Anda di halaman 1dari 2

PUNCA BERLAKUNYA PENCEMARAN ALAM SEKITAR

Sumber: nationals.org.au

Manusia secara fizikal dan emosinya sentiasa bergantung kepada alam semulajadi,
tetapi tindakan dan kelalaian yang meminggirkan alam sekitar telah menyebabkan
berlakunya peningkatan suhu bumi, kepupusan flora dan fauna, pencemaran air, dan
sebagainya. Tidak dapat dinafikan bahawa pembangunan penting untuk kemajuan
negara, namun jika tidak dikawal dan diseimbangkan dengan kemampuan alam
sekitar, kita sebenarnya telah memusnahkan ekosistem sedia ada. Lupakah kita
akan peristiwa kebocoran loji nuklear di Chernobyl, Ukraine pada tahun 1986 yang
telah merosakkan alam sekitar, masih menghantui rakyatnya hingga kini? Kenapa
kita masih berdepan segala macam kesukaran untuk memujuk manusia menjaga
planet ini, dunia dimana tempat kita membesar dan bergantung? Kenapa kita masih
gagal mendidik dan menyuburkan budaya mencintai alam sekitar sebagaimana kita
mencintai diri sendiri? Kata Evo Morales, “sooner or later, we will have to recognise
that the Earth has rights, too, to live without pollution. What mankind must know is
that human beings cannot live without Mother Earth, but the planet can live without
humans.”

Sebuah kajian dilakukan oleh International Social Survey Programme (ISSP) di 33


buah negara dari tahun 1993 hingga 2010, responden diminta mengkelaskan lapan
isu mengikut tahap kepentingan: kesihatan, pendidikan, jenayah, alam sekitar,
imigrasi, ekonomi, keganasan dan kemiskinan. Melalui kajian tersebut, alam sekitar
berada di tempat keenam iaitu hanya sebanyak 4.7 peratus. Ini berlaku kerana kita
sibuk menunding jari mengatakan tanggungjawab menjaga alam sekitar ini tugas
pihak berkuasa atau kata mudahnya, tugas orang lain. Kita tidak sanggup untuk
mengutip sampah sebagaimana kita berani untuk membuang sampah merata-
merata kerana kita masih dengan mindset ‘itu tugas pengutip sampah’. Kita belum
mampu untuk mengamalkan konsep 3R (Reduce, Reuse, Recycle) ketika membuang
sisa pepejal kerana merasakan tindakan itu sangat melecehkan. Lihatlah, ketika
kerajaan Selangor  menjalankan kempen ‘Bebas Beg Plastik’ pada 1 Januari lepas,
berapa ramai yang mengkritik dan tidak bersetuju sedangkan negeri Melaka
telahpun mengamalkannya pada Januari tahun lepas. Tahap kesedaran kita terhadap
alam sekitar ini penting untuk jangka masa panjang kerana dengan timbulnya
kesedaran dalam diri, maka terhasillah pengetahuan lalu membentuk pemikiran dan
pemahaman yang baik terhadap mutual-interaction antara kita dan alam sekitar.

Pendidikan adalah senjata paling ampuh untuk mengubah dunia (Nelson Mandela).
Namun, di sekolah-sekolah, pendidikan alam sekitar secara formal mahupun tidak
formal belum mencapai matlamat dan seringkali diabaikan kerana dianggap sebagai
subjek elektif yang tidak penting. Dalam menjayakan pendidikan alam sekitar, pihak
sekolah memerlukan guru yang tinggi komitmennya untuk menghasilkan pelajar
berliterasi alam sekitar. Pihak sekolah dan guru boleh mengambil inisiatif dengan
menganjurkan program seperti Minggu Alam Sekitar, Projek Kitar Semula atau apa-
apa program yang membawa pelajar lebih dekat dengan alam. Ini menggalakkan
pembelajaran secara bebas yang membenarkan pelajar lebih terbuka kepada
pendekatan dan idea baru dan secara tidak langsung lebih sensitif terhadap alam
sekitar. Melalui pendidikan dari peringkat awal, kita boleh menyemai sikap mencintai
alam sekitar dan mendidik cara-cara untuk mengurus alam sekitar dengan baik
kepada masyarakat dan generasi muda. Kurangnya keprihatinan, penghayatan dan
kefahaman masyarakat tentang sistem ekologi boleh menyebabkan pencemaran
terhadap alam sekitar meningkat. Sebagai contoh, pada tahun 2014, Sinar Harian
melaporkan terdapat 2402 kes pembakaran terbuka dikesan, berapa banyak pula
yang melakukannya tanpa pengetahuan pihak berkuasa?

Sikap tamak terhadap wang ringgit oleh sesetengah pihak yang melakukan
penebangan untuk perdagangan kayu hutan dan kemajuan sektor pembangunan
telah menyebabkan pencemaran kerana gas karbon dioksida yang dibebaskan
manusia tidak dapat diserap oleh flora untuk tujuan fotosintesis. Kesedaran untuk
menjaga kepentingan hutan terabai dek desakan taraf hidup yang tinggi dan
tuntutan ekonomi. Tambahan lagi, golongan seperti pemaju pula memanfaatkan
kawasan ini dengan membina tapak perumahan dan ada juga pemaju yang
mengambil kesempatan membina tapak perumahan di kawasan lereng bukit tanpa
menyoroti tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa pada tahun 2009.
Perlombongan haram di Pahang yang bermula pada tahun 2014 dilaporkan telah
memperoleh hampir sejuta tan bauksit. Ini mencemarkan kualiti air dan kehidupan
akuatik dan menambah risiko untuk meracuni konsumer yang boleh menjejaskan
hasil tanaman berdekatan dengan kawasan perlombongan kerana habuk yang akan
menyelubungi dan mengurangkan produktiviti tanaman-tanaman.

Bumi yang kita duduki pada hari ini bukanlah diwarisi daripada nenek moyang kita,
sebaliknya kitalah yang meminjamnya dari anak-anak kita. Serahkanlah bumi ini
kepada anak-anak kita sepertimana kita menerimanya pada mula. Sebanyak 7.5
bilion penduduk yang mendiami di muka bumi ini, cintailah bumi yang telah
memberikan kehidupan kepada kita, flora, fauna dan lain-lain. Jadikanlah penjagaan
alam sekitar ini tugas setiap seorang dari kita. Reflek dan berfikirlah sebelum
membuang sampah merata-rata, melepaskan asap kenderaan melebihi 50 peratus
Hartridge Smoke Unit (HSU) atau apa-apa tindakan yang mampu mengancam alam
sekitar. Pihak berkuasa juga sepatutnya lebih tegas dalam pelaksanaan dan tidak
hanya memandang masalah yang serius sahaja tetapi turut mengambil berat segala
bentuk pencemaran walaupun masih dalam peringkat yang tidak serius dan
kemungkinan kemusnahan yang bakal berlaku. Peliharalah, puliharalah bumi ini
bukan pada Earth Day atau Earth Hour sahaja. Jika kita semua memainkan cakna
dan memainkan peranan dalam meminimakan pencemaran alam, mengapa tidak
untuk mengatakan Malaysia bakal sifar pencemaran suatu hari nanti?

Anda mungkin juga menyukai