Anda di halaman 1dari 3

Adat Resam Kaum India Sewaktu Kelahiran

Ketika mengandung
Adat Valaikaappu adalah adat yang dilakukan ketika kandungan sulung wanita hamil menjangkau usia
tujuh hingga sembilan bulan. Wanita hamil tersebut akan dipakaikan sebentuk gelang tangan baru yang
dikenali sebagai Suulkaappu. Suul bermaksud `kandungan ibu? dan Kaappu pula bermaksud
'perlindungan'. Gelang ini dipakai bertujuan untuk melindungi bayi di dalam kandungan daripada
kesukaran semasa bersalin.

Adat Valaikaappu diadakan pada hari dan masa yang baik menurut kalendar India. Upacara ini akan
diadakan di rumah suami atau ibu bapa dan disertai oleh kaum wanita yang telah bersuami dan
mempunyai anak yang dipanggil cumanggali.

Gelang tangan yang dipakaikan dalam upacara ini terdiri daripada beberapa jenis iaitu gelang kaca,
pancalogam dan emas mengikut kemampuan masing-masing. Setelah anak dilahirkan, gelang tangan
emas tersebut akan dileburkan untuk dibuat perhiasan bagi bayi tersebut dan akan dipakaikan pada hari
pemberian nama.

Sewaktu kelahiran

Waktu kelahiran adalah penting bagi masyarakat India dimana ia akan dicatat dengan tepat bagi
menentukan bintang bayi mengikut almanak Hindu. Bintang bayi ini akan menentukan mental, fizikal
dan rohani bayi sehingga dewasa.

Sebaik sahaja bayi dilahirkan, sami atau sesiapa sahaja yang berpengetahuan tinggi mengenai agama
Hindu akan membisikkan Gayatri Mantiram iaitu sejenis mantera Tuhan di telinga bayi sebelum tali
pusat dipotong. Namun begitu adat ini disesuaikan dengan hanya membisikkannya sebaik sahaja
melihat bayi tersebut kerana perubatan moden tidak membenarkan sesiapa memasuki bilik bersalin.

Bisikan nama Tuhan pada telinga bayi adalah untuk membolehkan bayi tadi mendengar nama Tuhan
sebelum mendengar apa-apa yang lain. Ia bertujuan untuk membawa rahmat kepada bayi tersebut.
Tali pusat yang dipotong akan ditanam bersama uri dan tembuni di sekitar kawasan rumah bersama
duit tembaga, serbuk kunyit, garam dan pinang. Bahan-bahan ini dimasukkan bersama untuk mengelak
dari dikorek oleh binatang liar dan tidak digunakan oleh ahli sihir.

Bayi yang baru dilahirkan juga akan disapu madu bercampur minyak sapi pada lidahnya. Di samping
madu, air gula juga boleh digunakan. Minyak savvennai yang merupakan campuran minyak bijan,
minyak lenga dan mambu juga kadangkala digunakan. Kegunaan minyak ini dipercayai boleh
membawa kecantikan dan supaya bayi tidak diserang sebarang penyakit. Madu pula dikatakan dapat
melembutkan lidah bayi dan memudahkan bayi bertutur.

Setitik minyak bijan yang dicampur dengan sedikit susu ibu dan disapu ke mulut bayi akan bertindak
menjadi pelawas dalam sistem penghadaman dan membantu tumbesaran bayi tersebut.

Selepas kelahiran

Bayi yang dilahirkan di hospital akan dibawa pulang ke rumah pada hari ketiga, kelima, ketujuh dan
sebagainya iaitu pada bilangan hari ganjil. Sebelum bayi dibawa masuk ke rumah upacara aalati
dilakukan. Ia bertujuan untuk mengelakkan bala atau sebarang malapetaka dariapada berlaku.

Bagi upacara aalati ini, dulang yang mengandungi serbuk kunyit, kapur sirih yang dicairkan, arang,
sirih dan kapur barus yang dinyalakan diangkat dan diputar tiga kali mengikut arah jam dan juga lawan
jam. Dulang juga dilambai sebanyak tiga kali. Seterusnya para cumanggali akan mencelupkan ibu
jarinya ke dalam dulang tersebut dan mencalitkan ke dahi ibu dan anak. Setelah ibu dan anak masuk ke
dalam rumah, isi dulang aalati dibuang.

Apabila bayi dan ibu kembali ke rumah, mereka diasingkan dari ahli keluarga yang lain di sebuah bilik
khas yang sentiasa dijaga kebersihannya. Bagi dua minggu pertama, orang luar dilarang melawat
mereka kecuali untuk tujuan perubatan.

Jika proses bersalin secara pembedahan, ibu yang baru bersalin tidak dibenarkan mandi selama dua
minggu atas sebab-sebab kesihatan akibat fizikal ibu yang lemah kerana pembedahan dan kesan
kelahiran. Bagi ibu yang bersalin normal, si ibu akan mandi selang sehari selepas bersalin. Beberapa
herba dan dedaun seperti aadatoodai dididihkan bersama air. Air tersebut digunakan untuk mandi.
Rambut ibu akan dikeringkan dengan segera dengan asap kemenyan bagi mengelakkan sakit kepala,
selsema dan juga untuk menyegarkan tubuh badan selepas bersalin.
Bayi pula kebiasaanya dimandikan pada waktu petang oleh seorang wanita yang berpengalaman.
Mandian ini dilakukan dengan menyiram ke seluruh badan bayi dengan menggunakan air suam yang
kadangkala dicampur dengan bahan-bahan herba. Ia bertujuan untuk mengelak penyakit sawan atau
kuning. Susu juga digunakan sebagai bahan utama untuk melembutkan kulit bayi.

Ketika bayi dimandikan, urutan perlahan dilakukan pada tubuh bayi dan tulang belakang bayi supaya
tidak bengkok. Bagi tujuan kecantikan, hidung, kening dan telinga turut diurut. Beberapa bahan seperti
serbuk kunyit, minyak bijan, kas-kas dan kacang hijau yang ditumbuk digunakan sebagai pembersih
badan bayi bertujuan untuk mengelakkan penyakit kulit dan melicinkan kulit bayi. Selesai dimandikan,
bayi ditonggengkan dengan mengangkat kedua belah kaki sambil menepuk bahagian punggung untuk
mengeluarkan kahak. Setelah itu bayi diasapkan dengan asap kemenyan, dan disapu dengan bedak
yang diperbuat dari tepung beras supaya tidak dihinggapi ruam. Akhir sekali bayi akan dibedung
dengan kain bertujuan untuk meluruskan anggota badan bayi.

Sebaik sahaja bayi berusia enam belas hari, upacara pemberian nama dilakukan. Ia dilakukan dengan
memasukkan bayi ke dalam buaian dan dikendalikan oleh ahli keluarga yang tertua yang arif tentang
agama dan perkara yang berkaitan dengan dewa-dewa.

Upacara dimulakan dengan mengadakan upacara sembahyang sebagai tanda kesyukuran. Terdapat juga
upacara memuja Dewi Pecciyamman dan Dewi Kaatteeri dilakukan oleh segelintir masyarakat India.
Upacara pemujaan dilakukan dengan membersihkan sekeliling rumah dan memasang lampu minyak di
keliling rumah. Bahan-bahan persembahan juga disediakan seperti kari ayam betina, telur rebus, ikan
kering dan sebagainya. Bayi kemudiannya dimasukkan kem dalam buaian dan namanya diumumkan
pada orang ramai. Saudara mara yang hadir akan memberi pelbagai hadiah dan upacara diakhiri dengan
jamuan dan upacara sembahyang bagi mendoakan kesejahteraan bayi.

Nama-nama yang dipilih lazimnya berdasarkan almanak dengan mengikut tarikh kelahiran bayi. Nama-
nama tokoh sejarawan, nenek moyang serta yang berkaitan dengan agama Hindu juga dipilih bagi bayi
tersebut kerana nama yang dipilih ini akan mempengaruhi perwatakannya kelak.

Anda mungkin juga menyukai