Anda di halaman 1dari 3

Benarkah Bulan Safar Membawa Sial Dan Bala?

Prof Madya Dr Mohd Anuar Ramli, Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya. Emel: mohdanuar@um.edu.my

Bulan Safar merupakan bulan yang berada pada turutan kedua selepas bulan Muharram
dalam sistem kalender berdasarkan perkiraan tahun Qamariah. Dalam masyarakat Melayu
di Malaysia, kehadiran bulan Safar membawa satu perspektif yang berbeza berbanding
bulan-bulan Islam yang lain. Ini disebabkan bulan Safar kebiasaannya dikaitkan dengan
bala atau malapetaka yang menghantui kegiatan dan aktiviti harian. Rentetan itu, terdapat
pelbagai pantang larang yang tidak boleh dilakukan dalam bulan Safar bagi mengelak
kecelakaan dan akibat buruk. Di samping pantang larang, terdapat juga adat yang
diamalkan bagi menolak bala.

Umumnya, pantang larang di dalam bulan Safar melibatkan pelbagai aspek kehidupan. Di
antaranya adalah berkaitan dengan pembinaan rumah. Jika dimulakan pembinaan rumah
dalam bulan Safar, rumah tersebut tidak membawa keharmonian kepada penghuninya.
Selain itu, dalam aspek perkahwinan juga terdapat pantang larang. Sekiranya dilakukan
majlis pertunangan, akad nikah dan perkahwinan dalam bulan Safar, pasangan tersebut
tidak bahagia dan boleh bercerai berai. Begitu juga dalam perniagaan, dilarang untuk
memulakan perniagaan pada bulan Safar kerana boleh menyebabkan kerugian. Malahan
melakukan perjalanan jarak jauh juga tidak dibenarkan kerana boleh ditimpa kecelakaan
dan kemalangan.

Asasnya pengalaman orang tua masyarakat Melayu adalah berdasarkan tajarrubat dan apa
yang dilalui oleh mereka dari semasa ke semasa. Secara kebetulan banyak peristiwa buruk,
malang dan kecelakaan berlaku dalam bulan Safar. Justeru pengalaman yang berlaku secara
berulangkali kemudiannya dirumuskan oleh golongan cerdik pandai tempatan untuk
dijadikan petua dan pantang larang bagi mengelak berlakunya kejadian yang tidak diingini.
Pantang larang ini diwarisi dari satu generasi ke satu generasi hingga kini. Di samping itu,
sebagai persediaan bagi menolak bala dan sial, wujudnya adat dan upacara tertentu yang
dilakukan. Antaranya amalan kemuncak pada hari Rabu terakhir bulan Safar adalah mandi
tolak sial, memakai azimat, solat hajat, tidak keluar rumah dan melakukan perjalanan,
berdoa dan berzikir.

Kepercayaan tentang Safar sebagai bulan yang membawa sial dan diturunkan bala adalah
tidak sahih. Ini kerana perkara buruk sentiasa berlaku tanpa mengira hari dan bulan yang
khusus, malah malang tidak berbau. Perkara buruk dalam skala yang kecil mungkin
menyebabkan kerugian, pertelingkahan, perceraian dan ketidak bahagiaan kepada individu
dan kelompok tertentu. Sedangkan dalam skala yang lebih besar masa kini, kita sedang
dilanda musibah COVID-19 hampir 10 bulan semenjak penyakit ini mula dikesan pada
bulan Disember tahun 2019 di negara China dan menjangkiti lebih 30 juta orang, dengan
hampir 1 juta nyawa menjadi korban di seluruh dunia. Musibah ini adalah bentuk bala dan
ujian yang perlu dihadapi oleh manusia tanpa mengira hari atau masa tertentu.

Sedangkan setiap perkara yang baik dan buruk adalah di bawah kekuasaan Allah SWT.
Allah berfirman dalam surah Yunus, ayat 107: “Dan jika Allah mengenakan engkau dengan
sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya
melainkan Dia; dan jika Ia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada
sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurniaNya. Allah melimpahkan kurniaNya
itu kepada sesiapa yang dikendakiNya dari hamba-hambaNya, dan Dia lah yang Maha
Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

Larangan mempercayai sial dan bala ini dilarang tegas. Berdasarkan hadis Nabi Muhammad
SAW: “Sesungguhnya tiyarah (firasat buruk) sebahagian daripada amalan syirik dan bukan
daripada ajaran kami, akan tetapi Allah SWT akan menghilangkan tiyarah (firasat buruk) itu
dengan bertawakal kepada-Nya.” (HR al-Tirmizi, no. hadis: 1614). Sabda baginda lagi:
Sesiapa yang menangguhkan sesuatu hajat kerana percaya kepada sial (al-tiyarah),
sesungguhnya dia telah syirik. (HR Ahmad, no. hadis: 7045)

Tegasnya, kepercayaan kepada pantang larang ini bercanggah dengan rukun Iman yang
keenam, iaitu percaya kepada qadak dan qadar. Justeru mempercayai perkara sial dan
melakukan upacara tertentu untuk menolak bala adalah haram. Ia termasuk dalam
perbuatan syirik. Menurut Syeikh al-Zahabi dalam kitab al-Kaba'ir, syirik merupakan antara
dosa besar dalam Islam. Dengan itu, kita tidak boleh menangguh sesuatu urusan kerana
takut ditimpa sesuatu bala atau menukarkan perancangan tertentu disebabkan bulan Safar.
Jadi, teruskanlah majlis perkahwinan, membina rumah baharu, memulakan perniagaan
baharu, melakukan perjalanan jauh di bulan Safar atau apa sahaja aktiviti yang diharuskan
Syarak.

Sebagai seorang Muslim, kita digalakkan untuk memohon perlindungan Allah SWT setiap
masa, bermula dari bangun tidur sehinggalah ketika hendak tidur kembali. Pergantungan
dan perlindungan ini adalah sebahagian daripada tuntutan Islam. Pelbagai doa diwariskan
daripada hadis Nabi Muhammad SAW sama ada untuk memohon perlindungan daripada
Allah atau menolak bala. Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidak ada yang boleh menolak
sesuatu ketentuan (qadar) melainkan dengan doa” (HR al-Tirmizi, no. hadis: 2139). Di
samping itu, bersedekah juga dapat menolak perkara buruk daripada berlaku. Amalan ini
berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW: “Bersegeralah bersedekah sebab bala bencana
tidak pernah mampu mendahului sedekah” (HR al-Tabarani, no. hadis: 5643) dan hadis
Nabi SAW: “Sedekah menutup 70 pintu keburukan” (HR al-Tabarani, no. hadis: 4402).

Kesimpulannya, pengalaman generasi lama boleh dijadikan sebagai panduan sekiranya


tidak bertentangan dengan Syariat Islam. Pengalaman yang membentuk korpus kepandaian
tempatan dalam bentuk petua, pantang larang dan adat ini perlu dinilai secara teliti dan adil
kerana ia tidak boleh dibaca secara selapis atau literalis. Salah tafsir boleh mengakibatkan
salah faham terhadap maksud yang dikehendaki dan menjadi tidak rasional. Makna yang
tersirat di sebalik yang tersurat perlu ditafsirkan dengan cermat. Manakala bagi pandangan,
petua, pantang larang dan adat yang bercanggah dengan syariat Islam perlu ditinggalkan.
Selaras dengan itu, sebagai seorang yang beriman, kita perlu senantiasa berpegang dengan
qadak dan qadar, berdoa memohon perlindungan Allah daripada segala bala di samping
berusaha untuk menjaga diri dengan sebaiknya.

Anda mungkin juga menyukai