Anda di halaman 1dari 4

Cabaran & Doa Demi Kebenaran

Hutait Az-Zayyat Mencabar Khalifah

... etelah Khalifah Abdul Malik bin Marwan melantik Al-Hajjaj bin Yusuf menjadi
Gabenor di Iraq dan Iran. Banyak kisah ngeri dan dahsyat berkenaan kekejaman
Hajjaj berlaku semasa pemerintahannya. Dia tidak segan-segan membelasah dan
membunuh lawan-lawan politiknya dengan bengis dan kejam.

Ramai umat Islam bertekuk lutut kerana takut, walaupun hati mereka membara
dengan kebencian terhadap Hajjaj. Ada juga yang berani terhadap Hajjaj walaupun
mereka sedar akan menghadapi keganasannya. Tali barut Hajjaj bertebaran di
merata-rata tempat untuk merisik orang-orang yang dicurigai sebagai anti kerajaan.

Hutait disoal siasat


Seorang pemuda yang berumur 18 tahun telah disoal siasat oleh kakitangan
Hajjaj kerana didapati memprotes tindakan Hajjaj. Pemuda tersebut, Hutait Az-
Zayyat, dihadapkan kepada Hajjaj.

“Engkau rupanya yang bernama Hutait itu,” tanya Hajjaj dengan kasar dan bengis.

“Ya!” jawab Hutait dengan berani sambil meneruskan, “Tuan boleh bertanya kepada
saya apa-apa yang tidak tuan ketahui.” Mendengar itu muka Hajjaj menjadi merah.
Darahnya melonjak naik mendengar cabaran yang sehebat itu.

Sementara itu Hutait terus berbicara seakan-akan memberi syarahan kepada


Hajjaj tanpa menghiraukan keselamatan dirinya lagi.

“Aku,” kata Hutait, “telah berjanji kepada Allah ketika aku berada di Makam Ibrahim
akan tiga perkara. Pertama, kalau aku ditanya, aku akan menjawab dengan benar.
Kedua, kalau aku mendapati bahaya, aku akan bersabar. Ketiga, kalau aku
dikurniakan kesihatan, aku akan bersyukur.”

“Baik, sekarang apa pendapatmu mengenai diriku,” kata Hajjaj sambil


membusungkan dadanya dengan angkuh.

“Boleh,” sahut Hutait, “aku akan mengatakan yang sebenarnya. Engkau adalah
termasuk musuh Allah di muka bumi ini. Engkau telah membinasakan segala
kehormatan. Dan engkau telah membunuh orang semata-mata kerana tuduhan yang
tidak berasas.”

Muka Hajjaj bertambah merah mendengar perkataan yang begitu berani. Namun
sebelum menjatuhkan hukuman, Hajjaj masih sempat bertanya lagi kepada Hutait.
“Apa pendapatmu mengenai Khalifah Abdul Malik bin Marwan?”
“Aku akan mengatakan yang sebenarnya juga bahawa dia lebih besar dosanya
daripada engkau. Dan sesungguhnya engkau itu suatu kesalahan dari kesalahan-
kesalahannya.”

“Berhenti!” Hajjaj membentak dengan suara keras sambil mengarahkan tukang


pukulnya untuk menyeksa Hutait.

Tanpa diberi kesempatan membela diri, Hutait diseret dengan kejamnya ke


tempat penyeksaan. Hutait dibelasah dengan teruk sekali. Mula-mula diterajang
hingga tubuhnya rebah ke tanah. Setelah itu dipukul berulang kali sehingga tulang
punggungnya patah. Penyeksaan seperti ini dilakukan ke atas Hutait setiap hari.
Setiap hari pula Hutait merintih kesakitan dan menggelepar. Sehingga pada suatu
hari kerana teruknya pukulan, tulang punggung Hutait tercabut. Kemudian mereka
mengikat tulang punggung itu dan menariknya walaupun Hutait sudah tidak
sedarkan diri lagi.

Seteguk air
Apabila diyakini bahawa nafas Hutait tidak akan bertahan lebih lama lagi, laporan
dibuat kepada Hajjaj bahawa Hutait sudah hampir mati.

“Seret keluar dari bilik tahanan dan campakkan ke pasar!” Hajjaj memerintahkan.

Tubuh mulia yang sudah tidak berdaya itu ditarik dan dicampakkan ke pasar.
Hutait masih belum wafat walaupun nyawanya sudah tinggal nyawa-nyawa ikan.
Beberapa sahabatnya mendekati tubuh yang lemah itu sambil berkata: “Adakah
engkau memerlukan sesuatu?”

“Seteguk air,” jawab Hutait. Lalu mereka memberikannya air. Setelah minum
beberapa teguk, Hutait pun wafat.

Semoga Allah s.w.t. mencucuri rahmat ke atas roh yang mulia, yang syahid hasil
kekejaman Hajjaj.

Abu Hasan Bin Bisyir Membunuh dengan Pedang Malam

Pada zaman Abu Hassan bin Bisyir, ada seorang pegawai kerajaan yang zalim.
Pada suatu ketika ia sedang duduk istirehat di dalam rumah besarnya, di tepi pantai
sambil menikmati berbagai hidangan lazat dan minuman keras.

Gemuruh suara al-Qur’an


Perilaku pegawai itu menyebabkan Abu Hassan mengumpul pengikut-
pengikutnya. Mereka pun berkerumun di depan rumah besar itu, dan serentak
mengumandangkan ayat-ayat suci Al-Qur’an dengan suara yang tinggi.

Mendengar gemuruh suara mereka yang mengumandangkan Al-Qur’an itu,


keluarlah seorang pengawal dari rumah besar itu seraya bertanya:
“Mengapa kamu berkumpul di sini. Kamu telah mengganggu kami.”
Abu Hassan bin Bisyir menjawab: “Katakanlah kepada majikanmu, jangan
melakukan kemungkaran atau mencuba melakukannya secara terang-terangan.
Kalau dia tidak mahu tunduk kepada permintaan kami ini, kami akan bunuh dia!”

Dengan segera pengawal itu masuk, menyampaikan pesan itu kepada majikannya.
Pegawai itu pun berkata:
“Bagaimana mungkin mereka dapat membunuhku. Aku dikawal oleh pasukan yang
kuat lagi gagah berani. Lagi pun tenteraku ramai.”

Pedang malam
Kata-kata pegawai itu disampaikan pengawalnya kepada jemaah Abu Hassan. Kata
pengawal itu:
“Bagaimana kamu akan membunuh majikanku. Dia seorang pegawai yang dikawal
pasukan yang kuat, berani dan ramai bilangannya.”

Abu Hassan menjawab: “Kami akan membunuh dia dengan Pedang Malam.”

Pengawal itu bertanya: “Apakah pedang malam itu?”

Abu Hassan menjawab: “Kami akan berdoa kepada Allah dengan mengangkat tangan
tinggi-tinggi.”

Pengawal itu pun menyampaikan jawapan Abu Hassan kepada majikannya.


Pegawai itu gementar. Dia pun segera meninggalkan perbuatan mungkarnya seraya
berkata:
“Kalau memang itu senjata yang digunakan untuk membunuhku, tak ada lagi
kekuatan untuk menangkisnya.”

Pegawai itu segera menyedari kesalahannya selama ini dan kembali ke jalan yang
benar. Keberanian Abu Hassan menyampaikan yang haq telah menyebabkan
pegawai itu bertaubat.

Imam Nawawi Rela Dihukum Demi Kebenaran

Apabila kerajaan Mongol (Tartar) melanggar negeri-negeri Islam, maka terjadilah


peperangan yang dahsyat. Ummat Islam bertahan mati-matian demi menjaga
maruah agama. Di sana sini ratusan nyawa ummat Islam bergelimpangan hasil
pertumpahan darah yang tidak henti-henti.

Kerajaan Mamalik yang sedang diserang oleh tentera Tartar itu sampai kehabisan
wang membiayai peperangan. Perbendaharaan kerajaan telah kosong. Untuk
memperolehi kewangan yang sudah sangat mendesak, Sultan al-Malikul Zahir
bercadang untuk mengutip derma dari semua lapisan rakyat. Hanya itulah satu-
satunya jalan yang boleh dilaksanakan dengan segera. Agar program itu tidak
menimbulkan keresahan dan protes dari rakyat, maka perlulah mendapat sokongan
padu dan restu dari para ulama.

Sultan pun meminta fatwa dari ulama-ulama terkemuka di seluruh negara. Para
ulama akhirnya mengeluarkan fatwa, mengutip derma dari rakyat hukumnya harus
atau dibolehkan.

1000 hamba abdi


Sultan berpuas hati kerana para ulama telah menyetujui cadangan membuat
kutipan derma tersebut. Walaupun demikian, baginda masih belum melancarkan
kutipan itu kerana seorang terbesar di negerinya, iaitu Imam Nawawi, belum
menyatakan pendiriannya. Telah berkali-kali beliau meminta fatwa daripadanya,
namun Imam Nawawi belum juga mengeluarkan fatwa. Padahal ulama itu menjadi
ikutan majoriti ummat Islam dan rujukan ulama-ulama lainnya.

Adapun Imam Nawawi tidak mudah mengeluarkan fatwa sebelum mengkaji selidik
keadaan negara dan istana terlebih dahulu. Setelah beberapa kali didesak, akhirnya
Imam Nawawi memberikan jawapan kepada baginda. Kata Imam Nawawi: “Saya
memang sudah tahu bahawa tuanku dahulunya adalah seorang tawanan, tidak
mempunyai sebarang harta, tetapi berkat pertolongan dan rahmat Allah yang
dilimpahkannya kepada tuanku, maka jadilah tuanku seorang raja yang berkuasa.
Saya juga mendengar bahawa tuanku juga mempunyai hamba abdi seramai 1,000
orang. Tiap-tiap seorang dari hamba itu mempunyai seketul emas. Di samping itu
pula saya mendengar tuanku memiliki jariah seramai 200 orang yang setiap orang
memakai barang-barang kemas dan perhiasan yang sangat berharga dan mahal.
Sekiranya tuanku sendiri membelanjakan semua harta itu untuk keperluan perang
hingga mereka tidak mempunyai lagi barang-barang itu, maka ketika itu saya
bersedia memberikan fatwa untuk membolehkan tuanku mengutip harta rakyat”.

Raja merah padam mukanya mendengar pendapat Imam Nawawi yang ternyata
bercanggah dengan kehendaknya dan bercanggah pula dengan fatwa ulama-ulama
lainnya.

Kepergian Imam Nawawi


Beliau sangat murka kepada Imam Nawawi kerana menghalang rancangannya.
Justeru Imam Nawawi dianggap berbahaya, beliau memberi kata dua kepada beliau,
iaitu keluar dari negerinya atau menghadapi hukuman yang berat. Imam Nawawi
memilih untuk meninggalkan kota Damsyik tanpa rayuan lagi.

Apabila para ulama yang lain mengetahui perkara itu, mereka menyesal kerana
telah mengeluarkan fatwa secara terburu-buru. Rakyat dan para ulama merasa
kehilangan besar atas kepergian Imam Nawawi, kerana beliau merupakan pakar
rujuk bagi para ulama.

Berkali-kali orang ramai dan para ulama memohon kepada Imam Nawawi agar
segera balik semula ke negerinya, namun beliau tetap tegas dengan pendiriannya.
Kata Imam Nawawi, “Selagi baginda masih memerintah, saya tidak akan balik”.
Apabila Sultan al-Malikul Zahir telah wafat, barulah Imam Nawawi balik semula ke
negerinya.

Anda mungkin juga menyukai