Anda di halaman 1dari 2

Pengenalan Wayang Kulit

Wayang Kulit merupakan sejenis teater tradisional yang popular dalam kalangan masyarakat Asia
Tenggara sebelum kedatangan pelbagai seni hiburan dan persembahan moden yang kebanyakannya
berasaskan media elektronik. Ia merupakan satu bentuk persembahan teater yang menggunakan prinsip
cahaya dan bayang. Bayang-bayang daripada patung-patung kulit yang terdiri daripada pelbagai watak
methologi dan khayalan dimainkan oleh seorang Dalang. Persembahan wayang kulit selalunya diiringi
oleh satu kumpulan muzik paluan atau gamelan dan juga alat tiupan (serunai) atau alat bertali
(rebab). Wayang Kulit dipersembahkan dalam upacara atau perayaan tertentu. Fungsi Wayang Kulit ini
adalah sebagai medium hiburan dan kadangkala dikaitkan dengan unsur ritual yang terdapat dalam
sesuatu masyarakat. Seni persembahan ini tersebar dan membentuk satu identiti tersendiri dalam
sesebuah masyarakat.

Selain di Jawa dan Malaysia, wayang kulit juga terdapat di Bali, Kemboja dan China. Nama yang diberi
kepada wayang kulit ini berbeza mengikut budaya dan bahasa setempat, walaupun fungsi dan asas
persembahannya adalah sama. Di Thailand, wayang kulit dikenali sebagai Nang Yai, di Kemboja disebut
dengan nama Nang Sbek manakal di Jawa digelar Wayang Purwa.

Dipercayai tradisi persembahan wayang kulit bermula sejak lebih 3000 tahun di Indonesia. Di
Semenanjung Malaysia pula wayang kulit dianggarkan bermula sejak beberapa ratus tahun lalu. Wayang
Kulit Melayu dipercayai dibawa dari Tanah Jawa ke Kemboja oleh seorang putera raja Kemboja yang
bergelar Jaya Verman II. Semua watak dan cerita wayang kulit Kemboja diasaskan kepada cerita
Ramayana. Kemungkinan di sinilah bermulanya asas bagi wayang kulit Siam dan wayang kulit Melayu
kemudiannya.

Kita mungkin tertanya-tanya, kenapakah wayang kulit masih kekal hingga sekarang? Sebabnya ialah
wayang kulit mempunyai nilai-nilai yang diperlukan oelh kehidupan manusia, baik dari segi material
mahupun spiritual. Wayang kulit didapati mampu menggerakkan hati seseorang. Semakin tinggi jiwa
seseorang pendukung, semakin tinggi pula perhatiannya terhadap wayang kulit. Semakin mendalam
pengkajian dan pemahaman terhadapnya semakin takjub pula dirasakan.

Pada awal abad ke-9, wayang kulit Melayu yang berasaskan cerita Ramayana kerap dimainkan di Patani,
Kelantan, Kedah dan Perak. Dalang wayang kulit dari utara Semenanjung mengembara dan mengadakan
persembahan di Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan di kawasan-kawasan pantai timur negeri Johor.
Peranan "Dalang" sebagai dukun atau bomoh dalam masyarakat merupakan salah satu asas pengekalan
tradisi ini di Kelantan. Dipercayai kekuatan spiritual dalam penyelenggaraan wayang kulit dapat
menimbulkan malapetaka atau bahaya. Dialog persembahan wayang kulit juga telah diadun dan diubah
suai ke dalam longhat setempat (longhat Kelantan dan Patani). Kemungkinan inilah juga sebabnya
persembahan wayang kulit tidak kekal dan sesetengahnya diubahsuai mengikut kehendak dan selera
masyarakat setempat.

Dalam proses perkembangannya wayang kulit telah banyak melalui perubahan. Setelah melalui pelbagai
zaman, wayang kulit dapat menyesuaikan dirinya secara bebas dan kreatif. Wayang kulit bermula
sebagai alat yang ada kaitannya dengan upacara penyebaran agama, tetapi kemudiannya digunakan
sebagai alat pendidikan dan penerangan. Pada kesempatan inilah nilai-nilai pendidikan dan
pembangunan keluarga disampaikan. Nilai-nilai pembangunan masyarakat sebenarnya didasarkan pada
hakikat bahawa keluarga menjadi agen pembentukan masyarakat. Inilah antara faktor yang
menyebabkan wayang kulit sehingga kini menjadi salah satu tradisi kesenian negara.

Anda mungkin juga menyukai