Anda di halaman 1dari 14

MISTERI PULAU BESAR MELAKA

Tak kenal maka tak cinta. Itulah rumusan awal yang ingin saya ungkapkan setelah berkunjung ke Pulau
Besar Melaka. Segala tohmahan dan kisah-kisah negatif yang seringkali saya dengar tentang pulau ini
lenyap begitu sahaja setelah mata ini menyaksikan sendiri keindahan pantainya, khazanah flora dan
faunanya serta kesan tinggalan sejarah yang masih terdapat di pulau ini.
Tidak seperti pulau-pulau peranginan lain yang pernah saya kunjungi, Pulau Besar mempunyai
keunikannya yang tersendiri. Minda dan tubuh badan yang lesu terasa segar bila diselimuti bayu laut
yang mendinginkan. Jalinan muzik ombak yang menghempas pantai nyata lebih mengasyikkan dari lagulagu popular yang berkumandang di corong-corong radio.
Sukar untuk saya gambarkan dengan perkataan tentang ketenangan dan kedamaian yang dapat saya
rasakan ketika berada di pulau ini. Mungkin juga apa dapat yang rasakan di pulau ini adalah nikmat dan
keberkatan yang telah Allah SWT kurniakan ke atas sebuah pulau yang telah banyak berjasa kepada
syiar Islam di rantau Nusantara.
Tidak lengkap rasanya jika kunjungan kita ke pulau ini tidak menyelongkar misteri yang terdapat di pulau
ini. Meskipun terdapat pelbagai versi dan cerita yang dikaitkan dengan sesuatu kejadian misteri di pulau
ini, namun sebagai umat Islam yang beriman pada kekuasaanNya, kita harus sentiasa berhati-hati agar
akidah kita sentiasa terpelihara daripada sesuatu perkara yang boleh menyesatkan.
Hotel Terbiar Begitu Sahaja
Nama Pulau Besar Melaka seringkali dikaitkan dengan pelbagai lagenda dan juga kisah misteri sehingga
para pelancong tidak berani atau berminat untuk ke sana. Akibatnya, beberapa buah hotel yang telah
dibangunkan untuk menarik kedatangan pelancong kini tinggal sepi dan terbiar begitu sahaja.
Mengikut cerita beberapa penduduk tempatan yang saya temui, pada waktu dahulu, hotel-hotel di pulau
ini hanya mendapat hasil pada cuti hujung minggu atau cuti perayaan besar sahaja. Pada hari-hari lain,
ianya tidak menerima kedatangan pengunjung dan keadaan ini telah memaksa para pengusaha hotel
memberhentikan sahaja operasi perniagaan mereka di sini.
Ada juga penduduk tempatan di pulau ini yang mengaitkan nasib yang dialami oleh para pengusaha hotel
itu sebagai hukuman ke atas mereka kerana menjadikan pulau ini sebagai pusat peranginan yang
selalunya dikaitkan dengan pelbagai aktiviti yang tidak bermoral seperti berzina, minum arak, berjudi dan
sebagainya.
Mereka berpendapat, pulau ini telah memainkan peranan yang besar sebagai pusat para pendakwah
silam menyebarkan Islam ke Gugusan Kepulauan Melayu dan atas sebab itu, pulau ini mungkin
dipelihara oleh Allah SWT daripada segala aktiviti yang bertentangan dengan kehendakNya.
Sejauhmanakah kebenaran dakwaan itu, hanya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui.
Kini, separuh kawasan tanah di Pulau Besar Melaka dimiliki oleh anak syarikat Kerajaan Negeri dan
separuh kawasan pulau ini lagi dikuasai oleh anak syarikat Tan Sri Wan Azmi. Hanya Villa (Banglo) yang
dipunyai oleh Tan Sri Wan Azmi sahaja yang masih boleh disewa oleh para pelancong ketika saya berada
di sini. Manakala hotel yang terletak atas tanah yang dikuasai oleh Kerajaan Negeri sudah tidak
beroperasi lagi.
Menurut cerita penduduk tempatan lagi, pengusaha hotel di pulau ini silih berganti. Bagaimanapun,
perniagaan Tan Sri Wan Azmi dilihat mampu bertahan sehingga kini kerana polisi beliau yang tidak
membenarkan hotelnya menjual arak dan tidak membenarkan pasangan yang belum bernikah daripada
menyewa bilik di hotelnya. Mungkin itu salah satu sebab yang memungkinkan perniagaan beliau boleh


terus bertahan di pulau lagenda ini.
Bagaimanapun, larangan itu sukar dikuatkuasakan kepada semua pelancong ataupun kakitangannya. Ini
kerana, terdapat segelintir pelancong dan kakitangannya yang membawa sendiri arak dari tanah besar
ataupun melakukan perbuatan lain yang bertentangan dengan syarak. Keadaan ini telah menyebabkan
15 kakitangannya (termasuk beberapa orang pelancong) mati lemas pada tahun 1998 dalam tragedi bot
karam.
Biarpun tragedi malang itu diklasifikasikan sebagai kecuaian manusia oleh jawatankuasa penyiasat yang
ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri [sumber], namun mereka yang terselamat dalam kejadian itu tetap
percaya yang kejadian itu ada kaitan dengan kecuaian pekerjanya yang semakin menjadi-jadi
melakukan aktiviti maksiat di resort itu. Ekoran kejadian itu, bilangan pelancong ke Pulau Besar merosot
dengan mendadak. Hotel Pandanusa Island Resort & Golf Club yang dimiliki oleh Tan Sri Wan Azmi pada
waktu itu terpaksa ditutup dan dijual. Pekerjanya diberhentikan dan Pulau Besar kembali sunyi.
Kononnya, Allahyarham Tun Ghafar Baba pernah cuba menternak 2 ribu ekor lembu di Pulau Besar
sebagai salah satu projek perintis bagi membangunkan pulau ini. Namun kesemua lembu itu mati tanpa
sebab. Kematian lembu-lembu itu telah menimbulkan pelbagai spekulasi dan ianya turut dikaitkan
dengan kesucian Pulau Besar. Kononnya, kawasan ternakan itu adalah kawasan penempatan makhluk
ghaib dan najis lembu-lembu itu telah mengotorkan tempat mereka.
Kewujudan penempatan makhluk ghaib yang selalunya dikenali sebagai orang bunian di Pulau Besar
telah pun diperakui penduduk tempatan sejak dahulu lagi. Tan Sri Wan Azmi telah cuba membangunkan
Marina Beach Resort, berhampiran dengan kawasan perternakan lembu yang mati itu. Sebelum
pembinaan marina ingin dimulakan, beberapa orang alim telah dipanggil untuk meminta penduduk bunian
itu berpindah. Namun, tidak semuanya mahu berpindah dan akhirnya, projek marina itu terbengkalai
begitu sahaja sehingga kini biarpun telah 90% siap. Pelbagai kejadian aneh telah menimpa para pekerja
kontraktor ketika projek itu sedang dijalankan.
Pusat Dakwah Di Gugusan Kepulauan Melayu
Menurut cerita orang-orang terdahulu, Pulau Besar telah mula didiami oleh orang selat atau orang laut
pada sekitar tahun 1400 masihi lagi, iaitu sebelum Kerajaan Kesultanan Melayu Malaka ditubuhkan.
Sejak ianya diterokai, Pulau Besar sudah pun berperanan sebagai pusat bekalan air bersih kepada para
nelayan dan juga pedagang yang melalui Selat Melaka.


Dakwaan ini diperkukuhkan lagi dengan kewujudan banyak perigi lama yang dianggarkan berusia lebih
ratusan tahun di sekeliling pantai Pulau Besar dan kedudukan perigi-perigi itu pula hanya beberapa meter
dari kawasan pantai. Pulau Besar dikatakan mempunyai ratusan buah perigi, namun kebanyakkannya
sudah tertimbus dan tidak boleh digunakan lagi.
Oleh kerana kedudukan pulau ini hanya terletak beberapa kilometer dari Pelabuhan Melaka, maka
terdapat pedagang, pengembara dan pendakwah yang telah berminat untuk mendiami pulau ini.
Antaranya adalah Syeikh Ismail yang digelar Sultan Ariffin dan telah didakwa penduduk tempatan dari
keturunan Rasulullah SAW dari sanad Hussein bin Ali (Cucu Rasulullah SAW). Beliau bersama
pengikutnya telah menetap di Pulau Besar dan membina sebuah penempatan kecil untuk menyebarkan
ajaran Islam.
Selain Syeikh Ismail, pulau ini juga didiami Syeikh Yusuf As-Sidiq yang merupakan seorang Guru Sufi
yang tinggi ilmunya serta menghafal beribu-ribu hadith Nabi Muhammad SAW. Tidak dapat dipastikan
tahun kelahiran beliau namun beliau antara ulama yang turut serta di dalam rombongan Syeikh Ismail.
Beliau merupakan guru kepada Syeikh Ismail.
Sebelum Islam datang ke Melaka, penduduk Melaka dipercayai berfahaman Hindu-Budha atau penganut
anunisme kerana Sultan Melaka yang pertama iaitu Parameswara dipercayai penganut Hindu. Mengikut
teks Sejarah Melayu yang dikarang Tun Sri Lanang, Sultan Melaka mendapat mimpi mengenai
kedatangan pedagang Islam yang akan berlabuh di Pelabuhan Melaka. Sebaik sahaja mereka tiba,
mereka akan melakukan sesuatu (solat) di tepi pantai. Baginda Sultan telah menitahkan Bendahara dan
pasukannya menunggu di tepi pantai untuk memastikan samada mimpi yang dialami oleh Baginda itu
benar atau tidak. Dengan kuasa Allah SWT, apa yang Baginda mimpikan itu benar-benar terjadi sehingga
membawa kepada pengislaman Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka dan seluruh tanah jajahannya.
Biarpun terdapat pelbagai versi mengenai teori kedatangan Islam ke bumi Melayu, namun perkara seperti
itu sememangnya tidak dapat dielakkan kerana penulis dan pengkaji sejarah pada masa silam biasanya
akan menulis sesuatu sejarah itu berlandaskan kepada pemahaman (akal) mereka yang sangat terbatas.
Bagaimanapun, kebanyakan pengkaji sejarah kedatangan Islam ke bumi Melayu bersetuju yang
penyebaran Islam di bumi Melayu adalah melalui tasawuf; yakni melalui keluhuran dan kesucian budi
pekerti para pendakwah silam, yang jelas begitu sejiwa dengan tradisi dan juga resam orang Melayu.
Tidak seperti kedatangan ajaran Kristian ke rantau ini yang melalui proses peperangan dan kekerasan;
yang mana ianya dilihat begitu bertentangan dengan sifat Melayu yang bersopan-santun dan berbudipekerti. Oleh sebab itu, biarpun Alam Melayu dijajah ratusan tahun oleh pendakwah Kristian, namun
ianya tidak mampu menukar kepercayaan Alam Melayu untuk menganut ajaran Kristian.
Oleh kerana Pulau Besar sudah terkenal sebagai pusat bekalan air bersih di kalangan pedagang dan
pengembara, maka ia telah muncul sebagai tempat yang paling strategik untuk para pendakwah Islam
memperkenal dan mengembangkan ajaran Islam. Peranan Pulau Besar sebagai pusat bekalan air bersih
turut diakui oleh Ma Huan, seorang pembantu Laksamana Cheng Ho dalam bukunya YING YAI SHENG
LAN (1451), yang telah menyebutkan Pulau Besar digelar Pulau Air @ Wu Shu oleh para pedagang
China.
Setelah Kesultanan Melayu Melaka terbentuk dan mencapai era kegemilangannya, Pulau Besar terus
menjadi tumpuan kapal-kapal pedagang untuk mendapatkan bekalan air dan kayu api sebelum
meneruskan pelayaran mereka ke destinasi seterusnya. Lama-kelamaan, Pulau Besar bukan sahaja
dikenali sebagai pusat bekalan air bersih, malah ianya turut dikenali sebagai tempat untuk mempelajari
dan mendalami ilmu agama setelah pulau ini didiami ramai pendakwah Islam.
Tempat Tinggal Pendekar dan Hulubalang Silam

Menurut cerita orang-orang terdahulu, pulau ini telah dibuka dan


diterokai oleh orang laut yang sememangnya suka tinggal di kawasan pantai dan tepi laut. Mereka ini
menjalankan aktiviti menangkap ikan sebagai sumber makanan dan juga pendapatan mereka. Ada juga
di kalangan mereka yang menjalankan kegiatan negatif seperti menjadi lanun yang merompak hasil
nelayan dan juga kapal-kapal pedagang yang lalu-lalang di Selat Melaka.
Orang laut juga dikatakan mempunyai perwatakan yang ganas serta memiliki kepandaian dalam ilmu
persilatan dan pembinaan kapal. Kehandalan mereka bersilat dan berenang begitu menggerunkan para
nelayan yang mencari rezeki di laut dan juga kepada pedagang yang melalui Selat Melaka. Kisah
keganasan yang dilakukan oleh orang laut ada diceritakan dalam teks Hikayat Hang Tuah dan juga
Sejarah Melayu.
Oleh kerana Pulau Besar telah menjadi penempatan orang laut pada waktu dahulu, maka ramai yang
telah datang ke pulau ini untuk mempelajari ilmu persilatan daripada guru-guru silat yang mendiami pulau
tersebut. Terdapat beberapa nama pendekar besar yang dikatakan mendiami pulau ini seperti Panglima
Lidah Hitam, Pendekar 7 Beradik, Tok Janggut dan Tok Putih. Diceritakan juga, ada di kalangan
pendekar-pendekar yang tinggal di Pulau Besar ini yang mengamalkan ilmu hitam sebelum para
pendakwah Islam tiba ke pulau ini.
Dari atas bukit Pulau Besar, kita akan dapat melihat kawasan Bandar Melaka dengan jelas. Maka tidak
pelik jika dikatakan sejak dahulu lagi Pulau Besar telah dijadikan salah satu tempat untuk para pembesar
dan pengawal Kesultanan Melayu Melaka mengawasi perairan Selat Melaka. Pada waktu itu, jika
seseorang itu ingin menjadi pengawal atau hulubalang Istana, sudah tentu seseorang itu harus memiliki
ilmu berlawan atau mempertahankan diri yang hebat.
Dipendekkan cerita, selain dijadikan pusat tinjauan perairan Selat Melaka untuk kerajaan silam Melaka,
ianya turut dijadikan tempat untuk merekrut dan melatih hulubalang yang baru. Mungkin juga Laksamana
Hang Tuah yang bertugas menjaga armada laut Sultan Melaka selalu datang ke pulau ini untuk mengatur
sendiri kedudukan pertahanan negeri Melaka. Sehingga kini pun, Pulau Besar turut dijadikan tempat
penamat latihan untuk beberapa pertubuhan silat di negara ini.
Di atas puncak bukit Pulau Besar, terdapat seketul batu besar yang terbelah dan dikenali sebagai batu
belah oleh penduduk tempatan. Bahkan, di beberapa tempat lain juga terdapat beberapa batu yang
seolah-olah di belah oleh sesuatu alat yang sangat bertenaga. Penduduk tempatan percaya, batu-batu
yang terbelah itu adalah peninggalan pendekar-pendekar lama yang menguji ilmu mereka.
Sejauhmanakah kebenaran dakwaan ini, wallahu alam.
Pulau Hajat?
Pulau Besar dipercayai telah melahirkan ramai pendakwah Islam yang beraliran Sufi. Setelah
mempelajari dan mendalami ilmu agama di Pulau Besar, mereka ini akan keluar berdakwah. Ada yang ke
Gugusan Pulau Jawa, Semenanjung Tanah Melayu atau ke tempat lain. Sekali-sekala, mereka kembali
ke Pulau Besar dengan membawa sekali para pengikut mereka untuk lebih mendalami ilmu-ilmu agama
daripada guru-guru agama yang tinggal di Pulau Besar.

Begitu juga dengan pelajar-pelajar ilmu persilatan. Sekali-sekala, mereka akan kembali ke Pulau Besar
untuk berjumpa guru mereka bagi mendalami ilmu persilatan mereka. Lama-kelamaan, semakin ramai
yang telah datang ke Pulau Besar untuk memenuhi hajat mereka; samada mahu mempelajari ilmu agama
ataupun ilmu persilatan. Keadaan ini telah membuatkan nama Pulau Besar semakin terkenal dan ada
yang memanggilnya pulau hajat.
Mereka memanggilnya pulau hajat kerana kebetulan, ada hajat-hajat mereka itu yang telah termakbul
setelah mereka berdoa di pulau ini. Keadaan ini telah menyebabkan semakin ramai yang ingin mencuba
nasib mereka di sini sehingga membawa kepada perlakuan syirik dan khurafat seperti meminta dengan
kubur, batu dan orang yang telah mati.

[Sebagai umat Islam, kita diminta menjauhi semua perbuatan syirik kerana perbuatan itu adalah
satu dosa besar yang tidak akan dapat mendapat pengampunan daripada Allah SWT sehingga
seseorang itu bertaubat dan menyesali perbuatan syirik yang telah dilakukannya itu.]

Menurut cerita beberapa penduduk tempatan yang saya temui, amalan syirik dan khurafat yang dilakukan
di pulau ini sudah bermula sejak dahulu lagi. Suatu masa dahulu, pulau ini pernah dijadikan salah satu
tempat mandi safar yang diisi dengan aktiviti tarian dan nyanyian yang ternyata bercanggah dengan
syarak. Hasil dakwah dan kesedaran masyarakat tentang kesalahan amalan itu, tradisi mandi safar itu
lenyap begitu sahaja.
Aktiviti syirik dan khurafat di pulau ini dipercayai bermula setelah Melaka ditawan penjajah asing dan juga
kematian alim ulamak yang tinggal di pulau ini. Akhirnya, tidak ada sesiapa lagi yang tinggal di pulau ini
dan ia menjadi seperti tempat yang tidak bertuan. Selepas itu pula, mereka yang datang ke pulau ini telah
membuat sesuka hati mereka; termasuk melakukan amalan syirik dan khurafat di atas tempat-tempat
sejarah yang terdapat di pulau ini.
Oleh kerana amalan syirik dan khurafat semakin menjadi-jadi di pulau ini, maka kerajaan negeri yang
diketuai oleh Tan Sri Rahim Thamby Chik pada waktu itu telah mengambil tindakan drastik dengan
meroboh dan menghapuskan semua bangunan dan tempat-tempat yang seringkali dijadikan tempat
melakukan upacara syirik dan khurafat. Pada waktu itu, sebuah resort yang bernama Tapa Nyai telah
dibangunkan oleh beliau untuk memodenkan Pulau Besar.
Tindakan beliau telah mendapat tentangan sebahagian daripada penduduk tempatan dan pernah
disiarkan oleh akhbar tempatan. Mereka yang menentang tindakan itu berpendapat, tindakan itu
bukanlah kaedah yang terbaik untuk menghapuskan semua amalan syirik dan khurafat yang terdapat di
Pulau Besar. Yang bersalah bukannya makam itu tapi mereka yang jahil tentang agama. Jika mereka
dah tahu itu (perbuatan syirik dan khurafat) tak boleh, mereka takkan buat lagi. kata salah seorang
musafir yang saya temui.
Sheikh Hussein Al-Attas pernah menulis dalam buku beliau yang bertajuk Memo kepada Perdana Menteri
[1992]:
Yang jadi salah ialah bila yang datang itu memikirkan kubur itu yang makan makanan, kubur keramat itu
yang menyempurnakan permintaan dan hajat mereka. Orang yang jahil ini mesti diberi pandangan
tentang apa itu keramat, bukan ditangkap dan dihukum. Apakah ini zamannya di mana segala
'kebenaran' ditolak sedangkan 'kezaliman' dan 'kejahatan' mendapat sambutan?
Kononnya, ada dakwaan yang menyatakan pekerja yang membawa traktor untuk merobohkan kompleks
makam itu telah gila dan mati tidak lama kemudian. Dan tidak lama selepas itu, negeri Melaka mengalami
kemarau panjang sehingga mengakibatkan krisis air terburuk dalam sejarahnya. Kejadian itu telah
dikaitkan dengan tindakan Rahim yang telah merobohkan kawasan tinggalan sejarah yang terdapat di


Pulau Besar.
Kata Sheikh Hussein Al-Attas lagi:
Rahim adalah kawan lama saya, bila lama tak jumpa maka tentu ada banyak cerita, terutama mengenai
`kemarau', yang menjadikan bumi Melaka kering kontang. Banyak yang meletakkan sepenuh kesalahan
di bahu Rahim kononnya disebabkan Rahim merobohkan `Keramat Pulau Besar, bala telah menimpa
negeri Melaka.
Kebetulan pula, Pulau Besar sudah dikenali sebagai pusat bekalan air bersih sejak dahulu kala.
"Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dan (yang membawa bala dan bencana) yang bukan
sahaja akan menimpa orang zalim antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara
umum) dan ketahuilah betapa maha berat seksa-Nya." [Surah Al-Anfal : 25]
Bagaimanapun, hanya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui tentang kebenaran dakwaan ini.
Usaha Menghapuskan Amalan Khurafat dan Syirik
Menurut kata beberapa penduduk tempatan yang saya temui, aktiviti yang boleh dikategorikan sebagai
syirik atau khurafat sudah agak berkurangan di pulau ini kerana tahap kesedaran orang awam semakin
baik serta aktiviti penguatkuasaan telah kerap dilakukan oleh pihak Majlis Agama Islam Melaka.
Pada waktu ini, majoriti pengunjung ke Pulau Besar adalah berketurunan Muslim Pakistan, India (Muslim
dan Hindu) serta Melayu. Upacara memuja kubur, batu, pantai atau mandi bunga biasanya dilakukan oleh
golongan yang dilihat masih jahil dengan ajaran Islam yang sebenar. Kadangkala, terdapat juga kaum
Cina yang bukan beragama Islam yang datang untuk melakukan aktiviti pemujaan di pulau ini mengikut
kepercayaan mereka.
Untuk menghapuskan amalan syirik dan khurafat daripada terus berleluasa, Kerajaan Negeri Melaka
melalui Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) telah membina sebuah surau dan melantik 2 orang imam
untuk bergilir-gilir menguruskan surau tersebut. Para pengunjung juga dinasihatkan untuk bertanya
kepada imam-imam tersebut sekiranya mereka mempunyai sebarang kemusykilan tentang amalan yang
ingin mereka lakukan di pulau ini.

Selain itu juga, pegawai MAIM dan


pihak polis kerap datang ke pulau ini untuk memantau segala aktiviti yang dijalankan oleh pengunjung di
pulau ini. Mereka yang beragama Islam boleh dikenakan tindakan saman jika didapati melakukan
sebarang aktiviti yang bertentangan dengan syarak. Manakala mereka yang bukan beragama Islam akan
dinasihatkan supaya tidak mencemarkan kubur-kubur orang Islam dengan barangan pemujaan.
Malah ada juga penduduk tempatan yang prihatin dengan masalah ini telah mengambil inisiatif sendiri
dengan membersihkan kawasan tinggalan sejarah yang terdapat di pulau ini daripada semua barangan
pemujaan seperti soja, setanggi, kain-kain kuning dan darah haiwan sembelihan.
Tempat-tempat lain yang menarik di Pulau Besar
1) Tasik Biawak (Komodo)
Anda tidak perlu ke Indonesia untuk melihat biawak besar (Komodo) kerana spesis itu boleh dijumpai di
Pulau Besar. Ketika berjalan di tepi pantai (bahagian Marina Resort), saya terserempak dengan bekas
tapak kaki spesis itu. Pada mulanya saya agak berani untuk menjejaki tapak kaki tersebut, tetapi setelah
memikirkan betapa besarnya spesis itu, saya terus melupakan sahaja niat itu.
Terdapat sebuah tasik di bahagian belakang Makam Sultan Ariffin yang digelar tasik biawak. Malangnya,
ketika tiba di tasik itu, spesis itu tidak pula kelihatan. Menurut kata penduduk tempatan, dahulu memang
mudah untuk melihat spesis itu kerana kedudukan tasik itu hanya bersebelahan dengan tempat
pembungan sampah. Setelah banyak resort tidak beroperasi, tiada lagi sampah yang dibuang ke
kawasan itu dan keadaan ini membuatkan biawak tersebut terpaksa mencari makanan di tempat lain.
2) Gua Yunus
Menurut cerita penduduk tempatan, gua ini dahulunya menjadi tempat tinggal Syeikh Yunus. Beliau
digambarkan sebagai seorang sufi yang suka menyendiri dan hidup terpencil. Seminggu sekali, beliau
akan datang ke kawasan penempatan penduduk di pulau ini untuk mendapatkan bekalan makanan.
Bagaimanapun pada satu ketika, beliau dilaporkan tidak lagi kelihatan di pulau ini.
Keadaan ini menimbulkan tanda-tanya di kalangan rakan-rakannya yang lain dan juga penduduk
tempatan. Mereka akhirnya pergi ke gua tersebut untuk melihat keadaan Syeikh Yunus dan mendapati
beliau sudah tidak ada di situ. Peliknya, seketul batu yang menjadi tempat duduknya telah bertukar warna
menjadi putih. Padahal, batu-batu dalam gua itu dahulunya berwarna hitam. Ada pelbagai spekulasi yang
dibuat oleh penduduk tempatan mengenai kehilangannya. Namun begitu, hanya Allah SWT sahaja yang


Maha Mengetahui tentang segalanya.
Selepas ketiadaannya, gua itu sering dijadikan tempat pertapaan oleh mereka-mereka yang mahu
mempelajari ilmu tertentu. Tidak dapat dipastikan samada ilmu-ilmu yang dipelajari itu adalah ilmu yang
berlandaskan kepada syariat Islam ataupun ilmu-ilmu yang bertentangan dengan syariat Islam. Pada
saya, misteri dan keunikan gua itu terletak pada seketul batu yang berwarna putih dalam gua itu.
3) Perigi Tempayan Pecah
Ada pelbagai versi cerita yang dikaitkan dengan perigi ini. Salah satunya mengisahkan seorang nenek
tua yang menjadikan tempayan sebagai tempat simpanan harta yang diperolehi nenek itu melalui
kerjayanya sebagai bidan dan peniaga ubatan herba di pulau itu.
Pada suatu hari, tempayan itu ingin dicuri dan ketika tempayan itu ingin dilarikan, tiba-tiba tempayan itu
pecah. Serta-merta harta yang tersimpan dalam tempayan itu bertukar menjadi air dan bekas tempayan
itu tertanam sehingga menjadi seperti sebuah perigi.
Sehingga kini, ramai yang cuba menyeluk tangan mereka ke dalam perigi itu. Keadaannya memang
seperti menyeluk sebuah tempayan. Dahulunya, perigi ini terletak benar-benar di kaki air laut dan rasa
airnya seperti air tawar yang telah lama bertakung, tetapi tidak berbau sehingga boleh diminum. Setelah
kawasan ini dijadikan padang golf, sebuah binaan batu telah didirikan mengelilingi perigi tempayan ini
sehingga menghilangkan rupabentuk asalnya.
Kononnya, ada pengunjung yang berjaya mendapat harta peninggalan nenek itu seperti barang kemas,
syiling lama dan sebagainya ketika menyelukkan tangan ke dalam perigi itu. Bagaimanapun, hanya
mereka yang bernasib baik sahaja yang akan memperolehinya. Sejauhmanakah kebenarannya,
wallahualam kerana saya sendiri tidak mencubanya.
4) Perigi Bunian
Perigi ini terletak di bahagian kanan kawasan Marina Beach Resort dan kedudukannya memang hampir
dengan pantai. Terdapat pokok bakau dan juga pokok mengkuang di sekelilingnya. Dalam banyakbanyak perigi yang saya temui di pulau ini, saya dapati air di perigi ini yang paling jernih dan bersih.
Ketika saya sampai ke perigi ini, terdapat beberapa pengunjung lain yang sedang melakukan upacara
yang saya tidak ketahui di perigi tersebut.
Menurut cerita orang tempatan, perigi ini digelar perigi bunian kerana nelayan yang sering berlindung di
kawasan ini ketika cuaca buruk selalu terdengar suara sekumpulan wanita sedang bersuka-ria di perigi
itu. Oleh kerana kedudukan perigi itu terletak dalam kawasan perkampungan orang bunian, maka ia
didakwa sebagai perigi yang dikuasai orang bunian. Tidak jauh dari kawasan perigi ini pula terdapat
sebuah tasik yang dipanggil tasik bunian.
Sejak akhir-akhir ini, perigi bunian begitu popular di kalangan pengunjung Pulau Besar. Kebanyakan yang
datang ke perigi ini dikatakan membawa hajat tertentu. Saya perhatikan, terdapat banyak bungkusan
mentera yang dibalut dengan kain kuning yang telah digantung pada rimbunan pokok-pokok yang
terdapat di sekeliling kawasan perigi ini. Perbuatan ini dipercayai dilakukan oleh mereka yang beragama
Hindu.
5) Makam Bersaiz Panjang
Semua makam-makam utama yang terdapat di Pulau Besar dilihat bersaiz panjang dan melebihi ukuran
tinggi manusia. Keadaan ini boleh disaksikan pada Makam Sultan Ariffin, 7 Beradik, Sharifah Rodziah,
Tok Putih dan lain-lain lagi.
Ada pelbagai cerita yang telah dikaitkan dengan saiz makam tersebut. Bagaimanapun, saiz tersebut tidak
menjadi sesuatu yang pelik. Ini kerana, orang zaman dahulu memang suka memanjangkan saiz kubur


seseorang yang mempunyai nama dalam masyarakat untuk menghargai jasanya dan juga untuk
memudahkan generasi akan datang mengenali kubur si mati itu.
Keadaan ini juga boleh dilihat pada saiz Makam Tun Teja yang terdapat di Kampung Sempang Pantai,
Melaka.
Pantang-larang di Pulau Besar
Bagi mereka yang tidak pernah ke Pulau Besar, terdapat beberapa pantang-larang yang seeloknya
dipatuhi untuk mengelakkan anda daripada mengalami sesuatu perkara yang tidak diingini. Antara
pantang-larang itu adalah :
1) Jangan bawa atau minum arak ke pulau ini.
2) Jangan bawa atau makan daging babi atau anjing ke pulau ini.
3) Jangan lakukan aktiviti maksiat di pulau ini.
4) Jangan berniat jahat, cakap besar, berlagak atau bodoh sombong.
Menurut kepercayaan orang tempatan, mereka yang melanggar pantang-larang ini selalunya akan
mengalami nasib buruk seperti mati lemas, gila dan sebagainya. Di pulau ini, terdapat sebuah pokok
besar yang dipanggil Pokok Disula. Menurut cerita orang terdahulu, pokok ini telah menyula sepasang
kekasih yang sedang berzina di kawasan pokok itu. Sehingga kini, kesan itu masih dapat dilihat pada
pokok tersebut.
Pada saya, semua pantang-larang yang dikenakan itu adalah selaras dengan kehendak Islam. Umat
Islam sememangnya diminta melaksanakan pantang-larang itu di sepanjang hayat mereka, biar di mana
pun mereka berada. Cuma mungkin di Pulau Besar, balasan Allah SWT dilihat segera dijatuhkan kerana
kesucian pulau itu sebagai tempat tinggal dan persemadian para Wali Allah SWT. Wallahualam.
Panduan ke Pulau Besar
Untuk ke Pulau Besar, anda boleh menaiki feri dari Jeti Anjung Batu atau menyewa bot laju di Muara
Sungai Umbai, Melaka :
1) Tambang feri untuk perjalanan pergi dan balik hanya RM 14 seorang. Masa perjalanan dari Jeti Anjung
Batu ke Pulau Besar sekitar 20 minit sahaja. Feri hanya akan berlepas pada jam 8 pagi, 10 pagi, 12
tengahari, 2 petang, 4 petang dan 6 petang sahaja.
2) Anda boleh juga menyewa bot laju di Muara Sungai Umbai, Melaka. Kadar sewaan yang dikenakan
untuk sebuah bot laju adalah RM 120 (pergi dan balik). Bot ini boleh memuatkan sehingga 10 orang
penumpang. Masa perjalanan bot ini bergantung pada permintaan anda. Bayaran tambahan sehingga
sekali ganda akan dikenakan sekiranya anda bertolak pada waktu malam.
Tips : Bagi mereka yang gerun menaiki bot atau feri, sila pastikan anda menaiki bot atau feri ketika air
laut sedang surut dan tiada angin kencang. Sila semak jadual air pasang-surut di akhbar-akhbar
tempatan ketika merancang perjalanan anda.

Kemudahan penginapan di Pulau Besar


Pada ketika ini, terdapat 2 jenis penginapan yang terdapat di Pulau Besar. Semua resort dan chalet tidak
lagi beroperasi. Bagaimanapun, anda boleh:
1) Menyewa Banglo 3 bilik, 4 bilik dan 5 bilik yang terletak di bahagian pulau yang menghadap tanah
besar Melaka. Harga yang ditawarkan dari RM 300 ke RM 500 untuk satu malam. Kemudahan yang


disediakan di banglo berhawa dingin ini memang lengkap dengan periuk nasi, peti ais dan dapur
memasak. Ianya boleh memuatkan sehingga 15 orang bagi banglo 3 bilik. Sebuah kolam renang turut
disediakan kepada pengunjung di banglo ini. Untuk tempahan dan maklumat lanjut, sila hubungi: 0136232184/016-6588241

2) Menyewa khemah kecil yang berharga RM 30/malam atau khemah besar yang berharga RM
50/malam. Khemah kecil boleh memuatkan sehingga 3 orang dewasa dan agak selesa kerana tikar juga
turut disediakan. Anda boleh meminta pengusaha khemah itu untuk membina khemah tersebut di manamana juga kawasan yang anda sukai. Bagaimanapun, untuk mengelakkan sebarang kesulitan, anda
dinasihatkan supaya mendirikan khemah di kawasan yang berdekatan dengan kemudahan tandas dan
juga lampu jalan. Untuk menyewa khemah, anda boleh dapatkan di papan tanda sewa khemah yang
banyak dipaku pada pokok-pokok yang terdapat di kawasan Pulau Besar.

Kemudahan tempat makan


1) Di Pulau Besar, anda tidak perlu bimbang jika tidak membawa bekalan makanan kerana terdapat
wakaf yang menyediakan sarapan pagi, makan tengahari, minum petang dan makan malam secara
percuma pada setiap hari. Menunya adalah masakan mamak dan bergantung pada bilangan
pengunjung yang terdapat di Pulau Besar pada hari tersebut. Kebiasaannya pada waktu puncak seperti
hujung minggu, mereka akan memasak kari kambing.
2) Terdapat juga deretan kedai makan berhampiran dengan kawasan makam Sultan Ariffin yang menjual
nasi campur dan menu lain. Makanan ringan seperti snek, barangan runcit seperti lilin, sabun, ubat
nyamuk dan minuman botol juga ada dijual. Cuma harganya agak mahal. Lebih 50 100% daripada
harga biasa di Tanah Besar. Jika anda jenis yang ikut budget, lebih elok jika anda membawa bekal
makanan anda sendiri kerana kedai ini hanya beroperasi pada siang hari pada hari biasa.
Kemudahan lain yang terdapat di Pulau Besar
1) Surau

10

Terdapat 2 buah surau yang


disediakan di Pulau Besar Melaka. Bagaimanapun, saya mencadangkan anda menggunakan surau yang
dibangunkan oleh kerajaan negeri yang terletak bersebelahan kawasan makam Sultan Ariffin kerana solat
jemaah diadakan pada setiap waktu solat.
2) Pengangkutan
Terdapat van koboi yang boleh anda naiki dari jeti Pulau Besar ke kawasan makam atau sebaliknya.
Bayaran dikenakan hanya RM 2 seorang. Masa perjalanan van ini mengikut waktu ketibaan dan
pelepasan feri.
Jika anda tidak kisah untuk berjalan kaki selama 15 ke 20 minit dari jeti ke kawasan makam, anda boleh
abaikan maklumat ini.
Van itu juga boleh disewa sekiranya anda berhasrat untuk mengelilingi kawasan pulau sambil melawat
tempat-tempat misteri yang saya katakan sebelum ini. Bayaran yang dikenakan adalah RM 50 ke RM 100
untuk 1 van (bergantung kepada jumlah tempat yang anda ingin lawati)
3) Tandas Awam
Terdapat 2 tandas awam yang boleh digunakan untuk membuang air atau mandi. Ianya terletak di
kawasan makam Sultan Ariffin dan Wakaf 7 Beradik. Bayaran yang dikenakan adalah 30 sen untuk buang
air dan RM 1 untuk mandi.
4) Perigi Wakaf
Di sekeliling pulau, terdapat banyak perigi wakaf yang boleh anda gunakan untuk mandi, mencuci
pakaian atau mendapatkan bekalan air bersih untuk dimasak.
5) Elektrik
Di kawasan makam Sultan Ariffin sehingga ke kawasan Wakaf 7 Beradik ada disediakan lampu jalan

11


pada waktu malam. Di kawasan lain, tiada bekalan elektrik kerana bekalan elektrik di pulau ini dijana oleh
generator yang menggunakan diesel.
Jika anda ingin mengecas bateri telefon bimbit atau komputer riba, anda boleh menggunakan soket yang
terdapat di dalam surau. Jika anda ingin menggunakan kemudahan ini, silalah dermakan sedikit wang
kepada tabung surau.
6) Jurupandu jalan
Sekiranya anda tidak pernah pergi atau tidak tahu tempat-tempat menarik yang terdapat di pulau ini,
anda bolehlah mendapatkan khidmat jurupandu jalan yang selalu berada di kawasan Makam Sultan
Ariffin. Anda bolehlah berbincang dengan jurupandu tersebut mengenai harga yang ingin dikenakan.
Selalunya, bayaran untuk perkhidmatan mereka tidak lebih dari RM 100.
Jangan lupa memakai pakaian yang sesuai dan bawa sekali bekal minuman kerana perjalanan yang
ditempuh agak jauh. Lebih-lebih lagi, anda perlu mendaki bukit serta meredah belukar dan pantai.
Aktiviti-aktiviti lain yang boleh dilakukan di Pulau Besar
Selain daripada menjelajah tempat-tempat misteri di Pulau Besar, anda bolehlah merancang percutian
anda; samada berseorangan, bersama keluarga ataupun berkumpulan seperti:
1) Memancing atau Mencari Ketam
Ketika air sedang pasang, aktiviti memancing pasti menyeronokkan pada kaki pancing. Manakala pada
waktu malam, ketika air laut sedang surut, anda bolehlah mencari ketam-ketam kecil yang banyak
terdapat di kawasan pantai yang berbatu. Apa yang perlu anda bawa hanyalah lampu suluh, sebatang
kayu untuk menekan badan ketam dan beg plastik untuk menyimpan ketam.
2) Membuat unggun api
Perkhemahan anda tentunya tidak meriah jika anda tidak membuat unggun api. Untuk membuat unggun
api, anda tidak perlu membawa sebotol minyak gas. Pertama, anda perlulah membakar ranting-ranting
kecil terlebih dahulu. Setelah ianya terbakar, barulah anda letakkan ranting kayu yang lebih besar, besar
dan besar. Unggun api berguna untuk acara barbeque, menghangatkan badan anda dan menghalau
binatang buas.
3) Membaca Al-Quran dan berzikir
Membaca Al-Quran dalam khemah dengan disinari cahaya lilin amat mengasyikkan sekali. Jika anda
mempunyai masalah penglihatan, berzikir dan menunaikan solat sunat secara berseorangan dalam
khemah memang sesuatu yang khusyuk dan mendamaikan. Terasa seolah-olah diri ini begitu dekat
dengan Allah SWT. Anda perlu mencubanya.
4) Menganjurkan Khemah Ibadat
Pulau Besar memang sesuai dijadikan tempat perkhemahan ibadat kerana suasananya yang tenang dan
mendamaikan. Anda tidak memerlukan dewan yang berhawa dingin dengan segala kelengkapan moden.
Apa yang perlu anda sediakan adalah guru agama yang terlatih dan kawasan perkhemahan yang sesuai.

12


Program seperti tazkirah, cara bersolat yang betul, berzikir, belajar cara-cara penyembelihan haiwan,
menghafal doa dan ayat-ayat lazim, gotong-royong membersihkan kawasan kubur dan pantai, mengenal
sifat-sifat Allah dan sebagainya boleh dilakukan di pulau ini dan saya yakin, kesannya amat ketara sekali
kepada peserta program ini.
5) Menulis dan membaca buku
Saya mendapat ilham dan menulis kerangka posting ini ketika berada di Pulau Besar. Bagi seorang
penulis, kedamaian yang dialami ketika berada di pulau ini memang mudah mencetuskan ilham.
Sayangnya, saya tidak membawa sekali notebook dan kamera saya. Apapun, saya berjaya membaca
buku yang dibawa hingga tamat dan insyaAllah, pada kunjungan akan datang ke pulau ini, saya akan
lebih bersedia.
Kesimpulan
Khazanah alam dan kesan tinggalan sejarah yang terdapat di Pulau Besar wajar dipelihara oleh pihakpihak yang berkenaan. Satu kajian yang lebih terperinci perlu diadakan sebelum apa-apa projek
pembangunan ingin dilaksanakan di pulau ini. Kita tidak mahu lagi melihat kegagalan projek-projek
pembangunan yang terdahulu yang tentunya telah mengakibatkan kerugian bernilai jutaan ringgit terus
berulang di masa akan datang.
Memang menyedihkan mata sesiapa yang memandang bila keindahan yang terdapat di pulau ini telah
dicemari oleh keadaan resort dan chalet yang kian usang dan terbiar begitu sahaja. Khabarnya, Pulau
Besar akan dibangunkan sebagai pusat bekalan minyak kepada kapal dagang yang melalui Selat
Melaka. Sebahagian lautnya akan ditambak dengan pasir. Manakala sebuah pusat peranginan petroleum
akan dibina di pulau ini. [sumber]
Persoalannya kini, adakah projek itu nanti akan menjadi penyelesai kepada segala kesulitan dan juga
kegagalan projek-projek terdahulu atau kesudahannya nanti akan serupa dengan projek-projek yang
terdahulu?
Pada hemat saya, Pulau Besar tidak memerlukan projek-projek pembangunan baru yang bernilai ratusan
juta ringgit. Apa yang perlu difikirkan bersama adalah kaedah yang terbaik untuk membaikpulih
bangunan-bangunan yang sedia ada untuk diubahsuai menjadi Muzium Sejarah & Khazanah Pulau
Besar Melaka serta Pusat Pengajian Islam yang bertaraf kolej atau universiti dan juga sebuah kem
tentera atau Pusat Latihan Polis sebagaimana fungsi asal pulau tersebut.
Sebuah perkampungan kecil yang berkonsepkan rumah orang laut juga boleh dibina. Mereka-mereka
yang telah lama menetap di pulau itu boleh ditawarkan rumah-rumah yang dibina itu dengan bayaran
sewa yang berpatutan. Sekurang-kurangnya, mereka boleh menjalankan perniagaan homestay dan
menjual cenderahati kepada pengunjung. Perkampungan tersebut pula boleh dijadikan muzium hidup
kepada pelancong-pelancong yang datang ke Pulau Besar.
Tempat-tempat peninggalan sejarah seperti makam, gua dan perigi wajarlah diperindahkan dengan
binaan yang bercirikan tradisi dan dihiasi landskap taman yang menawan. Satu papan tanda yang
menerangkan tentang sejarah tempat itu hendaklah didirikan bagi memudahkan pemahaman mereka
yang datang berkunjung.
Untuk memastikan segala aktiviti berunsur syirik atau khurafat dapat dihapuskan di Pulau Besar, sebuah

13


balai polis kecil yang menempatkan beberapa orang anggota secara tetap patut didirikan. Manakala
beberapa pegawai MAIM bolehlah ditempatkan di situ. Dengan itu, penguatkuasaan undang-undang dan
aktiviti pencegahan boleh dilakukan secara kerap dan bersama antara MAIM, polis dan juga ustaz-ustaz
yang bertugas di Pusat Pengajian Islam yang bakal didirikan itu nanti.
Mungkin dengan cara ini, kegemilangan Pulau Besar akan dapat dikembalikan sebagaimana saat-saat
kegemilangannya di masa silam. Wallahualam.
Nota:
1) Foto atau gambar yang saya muatkan dalam posting ini diperolehi dari koleksi pihak lain di
internet dan juga koleksi telefon bimbit saya.
2) Saya amat mengalu-alukan sesiapa jua yang ingin berkongsi pengalaman atau pengetahuan
yang mereka ketahui tentang Pulau Besar Melaka
Read more: http://nuraflah.blogspot.com/2009/07/misteri-pulau-besar-melaka.html#ixzz3G4lcnffi

14

Anda mungkin juga menyukai