjadi lebih
prihatin terhadap bangsa dan pembangunan negaranya.

Justeru, dengan keprihatinan terhadap sejarah secara tidak langsung akan


membolehkan seseorang itu menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang warganegara.
Dengan sifatnya sebagai alat memahami masa lalu serta fungsinya sebagai pedoman,
pengajaran dan panduan membolehkan sejarah diberikan tempat istimewa dalam sistem
pendidikan sesebuah negara. Di Malaysia, ia juga bukanlah satu persoalan baru kerana
semenjak kemerdekaan hingga kini, isu sejarah dan peranannya dalam pembinaan negara
bangsa terus dibahas dan dinobatkan sebagai agenda utama negara. Sekadar memetik
beberapa pandangan, isu ini jelas menjadi agenda utama negara khususnya sejak peristiwa 13
Mei 1969. Bekas Menteri Dalam Negeri Malaysia 1980, Tan Sri Muhammad Ghazali Shafie
dalam Ucapan Perasmian Persidangan “International Association of Historians of Asia”
(IAHA) 1980 mengungkapkan kepentingan tersebut. Menurut beliau:
Every person, society or nation has a past which has molded his or its
present stature and together the past and the present mould his future. But
the choice of his future image depends on his present beliefs of his history,
of what he reckons he is and what he believes others believe of him.
(Ghazali Shafie, 1980: 3)

Pendidikan juga boleh memainkan peranan yang penting dalam perubahan sesuatu
masyarakat. Perubahan yang berlaku dalam masyarakat merupakan satu fenomena yang akan
dan terpaksa dihadapi oleh sesebuah masyarakat. Sebagaimana yang kita ketahui, masyarakat
telah mencipta institusi pendidikan bagi memenuhi kehendak-kehendak masyarakat. Oleh itu,
pendidikan mempunyai beberapa peranan tertentu dalam masyarakat yang berubah. Menurut
Hazil Abdul Hamid (1990), pada umumnya, pendidikan merupakan satu syarat asas untuk
meneruskan serta mengekalkan sesuatu kebudayaan. Maka dengan ini sekolah menjadi salah
satu agen sosialisasi dan juga merupakan alat bagi menguatkan kawalan sosial.

Dalam kemahiran pemikiran sejarah, penerapan nilai patriotisme yang cuba dipupuk
dalam pengajaran perlu membina erti kesetiaan, pengorbanan, penghidupan dan pembinaan
negara bangsa. Di samping kemajuan kebendaan, kita juga mahu melahirkan manusia yang
kaya dengan nilai kesejahteraan rohani, penyayang serta cintakan tanah air (Hussien Ahmad,
2004). Oleh itu, guru memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan keupayaan dan
kebolehan pelajar untuk menaakul, di samping mengembangkan proses kognitif mereka bagi
memahami dan menguasai dan membezakan antara mesej, idea, sentimen dan fakta.

Selain itu, guru juga memainkan peranan yang penting untuk menanam dan
mengembangkan semangat patriotik melalui pendedahan dan penghayatan. Proses ini akan
memberi satu natijah dan pengertian yang mendalam tentang patriotisme (Abd. Rahim Abd
Rashid, 2000). Dengan itu, boleh dikatakan bahawa sekolah berperanan memproses
pengetahuan dan juga individu di dalamnya. Mata pelajaran seperti sejarah, sivik,
kesusasteraan dan bahasa dilihat mampu mensosialisasikan pelajar mengikut kehendak
kebudayaan politik sesebuah negara. Justeru, penekanan kepada penerapan nilai patriotisme
perlulah bermula dari awal kerana nilai ini akan mudah di hadam apabila mereka dewasa
nanti.

Dalam pendidikan sejarah misalnya, penekanan kepada nilai-nilai patriotisme telah


bermula di peringkat sekolah rendah lagi. Walau bagaimanapun, pada peringkat ini,
penekanan lebih kepada mengenal makna dan unsur patriotisme. Selepas memasuki peringkat
menengah, pelajar-pelajar diajar mempraktikkan unsur-unsur berkenaan secara jelas dan lebih
bermakna (Dawson dan Prewitt, 1969). Dalam memperkatakan tentang peranan guru,
Jacobson, D, Eggen, Paul.D dan Kauchak, D.P (1993) berpendapat bahawa murid akan dapat
memproses maklumat melalui pengalaman mereka. Guru juga perlu merancang dengan teliti
agar penerapan unsur patriotisme dapat dilaksanakan secara terancang dan berfokus.

Rosiah Salim (2006) menerangkan usaha menerapkan semangat patriotisme dalam


jiwa pelajar perlu dilakukan secara serius. Guru-guru sejarah tidak boleh melakukannya
sambil lewa, tetapi perlu melakukannya atas dasar keinsafan yang keikhlasan. Mereka juga
perlu terlebih dahulu menghayatinya sebelum menyampaikan nya kepada pelajar. Manakala
Abd. Rahim Abd Rashid (2000), pula menyatakan proses sosialisasi nilai pada umumnya
membabitkan peranan guru di sekolah. Guru memainkan peranan yang cukup luas dalam
mencorakkan perkembangan nilai dalam diri para pelajar. Guru yang berpengaruh dan
berkesan menjadi ‘role model’ kepada pelajar. Dengan ini jelaslah bahawa guru merupakan
golongan pelaksana kurikulum yang mempunyai kedudukan dan peranan penting dalam
sistem pendidikan formal. Mereka merupakan teras yang akan menentukan standard dan
keberkesanan sistem pendidikan negara. Guru Sejarah juga merupakan salah satu daripada
komponen teras yang menentukan perkembangan nilai untuk generasi akan datang.

Kesimpulan
Secara kesimpulannya, guru memainkan peranan penting dalam aktiviti pengajaran dan
pembelajaran pelajar. Aspek kemahiran pedagogi dan pengetahuan merupakan aspek yang
terpenting bagi seseorang guru sama ada di bilik darjah atau luar bilik darjah. Sebagai
seorang guru sejarah, aspek penguasaan kemahiran pemikiran Sejarah merupakan elemen
penting dalam pengajaran dan pembelajaran sejarah. Bagi memastikan pelajar dapat
memahami, menghayati dan menguasai kemahiran pemikiran sejarah, guru sejarah perlu
bersedia dari segi ilmu dan kemahiran berkenaan. Guru juga perlu mengikuti perkembangan
semasa terutamanya dalam menguasai kemahiran pedagogi pengajaran sejarah serta bersedia
berubah untuk memenuhi keperluan perkembangan pendidikan negara.
Rujukan

Abd. Rahim Abd. Rashid. (2000). Model dan Pendekatan Pengajaran Sejarah KBSM, Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Abdul Shukor Abdullah. (1998) Perubahan dan Hala tuju Kurikulum Sejarah, Simposium
Kebangsaan Ilmu Sejarah, 30-31 Oktober 1998, Kuala Lumpur.

Bhasah Abu Bakar. (2000) Kajian Keberkesanan Kerja Kursus Mata Pelajaran Geografi dan
Sejarah, Penilaian Menengah Rendah, Seminar Penyelidikan Pendidikan Kebangsaan
(8-11 Nov. 2000), Pulau Langkawi: Bahagian Perancangan Dan Penyelidikan Dasar
Pendidikan.

Carr, E.H. (1965). What is History?, Hamondsworth Middlesex: Penguin Book

Crabtree, C. (1989). Improving History in the Schools. Educational Leadership, .47(3), 25-
28.

Dawson, Richard.E, Prewilt. (1977). Political Socialization: An Analytical Study, Boston,


Mass: Little Brown.

Evans, R. J. (1997). In Defense of History. London: Granta Books.

Gage, N. I. and Berliner, D. C. (1992). Educational Psychology (5th edit.). New Jersey:
Hougton Mifflin Company.

Ghazali Shafie. (1980). History and Nation Building. Ucapan Perasmian IAHA

Hassan Haris, Abdullah Mohd. Noor dan Puteh Mohamed (1993). Masalah Pengajaran
Dalam Pelaksanaan Kurikulum Sejarah (KBSM), Jurnal Pendidikan (UKM), jil.18, 3-
15.

Hazil Abdul Hamid (1990). Sosiologi Pendidikan dalam Perspektif Pembangunan Negara,
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hussein Ahmad (2004). Pembangunan Etos Dan Budaya Sekolah dan Bilik Darjah Ke Arah
Kecemerlangan Pelajar: Satu Pendekatan Pemimpin, Jurnal Institut Pengetua, bil.4,
21-29.
Isabel, G., Gracis J. and Valverde, L. (1997). A New Glance at History: A Proposal Towards
Meaningful Learning. Teaching History. 86, 21-23.

Jacobson, D, Eggen, P.D dan Kauchak, D.P, (1993). Methods For Teaching: A Skills
Approach, New Yourk: Merrill.
Kementerian Pendidikan Malaysia (1992). Buku Penerangan KBSM.

Kementerian Pendidikan Malaysia (2001a). Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Matlamat dan


Misi.

Kementerian Pendidikan Malaysia (2001b). Huraian Sukatan Pelajaran Sejarah KBSM


Tingkatan 1, 2 dan 3.

Kementerian Pendidikan Malaysia (2001c). Modul Latihan Pengajaran dan Pembelajaran


Sejarah.

Kementerian Pendidikan Malaysia (2002). Huraian Sukatan Pelajaran Sejarah Kurikulum


Bersepadu Sekolah Menengah Tingkatan 1, 2 & 3.

Maharom Mahmood (1998). Analisis Kemahiran Pemikiran Sejarah dalam Bahan Kurikulum
Peringkat Menengah Rendah. Tesis Sarjana, Kuala Lumpur: Universiti Malaya.

Mohd Rodzi Abdul Razak (2009). Pembinaan Negara Bangsa Malaysia : Peranan
Pendidikan sejarah dan dasar pendidikan kebangsaan, JEBAT, 36 (2009) 90-106

Muhd. Yusuf Ibrahim (2000). Ilmu Sejarah: Falsafah, Pengertian dan Kaedah. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Majalah Pendidik, (2005). KPM Utamakan Kualiti, bil 17-2005 Kuala Lumpur: Widad
Publication Sdn Bhd.

Rosnah Salim (2006). Peranan Guru Dalam pelaksanaan Kurikulum Sejarah Bagi Memupuk
Unsur Patriotisme Dalam Pengajaran Dan pembelajaran Sejarah, Tesis Sarjana
Pendidikan (M.ED), Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.

Rozeman Abu Hasan (2004). Mengenali dan mentafsir sumber-sumber sejarah. Shah Alam:
Karisma Publication Sdn. Bhd.

Sartono Kartodirdjo. 1992. Pendekatan Ilmu sosial dalam Metodologi Sejarah, Jakarta : Pt.
Gramedia Pustaka Utama.

Utusan Malaysia, 30 Oktober 2010, Panel Pembelajarn Sejarah dibentuk.

Wang.G.W (1968). The Use of History. Paper in International Studies, Southeast Asia Series,
Athens Ohio, Ohio University : Center for International Studies.

Zahara Aziz dan Nik Azleena Nik Ismail. (2007). Kajian Tinjauan Kesediaan Guru-Guru
Sejarah Menerapkan Kemahiran Pemikiran Sejarah kepada Para Pelajar. Jurnal
Pendidikan. 32, 119-137.

Anda mungkin juga menyukai