Anda di halaman 1dari 15

FUNGSI WACANA DALAM BAHASA

MELAYU
ABSTRAK

Penggunaan wacana dalam penulisan terutamanya Bahasa Melayu merupakan sesuatu yang
sangat penting bagi melahirkan sesebuah hasil yang berkualiti. Setiap murid yang berada di
sekolah rendah mahupun menengah seharusnya tahu akan fungsi dan seterusnya mahir
menggunakan wacana ini pada tempat yang sepatutnya. Kegagalan seseorang pelajar menguasai
wacana, akan menyebabkan mereka gagal dalam melahirkan atau menghasilkan sesebuah
penulisan yang kritis dan puitis. Wacana bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan oleh
pelajar, malah ianya perlu dipelajari dan dikuasai. Latihan yang berterusan sama ada bertulis
mahupun pembacaan perlu ditekankan kepada pelajar-pelajar sejak di bangku sekolah rendah
lagi agar mereka dapat menguasai sepenuhnya sehinggalah mereka dapat mengaplikasinya
sehingga ke tahap menara gading dan ke tahap yang lebih tinggi lagi.
1.0 PENDAHULUAN

Bahasa adalah alat perhubungan yang paling efektif. Bahasa juga menggambarkan status
seseorang . Penggunaan kata yang sempurna dan tuntas baik secara lisan mahu pun tulisan
menjadikan bahasa itu semakin gramatis dan difahami. Penggunaan kata dan wacana dalam ayat
yang dituturkan menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa yang lengkap setanding dengan
bahasa-bahasa lain di dunia.

Wacana merupakan suatu bahagian atau unit yang paling tinggi yang melampaui sebaris
ayat yang lengkap. Oleh yang demikian, wacana dapat dijelmakan dalam pelbagai bentuk
sehinggalah meliputi peristiwa bahasa. Menurut Kamus Dewan (2007), wacana membawa
maksud keseluruhan tutur kata yang merupakan suatu kesatuan, ucapan, pertuturan serta
percakapan. Manakala menurut pendapat Harimurthi (1982) pula, wacana merupakan unit bahasa
yang melebihi batas ayat. Sementara itu, Raminah Haji Sabran (1985) dalam bukunya yang
bertajuk Kajian Bahasa untuk Pelatih Maktab Perguruan, mendefinisikan wacana adalah unit
bahasa yang melebihi batas ayat, kerana itu ia boleh terdiri daripada ayat, sejumlah ayat, ceraian,
bab, buku, dialog, siri buku dan sebagainya yang di dalamnya memperlihatkan hubungan-
hubungan dan perkembangan fikiran yang berturutan. Menurut beliau lagi, wacana merupakan
kesatuan bahasa yang lengkap. Di dalam tatabahasa, wacana ini diletakkan di tahap paling atas
atau tertinggi mengikut hierarki dan boleh dinyatakan seperti rajah berikut:

Fornem morfem Perkataan Frasa Klaus Ayat Wacana

Berdasarkan pernyataan-pernyataan di atas, dapatlah dikatakan bahawa setiap bahasa


mempunyai bilangan ayat yang tidak terhad. Walaupun begitu, sejumlah ayat tertentu hanya
membawa satu tumpuan makna sahaja. Manakala tumpuan makna pula akan membentuk satu
fokus pemikiran yang mana di dalam tatabahasa ianya disebut sebagai wacana. Selain itu,
wacana juga boleh disebut sebagai rentetan, tautan dan
-1-

hubungan antara sistem bahasa yang tersusun sehingga menjadi satu bentuk ayat, perenggan,
karangan, sebuah novel, sebuah majalah, buku seminar, bengkel, forum dan sebagainya.

Wacana berasal daripada perkataan Jawa iaitu ‘wocono’ atau ‘woco’ yang membawa
maksud baca. Terdapat dua jenis wacana di dalam unit bahasa iaitu wacana lisan dan wacana
tulisan. Wacana lisan dihasilkan atau dituturkan secara lisan dan melibatkan komunikasi secara
langsung antara penutur dengan pendengar seperti aktiviti perbualan harian, temu ramah,
ceramah, ucapan, khutbah dan sebagainya. Wacana jenis ini melibatkan ekspresi wajah, nada
suara, gerak badan dan sebagainya dalam menyampaikan sesuatu maksud. Manakala wacana
tulisan pula berkisar kepada tulisan dan melibatkan hubungan antara penulis dengan pembaca.
Komunikasi yang berlaku dalam wacana tulisan ini adalah secara tidak langsung . Contoh
wacana tulisan adalah seperti tulisan rencana, akhbar, majalah, novel dan lain-lain lagi.

2.0 FUNGSI PENANDA WACANA

Penanda wacana ialah perkataan atau rangkaian perkataan yang berfungsi untuk
menghubungkan sesuatu idea, hujah dan pandangan seseorang semasa menulis atau berucap dan
ia amat penting dalam sesuatu teks kerana penanda wacana dapat mewujudkan pertautan serta
kesinambungan antara sebahagian teks dengan yang lain sehingga terbentuk kesatuan. Dalam
lain perkataan, penanda wacana ini digunakan untuk: i) menyambung ayat dengan
ayat;

ii) menghubungkan perenggan dengan perenggan yang lain; dan

iii) melahirkan ayat-ayat dan perenggan yang berkesinambungan,


gramatis dan bermakna.
-2-

Raminah Hj Sabran (1985) melalui bukunya Kajian Bahasa untuk Pelatih Maktab
Perguruan telah membincangkan tentang fungsi penanda wacana dengan meluas sebagai
panduan kepada bakal-bakal guru yang akan mendidik anak bangsa seluruh negara. Nik Safiah
Karim (2009) di dalam Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga ada menyebut tentang fungsi penanda
wacana ini. Pendapat beliau turut dikongsi bersama oleh Samsu Yaakob (2009) di dalam
bukunya yang berjudul Senarai Semak Sistem Ejaan dan Tatabahasa Bahasa Melayu. Menurut
mereka ini, di dalam bahasa Melayu, terdapat lima jenis utama penandaan wacana seperti:

i) Penanda Penghubung;

ii) Penanda rujukan;

iii) Penanda penggantian;

iv) Penanda leksikal; dan

v) Penanda elipsis atau pengguguran.

Bagi meningkatkan mutu penulisan di kalangan pelajar, mereka seharusnya tahu


menggunakan wacana yang sesuai dan pelajar juga perlulah tahu akan fungsi wacana yang
digunakan. Terdapat empat fungsi utama di dalam penanda wacana iaitu:

a). Penghubung tambahan;

b). Penghubung tentangan atau sebaliknya;

c). Penghubung musabab atau sebab; dan

d). Penghubung tempoh masa atau ketika.

2.1 Menunjukkan maksud penghubung tambahan.

Menurut Kamus Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, penghubung


tambahan merupakan penghubung yang memberikan maklumat tambahan kepada
sesuatu perkara yang telah diperkatakan sebelumnya. Antara penanda wacana
yang terdapat di dalam jenis ini ialah seperti dan, lalu, malahan, tambahan
pula, lebih-lebih lagi, di samping itu dan lain-lain lagi. Contoh ayat yang boleh
dibina adalah seperti:

-3-

a). Tugas sebagai seorang guru di kawasan pedalaman benar-benar


mencabar dan memberi pengalaman baru kepadanya kerana sebelum ini
dia merupakan seorang anak orang berada yang tinggal di bandar
besar. Malahan dia juga berpeluang beramah-mesra dengan penduduk-
penduduk termasuklah petani dan penternak dalam mengenali mereka dengan
lebih rapat lagi.

b). Pendidik haruslah berusaha membimbing pelajarnya


melakukan pelbagai aktiviti kokurikulum secara teori mahupun
praktikal.Di samping itu, isi pelajaran yang hendak disampaikan mestilah
menarik minat pelajar.

2.2 Menunjukkan maksud sebaliknya atau penghubung tentangan.

Menurut Nik Safiah Karim (2009), penghubung tentangan ialah penghubung yang
menunjukkan pertentangan maklumat antara suatu yang baru diperkatakan dengan yang
sebelumnya dalam wacana yang sama. Antara penanda wacana yang sering dan boleh digunakan
oleh pelajar dalam menulis karangan ialah seperti tetapi, sebaliknya, namun, namun begitu,
walau bagaimanapun dan lain-lain lagi. Contoh ayat yang menggunakan wacana ini adalah
seperti berikut:

a). Kassim telah lama berpindah ke Semenanjung. Namun hati


kecilnya masih teringat akan negeri di bawah bayu itu.
b). Ani dan Razak adalah anak angkat Pak Hamid yang dipelihara sejak
kecil lagi. Walau bagaimanapun, mereka berdua menganggap Pak
Hamid seperti bapa kandung mereka sendiri.

-4-

2.3 Menunjukkan maksud sebab atau penghubung musabab.

Pelajar juga boleh menggunakan wacana yang sesuai bagi menunjukkan sebab
berlakunya sesuatu perkara atau peristiwa. Apabila penanda wacana ini digunakan, jalan cerita
akan menjadi lebih gramatis dan menarik dan menunjukkan kematangan pelajar dalam memilih
kata-kata yang sesuai di dalam penulisan. Antara penanda wacana menunjukkan sebab ini ialah
seperti kerana, oleh sebab itu, oleh itu, oleh hal demikian, dengan itu, maka itu dan lain-lain
lagi. Pendapat di atas telah disokong oleh Siti Hajar binti Abd Aziz dalam bukunya Bahasa
Melayu II terbitan Oxford Fajar (2009). Contoh ayat yang dapat ditunjukkan dalam bahagian ini
adalah seperti di bawah:

a). Kejadian pecah rumah sering berlaku di kawasan taman perumahan


di pinggir bandar. Sikap penduduk yang tidak memberikan kerjasama
dan tidak mempunyai semangat kejiranan menjadikan masalah ini
sukar dibendung. Oleh hal demikian, pihak berkuasa telah mengarahkan
ahli Rukun Tetangga menjalankan kerja-kerja rondaan dengan lebih kerap.

b). Keadaan hidup keluarganya amat daif. Maka itu dia terpaksa bekerja
lebih keras untuk membawa keluarganya keluar daripada
kepompong kemiskinan.

2.4 Menunjukkan maksud ketika atau penghubung tempoh.

Mengikut Raihana Hamdan, Aina Rosli, Amin Nur Aiman dan Salina Hussin
(2007), dalam buku Bahasa Melayu UPSR Teks dan Rujukan Lengkap turut mengatakan bahawa
fungsi wacana adalah merujuk kepada maksud ketika atau penghubung tempoh iaitu penghubung
yang menunjukkan urutan masa atau siri berlakunya sesuatu peristiwa atau kejadian. Antara
penanda wacana yang terdapat di dalam jenis ini ialah seperti pertama, seterusnya, kemudian,
selanjutnya, selepas itu, maka dan akhirnya.

-5-

Antara contoh ayat yang dapat dibina dalam wacana jenis ini ialah seperti:

a). Pertama, ibu saya sakit. Kedua, kereta saya rosak


dan ketiga, hujan lebat ketika itu. Itulah antara sebab-sebab saya
tidak dapat hadir mesyuarat petang semalam.

b) Sebaik sahaja rombongan kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang, kami
dibawa ke balai menunggu. Sejurus selepas itu, kami diberi taklimat ringkas oleh ketua
rombongan. Semua ahli rombongan mendengar penerangan yang disampaikan dengan penuh
minat. Selepas itu, kami diarahkan membawa bagasi ke tempat pemeriksaan.

Selain daripada yang telah dinyatakan di atas, penanda wacana yang terdapat di dalam
bahasa Melayu ialah seperti penanda permulaan karangan, penanda memulakan isi baharu,
penanda huraian isi karangan, penanda memberi contoh, penanda menutup isi, penanda menulis
dua huraian dalam satu ayat, penanda memulakan perenggan penutup, penanda menerangkan
huraian atau pendapat yang berbeza dan penanda memulakan atau memasukkan peribahasa.

Setelah diteliti kesemua fungsi wacana yang telah dinyatakan di atas, jelaslah kepada kita
bahawa fungsi-fungsi wacana ini sebenarkan mempunyai makna yang berbeza antara satu
wacana dengan wacana yang lain mengikut kategori yang telah ditetapkan.

-6-
3.0 PENANDA WACANA DALAM PERENGGAN

Berikut adalah contoh-contoh perenggan yang dipilih untuk melihat penggunaan wacana
di dalam petikan:

3.1 Petikan 1

Perenggan ini adalah dipetik daripada buku ‘Cakna Bestari’ terbitan Jabatan Pelajaran
Negeri Kedah (2011) di bawah tajuk “Mencipta Inovasi Sebagai Pendekatan Baru – Menyubur
Kecerdasan Logik Matematik Berformula Pengalaman Yang Amat Bermakna”, muka surat 11.

Pembelajaran dengan modul Program Asas TIP RING KONSEP K3


menulis karangan. Semasa mengaplikasinya, saya menjelaskan makna
FORMULA KONSEP K3 yang mencakupi 3 perkara, iaitu pertama pengamalan, kedua
isi dan ketiga kesimpulan. Setiap karangan mesti memenuhi disiplin 3
komponen tersebut. Komponen pengenalan mempunyai 3 ciri iaitu pertama isu
berdasarkan tajuk, kedua huraian isu dan ketiga arahan atau respons soalan daripada
tajuk. Dalam Komponen Isi, pertama murid saya perlu menyatakan isi
mengikut arahan soalan, kedua menghuraikan isi dan ketiga mereka memberi contoh
yang berkaitan isi. Begitu juga pada Komponen
Kesimpulan, pertama mesti menyimpulkan tajuk berdasarkan pendapat murid, kedua huraian
cadangan terhadap isu dan ketiga jelaskan harapan kepada isu.
Berdasarkan petikan di atas, terdapat beberapa penanda wacana yang boleh dikesan
dalam ayat-ayat yang digunakan. Antara penanda wacana yang ditemui ialah seperti ‘semasa’, ‘
pertama’, ‘ kedua’, ‘ ketiga’ , ‘ setiap’, ‘dalam’ dan begitu juga.

-7-

Penanda wacana atau perkataan ‘semasa’ yang terdapat di dalam ayat tersebut membawa
maksud atau menunjukkan sesuatu tempoh atau ketika sesuatu perkara itu dinyatakan. Manakala
perkataan atau penanda wacana ‘pertama’, ‘kedua’ dan ‘ketiga’ pula membawa maksud urutan
masa atau turutan peristiwa atau kronologi sesuatu perkara yang diterangkan oleh penulis.
Manakala penanda wacana ‘begitu juga’ pula membawa maksud persamaan erti dalam ayat-ayat
yang terdahulu.

Di dalam petikan tersebut, penulis kerap-kali mengulangi penanda wacana ‘pertama’,


‘kedua’ dan ‘ketiga’ kerana terdapat banyak perkara yang terpaksa disentuh oleh penulis
berdasarkan formula konsep yang diperkenalkan dan perlu diterangkannya supaya pembaca
memahami dengan lebih mendalam. Penanda wacana yang digunakan oleh penulis di dalam
petikan tersebut sememangnya mudah difahami oleh pembaca dan maksud yang hendak
disampaikan adalah jelas. Namun begitu, di dalam ayat, ‘Dalam komponen isi……’, adalah
tidak begitu sesuai digunakan di dalam petikan tersebut. Penulis sepatutnya menggunakan
‘sementara komponen isi,…..’ bagi menerangkan urutan penerangan yang akan disampaikan
bagi menampakkan wacana yang menarik.

3.2 Petikan 2

Perenggan ini pula adalah dipetik daripada buku ‘Cakna Bestari’ terbitan Jabatan
Pelajaran Negeri Kedah (2011) di bawah tajuk”Pusat Sumber SMK Convent Sebelum Inovasi”,
muka surat 51.

Kedudukan PSS SMK Convent tidak strategik kedudukannya kerana terletak di tingkat
empat bangunan belakang. Pun begitu, PSS tetap berdiri megah
tanpa pelanggan.Walaupun agak ceria dan bersih, tetapi PSS bergerak sendirian
dan bersifat terasing. Selalunya jumlah pengawas PSS lebih ramai
berbanding pengunjung. Faktor koleksi buku yang tidak terkini, pengawas PSS yang
tidak cekap menjalankan tanggungjawab, ketiadaan promosi dan galakan
amalan membaca menyebabkan PSS hanya sekadar bilik pameran tanpa
pelanggan. Malahan, PSS menjadi medan guru-guru memenuhi waktu
ganti (relief). Namun begitu, murid-murid murid-murid masih menggunakan PSS hanya
mengikut waktu perpustakaan sahaja dan mereka masih tetap tidak menunjukkan
minat yang mendalam untuk membaca. Hal yang demikian ini terbukti apabila
jumlah pinjaman buku sangat minimum.

Dalam petikan ke dua ini pula, penulis artikel tersebut telah menggunakan beberapa
penanda wacana yang agak berbeza daripada petikan pertama tadi. Di dalam petikan tersebut,
beberapa penanda wacana yang telah dikesan adalah seperti ‘pun begitu’, ‘walaupun’,
‘selalunya’ ‘malahan’, ‘namun begitu’ dan ‘hal yang demikian’.

Penanda wacana ‘pun begitu’ adalah merujuk kepada maksud pertentangan di mana
menceritakan tentang PSS yang terdapat di situ tetapi tidak ada pengunjung yang datang atas
sebab-sebab tertentu. Penanda wacana ‘walaupun’ pula memberi maksud tentang pendapat yang
berbeza atau sebaliknya iaitu tentang PSS yang kelihatan ceria tetapi masih tidak dapat menarik
pengunjung datang ke situ. Perkataan ‘kebiasaannya’membawa maksud atau memberi gambaran
tentang keseluruhan serta rumusan pendapat penulis tentang PSS yang dinyatakan itu. Sementara
itu, perkataan‘malahan’ merujuk kepada maksud penanda keterangan atau huraian kejadian
sebaliknya di mana PSS digunakan oleh guru-guru untuk ‘berehat’ ketika waktu jadual ganti dan
bukannya waktu untuk mengajar. Penanda wacana ‘hal yang demikian’ pula merujuk kepada
rumusan sebab di mana ia menerangkan tentang bilangan peminjam yang berkurangan walaupun
PSS kelihatan ceria.

Penulisan petikan kedua ini menampakkan satu wacana yang menarik dan pembaca boleh
memahami isi yang hendak disampaikan dengan jelas. Perkataan ‘selalunya’ dilihat adalah
kurang tepat digunakan di dalam ayat dan boleh digantikkan dengan perkataan atau penanda
wacana yang lebih sesuai seperti ‘kebiasaannya’ dan memperlihatkan penanda wacana yang
lebih menarik untuk digunakan.
-9-

3.3 Petikan 3

Sementara perenggan ketiga pula adalah dipetik daripada buku ‘Cakna Bestari’ terbitan
Jabatan Pelajaran Negeri Kedah (2011) di bawah tajuk “Nilai Membentuk Generasi Berilmu”,
muka surat 82-83.

Sebenarnya, untuk mendidik dan membimbing seseorang murid mejadi tokoh NILAM
bukanlah sesuatu tugas yang ringan dan mudah. Banyak halangan dan cabaran terpaksa
dihadapi. Contohnya, daripada sepuluh orang murid yang dipilih dan dibimbing dari tingkatan
satu tersebut, mungkin hanya tiga atau empat orang sahaja yang akan kekal bersekolah hingga ke
tingkatan lima. Ada diantaranya akan bertukar ke sekolah lain selepas Peperiksaan PMR. Hal
ini demikian kerana murid yang mendapat keputusan cemerlang iaitu 7A dan 8A ditawarkan
untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh atau melanjutkan pelajaran ke sekolah
teknik.Apabila perkara ini berlaku, ada kalanya, calon pilihan utama sekolah yang telah diberi
bimbingan dengan ilmu NILAM turut bertukar sekolah. Selain itu, cabaran terbesar adalah untuk
memilih tokoh NILAM daripada kalangan lelaki. Sudah menjadi kelaziman di negara kita,
murid perempuan lebih gemar membaca berbanding murid lelaki. Oleh itu, pihak sekolah
terpaksa berusaha gigih mancari tokoh dalam kalangan murid lelaki untuk diketengahkan sebagai
tokoh NILAM ini.Sehingga ini, kami hanya berjaya mengetengahkan hanya dua orang calon
sahaja.

Penanda wacana atau perkataan yang digunakan di dalam petikan ketiga adalah
seperti ‘sebenarnya’, ‘contohnya’, ‘ada diantaranya’, ‘hal yang demikian’, ‘apabila’, ‘selain
itu’,’sudah menjadi kelaziman’, ‘oleh itu’ dan ‘sehingga itu’.
- 10 -

Penanda wacana ‘sebenarnya’ membawa maksud mengesahkan atau pengeahan sesuatu


maklumat yang disampaikan. Perkataan ‘contohnya’ pula adalah bermaksud untuk memberikan
contoh seuatu perkara atau benda yang hendak diterangkan dengan lebih mendalam. Sementara
perkataan ‘hal yang demikian’, ‘sudah menjadi kelaziman’ dan ‘oleh itu’ pula membawa
maksud sebab atau musabab atau akibat sesuatu hal dan kejadian yang berlaku. Maksud penanda
wacana bagi ‘apabila’ dan ‘sehingga itu’ pula merujuk kepada penanda waktu atau tempoh
masa.

Bagi penanda wacana ‘selain itu’ pula membawa maksud memulakan sessuatu isi baru
dalam penulisan dan menunjukkan perbandingan sesuatu perkara. Manakala perkataan atau
penanda wacana ‘selebihnya’ pula membawa maksud penghubung tambahan di dalam sesuatu
ayat dan boleh juga menunjukkan sebagai bilangan. Walaupun petikan ketiga ini nampak
sempurna, namun penulis boleh menggantikan penanda wacana ‘ada diantaranya’ kepada
penanda wacana yang lebih menarik iaitu ‘selebihnya’ kerana ia akan menampakkan masud
bilangan dalam wacana yang ingin diterangkan.

Daripada ketiga-tiga petikan yang telah dianalisa mengenai penanda wacananya, dapatlah
dirumuskan bahawa penanda wacana ini digunakan di dalam setiap petikan dan mempunyai
bermacam maksud mengikut konteks ayat yang dibina. Sesuatu penanda wacana tidak hanya
membawa maksud yang tetap tetapi boleh berubah mengikut situasi ayat yang dilafazkan.
- 11 -

4.0 CADANGAN MENINGKATKAN KEMAHIRAN PENGGUNAAN WACANA DI


DALAM KALANGAN PELAJAR

Pelajar-pelajar sekolah rendah terutamanya, perlu didedahkan dengan lebih banyak lagi
cara-cara meningkatkan kemahiran penggunaan wacana terutamanya di dalam aktiviti penulisan.
Penggunaan wacana yang lemah akan menjejaskan hasil kualiti sesebuah karya. Menurut
Kamaruddin Hj Husin (1988) di dalam buku HBML 3203, Tatabahasa dalam Pengajaran Bahasa
Melayu keluaran Open University Malaysia, menjelaskan bahawa beberapa perkara perlu
diberikan perhatian oleh murid dalam usaha menghasilkan penulisan yang baik, iaitu sebelum,
semasa dan selepas menjalankan aktiviti penulisan.

Pelajar yang pintar akan membuat persediaan awal sebelum menulis sesebuah karya atau
karangan. Mereka sepatutnya melakukan banyak latihan tatabahasa terlebih dahulu dan membaca
lebih bahan-bahan tambahan seperti akhbar, majalah, buku-buku ilmiah dan sebagainya bagi
mendapatkan idea serta menambah perbendaharaan kata dan mengetahui penanda wacana yang
sesuai dan menarik untuk dimasukkan ke dalam hasil tulisan mereka nanti. Pelajar juga patut
didedahkan dengan latihan-latihan menyalin semula petikan atau perenggan yang mengandungi
penanda wacana yang baik agar mereka dapat memahami serta tahu fungsi penanda wacana yang
sesuai di dalam hasil penulisan mereka nanti.

Bagi mendapatkan hasil yang baik dalam penggunaan wacana dalam kalangan pelajar ini,
guru juga sepatutnya meminta murid melengkapkan ayat atau membina ayat-ayat berdasarkan
penanda wacana yang betul. Seterusnya, murid juga perlu diberi latihan menyusun ayat
berdasarkan urutan serta meletakkan penanda wacana dan kata hubung yang sesuai.

- 12 -
Seterusnya murid diminta untuk melengkapkan perenggan berdasarkan urutan cerita
dengan memasukkan penanda wacana yang sesuai dan betul di antara ayat atau perenggan
supaya terdapat kohesi dan koherennya.Selain itu, pelajar juga harus tahu serta mengetahui
fungsi-fungsi wacana yang hendak digunakan. Wacana yang menarik akan menjamin
kesinambungan cerita yang menarik atau kelancaran perjalanan cerita atau idea dari satu
perenggan ke satu perenggan.

Bagi menghasilkan sesebuah karya yang baik dan menarik, pelajar mestilah menjadikan
kamus sebagai ‘kawan rapat’. Sentiasa merujuk kamus untuk mengetahui erti atau makna
perkataan sukar atau perkataan baru yang akan digunakan di dalam penulisan. Gunakan wacana
yang betul dan tepat apabila menulis dan dilarang sama sekali menggunakan wacana yang
dianggap ‘sedap’ bunyinya tetapi tidak diketahui makna dan salah penggunaannya.

Setelah pelajar pasti karya yang ditulis telah selesai, pelajar diminta membaca dan
menyemak semula hasil penulisan mereka. Ini merupakan penilaian kendiri terhadap hasil
penulisan tersebut. Penekanan perlu diberikan kepada format, isi atau huraian, imbuhan yang
bersesuaian, struktur ayat, tanda baca serta perbendaharaan kata yang betul. Penanda wacana
yang digunakan perlulah diteliti dengan betul agar penggunaannya tepat pada tempat yang betul.
Jangan sesekali menggunakan tanda soal di dalam wacana. Baiki segera kelasahan atau membuat
penambaikan jika terdapat kekurangan dalam hasil penulisan tersebut.

Jika pelajar dapat memenuhi kesemua cadangan yang dikemukan seperti di atas, pelajar
tidak perlu rasa bimbang kerana kemungkinan hasil sesebuah karya yang dibuat telah menepati
apa yang diminta. Cadangan di atas telah dinyatakan oleh beberapa orang pemeriksa kertas yang
berpengalaman. Tetapi, jika cadangan ini tidak diambil pusing oleh pelajar, besar kemungkinan
hasil penulisan akan menjadi lemah dan menyebabkan pelajar tidak memperolehi markah yang
tinggi seperti yang diharapkan.

-13 -
5.0 KESIMPULAN

Bahasa Melayu merupakan suatu bahasa yang indah dan unik kerana ayat-ayat yang
digunakan mempunyai tautan antara satu ayat dengan ayat yang lain (kohesi) dan mempunyai
perkaitan antara satu perenggan dengan perenggan yang lain (koheren). Daripada pernyataan
inilah yang membuatkan sesebuah karya bahasa Melayu menjadi hebat. Bagi melahirkan karya
Bahasa Melayu, ianya bukanlah sesuatu yang sukar tetapi sekiranya seseorang penulis itu tahu
menggunakan wacana yang baik dan tepat, sudah pasti hasilnya juga akan hebat. Semasa
berbahasa, sama ada tulisan ataupun lisan mestilah mempunyai kesinambungan antara satu idea
dengan satu idea yang lain atau memperlihatkan wacana yang berkesan agar pendengar atau
pembaca memahami isi atau hujah yang ingin dan akan disampaikan.

Wacana yang baik mestilah mempunyai beberapa perkara seperti kohesi dan koheren
yang dinyatakan di atas dan termasuklah tahu akan fungsi wacana itu sendiri. Penanda wacana
tidak boleh digunakan pada tempat-tempat sembarangan, kerana kesalahan penggunaan penanda
wacana akan menjejaskan atau merosakkan maksud sesuatu hujah yang ingin disampaikan.
Pendengar atau pembaca akan keliru atau tidak memahami idea yang ingin disampaikan itu.

Setelah diteliti dengan mendalam, bolehlah dikatakan bahawa penanda wacana di dalam
bahasa Melayu ini mempunyai banyak kepentingannya dalam menghasilkan sesebuah karya
ataupun penulisan. Seseorang penulis haruslah tahu menggunakan dan faham akan kepentingan
wacana itu sendiri kerana aspek penanda wacana akan mempengaruhi cara pengolahan
serta penyusunan struktur ayat, pembahagian perenggan, penggunaan kosa kata dan penggunaan
bahasa secara keseluruhan. Pelajar seharusnya didedahkan dengan penggunaan penanda wacana
yang betul sejak awal lagi agar mereka tidak kekok dan dapat menggunakannya dengan berkesan
di masa hadapan. Hal ini tidak boleh dipandang ringan oleh semua pihak jika kita ingin
melahirkan seorang penulis atau karyawan yang berkaliber suatu hari nanti kerana semuanya
bermula dengan wacana yang berkesan

Anda mungkin juga menyukai