Anda di halaman 1dari 4

Ijtihad tentukan hukum undang kepanikan sosial

Berita Harian · 20 Jan 2021 · Penulis adalah Profesor Madya di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian
Islam, Universiti Malaya (UM)

Dalam perkembangan sejarah perundangan Islam, kecelaruan hukum tercetus


dalam masyarakat Islam khususnya fasa taqlid diwarnai zaman kejatuhan
pemikiran hingga wujud desakan sebilangan ulama menutup pintu ijtihad.

Dengan kata lain, aktiviti membabitkan penentuan hukum Islam ingin dikawal
ulama. Namun, ia disebabkan wujudnya kelompok mengambil kesempatan
melakukan ijtihad dalam menentukan hukum hingga menimbulkan kekeliruan
dalam masyarakat, sedangkan tidak mempunyai kelayakan atau autoriti
hukum.
Kini, kita menghadapi realiti hampir sama apabila pengguna internet
memanfaatkan teknologi di hujung jari untuk mencapai maklumat pelbagai
perkara, termasuk hukum Islam.
Tanpa mempunyai latar belakang dan disiplin ilmu khusus berkaitan hukum
Islam dan sebagai muqalid (orang yang mengikuti pandangan seseorang atau
mazhab tanpa memahami dalilnya kerana tidak memiliki keupayaan ilmu),
mereka berani memberi pandangan hukum bercanggah dengan penetapan
pihak autoriti agama.
Malah, golongan ini juga berani menempelak mufti dengan kata kasar dan
kesat. Senario ini sangat membimbangkan.
Di samping itu, wujud juga dalam kalangan agamawan, mereka yang suka
memberikan pandangan bercanggah dengan pihak autoriti agama, khususnya
institusi fatwa negeri. Sedangkan, setiap pandangan bercanggah pasti akan
menimbulkan kepanikan sosial dan menimbulkan serangan terhadap institusi
agama.
Apatah lagi label ‘ gura popular’ yang mempunyai ramai pengikut seperti
selebriti agama, dai, pendakwah bebas dan pempengaruh sosial, mereka bebas
mengeluarkan pandangan bercanggah dengan pihak autoriti agama yang
dikongsi pengikut masing-masing.
Gejala ini jika tidak ditangani segera boleh menimbulkan kepanikan sosial
dalam masyarakat Islam di negara ini kerana wujud pelbagai pandangan dan
bertentangan antara satu sama lain. Sedangkan pihak berkuasa agama
khususnya institusi fatwa memberi pandangan hukum dengan teliti dan
membuat pertimbangan sebaiknya selaras kemaslahatan masyarakat umum.
Dalam berhadapan COVID-19, kita disogokkan pelbagai isu berbangkit dalam
masyarakat menimbulkan kepanikan sosial. Ditambah kemudahan rangkaian
media sosial menawarkan perkhidmatan perkongsian pantas, senario ini
semakin parah dengan gejala penularan maklumat tanpa batasan.
Serangan kepanikan sosial dilancar menerusi rantaian maklumat palsu, salah
dan bercanggah dengan pihak autoriti kesihatan serta agama, propaganda
antivaksin dan teori palsu konspirasi.
Tidak kurang juga agamawan dan orang baru berjinak dengan agama tampil
dengan pelbagai pandangan serta desakan membelakangkan keautoritian
badan fatwa serta mufti.
Umpamanya, ketika pandemik mula meletus, pelbagai teori dikemukakan,
termasuk konspirasi. Begitu juga ketika COVID-19 menyerang, pelbagai petua
dikemukakan dan produk berasaskan sains palsu ditawarkan.
Ketika vaksin diusahakan dan akan dijual di pasaran, golongan antivaksin
menakut-nakutkan masyarakat dengan propaganda kesan sampingan vaksin.
Dalam isu berkaitan hukum Islam, ada pertikaian hukum dalam kalangan warga
internet. Antaranya, isu penutupan masjid ketika pandemik, terdapat
pandangan mempertikaikan langkah itu dengan membandingkan pusat beli-
belah dibuka. Begitu juga isu penjarakan zikal ketika solat, ada pandangan
menolaknya dengan alasan bertentangan hadis Nabi SAW menyuruh agar
dirapatkan saf ketika solat.
Dalam isu penangguhan solat Jumaat pula, ada pandangan dikongsi supaya
boleh mendirikan solat Jumaat selain di masjid dan tanpa mengambil kira
jumlah makmum 40 orang.
Dalam isu vaksin, pihak institusi fatwa dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
(JAKIM) mengeluarkan hukum berkaitan vaksinasi dan vaksin diwajibkan
kerana menjaga nyawa manusia. Namun, ada pandangan menguar-uarkan
hukum vaksin dan vaksinasi adalah haram, malah ia sebahagian konspirasi
pengeluar vaksin.
Percanggahan pandangan antara mereka tiada autoriti hukum dengan pihak
berautoriti mampu menimbulkan kepanikan sosial. Sedangkan ketenangan
adalah satu tuntutan kehidupan, sama ada membabitkan ketenangan jiwa,
spiritual mahupun sosial.
Kepanikan akan menimbulkan pelbagai rantaian tindak balas menambahkan
lagi kekacauan. Ramai yang bebas memberikan pandangan tanpa menilai sisi
baik atau buruk dan kesannya terhadap masyarakat keseluruhannya. Setiap
pandangan dilontarkan, ada teori tersendiri dan alasan tersendiri, di samping
bertentangan dengan pandangan pihak autoriti kesihatan, keselamatan dan
agama.
Jelasnya, setiap bidang ada kepakarannya dan autoriti dalam membuat
keputusan. Begitu isu berkaitan hukum hakam, ada pihak berilmu dan
berautoriti perlu dipegang jawapan hukumnya dalam kalangan muqalid.
Tegasnya, bertanyalah kepada ahlinya seperti rman Allah SWT al-nahl ayat 43
dan al-anbiya’ ayat 7: “Bertanyalah kepada ahli zikir (orang berilmu) sekiranya
kamu tidak ketahui.”
Hakikatnya, perbincangan pihak berautoriti agama sentiasa dilakukan berdasar
perkembangan semasa COVID-19. Kepentingan nyawa umum tetap
didahulukan dalam pertimbangan selaras pendekatan darurah dan taysir
(kemudahan) dalam syariat Islam.
Dalam bidang hukum Islam, kedudukan pihak autoriti hukum penting dalam
menentukan sesuatu hukum untuk diamalkan masyarakat setempat. Mereka
dalam kalangan pakar dalam pelbagai bidang. Kebiasaannya perbincangan demi
perbincangan dilakukan dengan mendapatkan input daripada pelbagai pihak
sebelum sesuatu hukum diputuskan.
Dalam konteks Malaysia, urusan agama di bawah bidang kuasa sultan dan
ditadbir peringkat negeri. Pihak autoriti agama khususnya mufti dilantik ulil
amri dalam menguruskan isu hukum berbangkit agar masyarakat tidak keliru
dan mereka perlu mematuhi panduan ditetapkan.
Kesimpulannya, setiap orang beriman pasti merisaukan aspek keagamaan dan
perlu mendahulukan kemaslahatan awam berbanding kepentingan individu.
Kita mempunyai tanggungjawab mewujudkan ketenangan sosial dalam
masyarakat.

Anda mungkin juga menyukai