Anda di halaman 1dari 4

BAHAGIAN B : SIMULASI MAJLIS

FORUM

Pengerusi: Bismillahirahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh kepada


warga dewan yang saya kasihi sekalian. Alhamdulillah, marilah kita sama-sama merafakkan
syukur ke hadrat Ilahi kerana dapat kita bertemu dalam Forum Perdana Ehwal Islam anjuran
Badan Dakwah dan Disiplin (BADAMB) IPG Kampus Dato’ Razali Ismail. Pada hari ini kita
akan mengupas satu tajuk menarik berkaitan dengan kehidupan kita sehari-hari. Apakah
tajuknya? Tunggu dan sabar dahulu. Sebelum memulakan forum ini, ingin saya perkenalkan
barisan panel kita pada hari ini yang kelihatannya tidak sabar-sabar untuk memberikan
pendapat dan buah fikiran masing-masing. Di sebelah kiri saya, saudari Cik Nuur Basirah
Binti Mohd Asri selaku pakar motivasi negara. Di hujung sana, jejaka tampan iaitu Encik
Ahmad Aziyad Bin Abdullah selaku peserta Imam Muda musim ke-7.

Tajuknya berbunyi C. I. N. T. A. Hah, satu tajuk yang saya kira amat gemar dibincangkan
dalam kalangan kita, lebih-lebih lagi pada peringkat remaja ini. Kita seringkali tertanya-tanya
tentang misteri cinta. Pada dasarnya, setiap manusia dikurniakan perasaan cinta. Namun,
apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan cinta? Kalau cinta, bagaimana kita mahu
manifestasikan cinta kita kepada orang yang kita cintai? Cinta yang bagaimana yang paling
baik? Persoalan-persoalan ini sering berlegar dalam peti akal kita. Mari kita sama-sama
rungkaikan persoalan-persoalan ini dengan tujahan jawapan daripada panel-panel hebat
kita. Baiklah, bermula dengan panel pertama, saudari Cik Basirah. Apa pandangan Cik
Basirah mengenai cinta?

Panel pertama : Bismillahirahmanirrahim. Pertamanya terima kasih kepada saudari


pengerusi majlis. Jadi, berbicara tentang aspek cinta, cinta bukanlah suatu perkara yang
objektif kerana cinta melibatkan perasaan dan emosi, suatu perkara yang subjektif. Ingin
saya menyentuh tentang cinta daripada sudut psikologi mengikut aliran psikologi analitik
Freud. Menurut fahaman ini, dorongan seks merupakan dasar atau asal mula segala
motivasi manusia. Dengan demikian, cinta semata-mata merupakan suatu instrumen untuk
memenuhi keperluan seksual. Namun, teori ini diperbaiki oleh Erich Fromm dalam bukunya
The Art of Loving (1995), menyatakan bahawa cinta adalah suatu keperluan dasar manusia
untuk keluar daripada kesepian.

Pengerusi: Terima kasih buat saudari Cik Basirah atas pengenalan yang cukup bernas,
ringkas dan padat. Itu adalah pandangan daripada sudut psikologi daripada Cik Basirah
selaku pakar motivasi negara, bagaimana pula dengan pendapat Encik Aziyad tentang cinta
berdasarkan perspektif Islam? Mohon pencerahan.
Panel Kedua: Perkaaan cinta dalam Al Qur’an disebut sebagai Hubb (mahabbah) dan
Wudda (mawaddah), kedua-duanya memiliki erti yang sama iaitu menyukai, senang dan
menyayangi. Sebagaimana dalam surah Ali Imran (14) :

“Dijadikan indah dalam pandangan manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu:
wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-
binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allah lah
tempat kembali yang baik (syurga).”

Ayat ini menerangkan berkaitan Hubb, suatu naluri yang dimiliki setiap manusia tidak kira
manusia itu beriman atau pun kufur. Tuntasnya, cinta adalah fitrah yang dimiliki oleh semua
manusia. Cinta adalah anugerah ALLAH buat semua hamba-Nya. Maka, ucapkanlah syukur
atas nikmat yang diberikan ini.

Pengerusi: Pengenalan cinta yang sungguh mengesankan daripada ustaz cinta kita. Beralih
kepada Cik Basirah, boleh terangkan secara ringkas jenis cinta daripada sudut psikologi?

Panel pertama: Terdapat lima jenis cinta daripada teori Neo-Freudian. Menurut Erich
Fromm iaitu perintis kepada aliran psikologi analitik Freud, jenis cinta yang pertama ialah
cinta persaudaraan. Cinta persaudaraan bermaksud cinta sesama manusia sebagai insan
yang bersaudara dengan ikatan agama, budaya dan nilai kemanusiaan sejagat. Kedua,
cinta orang tua kepada anaknya. Dalam usaha menjadi anak yang baik, pembinaan cinta
kepada ibu bapa perlu disuburkan dalam kehidupan. Hal ini kerana, merekalah yang
bersusah payah menjaga kita daripada kecil sehinggalah dewasa. Ketiga, cinta erotis, iaitu
ghairah untuk melakukan hubungan seks. Cinta jenis ini adalah cinta halal antara suami dan
isteri sahaja. Seterusnya cinta pada diri sendiri. Bagaimana dikatakan sebagai cinta pada
diri sendiri? Cinta ini ialah kesedaran untuk menjaga kemaslahatan jasmani, emosi, rohani
dan intelek diri. Akhir sekali cinta kepada Tuhan. Cinta ini adalah cinta yang paling agung
berbanding cinta-cinta lain kerana Tuhanlah yang menciptakan kita daripada ada kepada
ada. Maka, jadilah manusia yang bersyukur dengan mencintai kembali Tuhan kita.

Pengerusi: Berdasarkan penerangan daripada panel pertama kita tadi, dapat saya
simpulkan bahawa cinta menurut bidang psikologi terbahagi kepada lima iaitu cinta
persaudaraan, cinta kepada ibu bapa, cinta erotis, cinta kepada diri dan cinta kepada
Tuhan. Menurut pandangan Encik Aziyad pula, apa kata Islam tentang jenis cinta?

Panel kedua: Baiklah, menurut Islam, cinta terpecah kepada beberapa jalan. Pertama, cinta
mawaddah. Cinta mawaddah ini adalah jenis cinta yang menggebu-gebu, membara dan
suka menyayangi. Manusia yang terjebak dalam cinta ini kebiasaannya selalu ingin
berhampiran dengan yang dicintainya dan selalu ingin memuaskan kemarau cintanya dan
hampir tidak mampu berfikir tentang perkara lain selain cintanya. Kedua, cinta rahmah, iaitu
cinta yang penuh kasih sayang, lembut, sedia berkorban dan kaya dengan sifat melindungi.
Cinta jenis ini berlaku kepada orang yang mencintai insan yang dicintainya berbanding
dirinya sendiri. Seterusnya, cinta Mail, cinta sementara yang membara sehingga tidak
mempedulikan hal-hal lain. Contohnya, dalam poligami, lelaki yang mengahwini perempuan
muda akan lebih dicintai berbanding isteri yang lama. Jenis cinta yang seterusnya ialah cinta
syaghaf iaitu cinta yang amat mendalam serta mengalami kerinduan yang memabukkan. Al-
Quran telah memberi contoh cinta syaghaf melalui kisah cinta Zulaikha yang berkeinginan
terhadap Nabi Yusuf.

Pengerusi: Terima kasih saudara Aziyad atas penerangan yang sangat terperinci tentang
jenis-jenis cinta dalam Islam. Suka saya katakan jenis cinta lain menurut Islam ada lagi
empat. Antaranya ialah cinta Ra’fah iaitu rasa kasih sehingga mengabaikan norma-norma
kebenaran. Cinta Shobwah, cinta buta yang mendorong perilaku seseorang menyimpang
daripada kebenaran tanpa sanggup mengelak. Cinta seterusnya, cinta syauq (rindu) dan
cinta jenis ini diterangkan dalam hadis yang menafsirkan ayat Al-quran yang ringkas. Cinta
lain pula ialah cinta kulfah iaitu perasaan cinta yang disertai kesedaran mendidik kepada
hal-hal positif. Baiklah, beralih semula kepada panel pertama, apa pendapat Cik Basirah
berkenaan cinta masyrakat kini?

Panel pertama: Fromm mengemukakan beberapa kekeliruan orang-orang moden dalam


memahami cinta. Pertama, persoalan cinta hanya dilihat sebagai persoalan “dicintai” tanpa
“mencintai”. Oleh sebab itu, persoalan terpenting bagi kebanyakan orang adalah bagaimana
caranya agar diri mampu dicintai. Atas pemahaman yang salah inilah, maka ramai orang
berusaha untuk mendandan dirinya semenarik mungkin bagi menarik perhatian lawan
jenisnya. Hal ini berlaku seiring dengan penyesuaian zaman atau trend yang berkembang
dalam kehidupan sosial masyarakat sekeliling.

Seterusnya, bukti cinta merupakan pengakuan jatuh cinta bukannya pengalaman ketika
bercinta atau ketika mengalami perasaan cinta. Hal ini bermaksud luahan perkataan seperti
I Love You atau Aishiteru adalah bukti seseorang itu mencintainya pasangannya, bukan
melalui kelakuan bisu yang dipamerkan ketika dalam proses percintaan. Hal ini adalah salah
kerana cinta seseorang tidak semestinya melalui ungkapan cinta, ada juga yang ditunjukkan
melalui perbuatan atau kelakuan.

Pengerusi: Jadi, dapatlah kita fahami bahawa ramai orang sekarang masih tidak mengerti
tentang konsep cinta yang mana dalam berkasihan, mencintai dan dicintai adalah perlu.
Selain itu, pengungkapan cinta bukanlah bukti terbesar dalam menunjukkan rasa cinta
kerana ada juga insan yang mempamerkan rasa cintanya melalui perbuatan. Sebelum
mengakhiri forum ini, saya menjemput Encik Aziyad untuk menyimpulkan forum atau
perbincangan kita tentang cinta pada hari ini.
Panel kedua: Kesimpulannya, cinta bukanlah cinta andai tiada pengertian antara dua insan
yang sedang bercinta. Dalam Islam telah jelas menggariskan bahawa dalam kebanyakan
cinta, cinta yang paling perlu diutamakan ialah cinta kepada Tuhan iaitu cintakan ALLAH.
Hal ini jelas dalam firman ALLAH:

“Adapun orang-orang yang beriman sangat cinta kepada ALLAH.” (Surah Al-Baqarah: 165).

Sabda Rasulullah S.A.W.:

“Tiga perkara yang apabila ada pada seorang hamba ia akan merasakan manisnya
keimanan. Pertama, ALLAH dan Rasulnya lebih dicintai dari selain keduanya, ia mencintai
seseorang dan tidaklah ia mencintainya kecuali kerana ALLAH dan ia benci untuk kembali
kepada kekufuran setelah ALLAH menyelamatkannya sebagaimana ia benci untuk
dicampakkan ke dalam neraka.” (HR Bukhari)

Wallahu’alam.

Pengerusi: Terima kasih atas kesimpulan yang cukup kemas daripada imam muda kita.
Terima kasih saya ucapkan kepada ketiga-tiga ahli panel kita kerana sudi hadir dan sudi
menyuakan pendapat masing-masing. Moga apa yang kita dapat hari ini tidak sekadar ”
masuk telinga kanan, keluar telinga kiri”. Nampaknya masa amat mencemburui kita dan
eloklah jika kita mengakhiri forum kita pada kali ini. Sebelum itu, dengarkan serangkap
pantun daripada saya:

Tuailah padi antara masak,


Esok jangan layu-layuan;
Intailah kami antara nampak,
Esok jangan rindu-rinduan.

Salam hormat, semoga ceria-ceria selalu. Akhir kalam,

Orang putih, orang Pakistan,


Terima kasih syukran jaziilan.

Wabillah hitaufiq walhidayah assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Anda mungkin juga menyukai