Anda di halaman 1dari 3

Tradisi Duit Raya

Profesor Madya Dr. Mohd Anuar Ramli, Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya. Emel: mohdanuar@um.edu.my

Aidil fitri yang disambut pada tiap 1 Syawal merupakan kemuncak kepada ibadat puasa
sebulan di bulan Ramadhan. Lazimnya aidil fitri diraikan penuh dengan kemeriahan.
Dari deretan persiapan serba baharu seperti pakaian, kuih muih hinggalah kepada
aneka juadah makanan terhidang. Golongan yang paling gembira adalah kanak-kanak
kerana inilah peluang untuk menziarahi sanak saudara dan jiran tetangga di samping ia
merupakan peluang untuk mendapat duit raya dari tuan rumah. Namun begitu, wujud
polemik dalam masyarakat tentang pemberian duit raya kepada kanak-kanak ketika
sambutan perayaan aidilfitri. Ia melibatkan pandangan yang positif dan negatif
terhadap amalan ini.
Dari aspek positif, amalan ini sebahagian daripada ibadah bersedekah yang disulami
dengan tradisi yang baik (uruf sahih) dalam medium pemberian duit raya. Bersedekah
ini adalah sebagai lanjutan daripada amalan yang dilakukan dalam bulan Ramadhan. Di
samping itu, ia juga dapat membuka ruang interaksi kanak-kanak dengan komuniti
kejiranannya. Pada hari biasa, rutin mereka hanya dalam lingkungan rumah-sekolah
sahaja dan tidak terdedah dengan jiran-jiran sekeliling. Pemberian duit raya ini turut
menggembirakan golongan kanak-kanak ketika hari raya. Masing-masing berlumba
untuk membuat kutipan terbanyak. Duit yang diterima biasanya dibelanjakan di kedai-
kedai berhampiran sekaligus menggerakkan ekonomi setempat. Selain itu, ada juga
yang menyimpan duit yang diterima.
Sedangkan aspek negatif yang menjadi pertimbangan mereka yang menolak amalan ini
antara lain adalah ia sebahagian daripada didikan yang bersifat materialistik. Kanak-
kanak diajar tentang mengharapkan duit dari tuan rumah, bukannya menziarahi jiran
sekeliling untuk saling mengenali dengan ikhlas. Malah, pemberian ini membuka ruang
kepada gejala rasuah kemudian hari kerana mereka dididik untuk mengharapkan
ganjaran daripada orang lain disebabkan berpuasa. Ibaratnya, ia adalah proses
sosialisasi rasuah dalam kalangan kanak-kanak. Selain itu, terdapat dakwaan bahawa
amalan ini menambah beban kewangan pihak pemberi kerana seolah-olah menjadi
kewajipan untuk memberi duit raya ketika sambutan aidilfitri. Dalam pada itu, ada juga
pandangan yang mempertikaikan sedekah selepas bulan Ramadhan yang kurang
fadhilatnya berbanding bulan Ramadhan. Mereka memilih untuk memberi duit raya
ketika bulan Ramadhan. Di samping itu, tradisi ini juga didakwa meniru amalan budaya
kaum lain, iaitu tradisi angpau bagi masyarakat Cina ketika menyambut hari Tahun
Baharu Cina. Peniruan ini dikaitkan dengan unsur tasyabbuh (penyerupaan) yang
dilarang dalam Islam.

Pada pandangan penulis, tradisi sampul raya atau pemberian duit raya ini adalah
sebahagian daripada amalan sedekah yang digalakkan dalam Islam. Anjuran amalan ini
dapat dilihat dalam firman Allah SWT: Dan belanjakanlah sebagian dari apa yang telah
Kami berikan kepadamu sebelum datang kematian kepada salah seorang di antara kamu;
lalu ia berkata, "Ya Tuhanku, mengapa Engkau tidak menangguhkan (kematian) ku
sampai waktu yang dekat, yang menyebabkan aku dapat bersedekah dan aku termasuk
orang-orang yang saleh.” (QS Al-Munafiqun: 10). Begitu juga hadis Nabi SAW: Seorang
lelaki datang kepada Nabi SAW dan berkata: "Wahai Rasulullah, sedekah apakah yang
paling besar pahalanya?". Baginda menjawab: "Kamu bersedekah ketika kamu dalam
keadaan sihat dan kikir, takut menjadi faqir dan berangan-angan jadi orang kaya. Maka
janganlah kamu menunda-nundanya hingga tiba ketika nyawamu berada di
tenggorakanmu. Lalu kamu berkata, si fulan begini (punya ini) dan si fulan begini.
Padahal harta itu milik si fulan. (HR al-Bukhari). Berdasarkan ayat al-Quran dan hadis
tersebut jelas bahawa amalan bersedekah dianjurkan dalam Islam, tanpa terikat dengan
masa atau bulan tertentu. Tiapnya ada ganjaran yang ditentukan oleh Allah SWT.

Selain itu, pemberian duit raya tujuannya tidak lain adalah untuk memberi motivasi
kepada kanak-kanak berpuasa dan menziarahi rumah-rumah jiran. Ia dapat ruang
kepada saling kenal mengenali antara satu sama lain. Tradisi ini biasanya dilakukan
hingga pada usia tertentu sahaja. Apabila meningkat remaja, mereka akan rasa malu
untuk ziarah jiran-jiran bagi mendapatkan duit raya. Dalam dakwaan sosialisasi rasuah,
tiada bukti yang jelas menunjukkan hubungan antara pemberian duit raya ketika zaman
kanak-kanak dengan penerimaan rasuah apabila dewasa kerana kanak-kanak hanya
fikirkan keseronokan mengumpul duit untuk membuat simpanan dan juga perbelanjaan
segera. Perbuatan menerima sampul rasuah bukanlah menjadi kebiasaan umum orang
Islam pada masa kini. Sebaliknya motivasi penerimaan rasuah atau sampul ini
dipengaruhi pelbagai faktor lain.
Manakala dalam dakwaan peniruan dengan budaya kaum lain, asasnya terdapat
perbezaan yang jelas di antara kedua-duanya. Dalam amalan pemberian angpau, ia
dikaitkan dengan beberapa cerita lagenda Cina. Antaranya adalah sebagai azimat untuk
melindungi kanak-kanak daripada gangguan hantu yang bernama Sui ketika menjelang
Tahun Baru Cina. Tidak semua orang boleh memberi angpau. Hanya orang yang sudah
berkahwin yang boleh memberi kerana dianggap sudah dewasa. Bagi yang sudah
dewasa tetapi belum berkahwin tetap boleh menerima angpau. Sebab angpau juga
identik sebagai lambang pembawa keberkahan termasuk jodoh. Duit yang diberikan
mesti baru dengan jumlah yang genap dan selain daripada angka empat. Masyarakat
Cina menganggap pemberian sampul merah untuk mendapat keberkatan dan nasib
yang baik sepanjang tahun. Jelasnya, kedua amalan pemberian duit raya ini disandarkan
pada latar yang berbeza antara satu sama lain, tiada istilah tiru meniru antara satu sama
lain.

Selain itu, polemik juga ditimbulkan berkaitan tradisi ini berkaitan dengan fadhilat
bersedekah. Ini kerana ganjaran pahala yang berlipat kali ganda bagi amalan
bersedekah di bulan Ramadhan berbanding syawal. Justeru pemberian duit raya
dilakukan dalam bulan Ramadhan. Dalam merespons pandangan ini, boleh saja duit
raya diberi ketika bulan Ramadhan, tetapi kanak-kanak hanya menziarahi jiran tetangga
pada 1 Syawal. Malah amalan pemberian sedekah ini adalah kesinambungan daripada
apa yang diamalkan dalam bulan Ramadhan. Ini kerana amalan bersedekah bukan
hanya terhad dilakukan pada bulan Ramadhan semata-mata.
Begitu juga dengan pandangan yang menganggap pemberian duit raya sebagai satu
kewajipan selepas tradisi itu semakin subur dibudayakan dalam masyarakat setiap kali
hari raya. Bagi mereka pemberian ini membebankan. Sedangkan jika dilihat dalam
pengamalannya, tiada batas pemberian minimum dan maksimum yang ditetapkan
asalkan seikhlas hati dan dapat menghiburkan hati penerima. Sifat berkira ini
bertentangan dengan galakan sedekah yang dianjurkan Islam. Tidak perlu rasa
terbeban jika tidak mampu disebabkan tiada paksaan.

Dalam suasana meraikan sambutan aidilfitri dengan pembudayaan norma baharu


ketika pandemik COVID-19, amalan pemberian duit raya ini boleh memanfaatkan
pelbagai teknologi yang ditawarkan terutamanya berbentuk tanpa sentuhan antara
pemberi dan penerima. Di antaranya adalah aplikasi DuitNow dan QRPay yang
ditawarkan oleh pihak bank, pemindahan terus ke dalam bank akaun penerima dan
kredit E-Dompet seperti Boost, Touch n Go dan seumpamanya.
Justeru, amalan pemberian duit raya adalah selari dengan Islam kerana walaupun ia
bernuansakan tradisi tetapi titik tolaknya adalah amalan sedekah. Tegasnya, tidak
semua tradisi masyarakat setempat itu tidak baik (fasid). Bahkan selain dapat
memperolehi ganjaran pahala, ia juga dapat menceriakan pihak yang menerima duit
raya terutama golongan kanak-kanak.

Anda mungkin juga menyukai