Anda di halaman 1dari 8

JABATAN KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN

MALAYSIA
(KEMENTERIAN SUMBER MANUSIA)

SOALAN DAN JAWAPAN


BAGI
TEMUBUAL DI KONTI RADIO SALAM FM
UNTUK SLOT SALAM SIHAT

TOPIK: STRES PEKERJAAN DI TEMPAT KERJA

Nama Tetamu: Dr. Dayanath Manivasagam


Jawatan: Timbalan Pengarah, Bahagian Kesihatan Pekerjaan, JKKP
Tarikh: 19 November 2016
Masa: 7.15 pagi

1
SOALAN 1:

Bolehkah Tuan terangkan apa yang dimaksudkan dengan stres pekerjaan?

JAWAPAN 1:

Pertamanya, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Salam FM kerana
memberi peluang kepada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia,
di bawah Kementerian Sumber Manusia untuk berkongsi informasi berkaitan
keselamatan dan kesihatan pekerjaan pada pagi ini.

Merujuk kepada persoalan tadi, stres pekerjaan yang juga dikenali sebagai tekanan
pekerjaan bermaksud satu tindak balas fizikal dan emosi yang berlaku apabila
kehendak kerja seseorang tidak setanding dengan kemampuan, sumber atau
keperluan pekerjaannya. Dalam keadaan biasa, pekerja seharusnya mampu untuk
membuat imbangan dan tindak balas baru terhadap perubahan keadaan. Ini disebut
mekanisme penyesuaiannya terhadap perubahan di sekitarnya. Walau
bagaimanapun, jika tekanan ini berlebihan dan pekerja tersebut tidak mampu
menanganinya, maka wujudkan stres pekerjaan. Stres pekerjaan ini tergolong
dalam hazard atau bahaya psikososial.

SOALAN 2

Apakah kesan daripada stres pekerjaan ini kepada para pekerja?

JAWAPAN 2

2
Kesan stres pekerjaan kepada seseorang pekerja amat luas. Bermula daripada efek
yang ringan seperti kesukaran berfikir secara logik dan sulit untuk mengambil
keputusan, pengurangan tumpuan kerja dan keletihan sehinggalah menimbulkan
masalah-masalah yang lebih serius. Pekerja yang menderita stres akan mula
ponteng kerja dan sering mengalami kemurungan atau depresi. Terdapat pelbagai
masalah kesihatan yang muncul berikutan stres pekerjaan seperti insomnia atau
kesukaran tidur, keresahan, sakit kepala migrain, gangguan emosi, peningkatan
tekanan darah, sakit-sakit sendi, ulser perut, alergi dan masalah kulit. Jika masalah-
masalah tersebut berterusan, seseorang pekerja boleh berakhir dengan padah yang
paling serius iaitu serangan jantung, kemalangan, malah sehingga membunuh diri.
Kesan-kesan yang diakibatkan oleh stres pekerjaan bergantung kepada seseorang
individu dan tidak menimbulkan kesan yang sama kepada semua. Ia bersifat
individualistik di mana tahap reaksi seseorang terhadap stres akan menentukan
efek yang bakal dialaminya. Reaksi ini bergantung juga kepada ciri-ciri personaliti
seseorang pekerja dan pengalaman dalam menjalankan pekerjaannya.

SOALAN 3

Apakah punca-punca berlakunya stres pekerjaan ini?

JAWAPAN 3

Pelbagai punca boleh menyumbang kepada stres pekerjaan. Yang pertama


adalah dari konteks pekerjaan itu sendiri misalnya kandungan pekerjaan
yang dilakukan. Seseorang pekerja cenderung menjadi bosan jika dia melakukan
pekerjaan yang sama berulang kali atau disebut monotonus dan pekerjaannya tidak
menyenangkan. Beban kerja yang berat dan fasa kerja tanpa rehat yang mencukupi
3
boleh mengakibatkan stres pekerjaan. Waktu kerja yang tidak fleksibel atau
pekerjaan syif juga boleh menimbulkan tekanan pekerjaan. Yang kedua adalah
faktor-faktor pekerja itu sendiri. Jika seseorang pekerja bersifat pasif dan kurang
mengambil bahagian dalam proses membuat keputusan dalam jabatan, maka dia
akan sering mengasingkan diri dan berkemungkinan menderita stres di tempat
kerja. Pekerja-pekerja yang sukar mengawal suasana pekerjaan misalnya cara kerja
atau waktu kerja juga boleh menderita stres pekerjaan. Yang ketiga adalah faktor-
faktor luaran lain seperti hubungan antara rakan-rakan sekerja dan permasalahan
dalam keluarga. Sokongan sosial yang lemah daripada rakan-rakan sekerja dan
anggota keluarga boleh mengakibatkan tekanan di tempat kerja bertambah parah.

SOALAN 4

Apakah langkah-langkah untuk menangani stres di tempat kerja?

JAWAPAN 4

Penanganan stres di tempat kerja boleh dibahagikan menjadi dua iaitu pendekatan
individu dan pendekatan organisasi. Di peringkat individu, seseorang pekerja
haruslah meningkatkan kesedarannya tentang kesan-kesan yang memudaratkan
daripada tekanan pekerjaan serta mengambil tindakan segera untuk menghapuskan
atau mengurangkan tekanan yang dialaminya. Selain itu, pekerja juga digalakkan
untuk meningkatkan interaksi dan perhubungan sesama rakan sekerja.
Perhubungan yang berkesan boleh mengurangkan dengan banyaknya risiko
tekanan semasa bekerja dengan cara meredakan ketegangan dan kekecewaan di
kalangan pekerja. Bekerja secara berpasukan dengan membahagikan beban kerja
juga mampu mengurangkan stres pekerjaan. Pekerja-pekerja juga digalakkan untuk
4
belajar menangani stres pekerjaan dengan mengikuti latihan-latihan formal di
sepanjang perkembangan kerjayanya. Latihan-latihan yang berkaitan pekerjaan
seseorang individu akan mengajarkannya untuk melakukan tugas harian secara
lebih efektif dan efisien. Ini akan mempengaruhi reaksi seseorang pekerja apabila
dia diberikan beban kerja yang lebih berat yang perlu diselesaikan dalam
jangkamasa yang singkat. Di samping itu, stres yang berkaitan dengan ketegangan
pekerjaan dalam suasana pejabat dapat diredakan dengan mengamalkan senaman-
senaman ringan seperti peregangan otot-otot dan sendi.

Penanganan di peringkat organisasi melibatkan campur tangan pengurusan atau


majikan sesuatu tempat kerja. Ini melibatkan langkah-langkah untuk mengubah
amalan kerja bagi meredakan tekanan di tempat kerja. Selain itu, majikan juga
dapat memainkan peranan dengan memperbaiki kandungan kerja, menyusun
semula masa kerja dan mengkaji serta mempraktikkan amalan terbaik bagi
mengurangkan stres kakitangannya. Majikan boleh menubuhkan program bantuan
pekerja yang dikenali sebagai Employee Assistance Program. Ia merupakan satu
program yang berfaedah kepada pekerja dengan cara membantu pekerja dari segi
masalah peribadi atau masalah-masalah yang berkaitan dengan pekerjaannya yang
mungkin memberi kesan kepada prestasi kerja, kesihatan, serta kesejahteraan
mental dan emosinya.

5
SOALAN 5

Apakah peranan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia dalam


mencegah kejadian stres di tempat kerja ini?

JAWAPAN 5

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan banyak mengamalkan cadangan-


cadangan atau panduan yang diterbitkan oleh pertubuhan-pertubuhan antarabangsa
seperti Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia
(WHO). Untuk makluman, tema hari keselamatan dan kesihatan sedunia pada
tahun ini adalah “Tekanan Kerja: Satu Cabaran Kolektif”. Ini membawa maksud
penanganan stres di tempat kerja merupakan satu cabaran bagi semua pihak yang
terlibat termasuklah Kerajaan, majikan, pekerja dan lain-lain. Jabatan Keselamatan
dan Kesihatan Pekerjaan yang mewakili Kerajaan seringkali menganjurkan
program-program promosi melibatkan kempen-kempen dan ceramah-ceramah
kesedaran berkaitan stres pekerjaan. Baru-baru ini, satu sambutan Minggu
Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan telah diadakan di seluruh negeri anjuran
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan cawangan-cawangan negeri.
Sambutan peringkat kebangsaan telah diadakan di negeri Sabah. Kesihatan mental
dan stres pekerjaan merupakan salah satu agenda yang telah dipromosikan melalui
sambutan minggu keselamatan dan kesihatan pekerjaan ini. Aktiviti yang
dijalankan oleh Jabatan adalah bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan
khususnya golongan pekerja dan majikan berkenaan stres pekerjaan tersebut.
Jabatan ini juga menjadi sumber rujukan bagi industri-industri untuk mendapatkan
maklumat berkenaan stres pekerjaan. Pihak syarikat swasta maupun Jabatan-

6
jabatan kerajaan lain sering menghubungi Jabatan kami untuk mendapatkan
maklumat lanjut terutamanya berkenaan cara-cara menangani tekanan di tempat
kerja. Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan juga terlibat dalam
penyiasatan penyakit pekerjaan yang melibatkan stres pekerjaan di mana pegawai-
pegawai penyiasat Jabatan akan mencari punca berlakunya stres pekerjaan
tersebut. Untuk tujuan ini, Jabatan akan mencadangkan langkah-langkah
penambahbaikan tempat kerja bagi mencegah tekanan pekerjaan. Di sini, Jabatan
ini sekaligus menguatkuasakan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Tahun
1994 yang mewajibkan setiap majikan untuk menyediakan tempat kerja yang
selamat dan sihat bagi menjamin kesejahteraan pekerjanya. Ini termasuklah
kewajipan untuk memastikan bahawa tiada kesan negatif kepada kesihatan pekerja
yang berpunca daripada stres pekerjaan. Selain itu, Jabatan ini juga menyediakan
garis-garis panduan serta pedoman-pedoman yang membantu para pekerja dan
majikan untuk mengetahui tekanan pekerjaan serta cara-cara menanganinya. Walau
bagaimanapun, stres pekerjaan ini merupakan satu isu yang amat mencabar kerana
ia boleh disebabkan oleh berbilang faktor dan memberikan kesan besar ke atas
kesihatan pekerja, produktiviti organisasi serta ekonomi negara. Stres, jika tidak
diurus dengan baik, boleh merugikan pekerja dan organisasi.

PENUTUP

Untuk maklumat lanjut berkaitan stres pekerjaan, para pendengar Salam FM boleh
merujuk kepada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan. Para pendengar
juga boleh berkunjung ke laman web kami di www.dosh.gov.my untuk mengetahui
stres pekerjaan ini. Di sini, saya ingin menyampaikan harapan saya agar stres
pekerjaan sepertimana telah saya jelaskan tadi mendapat perhatian majikan
maupun pekerja yang sedang mendengar. Adalah menjadi tanggungjawab bersama

7
pihak majikan, pekerja dan Kerajaan dalam menangani stres pekerjaan supaya
kesihatan dan produktiviti pekerja sentiasa terjaga.

Di kesempatan ini, saya ingin memohon maaf sekiranya terdapat sebarang


kekurangan dalam penyampaian saya pada pagi ini. Semoga perkongsian
maklumat ini bermanfaat untuk semua pendengar Salam FM.

Sekian. Terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai