Anda di halaman 1dari 8

TUGASAN : SOALAN 1

Peristiwa 13 Mei 1969 merupakan satu titik hitam dalam sejarah negara
Malaysia. Sebuah rusuhan kaum secara besar-besaran telah tercetus dan
memberikan kesan yang mendalam terhadap kaum-kaum di negara ini. Menurut
Merriam-Webster (2015), ketegangan hubungan kaum dan etnik menjadi faktor
utama terjadinya rusuhan kaum. Tragedi hitam yang berkait rapat dengan Pilihan
Raya 1969 ini merupakan kemuncak masalah perpaduan di Malaysia yang telah
menyebabkan kehilangan banyak nyawa serta harta benda. Kerajaan terpaksa
mengeluarkan Perintah Berkurung yang disebabkan oleh kekacauan dan pecah
belah antara kaum untuk mengawal keselamatan rakyat dan mengembalikan
kestabilan negara ketika itu. Hal ini menyebabkan suasana persekitaran dan
pergaulan yang kurang harmoni antara kaum kerana aktiviti seharian masyarakat
tersekat dan sukar berinteraksi dengan orang lain terutamanya antara kaum-kaum
yang berlainan. Dasar politik, ekonomi, pendidikan dan sosial yang dilaksanakan
oleh pihak penjajah ketika zaman pemerintahan di Tanah Melayu merupakan antara
faktor utama yang menjadi penyumbang kepada tercetusnya perpecahan serta
ketidaksepaduan kaum ini. Dasar-dasar yang dilakukan oleh pihak penjajah secara
umumnya bertujuan untuk memecahbelahkan perpaduan antara kaum agar
kedudukan mereka sebagai penjajah lebih stabil serta tidak tergugat. Selain itu,
dasar yang dilakukan oleh mereka telah menyebabkan ketidakseimbangan antara
kaum dari segi ekonomi, pendidikan dan persefahaman politik yang berbeza.

Dari segi dasar politik, dasar imigrasi Inggeris berbentuk bebas di bawah
pemerintahan Inggeris sejak tahun 1874 mendorong kemasukan orang asing tanpa
sekatan. Dasar ini menggalakkan kemasukan orang asing melalui sistem-sistem
kemasukan seperti indenture, kangani, kontrak, dan bebas. Tiadanya sekatan
terhadap kemasukan orang asing ke negara ini pada ketika itu disebabkan oleh
keperluan Inggeris untuk mendapatkan tenaga buruh bagi merancakkan ekonomi
perlombongan dan peladangan serta melaksanakan pembinaan prasarana baru
seperti pembinaan jalan keretapi dan jalan raya. Keadaan ini diperkukuhkan lagi
dengan kewujudan jabatan Perlindungan Orang Asing bagi melindungi para buruh
imigran daripada tindasan dan penganiayaan para kongsi gelap mahupun majikan.
Dengan wujudnya jabatan ini, maka buruh-buruh ini dilindungi oleh pemerintah
Inggeris dan ia menunjukkan bahawa seolah-olah kerajaan Inggeris menggalakkan

1
kemasukan buruh asing. Hal ini diperkukuhkan lagi dengan kewujudan undang-
undang buruh yang memerlukan para  majikan  untuk memberikan kemudahan yang
sepatutnya kepada buruh imigran ini. Dengan keadaan ini ia bukan sahaja
menggalakkan kemasukan buruh asing, tetapi menggalakkan mereka untuk tidak
pulang ke negara asal mereka. Hal ini terbukti semasa kemelesetan ekonomi 1927-
1932, orang-orang asing ini keberatan untuk pulang ke negara asal mereka dan ini
menjadi masalah kepada pemerintah Inggeris. Dengan adanya penetapan kaum-
kaum lain di Tanah Melayu, maka wujudlah persatuan-persatuan politik yang
mewakili kaum masing-masing bagi membela dan menuntut hak masing-masing di
Tanah Melayu. Kefahaman politik yang berbeza dan hasutan-hasutan daripada pihak
yang tidak bertanggungjawab telah mengeruhkan hubungan antara kaum-kaum yang
berbeza. Hal ini menyebabkan pertelingkahan berlaku akibat ketidakpuasan hati
terhadap kaum-kaum yang lain tentang penempatan kaum dan layanan yang
berbeza daripada pihak penjajah.

           Dari segi dasar ekonomi pula, terdapat perubahan sistem ekonomi daripada
sara diri kepada sistem komersial. Pembukaan tanah dan ladang serta peningkatan
pelombongan bijih timah menyebabkan wujudnya sistem ekonomi moden
berteraskan industri berasaskan buruh.  Isu ini mula dibangkitkan sejak dari zaman
penjajahan British lagi. Dalam pelaksanaan dasar ekonomi, pihak British telah
menjalankan “Divide and Rule” (pecah dan perintah) dengan membawa orang-orang
Cina dari Tanah Besar China dan orang-orang India dari British Raj bekerja di Tanah
Melayu dibawah sektor ekonomi berbeza. British Raj diwujudkan ketika tempoh
pemerintahan penjajah British di Asia Selatan antara tahun 1858 hingga 1947. India
merupakan salah satu rantau di bawah pemerintahan penjajah British pada ketika itu.
Orang Cina dibawa masuk ke dalam kawasan perlombongan dan bekerja sebagai
pelombong bijih timah manakala orang India pula di bawa masuk ke dalam kawasan
estet dan bekerja sebagai penoreh getah. Orang Melayu pula kekal melakukan
kegiatan ekonomi sara diri seperti bercucuk tanam sebagai petani dan nelayan di
kawasan perkampungan. Melalui dasar ekonomi ini, British secara langsung dan
tidak langsung telah mengasingkan kaum-kaum utama di Tanah Melayu iaitu orang-
orang Melayu, Cina dan India mengikut kegiatan ekonomi masing-masing. Perkara
ini telah menyebabkan kaum-kaum Melayu, Cina dan India tidak dapat mempelajari
memahami antara satu sama lain. Mereka juga tidak dapat berinteraksi dengan baik

2
dan menyebabkan kesukaran untuk mewujudkan perpaduan kaum. Perbezaan
jurang ekonomi yang ketara akibat daripada dasar pecah dan perintah kolonial telah
menimbulkan perasaan tidak puas hati sehingga mencetuskan konflik seperti 13 Mei
1969 yang mana masyarakat telah dikelaskan berdasarkan pekerjaan dan
penempatan menjadi faktor penghalang kepada proses integrasi kaum yang lebih
baik.

Dari segi pendidikan, kaum-kaum yang berbeza mendapat pendidikan


daripada aliran sekolah yang berbeza. Latar pendidikan yang berlainan ini juga
menjadi salah satu faktor penyumbang kepada ketidaksepaduan kaum. Selepas
kedatangan Inggeris, terutamanya pada pertengahan abad ke-19, sistem pendidikan
lebih bersifat perkauman atau vernakular kerana Inggeris tidak menyeragamkan
sukatan pendidikan dengan pendidikan guru dan hal ini membawa kepada
perbezaan sukatan pelajaran antara kaum. Sistem pendidikan yang wujud sebelum
kemerdekaan negara terbahagi kepada empat aliran mengikut kaum iaitu Melayu,
Cina, India dan Inggeris. Keempat-empat aliran ini mempunyai sukatan kurikulum
serta tahap pendidikan yang tersendiri. Sekolah-sekolah Inggeris yang awal pula
ditubuhkan di Negeri-negeri Selat oleh mubaligh-mubaligh Kristian. Sekolah-sekolah
ini dinamakan Sekolah-sekolah Free kerana ia menerima murid-murid berbagai
bangsa dan agama. Sekolah Free yang pertama ialah Penang Free School yang
diasaskan oleh Rev. R.S. hutchings pada tahun 1816. Tujuan sekolah-sekolah
tersebut ialah untuk memberi pendidikan am serta memperbaiki akhlak berdasarkan
agama Kristian. Menjelang tahun 1947 terdapat 33 buah sekolah perempuan yang
ditubuhkan oleh persatuan-persatuan mubaligh di Tanah Melayu. Sekolah Inggeris
pula hanya dapat dinikmati oleh orang-orang Cina, India dan segelintir kaum Melayu
yang tinggal di bandar-bandar kerana kebanyakan golongan imigran bertempat di
kawasan bandar manakala kebanyakan kaum Melayu pula masih kekal bertempat di
kawasan perkampungan. Hal ini menyebabkan kaum Melayu banyak ketinggalan
dari segi perkembangan pendidikan jika dibandingkan dengan kaum-kaum yang lain.
Sekolah Melayu hanya berfokuskan kepada pendidikan tahap rendah iaitu kemahiran
3M seperti membaca, menulis dan mengira. Pendidikan melayu sekular telah
diperkenalkan oleh British pada abad ke 19. Sebelum itu pendidikan Melayu
umumnya berbentuk agama. Dalam pendidikan agama, murid-murid diajar mengaji
dan membaca al-Quran serta cara-cara bersembahyang. Bahasa pengantarnya ialah

3
bahasa Arab dan guru-guru biasanya terdiri daripada imam masjid. Sekolah-sekolah
melayu ini berkembang di negeri-negeri selat dan seterusnya di Negeri-negeri
Melayu Bersekutu dan Negeri-negeri Melayu tidak bersekutu. Bilangan sekolah
pendidikan Melayu di Negeri-negeri Melayu Bersekutu meningkat kepada 266 buah
pada tahun 1907.

Sekolah Cina dan sekolah India masing-masing mengikut sukatan


kurikulum daripada negara China dan India serta membawa buku teks dan guru-guru
daripada negara ibunda mereka sendiri. Sewaktu Republik China ditubuhkan pada
1911 di Tanah Melayu, kerajaan China terus menyalurkan bantuan kewangan serta
nasihat berkaitan dengan pentadbiran sekolah Cina. Di antara tahun-tahun 1911-
1919 lebih daripada 50 buah sekolah Cina telah dibuka di Tanah Melayu. Menjelang
Tahun 1920, terdapat 313 buah sekolah Cina telah dibina di Negeri-negeri Selat dan
181 buah sekolah Cina di Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Sekolah-sekolah
vernakular Cina mula menggunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantar di
sekolah. Keadaan ini telah mengukuhkan lagi keadaan keperibadian etnik yang telah
sedia wujud. Seperti dinyatakan oleh Paul Chang dan Ming Phang, sejarah sebenar
pendidikan Tamil di Tanah Melayu pula bermula dengan perkembangan ladang kopi,
gula, kelapa dan akhirnya getah. Mulai tahun 1870, sekolah-sekolah kecil telah
dibuka di ladang-ladang di mana penduduk India memerlukan pendidikan bagi anak-
anak mereka. Pada tahun 1905 terdapat 13 buah sekolah Tamil (kerajaan) dan 4
buah sekolah Tamil persendirian di Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Menjelang
tahun 1920 jumlah murid sekolah Tamil di negeri-negeri tersebut ialah lebih kurang
4000 orang. Anak-anak ini belajar di institusi yang berlainan mengikut pengasingan
kaum dan hal ini menyebabkan interaksi dan persefahaman antara kaum tersekat
kerana tiada peluang untuk belajar bersama-sama dan memahami budaya antara
satu sama lain. Akibatnya, wujud jurang antara kaum dan timbul sifat rasis yang tidak
mempunyai keinginan untuk bercampur gaul dengan kaum yang berlainan.

Dari segi sosial, kemasukan imigran asing dari China dan India ke Tanah
Melayu sebagai buruh–buruh lombong dan ladang adalah tanpa had. Jumlah migrasi
telah mengatasi penduduk asal di Tanah Melayu. Dasar yang dilaksanakan oleh
British telah menimbulkan masalah polarisasi etnik di Tanah Melayu di mana kaum
Melayu tertumpu di kawasan kampung-kampung bekerja sebagai petani, pesawah,
nelayan dan pertukangan. Kaum Cina pula tertumpu di kawasan bandar dan bekerja

4
di kawasan lombong dan melibatkan diri dalam perniagaan runcit. Etnik India turut
tertumpu di kawasan estet dan ladang-ladang serta bekerja sebagai penoreh, buruh
binaan dan lain-lain. Oleh sebab mereka terasing dari segi penempatan dan jenis
pekerjaan, interaksi atau pergaulan antara etnik amat kurang kerana masing-masing
bergerak dalam kawasan yang berkaitan dengan kegiatan ekonomi masing-masing.
Kesan sosial seterusnya ialah pembentukan bandar-bandar baru. Orang Cina dan
orang India membuat petempatan berkelompok di kawasan lombong dan ladang
getah seperti di Ipoh, Kinta, Taiping, Kuala Lumpur, Seremban dan Johor Bahru.
Seiring dengan kewujudan bandar-bandar baru tersebut, kerajaan British telah
membina jaringan jalan perhubungan dan pengangkutan seperti jalan kereta api dan
jalan raya. Sistem jalan pengangkutan tersebut menghubungkan antara ladang getah
dan lombong bijih timah dengan kilang mahupun pelabuhan. Kaum Melayu masih
lagi berada dalam kawasan perkampungan maka wujudlah penempatan yang
berfokuskan kaum-kaum tertentu dan menyukarkan interaksi sosial antara mereka.

Perpaduan merupakan asas kepada pembentukan sebuah negara yang


kukuh. Pelbagai langkah sama ada dalam aspek politik, ekonomi, dan sosial perlu
dilaksanakan bagi memantapkan perpaduan dalam kalangan rakyat. Prasangka,
perkauman dan etnosentrisme menjadi faktor penghalang ke arah merealisasikan
integrasi nasional di negara kita. Kesediaan kita menerima kepelbagaian budaya dan
agama dengan cara yang baik dan sentiasa menunjukkan komitmen yang tinggi
dalam menyesuaikan sikap sendiri dengan sikap kaum-kaum yang lain adalah amat
penting. Konklusinya, sebagai rakyat Malaysia, kita diseru agar mempertahankan
maruah bangsa dan memakmurkan bumi Malaysia melalui perpaduan yang kukuh.
Bak kata pepatah Melayu, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Menurut
Denison Jayasuria (2010), perpaduan kaum adalah “tema utama” yang perlu
sentiasa digerakkan dalam negara ini. Perpaduan kaum hanya akan wujud apabila
semua kaum komited untuk menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam
menyatupadukan semua rakyat yang berbilang kaum, bangsa dan agama ini.

5
TUGASAN: SOALAN 2

Malaysia memiliki komposisi penduduk yang terdiri daripada kepelbagaian


budaya dan bangsa. Hubungan harmoni yang terjalin sesama kaum ini akan
memperkukuhkan lagi kedaulatan dan pembangunan negara. Menurut Prof.Madya
Dr. Zainal Abidin Ahmad Mazlan Zulkifly (2006), negara tanpa perpaduan akan
terdedah kepada pelbagai kelemahan dan ancaman yang boleh menjejaskan
kedaulatan negara itu sendiri. Bak kata pepatah, bersatu kita teguh, bercerai kita
roboh. Dengan adanya perpaduan, negara luar sukar untuk campur tangan dan
mengancam kestabilan negara kita. Apabila semua kaum di negara ini bersatu padu
dan bekerjasama dengan baik, kedaulatan negara akan terjamin dan semua rakyat
dapat hidup dengan aman dan sejahtera. Oleh sebab itu, usaha dan langkah yang
intensif haruslah dilakukan bagi memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat supaya
negara kukuh dan stabil. Beberapa langkah proaktif boleh diambil bagi mengekalkan
dan mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan


menjadi panduan pembentukan dan pengekalan identiti rakyat Malaysia. Objektif
dasar ini dijalankan adalah untuk mengukuhkan perpaduan melalui kebudayaan.
Sebagai contoh, kerajaan telah menjalankan perarakan Citrawarna Malaysia pada
tahun 2001 yang menyaksikan persembahan pelbagai budaya kaum masing-masing.
Selain itu, tujuannya juga ialah memelihara keperibadian kebangsaan dan
meningkatkan kualiti kehidupan rakyat Malaysia. Dengan wujudnya dasar ini, semua
rakyat dapat mengenali keindahan dan keunikan kebudayaan kaum lain di Malaysia.
Dasar Sukan Alat Perpaduan pula bertujuan untuk menyemarakkan semangat
patriotik rakyat. Majlis Sukan-Sukan Malaysia (MSSM) yang ditubuhkan pada
peringkat sekolah dan Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) adalah contoh dasar ini
untuk mengeratkan perpaduan kaum dan hubungan antara negeri. Pelbagai kaum
bersatu padu memberi sokongan dan dorongan untuk membolehkan Malaysia dalam
sukan. Contohnya, semua rakyat Malaysia memberikan sokongan padu kepada Dato
Lee Chong Wei yang berjaya mara ke suku akhir dalam perlawanan badminton pada
Sukan Olimpik yang lepas bagi mewakili Malaysia untuk mendapat pingat emas.

Menurut Prof. Madya Dr. Zainal Abidin Ahmad Mazlan Zulkifly (2006),
pendidikan adalah alat penting bagi Malaysia untuk memupuk dan menanam

6
semangat perpaduan dalam kalangan generasi muda terutamanya bagi kanak-kanak
sejak di bangku sekolah lagi. Kerajaan telah menjadikan Bahasa Melayu sebagai
Bahasa Kebangsaan dan bahasa pengantar utama melalui Dasar Pendidikan
Kebangsaan. Akta Bahasa Kebangsaan - Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan
Tanah Melayu yang diluluskan pada tahun 1967 juga membantu memartabatkan
Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam
perlembagaan dan menjadi jaminan kepada perpaduan rakyat Malaysia. Akta ini
mewujudkan penggunaan satu bahasa perhubungan dan persefahaman antara satu
kaum dengan yang lain tanpa menimbulkan rasa curiga. Program pertukaran pelajar
sekolah juga boleh dilakukan untuk mengeratkan hubungan antara pelajar yang
berlainan kaum. Program pertukaran pelajar antara sekolah akan membawa
perpaduan dan integrasi nasional kerana pelajar dapat mengenali dan memahami
pelajar dari sekolah yang berlainan. Misalnya, pelajar dari sekolah kebangsaan
digalakkan untuk bergaul dengan pelajar dari sekolah jenis kebangsaan melalui
program-program yang dianjurkan oleh pihak sekolah bagi suatu jangka masa yang
tertentu. Keadaan ini membolehkan mereka berinteraksi anatra satu sama lain
sekaligus mengeratkan hubungan dan perpaduan sesama mereka.

Menurut Yani Yahaya dan Mary Tan Swee Ee (2004), negara memerlukan
satu ideologi iaitu Rukun Negara untuk didefinisikan sebagai ideologi negara
Malaysia bagi menyatupadukan rakyat. Rukun Negara merupakan asas perpaduan
rakyat dan landasan yang menentukan hubungan rakyat sesama mereka selain
menjadi satu lambang masyarakat dan bangsa yang dikehendaki rakyat. Penerimaan
rakyat terhadap prinsip-prinsip Rukun Negara akan dapat membantu melahirkan
perpaduan sosial di negara ini. Prinsip-prinsip Rukun Negara boleh diterapkan dalam
diri pelajar di sekolah. Buku latihan sekolah perlu dilengkapi dengan prinsip Rukun
Negara supaya pelajar dapat membaca dan menghafal dengan mudah. Pelajar juga
boleh melafazkan prinsip-prinsip Rukun Negara dan menyanyikan lagu negaraku
pada perhimpunan mingguan sekolah untuk memupuk rasa cinta akan negara.
Keadaan ini secara langsung telah menanam unsur perpaduan dan integrasi
nasional dalam diri pelajar. Selain itu, tidak dapat dinafikan bahawa kanak-kanak di
Malaysia kini membesar dalam dunia yang dikelilingi oleh imej televisyen, video,
paparan iklan, dan media lain. Pihak kerajaan boleh menerapkan lagu-lagu, iklan dan
rancangan televisyen yang berkonsepkan Satu Malaysia dalam media massa.

7
Contohnya, iklan yang memaparkan kebudayaan rakyat yang berbilang kaum di
Malaysia dapat memupuk rasa cinta akan negara dan meningkatkan pengetahuan
diri terhadap keunikan budaya etnik lain.

Aktiviti gotong-royong juga boleh dilakukan bagi memupuk semangat


perpaduan dalam kalangan rakyat. Aktiviti ini merupakan saluran dan peluang
kepada masyarakat di suatu kawasan perumahan untuk bertemu dan mengenali
antara satu sama lain. Aktiviti ini juga dapat memupuk semangat kerjasama untuk
membersihkan dan mengindahkan kawasan persekitaran tempat kediaman mereka.
Contohnya, pihak sekolah mengadakan aktiviti gotong-royong untuk murid-murid di
persekitaran kawasan sekolah. Melalui kerjasama antara semua murid yang
berlainan kaum, kita dapat meringankan kerja serta memudahkan sesuatu kerja
dengan lebih berkesan. Selain itu, kita juga boleh mewujudkan perpaduan dengan
meraikan hari-hari perayaan kaum Malaysia secara bersama-sama. Kita boleh
berkunjung ke rumah rakan-rakan kaum etnik yang berlainan pada hari perayaan
mereka untuk mengeratkan silaturahim antara kaum-kaum di Malaysia. Contohnya,
Hari Raya Aidilfitri, Hari Deepavali, Tahun Baru Cina dan lain-lain. Sikap kunjung-
mengunjung boleh membantu sesuatu kaum untuk memahami perayaan masing-
masing serta menghormati antara satu sama lain. Kemudahan di sekolah juga
perlu diberikan kepada semua pelajar tanpa mengira latar belakang dan kaum
mereka bagi berlaku adil dan mengelakkan timbulnya rasa tidak puas hati. Semua
pelajar diberikan kemudahan yang sama rata agar integrasi nasional dapat dipupuk
tanpa mendiskriminasikan pelajar. Contohnya, semua pelajar dapat menggunakan
kemudahan di sekolah seperti pusat sumber tanpa mengira kedudukan dan kaum.

Merujuk takrifan hubungan etnik di Malaysia, etnik mempunyai identiti yang


tertentu dan diamalkan mengikut kaum masing-masing. Kepelbagaian identiti ini
merupakan satu keunikan yang tersendiri yang tidak sewajarnya dicerobohi. Usaha-
usaha ke arah menyeragamkan identiti ini akan menghakis segala kepincangan yang
mampu meruntuhkan keharmonian dalam hubungan etnik di negara kita ini.
Keharmonian ini akan terjalin dalam masyarakat sekiranya setiap etnik mempunyai
sikap menghormati hak-hak yang menjadi identiti etnik lain. Dasar-dasar penjajah
yang telah ditanam sejak dulu patut kita tepiskan dan tangani bagi kesejahteraan
semua bersama. Setiap orang bertanggungjawab untuk memupuk perpaduan kaum
kerana perpaduan adalah kunci kepada kesejahteraan negara Malaysia.

Anda mungkin juga menyukai