Anda di halaman 1dari 25

Catatan Perjalanan Riza Atiq

Cape Town, Afrika Selatan


Perjalanan kami ke Cape Town melalui Singapura dengan menaiki penerbangan SIA. Walaupun SIA
adalah milik Singapura tetapi kami rasa selesa kerana syarikat itu menyediakan makanan halal yang
biasa kita makan di Malaysia dan anak-anak kapal bertutur dengan kami dalam Bahasa Melayu yang baik
dan sopan seperti orang Melayu. Aku tanyakan di mana belajar Bahasa Melayu? Jawabnya, “Kami Cina
Peranakan”. Walaupun kami naik kelas ekonomi, layanannya amat baik dan makanan tambahan seperti
epal dan roti disediakan pada waktu malam. Aku teringat ketika aku pergi ke London menaiki syarikat
penerbangan lain, bukan SIA, dalam kelas perniagaan. Pada waktu malam aku terasa lapar lalu aku
meminta mi segera kerana tertulis dalam menu mi segera boleh diminta pada bila-bila masa. Keesokan
harinya hidangan makan pagi diberikan kepada semua penumpang-penumpang kecuali aku. Aku
bertanya kepada pramugari, jawabnya, “Encik sudah kami beri makanan semalam. Ini peraturan yang
dibuat oleh pihak pengurusan. Nanti Encik boleh buat aduan secara rasmi”. Aku berkata dalam hati
ku,”Jika syarikat ini melayan penumpang kelas perniagaan seperti ini, tak lama lagi ia akan muflis”.
Setibanya di London aku menulis email kepada pengurusan syarikat itu, tetapi sehingga hari ini tiada
balasan. Anda boleh teka apa nasib syarikat penerbangan itu.

Berbalik kepada perjalanan ke Cape Town, kapal terbang itu singgah sebentar di Johannesburg untuk
menurunkan penumpang lalu terus ke Cape Town. Perjalanan balik kami juga dekian, singgah sebentar
di Johannesburg. Kedudukan Cape Town ditunjukkan dalam peta di bawah.

1
Catatan Perjalanan Riza Atiq

Tujuan utama lawatan kami ke Cape Town adalah untuk melihat sekolah agama dan tahfiz kerana ramai
orang di Malaysia yang menghantar anak-anak mereka yang masih kecil belajar di sana. Mesti ada
kehebatan sekolah-sekolah agama di sana. Kami sempatkan juga melawat tempat-tempat yang menarik
seperti Table Mountain, Kirstenbosch National Botanical Garden dan beberapa tempat lain.

Table Mountain
Table Mountain adalah tempat yang mesti dilawati apabila tiba di Cape Town. Bahagian atasnya rata
seperti meja sepanjang 3 km dan ketinggian 1km. Dari atas gunung ini kita dapat melihat bandar Cape
Town. Bagi peminat geologi dan flora-fauna, gunung ini juga menarik kerana batu batannya yang
terdedah manakala pokok-pokoknya agak ganjil. Haiwan-haiwan pula agak jinak dan boleh didedakti.

Table Mountain (Gunung Meja)

2
Catatan Perjalanan Riza Atiq

Cape Town dari Table Mountain

3
Catatan Perjalanan Riza Atiq

Di antara flora & fauna di Table Mountain

4
Catatan Perjalanan Riza Atiq

Batu-batan di Table Mountain yang menarik

5
Catatan Perjalanan Riza Atiq

Lawatan ke Sekolah-sekolah dan Mak’at Tahfiz

Sekolah-sekolah yang kami lawati adalah sekolah Islam yang dibiayai oleh Yayasan 2 Ocean Education.
Sekolah-sekolah ini terbuka kepada semua orang, termasuk yang bukan Islam. Bahkan ada sekolah-
sekolah Islam ini yang mempunyai pelajar bukan Islam lebih ramai dari yang Islam. Sekolah-sekolah ini
ada yang percuma, ada yang dikenakan yuran yang rendah dan ada juga yang boleh dikatakan elit yang
mengenakan yuran yang tinggi. Aku tanyakan kenapa ramai orang yang bukan Islam hantar anak-anak
mereka ke sekolah Islam? Jawabnya, “Kualiti pendidikan”.

Sebuah sekolah yang dibiayai oleh Islamic Relief, USA dan Yayasan 2 Ocean Education.

Sekolah-sekolah ini di samping memberi ilmu, ia juga menekankan nilai-nilai murni dan kepimpinan
serta kepetahan berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris. Matematik juga diberikan perhatian yang tinggi.
Bahkan maktab tahfiz juga memberikan perhatian kepada Bahasa Inggeris dan Matematik di samping
Bahasa Arab dan ilmu-ilmu turas Islam.

6
Catatan Perjalanan Riza Atiq

Kami diberi taklimat oleh tenaga pengajar termasuk oleh seorang guru orang putih yang berugama
Kristian.

7
Catatan Perjalanan Riza Atiq

Barisan beberapa orang pelajar ketika kami hendak meninggalkan salah satu sekolah

8
Catatan Perjalanan Riza Atiq

The Leadership College, Hyde Park adalah salah satu sekolah yang amat menitik beratkan melatih
pimpinan masa depan. Motto sekolah ini Leadership Through Devine Guidance. Sukan, pertunjukan di
pentas, pidato, pertandingan dan debat adalah di antara kaedah yang digunakan untuk melatih
keyakinan diri.

9
Catatan Perjalanan Riza Atiq

Two Ocean Leadership Academy adalah satu lagi sekolah rendah dan menengah yang amat menitik
beratkan kepimpinan. Sekolah Islam ini juga di bawah Yayasan 2 Ocean Education.

10
Catatan Perjalanan Riza Atiq

The Academia Centre merupakan sekolah Islam elit. Ia terletak di Jalan Imam Haron. Sekolah ini juga
amat menitik beratkan kepimpinan.

Belhar Primary Islamic School yang banyak mengajarkan murid-murid bernasyid Bahasa Melayu

11
Catatan Perjalanan Riza Atiq

Jami’atul Qurra’ Female Haafith Institute: Salah satu Maktab Tahfiz di Capetown. Pelajar diajar tajwid
yang betul sebelum memulakan hafalan. Di samping tahfiz, pelajar di ajar Bahasa Arab, Bahasa Inggeris
dan matematik.

12
Catatan Perjalanan Riza Atiq

Jalan-jalan ke Tanjung Harapan (Cape of Good Hope)


Tanjung Harapan adalah hujung Barat Daya Benua Afrika. Dalam perjalanan kami sempat singgah di
beberapa tempat yang menarik. Tempat-tempat yang kami singgahi ialah:

 Hout Bay Harbour


 Chapmans Peak
 Boulders Beach

Di Hout Bay Harbour anjing-anjing laut yang jinak adalah yang paling menarik bagi kami. Kami lihat
orang-orang tempatan berdiri hampir dengan anjing-anjing laut itu untuk memberi makan tetapi
menasihatkan kami supaya jangan hampir anjing-anjing laut itu. Sebab, kadang-kadang anjing laut boleh
marah dan menggigit. Di samping itu kami singgah di salah sebuah kedai cendera mata milik Yonus
Deedad. Baliau sempat memberi tazkirah kepada kami supaya sentiasa mempersiapkan diri untuk mati.
Tazkirahnya, walaupun pendek dan ringkas tetapi amat menyentuh hati.

Yonus Deedad, pemilik kedai cendera mata di Hout Bay Harbour, sempat memberikan tazkirah ringkas
mengenai persiapan untuk mati yang menyentuh hati

13
Catatan Perjalanan Riza Atiq

Anjing-anjing laut naik ke dermaga dan meminta makanan. Orang tempatan biasa memberi makan
tetapi mereka melarang kami hampir dengan anjing-anjing laut ini kerana takut kena gigit.

Chapmans Peak pula memamerkan pemandangan yang amat indah. Aktiviti utama di kawasan ini
biasanya mengambil gambar dan bergambar. Ramai yang membawa kamera canggih dan ramai juga
yang mengambil gambar secara selfie. Dari Chapmans Peak kami menelusuri jalan di lereng bukit di tepi
laut menuju ke Boulders Beach. Keistimewaan kawasan ini ialah penguin yang datang berehat di tepi
pantai. Bagi orang seperti kita pemandangan ini memang menakjubkan melihat tingkah laku penguin
dari dekat. Bukan sepasang tapi beberapa koloni.

Selepas bergambar dengan penguin kami meneruskan perjalanan ke Tanjung Harapan. Tanjung ini
mulanya dinamakan Tanjung Ribut oleh Bartolomeu Dias apabila ia tiba di sana pada 12 Mac 1488.
Kemudian ia dinamakan Tanjung Harapan oleh orang-orang Eropah kerana tanjung ini merupakan
harapan mereka untuk sampai di dunia timur. Sebelum ini perdangangan dengan dunia Timur dikuasai
oleh orang-orang Arab. Bagi kita orang-orang timur peristiwa sampainya Bartolomeu Dias di tanjung ini
adalah permulaan zaman penjajahan tanah air kita. Oleh itu perasaan ku ketika tiba di Tanjung Harapan
bercampur antara teruja kerana tiba di hujung Barat Laut Afrika, dengan penjajahan tanah air ku selama
beratus tahun. Tapi kami mengambil banyak gambar dan bergambar di tanjung tersebut. Kemudian
kami menaiki cable train ke puncak bukit berhampiran tanjung itu.

14
Catatan Perjalanan Riza Atiq

Bergambar di Chapmans Peak

Penguin di Boulders Beach

15
Catatan Perjalanan Riza Atiq

Tanjung Harapan: antara teruja kerana dapat menjejakkan kaki di tempat ini dengan rasa geram kerana
tibanya Bartolomeu Dias di sini pada 12 Mac 1488 menandakan permulaan penjajajan di tanah air kita

Menaiki cable train ke puncak bukit di Tanjung Harapan

16
Catatan Perjalanan Riza Atiq

Tanjung Harapan dari atas bukit berhampiran

Rusa liar yang banyak di Tanjung Harapan

17
Catatan Perjalanan Riza Atiq

Ziarah Makam Ulama


Kami sempatkan melawat makam ulama yang berasal dari alam Melayu. Makam pertama yang kami
ziarahi ialah makam Syeikh Yusof dari Makassar. Syeikh Yusuf lahir pada tahun 1626. Beliau adalah anak
saudara Sultan Alauddin, Sultan Gowa di Makassar. Beliau menentang penjajahan Belanda yang
menyebabkan beliau ditangkap dan dibuang ke Afrika Selatan bersama keluarga dan pengikut-pengikut
setianya. Pada masa itu Afrika Selatan adalah jajahan Belanda. Apabila tiba di Afrika Selatan ia tidak
berdiam diri tetapi berdakwah menyebarkan Islam. Atas usahanya Islam berkembang di bahagian Afrika
yang pada masa itu belum mengenali Islam. Orang-orang Afrika Selatan menyebutnya sebagai keramat
dan jalan utama di kawasan itu dinamakan Jalan Makassar. Bagi kerajaan Indonesia, Syeikh Yusuf adalah
di antara 100 pahlawan awal yang menentang penjajahan. Sebuah masjid berhampiran makamnya telah
dibina semula oleh Kerajaan Indonesia.

Makam Syeikh Yusuf dari Makassar yang dibuang ke Afrika Selatan oleh Belanda. Syeikh Yusuf dianggap
keramat oleh orang-orang Islam di Afrika Selatan kerana syeikh inilah yang memperkenalkan Islam
secara sistematik di sana. Walaupun Syeikh Yusuf wafat di Cape Town, makamnya ada juga di negeri
asalnya, iaitu di Makassar. Dikatakan, di Sri Lanka juga terdapat makam Syeikh Yusuf. Sebelum beliau
dibuang ke Afrika Selatan, beliau dibuang ke Sri Lanka. Di sana pun beliau berdakwah.

18
Catatan Perjalanan Riza Atiq

Makam Syeikh Yusuf di Afrika Selatan.

Masjid berhampiran makan Syeikh Yusuf

19
Catatan Perjalanan Riza Atiq

Dari makam Syeikh Yusuf kami pergi menziarahi ke makam Imam Haron. Imam Haron juga keturunan
Melayu Nusantara. Aku pernah membaca buku The Killing of the Imam karangan Barney Desai 35 tahun
dahulu. Buku ini menceritakan kegiatan anti apartheid Imam Haron dan bagaimana ia ditangkap dan
disiksa sehingga mati dalam tahanan. Imam Haron dilahiran pada 8 Februari 1924 dan meninggal pada
27 September 1969. Kesungguhannya menentang apartheid dan membela keluarga orang-orang yang
kena tahan memamg luar biasa sehingga ia dikenali oleh orang-orang kulit hitam dan berwarna di Afrika
Selatan. Tanpa dirancang kami ziarah makamnya pada 8 Februari 2018, iaitu pada hari lahirnya. Kami
sedar tarikh ini apabila kami pergi solat Jumaat di kawasan Melayu Cape dan melihat cerita Imam Haron
di muka hadapan sebuah akhbar.

Ziarah makam Imam Haron

Solat Jumaat di Masjid Auwal di kawasan Melayu Cape


Selepas ziarah kedua-dua pahlawan ini, kami ke kawasan Melayu Cape untuk solat Jumaat di Masjid
Auwal. Masih ramai orang yang berwajah Melayu tetapi ramai juga yang sudah berwajah campuran.
Khutbah dalam Bahasa Inggeris. Di dalam masjid ini terdapat senaskah Qur’an yang ditulis dengan
tangan melalui hafalan semata-mata Tuan Guru Imam Abdul Qadi Abdus Salaam pada kurun ke-17.
Qur’an ini dikatakan naskah yang pertama di Afrika Selatan, seratus tahun lebih sebelum kewujudan
masjid Auwal yang siap dibina pada tahun 1794.

20
Catatan Perjalanan Riza Atiq

Naskah Qur’an yang pertama di Afrika Selatan, ditulis dengan tangan oleh Tuan Guru Imam Abdullah
Qadi Abdus Salaam berasaskan ingatannya pada kurun ke-17.

Tongkat yang digunakan semenjak tahun 1794 oleh imam yang pertama ketika khutbah

21
Catatan Perjalanan Riza Atiq

Selepas solat Jumaat kami jalan-jalan di kawasan penempatan Melayu Cape itu. Kawasan ini amat
menarik kerana rumah-rumah dicat dengan warna-warna yang berlainan. Ramai pelancong yang datang
dari Eropah yang berjalan-jalan seperti kami di sini.

Kawasan Melayu CapeTown. Perhatikan rumah-rumahnya yang berwarna warni.

Melawat Kirstenbosch National Botanical Garden


Selepas berjalan-jalan di kawasan Melayu Cape kami pergi ke Kirstenbosch National Botanical Garden.
Lawatan ke taman botani ini memang mengasyikkan kerana semua tumbuhan di taman itu adalah
tumbuhan asli Afrika Selatan yang amat berlainan dengan tumbuhan yang ada di Asia Tenggara, Eropah
dan Amerika. Dari pokok-pokok besar hinggalah bunga-bunga kecil dan tanaman herga berbeza dengan
yang biasa kita lihat. Yang paling menarik hati ku ialah berbagai jenis bunga Protea. Ia amat cantik dan
tak pernah ku lihat. Kemudian aku diberi tahu bunga ini ialah bunga kebangsaan Afrika Selatan. Ketika
hendak keluar dari tanam botani itu aku beli berbagai benih bunga itu. Sekembalinya ke tanah air aku
semai di dalam beberapa pasu yang ku letakkan di atas meja kaca di tepi rumah. Masa untuk bercambah
amat lama, sehingga sebulan setengah. Aku amat teruja melihatnya tumbuh. Setiap pagi ku perhatikan
pembesarannya. Tiba-tiba suatu pagi anak-anak pokok bunga itu habis dan ku perhatikan ada beberapa
ekor siput babi sedang turun dari meja kaca itu. Aduhai ….. rezeki siput babi ….. makanan dari Afrika
Selatan.

22
Catatan Perjalanan Riza Atiq

Dua dari berbagai-bagai jenis bunga Protea di Kirstenbosch National Botanical Garden

23
Catatan Perjalanan Riza Atiq

Di antara tumbuhan di Kirstenbosch National Botanical Garden

24
Catatan Perjalanan Riza Atiq

Kembali ke Tanah Air


Kembali dari taman botani terasa amat letih kerana tanpa disedari kami telah berjalan kaki melebihi
20,000 langkah. Tetapi kami perlu berkemas kerana esok pagi kami perlu ke lapangan terbang untuk
balik ke tanah air. Kami pulang pun menaiki Singapore Airline. MAS telah lama menamatkan
perkhidmatan ke Afrika Selatan. Apabila kami menjejakkan kaki di pintu kapal terbang, peramugari
mengucapkan “Selamat datang encik, selamat datang puan, tempat duduk nombor berapa?” dalam
Bahasa Melayu yang fasih. Apabila kami duduk, seorang pramugara bertanya, “Hendak minum apa
encik, puan?” juga dalam Bahasa Melayu yang baik dengan sebutan yang fasih. Aku terasa teruja,
pertama kami dilayan dengan seperti naik kelas perniagaan walaupun kami naik kelas ekonomi. Kedua
disambut dengan Bahasa Melayu. Sekali lagi aku bertanya kepada pramugara itu tentang Bahasa
Melayunya. Jawabnya, “Kami Cina Peranakan”. Dalam hatiku, alangkah baiknya jika di tanah airku semua
orang boleh betutur dalam Bahasa Melayu yang baik dan fasih.

Perjalan pulang, seperti juga perjalanan pergi, berlalu dengan lancer. Singgah sebentar di Johannesburg
dan kemudian terus ke Singapura. Turun di Changi Airport untuk tukar kapal terbang. Sementara
menunggu penerbangan ke KLIA kami melihat keindahan bangunan terminal dan gelagat penumpang-
penumpang lain. Ku perhatikan ramai orang-orang kita yang menggunakan perkhidmatan Singapore
Airline. Mungkin kerana syarikat itu mempunyai destinasi penerbangan yang jauh lebih banyak dari MAS
dan mungkin juga kerana layanan yang begitu baik dan bersopan santun. Apabila anak-anak kapal
melayan kami dalam Bahasa Melayu yang baik dan fasih, kami terasa seperti kami telah berada di tanah
air.

25

Anda mungkin juga menyukai