Anda di halaman 1dari 15

ADAT RESAM KAUM MELAYU DI MALAYSIA

entingnya adat masyarakat Melayu jelas terlihat dalam peribahasa yang berbunyi Biar
mati anak, jangan mati adat. Tata perlakuan dalam adat resam masyarakat Melayu
banyak dipengaruhi oleh adat yang diwarisi dari budaya Hindu yang disesuaikan
mengikut unsur-unsur Islam. Adat ini dapat dilihat pada tiga aspek kehidupan iaitu

Pengenalan
Anak atau zuriat adalah suatu kurniaan Tuhan yang tidak ternilai bagi setiap pasangan
suami isteri. Bagi masyarakat Melayu yang rata-ratanya beragama Islam, adalah dipercayai
setiap anak yang dilahirkan mempunyai rezekinya masing-masing, justeru itu setiap
kelahiran itu perlu disyukuri. Dalam aspek kelahiran ini, masyarakat Melayu banyak
mengamalkan adat-adat tertentu yang diwarisi sejak turun temurun. Ia merangkumi
peringkat sewaktu mengandung, bersalin dan selepas lahir.
Sewaktu Mengandung
Melenggang Perut

Adat ini juga dipanggil Kirim Perut oleh masyarakat Melayu di bahagian utara Semenanjung
Malaysia dan di sesetengah tempat dikenali sebagai Mandi Tian. Upacara ini dilakukan
kepada wanita yang mengandung anak sulung ketika kandungan berusia dalam lingkungan
tujuh atau lapan bulan. Ia dijalankan oleh seorang bidan untuk membuang geruh atau
kecelakaan yang mungkin menimpa wanita hamil yang bakal bersalin dan bagi
membetulkan kedudukan bayi di dalam perut.
Peralatan untuk upacara ini termasuk
Tujuh helai kain dengan tujuh warna berlainan
Segantang beras
Sebiji kelapa
Beberapa urat benang mentah
Damar
Minyak kelapa atau minyak urut
Lilin
Tepak sirih yang lengkap isinya
Pengeras sebanyak RM1.25
Pada permulaannya bidan akan membacakan jampi mentera dan mengandam wanita hamil
tadi. Tepung tawar dicalit ke mukanya dan beras kunyit ditabur.
P

Seterusnya adat mandi sintuk limau dan air buyung
dilakukan. Sebiji telur diselitkan di kain basahan iaitu
di bahagian perutnya dan sebuah cermin kecil dibawa
bersama. Wanita itu didudukkan di atas kerusi di
mana pada kaki kerusi itu ditambat seekor ayam.
Kemudian air buyung dijiruskan ke badannya
manakala telur tadi dilepaskan atau dijatuhkan
dengan kepercayaan ia akan memudahkan wanita
tadi bersalin.
Setelah membersihkan badan, wanita itu bercermin muka dengan harapan anak yang bakal
lahir nanti mempunyai rupa paras yang cantik. Setelah acara itu selesai bidan akan
membentangkan ketujuh-tujuh helai kain berbentuk melintang sehelai di atas sehelai yang
lain. Ibu yang hamil dibaringkan di atas lapisan kain-kain tersebut. Bidan akan mengurut
ibu yang yang hamil dengan menggunakan minyak kelapa atau minyak urut. Bidan
mengambil buah kelapa yang telah dibersihkan lalu menggulingkannya perlahan-lahan di
atas perut terus ke hujung kakinya sebanyak tujuh kali. Adalah dipercayai sekiranya kelapa
berhenti bergolek dengan matanya ke atas, anak yang dikandungnya adalah lelaki dan
perempuan jika sebaliknya. Akhirnya bidan akan melenggangkan setiap helai kain tersebut
pada perut wanita hamil itu. Mengikut adatnya, kain yang di bawah sekali diberikan kepada
bidan beserta dengan peralatan upacara tadi. Lazimnya pada hari tersebut, kenduri doa
selamat akan diadakan dan ibu yang menjalani upacara ini dipakaikan dengan pakaian baru.
Adalah dipercayai adat ini mengandungi unsur-unsur budaya Hindu.

Sewaktu Bersalin
Apabila hampir tiba waktu bersalin, persediaan akan diuruskan oleh keluarga berkenaan.
Mengikut kebiasaannya kandungan ketika itu sudah cukup sembilan bulan sepuluh hari.
Tetapi adakalanya tempoh kehamilan boleh mencapai sehingga sepuluh hingga dua belas
bulan yang dipanggil bunting kerbau. Mengikut kepercayaannya juga daun mengkuang
berduri akan digantung di bawah rumah dan kapur akan dipangkah pada tempat-tempat
tertentu di dalam rumah wanita yang hendak bersalin tadi bagi mengelakkan gangguan
makhluk halus. Di samping itu juga, terdapat beberapa adat yang perlu dijalankan semasa
menyambut kelahiran ini.
Potong Tali Pusat

Sejurus selepas bayi lahir, bidan akan menyambutnya dengan jampi dan serapah lalu
disemburkan dengan daun sirih. Selepas bayi dibersihkan, tali pusatnya akan dipotong
dengan menggunakan sembilu buluh dan dialas di atas sekeping wang perak satu ringgit. Di
sesetengah tempat tali pusat dipotong menggunakan cincin emas. Baki tali pusat di perut
bayi akan dibubuh kunyit dan kapur lalu dibungkus dengan daun sirih yang telah dilayukan
di atas bara api sehinggalah tali pusat itu tanggal sendiri.


Upacara Adat Melenggang Perut


Azan/Qamat
Kelazimannya bayi lelaki akan diazankan di kedua-dua belah
telinganya manakala bayi perempuan akan diqamatkan. Biasanya,
bapa atau datuk bayi tersebut akan melakukan upacara ini. Ia
bukanlah satu adat, sebaliknya lebih merupakan amalan berunsur
keagamaan.
Membelah Mulut

Adat ini mempunyai pengaruh budaya Hindu, namun demikian ia
juga terdapat dalam agama Islam yang menghukumkan sunat
untuk berbuat demikian. Upacara bermula dengan membacakan
surah Al-Fatihah dan surah Al-Ikhlas. Ia diikuti dengan langkah
mencecap atau merasakan sedikit air madu atau kurma dan ada juga yang menggunakan
emas yang dicelupkan ke dalam air pinang pada mulut bayi yang baru lahir tersebut.
Sewaktu menjalankan upacara ini, jampi mentera dibacakan. Namun demikian, adat ini
sudah tidak diamalkan lagi oleh masyarakat Melayu hari ini.
Berpantang

Dalam masyarakat Melayu, wanita yang telah bersalin mesti menjalani masa berpantang
yang bermaksud larangan. Sekiranya wanita tersebut melanggar pantang, mereka akan
mengalami bentan atau sakit sampingan. Tempoh berpantang lazimnya berlangsung selama
empat puluh empat hari dikira dari hari mula bersalin dan ada juga yang berpantang selama
seratus hari.
Dalam tempoh ini wanita tersebut dilarang dari makan
sebarang makanan mengikut kehendaknya atau berbuat
apa-apa kerja yang memerlukan banyak pergerakan.
Antara makanan yang dilarang keras ialah yang boleh
mengakibatkan kegatalan diseluruh anggota badan seperti
udang, kerang, ketam dan ikan pari serta memakan ikan
yang mempunyai sengat seperti ikan keli, sembilang dan
baung kerana ia boleh menyebabkan bisa-bisa pada
badan. Sebaliknya mereka digalakkan memakan nasi
dengan ikan haruan yang dibakar atau direbus dan
dibenarkan minum air suam atau susu.
Selama berpantang mereka diberi makan ubat-ubat tradisi
dan bertungku. Bertungku dipercayai dapat membantu
perut wanita bersalin kembali normal. Biasanya tungku
diperbuat dari batu yang dipanaskan di atas bara.
Kemudian tungku itu dibalut dengan kain yang dilapik
dengan beberapa helai daun yang tebal seperti daun
lengkuas yang dipercayai dapat mengimbangi kepanasan
tungku di samping berfungsi sebagai ubat. Tungku akan
dituam pada bahagian perut dan bahagian lain bertujuan
untuk mengatasi masalah kesakitan selepas bersalin.
Selesai bertungku, si ibu akan menyapu perutnya dengan air limau yang dicampur dengan
kapur sebelum memakai bengkung. Amalan berbengkung ini bertujuan untuk mengatasi


Bayi yang baru lahir
diazankan/diqamatkan


Ramuan asli untuk
wanita lepas bersalin




Bengkung

perut buncit atau pinggul yang turun selepas bersalin di samping memberi keselesaan
kepada wanita selepas bersalin.
Selepas lahir
Selepas kelahiran terdapat beberapa adat tertentu yang dijalankan.
Tanggal Pusat/Cuci Lantai

Lazimnya bayi yang baru lahir akan tanggal pusatnya dalam tempoh seminggu. Pada ketika
itu, adat cuci lantai akan diadakan. Di sesetengah tempat, ia juga dipanggil adat naik buai
kerana selagi bayi itu belum tanggal pusatnya, dia tidak boleh dibuaikan dan akan tidur
disamping ibunya. Adat ini seelok-eloknya dilakukan pada hari Isnin atau Khamis.

Bahan-bahan yang digunakan untuk adat cuci lantai.

Nasi kunyit dan lauk-lauk
Seekor ayam hidup
Paku, buah keras, asam, garam dan sirih pinang
Hadiah untuk bidan sepersalinan pakaian
Kenduri doa selamat akan diadakan pada permulaan adat
ini. Selepas itu bidan akan memulakan jampi serapahnya
sambil memegang ayam dengan cara mengais-ngaiskan
kaki ayam ke atas lantai tempat wanita itu bersalin.
Seterusnya lantai itu akan dibersihkan. Mak bidan akan
menjalankan keseluruhan upacara ini. Sebelum itu, si ibu
dan si bayi akan dimandikan, diurut dan dibedak. Selesai
upacara tersebut, bahan yang digunakan tadi beserta
sedikit wang akan dihadiahkan kepada bidan tersebut.
Memberi Nama

Mengikut ajaran Islam, adalah sunat memberi nama yang
mempunyai maksud yang baik kepada bayi.
Kebiasaannya jika bayi itu lelaki, nama akan diberi
mengikut nama para nabi manakala untuk bayi
perempuan, nama isteri-isteri atau anak-anak nabi akan dipilih.
Cukur Rambut/ Potong Jambul

Adat ini dilakukan pada hari ketujuh selepas dilahirkan. Ia turut dipanggil adat potong
jambul. Kenduri nasi kunyit dan doa selamat diadakan pada hari tersebut.
Untuk menjalankan upacara tersebut beberapa kelengkapan disediakan.
Sebuah dulang berisi tiga mangkuk atau piring yang berisi air tepung tawar, beras kunyit
dan bertih.

Sebiji kelapa muda dipotong bahagian kepalanya dengan potongan berkelok-kelok siku
seluang untuk dijadikan penutup. Airnya dibuang dan diganti dengan sedikit air sejuk.


Upacara cuci lantai
Kemudian kelapa itu diletakkan di dalam sebiji batil. Biasanya kelapa itu dihias, umpamanya
dengan melilitkan rantai emas atau perak di kelillingnya.
Pada hari itu, bayi dipakaikan dengan pakaian cantik
dan diletakkan di atas talam yang dialas dengan tilam
kecil atau didukung oleh bapa atau datuknya. Si bayi
seterusnya dibawa ke tengah majlis dan disambut oleh
hadirin lelaki sambil berselawat. Si bayi akan ditepung
tawar serta ditabur beras kunyit dan bertih. Para
hadirin secara bergilir-gilir akan menggunting sedikit
rambut bayi tersebut dan dimasukkan ke dalam kelapa
tadi. Bilangan orang yang menggunting rambut bayi
tersebut hendaklah dalam bilangan yang ganjil, iaitu
tiga, lima, tujuh dan seterusnya. Setelah selesai pihak
lelaki menjalankan acara menggunting, pihak
perempuan pula mengambil alih. Setelah selesai kedua-dua pihak menjalankan adat
bercukur barulah kepala bayi tersebut dicukur sepenuhnya oleh bidan atau sesiapa sahaja
yang boleh melakukannya. Kesemua rambut yang dicukur akan dimasukkan ke dalam
kelapa. Akhirnya kelapa tersebut di tanam di sekitar halaman rumah bersama sepohon anak
kelapa atau seumpamanya sebagai memperingati
masa anak itu dilahirkan.
Lazimnya, semasa adat ini dijalankan akikah turut
diadakan. Dari segi syarak, akikah membawa
pengertian menyembelih ternakan pada hari ke
tujuh selepas anak dilahirkan. Orang Islam yang
berkemampuan disunatkan menyembelih ternakan
seperti kambing, lembu atau kerbau sebagai
akikah anak yang baru lahir. Seorang anak
disunatkan berakikah sekali sahaja seumur hidup.
Terdapat syarat-syarat tertentu dalam memilih
haiwan untuk akikah dan jumlah ternakan untuk
akikah juga berbeza mengikut jantina bayi. Bagi
bayi lelaki akikahnya ialah dua ekor kambing dan
seekor kambing bagi bayi perempuan. Antara hikmah akikah adalah sebagai permulaan
kebajikan dan kebaikan bagi pihak bayi tersebut. Akikah sunat dilakukan pada hari ke tujuh
kelahiran iaitu boleh dijalankan serentak dengan adat mencukur rambut dan adat memberi
nama. Namun ia juga boleh dilakukan pada hari yang lain.
Naik Buai
Adat ini merupakan satu-satunya majlis yang masih
diamalkan dan mendapat sambutan di kalangan masyarakat
Melayu hari ini. Upacara ini dilangsungkan dalam suasana
penuh meriah terutama sekali jika sesebuah keluarga itu baru
mendapat anak atau cucu sulung.

Alatan potong jambul





Upacara potong jambul



Bayi dikelilingi ibu bapa dan
saudara mara
Semasa upacara ini dijalankan bayi tersebut akan diletakkan
di dalam buaian yang menggunakan kain songket atau batik
dan dihias indah dengan bunga-bungaan. Selendang akan
diikat di kiri kanan buaian dan ditarik perlahan-lahan semasa
upacara berlangsung. Ketika itu juga, nazam atau marhaban
akan dialunkan oleh sekumpulan lelaki atau wanita.
Seterusnya bunga telur dan bunga rampai akan dihadiahkan
kepada kumpulan ini. Pada hari ini, masyarakat Melayu
menjalankan adat ini serentak dengan adat memberi nama
dan adat cukur rambut.
Naik Buai
Marhaban
Potong Jambu
Berendoi
Jejak Tanah/Turun Tanah

Di sesetengah tempat, adat ini juga dipanggil adat memijak tanah. Ia sebagai meraikan
anak yang baru pandai berjalan. Turun tanah bermakna seorang anak kecil dilepaskan
untuk memijak tanah sebagai lambang meneruskan kehidupannya. Adat ini dijalankan
secara berbeza-beza dari satu tempat dengan tempat yang lain baik dari segi cara mahupun
barangan yang digunakan.
Lazimnya kenduri doa selamat diadakan
untuk mengiringi upacara ini. Selepas
kenduri selesai, tikar dibentang di hadapan
tangga sebagai alas kanak-kanak berkenaan
berjalan. Di atas tikar disediakan beberapa
dulang yang berisi pelbagai jenis barang,
termasuk makanan dan minuman. Antara
barangan yang diletakkan di dalam dulang
itu ialah cermin, sikat, jam tangan, gelang,
cincin, rantai, bedak, kain, kasut, gunting, bubur, air sejuk dan wang. Lazimnya jumlah
barangan yang diletakkan adalah ganjil. Kanak-kanak tersebut akan dibiarkan bergerak
memilih barang tersebut dan dihadkan mengambil tiga barangan sahaja.
Menurut kepercayaan orang Melayu juga, adat ini
dilakukan untuk meramal masa depan kanak-kanak itu
berdasarkan barangan yang diambil. Umpamanya jika
kanak-kanak itu mengambil gunting, kelak dia kuat
bekerja atau pandai membuat kerja tangan. Adat ini
juga boleh dilakukan secara sederhana iaitu dengan
memijakkan kaki kanak-kanak itu ke piring-piring kecil
yang berisi dengan padi, beras, tanah dan beberapa
jenis daun yang telah dijampi oleh mak bidan.
Seterusnya bayi itu dijejakkan ke tanah dan doa
dibaca.



Bayi diletakkan di dalam buaian
yang dihias indah



Upacara jejak tanah

Upacara jejak tanah

Bersunat / Berkhatan
Adat bersunat bagi bayi perempuan lazimnya
dilakukan ketika bayi itu masih kecil iaitu
beberapa hari selepas dilahirkan. Namun
demikian, kebanyakan kanak-kanak
perempuan akan menjalani upacara ini
sekurang-kurangnya ketika berumur setahun
atau lebih. Adat ini akan dijalankan oleh
bidan. Bagi kanak-kanak lelaki, mereka akan
menjalani adat bersunat atau juga dipanggil
berkhatan ketika umur mereka dalam
lingkungan 8 hingga 12 tahun. Adat
berkhatan akan dijalankan oleh Tok Mudim. Di
dalam ajaran Islam, bersunat atau berkhatan
adalah wajib kerana Islam menitikberatkan kesucian lahir dan batin. Di samping itu juga,ia
baik dari segi kesihatan. Majlis bersunat kanak-kanak perempuan tidak semeriah majlis
berkhatan kanak-kanak lelaki dan ada juga yang menjalankannya serentak dengan majlis
perkahwinan.

Pengenalan
Masyarakat Melayu begitu berpegang teguh dengan adat resam kerana ia dipercayai
mempunyai kesan dalam kehidupan. Bagi masyarakat Melayu, adat resam perkahwinan
begitu dititikberatkan. Sesuatu upacara dalam peringkat perkahwinan itu akan dijalankan
dengan meriah dan penuh adat istiadat. Dalam adat perkahwinan masyarakat Melayu,
terdapat beberapa peringkat penting.
Merisik
Adat ini juga dipanggil meninjau atau menengok. Tujuan adat ini dilakukan adalah untuk
memastikan bahawa gadis yang dihajati oleh seorang lelaki itu masih belum berpunya. Ini
penting, kerana dalam Islam seseorang itu dilarang meminang tunangan orang. Di samping
itu, adat ini juga bertujuan untuk menyelidik latar belakang si gadis berkaitan kemahiran
rumahtangga, adab sopan, tingkah laku, paras rupa serta pengetahuan agamanya.
Lazimnya adat ini akan dijalankan oleh saudara mara terdekat pihak lelaki seperti ibu atau
bapa saudaranya.
Bagi pihak si gadis pula, terdapat beberapa kriteria yang perlu dipertimbangkan sebelum
menerima lamaran pihak lelaki antaranya ialah lelaki tersebut perlulah mempunyai latar
belakang agama serta mempunyai pekerjaan yang baik.
Adakalanya semasa merisik, wakil lelaki tersebut akan memberikan
sebentuk cincin tanya berupa cincin belah rotan dan jika pihak gadis
bersetuju mereka akan menetapkan tarikh untuk peminangan. Walau
bagaimanapun adat merisik jarang dilakukan lagi kerana pasangan
tersebut telah berkenalan terlebih dahulu, justeru itu mereka akan
terus menjalankan adat meminang untuk menjimatkan kos dan



Kanak-kanak mandi untuk berkhatan

Cincin belah rotan

masa.
Meminang
Setelah diketahui bahawa gadis tersebut belum berpunya, pihak keluarga lelaki akan
menetapkan hari untuk menghantar satu rombongan peminangan. Urusan peminangan
akan dilakukan oleh kaum keluarga terdekat pihak lelaki. Adat ini dilakukan bagi
menyatakan tujuan mereka yang sebenarnya secara rasmi. Saudara-mara kedua-dua belah
pihak akan berunding untuk menetapkan tarikh dan masa yang sesuai untuk adat
bertunang pula. Di samping itu, perbincangan juga akan diadakan berkenaan dengan
hantaran dan jumlah rombongan yang akan datang untuk upacara bertunang untuk
memudahkan pihak perempuan menyediakan persiapan semasa majlis pertunangan kelak.
Bertunang
Selepas perbincangan diadakan, majlis
pertunangan akan dilangsungkan. Pihak
lelaki akan diwakili oleh ahli keluarga
dan saudara mara terdekatnya untuk
upacara bertunang. Pada hari tersebut,
majlis kenduri akan diadakan
bersempena pertunangan tersebut di
rumah pihak perempuan. Hantaran
yang terdiri daripada tepak sirih atau
sirih junjung sebagai bingkisan utama,
sebentuk cincin beserta hantaran lain
seperti bunga rampai, buah-buahan,
kuih-muih, pakaian dan lain-lain yang
telah digubah akan diberi kepada pihak
perempuan.
Mengikut adatnya juga, sekiranya pihak perempuan mempunyai kakak yang masih belum
berkahwin, hantaran untuknya juga turut diberikan. Adat ini dipanggil langkah bendul.
Bilangan hantaran agak unik kerana jumlahnya ganjil iaitu samada lima, tujuh, sembilan,
sebelas atau tiga belas, kerana jumlah genap dikatakan memberi implikasi yang tidak baik.
Jumlah hantaran yang diberi oleh pihak perempuan pula akan melebihi jumlah hantaran
pihak lelaki. Adat menghantar belanja turut diadakan semasa adat bertunang ini dijalankan.
Namun begitu ada juga yang menjalankannya secara berasingan daripada adat bertunang
iaitu mengadakannya beberapa minggu sebelum majlis persandingan dijalankan.




Barangan hantaran





Beraneka jenis hantaran yang digubah indah


Sirih Junjung
Upacara ini akan dimulakan dengan wakil pihak lelaki menyerahkan tepak sirih kepada wakil
pihak perempuan dan menyatakan lamaran mereka secara rasmi. Pantun sering digunakan
dalam upacara ini bertujuan untuk memeriahkan majlis. Setelah pertunangan diterima
secara rasmi, wakil kedua belah pihak akan berbincang tentang belanja perkahwinan,
tempoh pertunangan dan lain-lain hal yang berkaitan. Tempoh bertunang lazimnya dalam
masa setahun ataupun mengikut persetujuan kedua belah pihak. Satu perkara yang turut
dititikberatkan ialah berkenaan putus tunang. Sekiranya pihak lelaki yang memutuskan
pertunangan tersebut, semua wang hantaran dan belanja yang diberi kepada pihak
perempuan dikira hangus, sebaliknya jika pihak perempuan yang berbuat demikian, semua
hantaran harus dikembalikan sebanyak dua kali ganda.
Acara kemuncak majlis pertunangan adalah adat sarung cincin di
mana wakil pihak lelaki yang terdiri dari ibu atau saudara
perempuannya akan menyarungkan cincin pertunangan atau
cincin tanda ke jari manis gadis yang dilamar. Setelah itu
rasmilah sudah pertunangan tersebut.
Akad Nikah
Akad nikah merupakan satu acara paling penting dalam perkahwinan masyarakat Melayu
yang rata-ratanya beragama Islam. Ia bukan suatu adat tetapi lebih kepada ajaran agama
dan merupakan kemuncak kesahihan sesuatu perkahwinan. Upacara ini dijalankan selepas
segala perjanjian yang dikenakan kepada pihak lelaki telah dilaksanakan seperti wang
belanja, mas kahwin dan barangan lain sepertimana yang dipersetujui oleh kedua belah
pihak. Akad nikah boleh dilakukan di masjid, di pejabat kadi atau pun di rumah pengantin
perempuan dan dijalankan oleh tok kadi atau imam. Di dalam upacara akad nikah, bapa
pengantin perempuan perlu menjadi wali untuk menikahkan anaknya. Walau
bagaimanapun, dia juga boleh mewakilkannya kepada tok kadi atau imam.
Kebiasaannya majlis akad nikah akan
dijalankan di rumah pengantin perempuan
sehari sebelum majlis perkahwinan
diadakan. Pada hari tersebut, pengantin
lelaki akan mengenakan baju melayu
berwarna cerah dan majlis diadakan
menyerupai majlis pertunangan. Lazimnya
sementara menanti kedatangan rombongan
pengantin lelaki, majlis berzanji atau
pukulan kompang diadakan. Sebelum
upacara dijalankan, wang belanja, mas
kahwin dan lain-lain hantaran akan
diperiksa oleh tuan kadi dan dua orang saksi
bagi pihak perempuan. Seterusnya
pengantin lelaki akan duduk di atas sebidang tikar di tengah-tengah majlis. Tok imam atau
tok kadi akan menemui pengantin perempuan di dalam bilik untuk bertanyakan samada dia
bersetuju atau tidak dengan pernikahan itu. Tok kadi juga akan membacakan khutbah nikah
dan menerangkan secara umum akan tanggung jawab suami isteri dan lain-lain hal
berkaitan rumahtangga dari sudut agama. Selepas itu, tok kadi atau imam akan
membacakan lafaz nikah sambil berjabat tangan dengan pengantin lelaki dan pengantin
lelaki dikehendaki mengulangnya sebaik sahaja tok imam menggoncangkan tangannya.
Lafaz nikah berbunyi "Aku nikahkan dikau.(nama pengantin perempuan) dengan mas
kahwin sebanyak ..(mengikut negeri) tunai" dan disambut oleh pengantin lelaki dengan
lafaz berbunyi "Aku terima nikahnya..(sama seperti yang dilafazkan oleh tok kadi). Saksi
akan mengesahkan samada lafaz tersebut jelas didengar atau tidak, sekiranya tidak jelas,
pengantin lelaki tersebut akan mengulangnya sehingga saksi tersebut berpuas hati. Doa
selamat akan dibaca sejurus selepas itu sebagai tanda kesyukuran kerana kedua-dua
mempelai telah selamat diijabkabul.



Cincin belah rotan
sebagai tanda
peminangan



Akad nikah sedang dijalankan
Selepas akad nikah, pengantin lelaki akan melakukan upacara membatalkan air
sembahyang. Si suami akan menyarungkan cincin atau memakaikan rantai kepada isterinya
yang menanti di dalam bilik yang dihias indah sambil keduanya bersalaman. Adat ini
dilakukan sebagai satu simbol bahawa pasangan tersebut telah sah diijabkabulkan. Selepas
itu adat berinai akan dijalankan di mana kedua mempelai ditepung tawar. Peralatan yang
digunakan untuk upacara ini ialah semangkuk bertih, semangkuk beras kunyit, sepiring inai,
beberapa tangkai daun seribu yang diikat dan semangkuk air tepung tawar. Wakil kedua-
dua pihak akan menjalankan adat tepung tawar ini dengan cara mencalitkan sedikit inai dan
air tepung tawar ke tapak tangan pengantin. Beras kunyit dan bertih tadi pula ditabur di
hadapan pengantin dan juga kepada para hadirin. Bunga telur akan diberi kepada mereka
yang menepung tawar. Jumlah orang yang menepung tawar lazimnya dalam bilangan
ganjil.
Adat Berinai
Majlis berinai biasanya diadakan secara berperingkat-peringkat.
Berinai curi diadakan tiga malam sebelum hari langsung untuk saudara mara terdekat
sahaja.
Berinai kecil diadakan dua malam sebelum hari langsung untuk saudara mara, jiran
tetangga dan sahabat handai.
Berinai besar diadakan satu malam sebelum hari langsung atau selepas akad nikah
untuk para jemputan khas daripada pihak lelaki dan pihak perempuan.
Selepas adat berinai besar dilakukan, pengantin lelaki tidak akan bermalam di rumah
pengantin perempuan, sebaliknya akan terus pulang ke rumah atau pun sekiranya
rombongan tersebut datang dari jauh, pengantin lelaki akan bermalam di rumah
penanggak, iaitu rumah yang berhampiran dengan rumah pengantin perempuan.
Majlis Perkahwinan
Sebelum majlis perkahwinan dijalankan, berbagai persiapan akan dijalankan termasuklah
mendirikan bangsal penanggah, khemah tetamu, menyiapkan pelamin dan bilik pengantin
serta menyediakan bunga telur.
Majlis perkahwinan juga dikenali sebagai hari langsung atau hari bersanding. Ia merupakan
kemuncak istiadat perkahwinan dan pada hari inilah pengantin digelar raja sehari.

Pada hari tersebut, majlis diadakan secara meriah
dengan dihadiri oleh sanak saudara, jiran
tetangga dan sahabat handai. Kedua-dua
mempelai akan memakai dengan pakaian
pengantin, lazimnya baju songket dan dihias
indah dengan perhiasannya sekali. Pengantin
perempuan akan diandam oleh mak andam
sebelum majlis persandingan bermula. Bagi mak
andam tradisional, solekan pengantin didahului
dengan jampi serapah untuk menaikkan seri
muka pengantin dan diberi makan sireh untuk
membuang perasaan gemuruh. Ada juga
pengantin yang dicukur bulu kening dan dipotong
anak rambutnya supaya kelihatan lebih menarik.
Adat mengasah gigi juga dilakukan bertujuan
untuk meratakan gigi. Namun adat ini sudah tidak lagi diamalkan oleh masyarakat Melayu
hari ini.
Pengantin lelaki akan diarak dengan paluan
kompang dan diiringi dengan bunga manggar dari
rumah penanggak menuju ke rumah pengantin
perempuan. Kedatangan rombongan pengantin
lelaki akan disambut dengan taburan beras kunyit.
Pengantin perempuan akan menyambut
kedatangan pengantin lelaki dan kemudiannya
pasangan pengantin akan dibawa ke halaman
rumah dan duduk di tempat khas yang sediakan.
Pada kebiasaannya, persembahan pencak silat atau
juga dipanggil menyembah pengantin akan
diadakan. Selepas itu, pengantin akan akan dibawa
naik ke rumah untuk adat bersanding pula. Di
sesetengah tempat, pengantin lelaki terpaksa
melalui beberapa halangan di hadapan tangga, di
muka pintu atau di atas pelamin untuk
mendapatkan pengantin perempuan. Oleh itu wakil
pengantin lelaki perlu membayar tebus pintu atau
tebus pelamin. Pengantin akan bersanding di atas pelamin yang dihias indah dan antara
yang terdapat di atas pelamin ialah bunga pahar. Semasa adat bersanding diadakan, adat
menepung tawar turut dilakukan. Para tetamu dan jemputan yang hadir juga akan diberi
bunga telur pada hari tersebut.


Bunga telur yang telah siap digubah


Pengantin Diarak Dengan
Bunga Manggar



Pelamin yang telah siap dihias

Seterusnya, majlis makan berdamai atau dipanggil juga
makan beradab dijalankan. Majlis ini hanya dihadiri oleh
keluarga terdekat kedua-dua pihak. Selepas majlis
selesai, kedua-dua pengantin akan bersalaman dengan
kedua ibu bapa dan sanak saudara serta hadirin yang
datang.
Di sesetengah tempat, dua atau tiga hari selepas majlis
perkahwinan, pasangan pengantin tersebut akan
menjalani upacara mandi sampat atau mandi berlimau.
Upacara ini dilakukan sebagai simbol kedua pengantin
telah selamat bersatu sebagai pasangan suami isteri yang
sah. Dalam upacara ini, kedua pengantin baru akan
dimandikan dengan air mayang pinang, air kelapa atau air limau. Adat ini hanya dilakukan
di kalangan ahli keluarga terdekat sahaja.
Seminggu selepas itu, adat menyambut menantu atau mengundang menantu akan
diadakan. Di sesetengah tempat ia dipanggil majlis bertandang. Majlis perkahwinan akan
diadakan pula di rumah pengantin lelaki tetapi sambutannya tidaklah semeriah majlis di
rumah pengantin perempuan. Ada juga yang menjalankan majlis bertandang ini dengan
hanya mengadakan doa selamat yang dihadiri oleh saudara mara dan jiran sekampung
tanpa mengadakan majlis persandingan.
Setelah beberapa hari di rumah pengantin lelaki, pasangan suami-isteri tersebut akan
dibawa melawat ke rumah kaum keluarga dan sanak saudara. Tujuannya adalah untuk
merapatkan hubungan silaturrahim di samping kedua pengantin dapat berkenal-kenalan
dengan keluarga kedua belah pihak.

Pengenalan
Mengikut ajaran Islam, mayat perlu dimuliakan dan dihormati daripada jasad yang hidup.
Dalam masyarakat Melayu yang rata-ratanya beragama Islam, kewajiban menguruskan
mayat saudara sesama Islam adalah fardu kifayah.
Semasa Kematian
Apabila berlaku kematian, perkara pertama yang perlu dilakukan oleh keluarga si mati ialah
memberitahu kepada tok imam agar kematian itu dapat dimaklumkan kepada saudara mara
dan jiran tetangga di sekitar kawasan itu. Di kampung-kampung misalnya, pengumuman
akan dibuat di masjid oleh tok imam.
Mayat tersebut akan diletakkan di ruang tengah rumah dan dibaringkan serta ditutup dari
kepala hingga ke kaki dengan sehelai kain. Kepalanya dihadapkan ke arah kiblat dan kedua-
dua tangannya pula dikiamkan iaitu tangan kanan ditindihkan atas tangan kiri ke dada.
Orang yang menziarah si mati akan menyedekahkan ayat-ayat suci Al-Quran. Pada
kebiasaannya di hadapan mayat itu, diletakkan sebuah tempat bara dan kemenyan akan
dibakar.


Pengantin Duduk Bersama Sebelum
Makan

Semasa mayat masih berada di dalam rumah, sebarang jamuan tidak akan diadakan. Mayat
tersebut juga perlu dikebumikan secepat yang mungkin. Sebelum dikebumikan, mayat
dimandikan oleh tukang mandi mayat dengan tertib dan cermat. Mayat perempuan akan
dimandikan oleh tukang mandi mayat perempuan dan begitulah sebaliknya. Namun begitu
mereka yang paling baik memandikan mayat ialah di kalangan ahli keluarga si mati sendiri.
Jenazah seterusnya dikapankan, iaitu dengan cara membalut badan mayat dengan kain
putih. Bagi jenazah lelaki, mereka perlu dibalut dalam tiga lapisan manakala jenazah wanita
pula sebanyak lima lapis beserta telekung. Jenazah juga akan dipakaikan celak dan dibubuh
kapur barus. Sebagai penghormatan terakhir, ahli keluarga terdekat dan muhrim
dibenarkan mengucup mayat tetapi disyaratkan air mata tidak menitis pada tubuh jenazah.
Mayat seterusnya disembahyangkan samada di rumah atau di masjid.
Sebelum jenazah dimasukkan ke dalam keranda,seorang wakil atau waris si mati akan
memberi ucapan ringkas dan memohon ampun dan maaf bagi pihak si mati jika selama
hayatnya beliau pernah berbuat dosa terhadap seseorang. Wakil tersebut juga akan
meminta supaya mana-mana hutang si mati yang masih belum dijelaskan agar dapat
dihalalkan ataupun si penuntut boleh menuntutnya pada waris si mati. Sebelum keranda
diusung, ahli keluarga terdekat akan lalu sebanyak tiga atau tujuh kali dibawah keranda
tersebut supaya mereka tidak terasa rindu pada si mati. Walau bagaimanapun adat lalu di
bawah keranda ini tidak lagi dilakukan oleh masyarakat Melayu pada hari ini.
Semasa Pengebumian
Selepas itu jenazah akan dimasukkan ke dalam
keranda dan diusung ke tanah perkuburan.
Kaum lelaki digalakkan menghantar jenazah hingga
ke kubur, sebaliknya kaum wanita kurang digalakkan
kerana dikhuatiri akan meratapi kematian tersebut.
Tangisan dan ratapan yang berlebihan terutamanya di
tanah perkuburan tidak digalakkan dalam Islam.
Sebelum ditimbus, siak atau sesiapa yang hadir akan
turun ke dalam kubur dan membuka papan tutup
keranda itu dan mengerengkan mayat serta
membukakan ikatan di kepala.
Kepala mayat akan disendal dengan tanah yang telah
dikepal-kepal dan selepas diazankan di telinganya,
barulah keranda ditutup dan tanah ditimbus. Dua
batang batu nesan tertulis nama, tarikh lahir dan juga
tarikh kematian akan dicacak di atas kubur sebagai
tanda. Seterusnya upacara membaca talkin akan
dijalankan oleh tok imam. Selepas talkin dan doa
selesai dibaca, air akan disiram di atas kubur si mati
dari bahagian kepala sampai ke bahagian kaki sehingga
habis. Kemudian bunga rampai pula ditabur .


Mengusung Keranda Ke Tanah Perkuburan

Batu nesan



Keranda dan Mayat
Dalam Liang Lahat




Selepas Kematian
Kenduri arwah dan doa selamat akan diadakan oleh keluarga si mati selepas jenazah
selamat dikebumikan. Ia diadakan pada hari pertama, ketiga, ketujuh, keempat puluh
empat atau keseratus hari. Tujuannya adalah untuk mendoakan kesejahteraan si mati yang
berada di alam barzakh. Ada juga masyarakat Melayu yang melakukan adat turun batu iaitu
menimbus kubur si mati dengan batu-batu kecil dan membina pagar kecil di sekeliling
pusara tersebut selepas seratus hari seseorang itu meninggal dunia.

Anda mungkin juga menyukai