Anda di halaman 1dari 5

AHAD, 29 JULAI 2018

Pada tanggal 29 Julai 2018, guru pelatih IPG Kampus Kota Bharu semester 5 dan
semester 7 telah melaporkan diri pada hari pertama di sekolah praktikum pilihan
masing-masing selama 3 bulan. Saya memilih untuk ditempatkan di Sekolah
Kebangsaan Seri Chempaka, Kelantan yang mana jaraknya daripada IPG Kampus
Kota Bharu adalah lebih kurang 6km. Masa yang diambil untuk tiba di sekolah adalah
selama 15 minit. Oleh yang demikian, saya bersama rakan praktikum yang lain telah
bertolak seawal 7 pagi untuk tiba di sekolah dengan lebih awal.

Setibanya di sekolah SK Seri Chempaka, saya bersama 3 orang rakan


praktikum yang lain telah disambut dengan baik oleh pihak pentadbiran sekolah. Haji
Nordin Ahmad Bin Ahmad yang merupakan guru besar di sekolah itu yang sudah
sedia maklum akan kehadiran kami turut meraikan kami untuk menjalani praktikum di
sana. Beliau memberikan pelbagai nasihat dan bimbingan kepada kami untuk
menggalas tugas dan tanggungjawab sebagai guru praktikum ini. Kami turut diberikan
“punch card” untuk direkodkan kehadiran datang dan pulang kami ke sekolah setiap
hari. Selain itu, pada hari tersebut juga, kami diperkenalkan kepada Guru Penolong
Kanan Kokurikulum iaitu Encik Asmawi Bin Alias, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal
Murid (HEM) iaitu Encik Nik Zailani Bin Nik Mahmud, staf-staf pentadbiran dan juga
kakitangan sekolah tersebut.

Tambahan lagi, saya dan rakan-rakan dibawa ke bilik guru dan diberikan
tempat untuk kami duduk sepanjang kami praktikum di sana. Kami ditempatkan
bersama-sama dengan guru lain di dalam bilik guru. Di situ, kami dapat mengenali
guru-guru di sekolah ini dengan lebih dekat dan rapat. Oleh itu, diharap saya dan
rakan-rakan dapat membina hubungan baik bersama-sama dengan guru SK Seri
Chempaka serta dapat menimba ilmu dan pengalaman daripada mereka untuk
menjalani praktikum dengan lancar. Walaupun sesi perkenalan ini masih ditahap baru,
diharap ia dapat membina ukhwah yang kukuh antara kami dan pihak sekolah selama
12 minggu ini. Sesi persekolahan pada hari itu berakhir pada jam 1.15 tengahari.
ISNIN, 30 JULAI 2018

Pada hari kedua, saya tiba di sekolah tepat jam 7.20 pagi. Pada hari itu, saya dan
rakan-rakan telah berjumpa dan berbincang dengan guru sekolah untuk mendapatkan
jadual waktu pengajaran masing-masing selama 3 bulan kami berpraktikum.
Perbincangan dilakukan dengan mengambil kira mata pelajaran teras dan elektif
teras, bilangan masa pengajaran yang diperuntukkan, guru pembimbing dan lain-lain
lagi. Seperti saya sendiri, mata pelajaran teras adalah sejarah manakala mata
pelajaran elektif teras adalah matematik. Oleh itu, jadual waktu yang diperoleh adalah
berdasarkan mata pelajaran teras dan elektif teras yang saya pelajari di IPG Kampus
Kota Bharu.

Setelah itu, saya bersama rakan-rakan yang lain telah diperkenalkan kepada
guru pembimbing praktikum masing-masing selama 12 minggu kami berada di
sekolah tersebut. Cikgu Aznirizma Binti Nawi merupakan guru pembimbing saya bagi
mata pelajaran teras Sejarah manakala bagi elektif teras iaitu matematik adalah Cikgu
Rosellyda Binti Mohamed Ramli yang juga bertindak guru pembimbing dan guru yang
berperanan dalam menyediakan jadual waktu kami. Kedua-dua guru pembimbing
saya mudah didekati dan mesra menyebabkan saya tidak merasa janggal walaupun
masih lagi baru di sekolah itu. Kemesraan dan tunjuk ajar yang diberikan oleh kedua-
dua guru pembimbing saya memudahkan kolaborasi diantara kami dijalankan.

Perbincangan dan perjumpaan secara peribadi dilakukan bersama guru


pembimbing bagi mengetahui tentang skop pengajaran yang akan diambil alih untuk
mengajar serta bagaimana kelakuan murid-murid di dalam kelas. Dengan demikian,
saya dapat mengetahui serba sedikit tentang kelas yang akan diajar nanti. Kelas yang
saya peroleh bagi mata pelajaran sejarah adalah murid Tahun 4 iaitu kelas 4B1 dan
4B4 manakala mata pelajaran matematik adalah kelas 5B1. Perbezaan tahap murid
ini dapat memberi pelbagai pengalaman kepada saya dari segi pengawalan kelas dan
juga pencapaian murid. Akhirnya, sesi persekolahan tamat pada jam 1.15 tengahari.
SELASA, 31 JULAI 2017

Pada hari ketiga berpraktikum, saya bersama rakan-rakan yang lain melawat kawasan
persekitaran sekolah seperti prasekolah, bilik pemulihan, makmal computer, makmal
sains, perpustakaan dan banyak lagi tempat yang kami kunjungi. Sebagai warga baru
di SK Seri Chempaka, lawatan yang dilakukan itu sedikit sebanyak dapat memberi
pengetahuan tentang sekolah tersebut malah dapat juga mengetahui budaya yang
dilakukan di sekolah itu. Memandangkan sekolah ini berada di kawasan pinggir
bandar, kemudahan yang terdapat agak terhad tidak seperti sekolah elit mahupun
kluster yang mana jauh berbeza dari segi kemudahan prasarana sekolah terutamnya.

Namun begitu, setiap sekolah mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-


masing dan saya sendiri sebagai guru tidak boleh menjadikan kekurangan tersebut
sebagai halangan dalam menyampaikan pengajaran dan pembelajaran kepada murid
dengan baik. Oleh itu, kemudahan yang ada di sekolah tersebut perlu saya gunakan
sebaik mungkin. Tambahan lagi, kunjungan yang saya lakukan itu dapat memudahkan
saya mengenali kedudukan bangunan kelas murid yang saya akan ajar nanti. Selain
itu, saya juga melawat ke bangunan prasekolah. Di situ, saya dapat mengenali guru
prasekolah dan membina jaringan hubungan yang lebih luas bukan hanya sekadar
hubungan antara guru di dalam bilik guru. Hal ini sekali gus dapat memudahkan saya
untuk meminta sebarang tunjuk ajar yang berkaitan dengan sekolah dan murid.

Tambahan lagi, saya turut berjumpa dengan guru kelas yang akan saya
mengajar seperti guru kelas daripada 5 Bestari 1, 4 Bestari 1 dan 4 Bestari 4 untuk
mendapatkan maklumat tentang murid di dalam kelas tersebut. Dengan itu, saya
dapat mengetahui bilangan murid di dalam kelas, tahap pencapaian pembelajaran
murid, peribadi murid, latar belakang murid dan lain-lain lagi. Guru-guru kelas tersebut
sangat membantu memberi maklumat kepada saya supaya saya dapat jalankan
proses pengajaran dan pembelajaran sesuai dan efektif kepada murid yang berbeza
kelas dan tahap. Mereka turut memberikan nasihat tentang bagaimana pengedalian
kelas yang patut saya lakukan apabila masuk mengajar nanti. Diharap segala
perkongsian yang diperoleh dapat melancarkan perjalanan praktikum saya selama 12
minggu di sekolah tersebut. Sesi persekolahan tamat pada jam 1.15 tengahari.
RABU, 1 OGOS 2018

Rabu, 1 Ogos pelbagai perkara yang berlaku. Pada hari tersebut, seawal pagi saya
telah diberikan tugas untuk mengantikan kelas memandangkan ramai guru yang tidak
ada di sekolah pada hari tersebut. Oleh itu, guru yang bertanggungjawab
mengendalikan kelas ganti itu telah memberi saya kelas ganti 5 Bestari 5 bagi
menggantikan waktu Muzik selama 30 minit. “Relief” kelas ini dapat memberikan
pengalaman awal kepada saya untuk mengendalikan pengajaran terhadap murid
yang berada di kelas belakang. Oleh yang demikian, untuk mendapatkan perhatian
daripada murid-murid tersebut bukanlah sesuatu perkara yang senang, pelbagai cara
dan teknik yang saya aplikasikan supaya mereka seronok menjalani PdPc pada hari
tersebut walaupun guru yang berbeza mengajar.Aktiviti yang saya lakukan adalah
“Bina Perkataan Baru”. Melalui aktiviti ini, murid berasa seronok dan sekali gus dapat
memupuk kreativiti murid kerana aktiviti ini menyarankan mereka untuk berfikir bagi
menjana idea supaya dapat mencipta perkataan baharu daripada perkataan yang
telah diberikan.

Tambahan lagi, saya juga telah masuk ke kelas 4 Bestari 4 pada hari tersebut
kerana berdasarkan jadual waktu, saya ditugaskan untuk mengajar mata pelajaran
Sejarah bagi kelas itu sepanjang praktikum selama 3 bulan. Oleh yang demikian, pada
hari pertama pengajaran, saya mulakan dengan sesi perkenalan bersama murid-
murid. Murid-murid memberitahu tentang latar belakang diri masing-masing dan saya
juga menetapkan peraturan-peraturan yang akan saya gunakan sepanjang saya
mengajar kelas tersebut. Hal ini sekali gus dapat membina disiplin murid supaya patuh
kepada guru dan tidak membuat masalah sepanjang pengajaran berlangsung.

Pada jam 1.30 tengahari pula berlangsung perjumpaan Kokurikulum iaitu Unit
beruniform. Saya bersama rakan praktikum melibatkan diri dalam perjumpaan bagi
Unit Beruniform Tunas Puteri. Aktiviti yang dijalankan adalah pendedahan berkaitan
dengan bacaan al-fatihah di dalam solat. Sesi kokurikulum pada hari itu digabungkan
bersama unit beruniform Puteri Islam. Guru-guru penasihat unit beruniform akan
mendengar bacaan murid dan membetulkan sekiranya terdapat kesalahan terhadap
bacaan yang dilakukan. Perjumpaan tersebut berakhir pada jam 2.30 tengahari.
KHAMIS, 2 OGOS 2018

Pada tanggal 2 Ogos 2018 iaitu hari khamis yang merupakan hari terakhir dalam
praktikum minggu pertama, saya dan rakan-rakan praktikum tiba di sekolah pada jam
7. 20 pagi. Sekolah Kebangsaan Seri Chempaka melakukan perhimpunan setiap hari
di mana pada hari ahad adalah perhimpunan rasmi manakala pada hari yang lain
perhimpunan dilakukan dengan bacaan Yasin yang dipimpin oleh pengawas sekolah.
Pada hari itu, saya menghadiri perhimpunan tersebut dan semua murid berkumpul di
dewan terbuka sepanjang bacaan terebut dilakukan. Bacaan Yasin ini dilakukan
bertujuan bagi memudahkan urusan permbelajaran murid di sekolah dan dapat
memahami apa yang diajar oleh guru dengan baik.

Di samping itu, saya juga mendapat kelas ganti bagi kelas 5 Bestari 5 kerana
guru matematik mereka cuti pada hari tersebut. Perkara yang saya jalankan untuk
mereka adalah dengan menyuruh mereka melakukan latihan matematik terhadap
topik yang telah diajar oleh guru mereka dan sebarang ketidakfahaman murid boleh
bertanya secara terus kepada saya dan saling berbincang dalam kumpulan masing-
masing. Dengan itu, secara tidak langsung dapat memupuk komunikasi aktif antara
murid dalam menyelesaikan masalah yang diberikan.

Selain daripada kelas 5 Bestari 5, saya juga masuk kelas 5 Bestari 1 yang
merupakan kelas paling depan bagi murid Tahun 5. Bagi kelas tersebut, saya
dikehendaki untuk mengajar mereka mata pelajaran Matematik bagi elektif teras
sepanjang berpraktikum. Murid kelas tersebut adalah seramai 35 orang murid dan
setiap murid mempunyai ragam yang berbeza tambah lagi saya merupakan guru
praktikum menyebabkan murid-murid teruja apabila guru baru mengajar kelas
mereka.

Akhir sekali, sebelum tamat sesi persekolahan, saya melihat murid-murid


melakukan latihan memanah. Di sekolah tersebut, sukan memanah merupakan salah
satu sukan yang aktif dan mendapat pencapaian yang cemerlang di peringkat
kebangsaan iaitu tempat kedua semasa pertandingan memanah peringkat
kebangsaan. Walaupun sukan memanah itu tidak mendapat tajaan daripada pihak
sekolah dan peralatan dibeli sendiri oleh murid, namun ia tidak menjadi penghalang
kepada murid untuk kekal aktif dalam mamanah. Sesi persekolahan pada hari itu
tamat pada jam 1.45 tengahari.

Anda mungkin juga menyukai