Anda di halaman 1dari 7

Combi dan Snoopy

Di pinggir sebuah bandar, terdapat seekor kucing Parsi bernama Snoopy. Snoopy
mempunyai bulu berwarna putih seperti salji. Bulunya yang kembang membuatkan Snoopy
kelihatan gebu dan menawan. Snoopy tinggal di sebuah banglo mewah bersama tuannya.
Tuannya bernama Encik Azmil bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat besar di ibu kota.
"Snoopy, sini makan!," kata orang gaji di rumah itu sambil menggoncangkan kotak makanan
Friskies kesukaannya. “Bertuahnya aku mempunyai tuan yang menjaga aku dengan baik,”
bisik Snoopy dalam hatinya lalu berlari menuju ke tempat makanan disediakan.

Di pinggir bandar tersebut, terdapat juga seekor kucing kampung yang tinggal di
kawasan itu. Kucing itu bernama Combi. Tubuh Combi kurus sekali dan bulu di badannya
sering gugur dan kotor. Hidup Combi ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Combi tinggal di bawah jambatan dan akan keluar mencari makan apabila matahari terbit.
Kebiasaannya, Combi akan memburu tikus, menyelongkar tong sampah atau meminta belas
kasihan daripada manusia yang sedang menjamu selera untuk memberikan sedikit makanan
kepadanya. Namun, keadaan itu tidak semudah yang disangkakan. Tikus-tikus pula semakin
hari semakin berkurangan mungkin banyak yang mati kerana diracun atau diperangkap oleh
manusia.

“Laparnya, alangkah indahnya jika aku ini seekor kucing Parsi atau Siam atau Sphinx yang
bernilai ribuan ringgit. Pasti aku dilayan dengan begitu baik. Manusia sekarang tidak adil!
Hanya memandang rupa sahaja. Kucing sepertiku ini hanya dianggap seperti sampah!,” kata
Combi dengan begitu sedih sekali sambil tangannya menguis-nguis sisa makanan di dalam
tong sampah untuk mencari secebis makanan.

Pada suatu hari, Snoopy bermain sendirian di dalam sangkar yang menjadi tempat dia
berteduh dan berehat. Tuannya telah pergi ke luar negara selama empat hari atas urusan
kerja. Snoopy berasa sangat bosan. Sedang dia termenung, tiba-tiba dia ternampak seekor
kucing berjalan di luar pagar rumahnya. Kucing itu ialah Combi. Lalu Snoopy pun memanggil
Combi ke sangkarnya.

“Wahai kucing di luar sana, datanglah ke mari.” Panggil Snoopy kepada Combi. Combi yang
berada di luar pagar tercari-cari akan suara yang memanggilnya lalu dia terpandang seekor
kucing Parsi yang cantik berada di dalam sebuah sangkar di halaman sebuah rumah. Combi
pun menyelit masuk melalui celah-celah pagar dan bergerak ke arah Snoopy.

1
“Adakah kamu yang memanggil aku sebentar tadi?” tanya Combi. Snoopy pun menjawab,
“Ya, akulah yang memanggil kamu tadi. Namaku Snoopy. Aku tinggal di rumah ini. Namamu
siapa?” tanya Snoopy.

“Namaku Combi. Aku tinggal di kawasan berdekatan ini juga. Mengapakah kamu
memanggilku?” tanya Combi.

“Aku ingin meminta tolongmu. Aku begitu cemburu melihat kucing-kucing di luar sana seperti
kamu boleh bergerak bebas ke sana sini dengan sesuka hati. Aku ingin melihat dunia luar,
berkawan dengan haiwan lain di luar sana. Jadi, mahukah kamu bertukar tempat denganku?”

Combi amat terkejut lalu berkata “Tetapi Snoopy, aku risau jika kamu tidak memperoleh
makanan sepertiku di luar sana.”

“Tidak mengapa, setelah manusia melihat bulu dan mataku yang cantik ini, pasti mereka
tertawan. Jadi, semestinya mereka akan memberiku makanan kelak.”

Combi berfikir sejenak. Hatinya berbisik “Betul juga apa yang diperkatakan oleh Snoopy itu.
Lagipun Snoopy mempunyai bulu yang cantik, pasti semua manusia di luar sana akan
mengikut kehendak Snoopy. Aku juga teringin merasa hidup seperti Snoopy yang serba
mewah itu.”

“Baiklah, aku bersetuju untuk menolongmu. Tetapi, tidakkah tuanmu akan mengetahui akan
perkara ini? Pasti kamu akan dimarahi oleh tuanmu itu.” kata Combi.

Snoopy berasa geli hati akan pertanyaan Combi itu lalu berkata dengan angkuhnya,
“Huh! Mana mungkin tuan aku itu akan marah padaku sedangkan dia begitu sayang padaku!
Lagipun, kita berdua mempunyai warna bulu yang seakan-akan sama. Kamu hanya perlu
menyarungkan tali kalung yang ada di leherku ini. Orang gaji di rumah ini sudah tua dan
penglihatannya sudah kabur, pasti dia tidak akan menyedari akan perbezaan antara kita.”

2
Hati kecil Combi berasa sedikit risau tentang perkara ini namun dia hanya mengendahkan
mainan perasaan itu. “Ternyata Snoopy ini panjang akal. Pasti aku boleh membantunya.
Lagipun kami sudah menjadi sahabat,” bisik hati Combi.

Selepas itu, Combi pun membuka tali kalung di leher Snoopy lalu memakainya.
Setelah itu, Snoopy pun bebas dan berasa begitu gembira.

“Wah, akhirnya aku sudah bebas! Terima kasih Combi kerana sudi menolongku. Aku pergi
dahulu!” kata Snoopy dengan riangnya dan terus berlari-lari meninggalkan sangkarnya itu.

Setelah kepergian Snoopy, Combi pun mengambil alih tempat Snoopy. Tiba-tiba, dia
terdengar suara orang memanggil nama Snoopy kerana sudah tiba waktu untuk makan.
Combi pun berlari ke arah orang yang memanggilnya dan melihat makanan kegemaran setiap
kucing sudah terhidang di hadapan matanya. Combi makan dengan begitu berselera sekali
kerana dia sudah lama ingin merasa makanan seperti itu. Dia begitu bersyukur kerana sudah
tidak perlu lagi bersusah payah untuk mencari rezeki. Kemudian, orang gaji itu pula
memandikannya setelah mendapati bulunya yang sangat kotor. Ternyata benar apa yang
diperkatakan oleh Snoopy, orang gajinya itu tidak menyedari akan hal itu. Namun jauh di sudut
hati Combi, dia tahu bahawa nikmat yang diperolehinya sekarang hanya sementara.

Berbalik kepada kisah Snoopy pula, Snoopy berasa sungguh bahagia kerana akhirnya
dia bebas dan dapat bergerak ke sana sini dengan sesuka hatinya. Dia begitu teruja apabila
dapat melihat bangunan-bangunan megah yang tersergam indah di luar dengan matanya
yang jelas. Hampir setengah hari dia bersiar-siar di bandar, di tepi pantai dan sebagainya.
Setelah penat berjalan, kedengaran perutnya berkeroncong minta diisi makanan. “Aduh,
laparnya perutku! Aku tidak menjamah sedikit makanan pun sebelum aku meninggalkan
rumah pagi tadi. Lebih elok aku pergi ke kedai itu untuk meminta makanan, pasti manusia-
manusia di sana akan tertawan denganku dan memberiku makanan yang lazat-lazat.” Hati
kecilnya berbisik. Sedang Snoopy berjalan menuju ke kedai, tiba-tiba muncul sebuah kereta
yang dipandu dengan sangat laju dari arah bertentangan. Snoopy yang berjalan di kaki lima
tidak sempat mengelak apabila lopak air yang dilalui oleh kereta tersebut terpalit ke arahnya.
Habis bulunya yang putih itu menjadi kotor disimbahi dengan lopak air bercampur lumpur itu.
“Alamak! Habis kotor buluku!” Snoopy berasa sungguh marah namun apakan daya dia tidak
sempat berbuat apa-apa.

3
“Nantilah aku bersihkan, aku terlalu lapar sekarang.” Kata Snoopy lalu meneruskan
perjalanannya menuju ke sebuah kedai makan.

Tiba di kedai makan, Snoopy berusaha meminta makanan daripada manusia yang terdapat
di sana, namun semua orang tidak mempedulikannya seolah-olah dia tiada di situ.

“Meowww... Meowww...” Snoopy cuba meraih simpati dan tanpa berputus asa meminta
makanan daripada orang di sekelilingnya.

“Hush, hush, hush….! Pergi dari sini kucing! Sudahlah kotor, berbau pula tu! Pergi kau dari
sini, nanti kedai kami tiada pelanggan jika ada kucing busuk seperti kamu” marah salah
seorang pekerja di kedai itu sambil menghalaunya keluar. Hampir sahaja tubuhnya itu dipukul
dengan batang penyapu, tetapi tindakan cepat dia beredar dari situ menyelamatkan dirinya.
Snoopy pun beredar dari situ dan berjalan tanpa arah tujuan. Tiba di sebuah kedai, dia melihat
pantulan dirinya di cermin. Kini, dia tahu mengapa dia dihalau. Bulunya basah dan warna
lumpur masih melekat di badannya, Bulunya sudah tidak lagi kembang. “Ternyata apa yang
diceritakan oleh Combi itu benar,” kata Snoopy.

Maka, Snoopy pun terpaksa menyelongkar tong sampah untuk mencari sisa makanan
untuk mengisi perutnya. Dia menjumpai sedikit sisa makanan dan makan di tepi tong sampah
itu. “Sekarang, baru aku mengerti bagaimana perasaan Combi yang menghadapi situasi
sebegini setiap hari,” keluh Snoopy, Tiba-tiba, Gong! Gong! Gong! Snoopy yang tengah
makan terkejut mendengar bunyi salakan anjing dari belakangnya. Dia melihat ada seekor

4
anjing hitam yang besar sedang berlari ke arahnya seakan-akan mahu menerkamnya. Tanpa
berfikir panjang, Snoopy pun berlari sekuat hati tanpa sempat menghabiskan sisa makanan
yang dijamahnya. Mata Snoopy melilau-lilau mencari tempat untuk bersembunyi dan akhirnya
dia bersembunyi di bawah sebuah kereta buruk yang terdapat disebalik semak-samun.
Ternyata telahannya salah sama sekali. “Belum sempat aku bersahabat dengan haiwan lain,
aku sudah dikejar olehnya,” kata Snoopy dengan begitu sedih sekali.

Pada malam itu, Snoopy hanya tidur di tepi kaki lima dengan berlapikkan kotak kosong
yang ditemuinya. Snoopy berasa sungguh menyesal kerana tidak mendengar kata Combi.
“Jika aku mendengar kata Combi, pasti kejadian seperti ini tidak akan berlaku,” keluh Combi.
Dia bertekad untuk kembali ke rumahnya semula keesokan harinya. Malam itu, dia tertidur
keletihan ditemani angin sejuk malam yang bertiup sehingga membuatkan tulang-
temulangnya menggigil kesejukan.

Keesokan harinya, Snoopy meneruskan perjalanannya untuk pulang ke rumah


tuannya. Dia terpaksa menyelit di celah-celah pagar kerana pintu pagar hadapan rumah
tuannya masih belum terbuka. Sampai di sana, dia melihat Combi sedang berehat di dalam
sangkar dengan tenang. Combi terbangun apabila mendengar sesuatu bunyi dari arah
semak-samun di pagar. Dia terkejut apabila melihat seekor kucing yang kotor dan berbau
datang ke arahnya. Setelah diteliti, tahulah dia bahawa itu ialah Snoopy, kucing kesayangan
tuan rumah ini.

“Snoopy! Kenapa dengan kamu? Apa yang telah terjadi kepada kamu?” tanya Combi bertalu-
talu setelah melihat keadaan Snoopy yang sangat menyedihkan itu.

“Combi, aku minta maaf kerana tidak mendengar kata-katamu semalam. Ternyata apa yang
kamu cerita tentang dunia luar itu benar belaka. Semestinya ia membahagiakan kerana aku
bebas bergerak sesuka hatiku, tetapi ternyata sukar untuk aku mencari makanan di luar sana.
Aku betul-betul menyesal Combi kerana aku memperlekehkan kehidupan kucing-kucing di
luar sana,” kata Snoopy dengan penuh kekesalan. Kini dia tahu, dia belum cukup hebat untuk

5
menempuhi dugaan alam luar yang penuh dengan kekejaman. Manusia tidak sepatutnya
memilih kasih dan hanya memandang rupa semata-mata.

Combi yang mendengar turut bersimpati lalu berkata “Baguslah kamu sudah menyesal,
Snoopy. Tidak mengapa, sekurang-kurangnya kamu bertuah kerana kamu mempunyai tuan
yang baik hati dan dijaga rapi oleh keluarga tuanmu di sini. Jangan risau, kita akan bertukar
tempat seperti dahulu dan kamu boleh menjalani hidupmu seperti sedia kala.”

“Terima kasih Combi kerana memahami perasaanku. Kaulah sahabat yang begitu baik dan
memahami yang pernah aku temui,” kata Snoopy.

Setelah itu, Combi bertukar tempat dengan Snoopy. Combi meminta maaf dan mengucapkan
terima kasih kepada Snoopy kerana dia sempat merasa sedikit kemewahan dan hidup
sebagai seekor kucing yang disayangi ramai orang.

Hati Snoopy menjadi sayu apabila memikirkan bahawa Combi juga akan melalui hari-hari
yang penuh cabaran seperti yang telah dia harungi. Dia berkata kepada Combi, “Kamu tidak
mahu tinggal bersamaku di sini? Kita boleh bermain bersama-sama.”

“Tidak mengapa wahai sahabatku. Sesungguhnya tempatku bukan di sini, tetapi di luar sana
yang penuh dengan cabaran. Aku pasti kuat untuk menghadapinya kerana aku sudah terbiasa
dengan keadaan itu,” kata Combi.

Sebelum Combi meninggalkan halaman rumah tersebut, datang tuan kepada Snoopy iaitu
Encik Azmil. Kedatangannya adalah untuk melihat keadaan Snoopy setelah pulang dari luar
negara. Dia terkejut apabila melihat terdapat seekor kucing lain yang seakan Snoopy, namun
badannya kurus dan bulunya sedikit.

“Siapakah empunya kucing ini? Tetapi melihat keadaannya, kucing ini pasti kucing terbiar di
luar sana. Aduhai, kesiannya aku melihat kucing ini;” kata Encik Azmil.

Maka, Encik Azmil bertekad untuk turut membela Combi sebagai kucing peliharaan di
rumahnya. Encik Azmil tidak lagi memakaikan kalung tali di leher Snoopy. Snoopy dan Combi
dibiarkan bebas untuk bergerak dan bermain bersama. Snoopy berasa sungguh gembira
kerana akhirnya dia mempunyai teman untuk bermain. Combi juga bersyukur kerana ada
orang yang sudi membelanya dan tidak perlulagi bersusah-payah untuk mencari rezeki.
Mereka hidup dengan gembira bersama tuannya yang baik hati dan penyayang itu.

6
Pengajaran:

1. Kita mestilah sentiasa bersyukur dengan nikmat yang diberi kepada kita.

2. Kita hendaklah sentiasa berbuat baik kepada haiwan dan tidak menyakiti haiwan
sesuka hati kerana mereka juga ialah makhluk ciptaan Tuhan.

3. Kita mestilah mendengar nasihat yang diberikan dan tidak bersifat sombong.

Anda mungkin juga menyukai