Anda di halaman 1dari 4

Keunggulan Adat Perpatih

Tarian minangkabau

Adat Perpatih

Adat ini berasal dari tanah Minangkabau, Sumatera, diasaskan oleh seorang pemimpin
Minang bernama Sutan Balun yang bergelar Dato' Perpatih Nan Sebatang. Adat ini adalah
amalan dan peraturan hidup yang ditentukan bagi masyarakat Minangkabau yang rata-ratanya
adalah petani ketika itu. Tidak ada tarikh yang tepat dicatatkan bila adat ini diwujudkan. Pada
umumnya Adat Perpatih telah dibawa ke Semenanjung Tanah Melayu (Semenanjung
Malaysia) oleh perantau-perantau Minangkabau pada abad ke 14 Masehi.
Adat Perpatih tidak akan lekang dek zaman

Biar Mati Emak Jangan Mati Adat


Pepatah `biar mati anak, jangan mati adat' cukup sinonim dengan budaya masyarakat
pengamal adat Perpatih di Negeri Sembilan.
Adat Perpatih ini diwariskan dari generasi ke generasi melalui kata-kata perbilangan. Ia
merangkumi pelbagai aspek kehidupan masyarakat termasuk soal harta pusaka, perlantikan
pemimpin, hukum nikah kahwin, amalan bermasyarakat, sistem menghukum mereka yang
melanggar adat atau melakukan kesalahan dan pelbagai aspek lagi. Setiap peraturan atau adat
itu ada perbilangannya dan setiap peraturan itu ada rasional atau sebab-sebab terjadinya
hukum atau adat itu.

Adat Merupakan Peraturan Hidup

Adat Perpatih merupakan suatu peraturan hidup yang sistematik dengan berteraskan
keharmonian hidup masyarakat yang diamalkan oleh orang Negeri Sembilan dan Naning di
Melaka. Sebagai satu cara hidup, adat Perpatih mempunyai peraturan asas yang tidak boleh
diubah langsung. Perkara asas itu termasuklah hidup bersuku, mengira keturunan daripada
nasab ibu, perwarisan tanah pusaka dan lain-lain lagi. Sistem sosial tersebut mengandungi
sistem nilai, sistem kekeluargaan, sistem politik dan sistem hukum adat yang lengkap.

Perlantikan Yang di Pertuan Besar Negeri Sembilan


Di Malaysia, Adat Perpatih ini masih lagi wujud dan diamalkan oleh masyarakat Melayu di
Negeri Sembilan yang majoritinya adalah keturunan Melayu Minangkabau. Mereka itu
terbahagi kepada beberapa puak yang dipanggil suku. Perlantikan Yang Di Pertuan Besar
Negeri Sembilan adalah satu-satunya warisan Adat Perpatih. Begitu juga dengan perlantikan
Undang Luak yang empat iaitu Rembau, Sungai Ujung, Johol dan Jelebu semuanya adalah
berteraskan kepada Adat Perpatih.
Pemasyhuran Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dibuat bukan mengikut keturunan dari
bapa ke anak tetapi melalui kebulatan (mesyuarat) oleh Undang Luak yang empat iaitu
Undang Rembau, Undang Sungai Ujung, Undang Johol dan Undang Jelebu.

Struktur Masyarakat Adat Perpatih


Masyarakat Adat Perpatih terbahagi kepada tiga kumpulan utama iaitu Perut, Suku dan Luak.
Perut adalah unit sosio- politik yang terkecil di mana anggota sesuatu perut itu adalah berasal
daripada moyang (keturunan perempuan) yang sama. Mereka ini sangat rapat dan lazimnya
tinggal di sesuatu perkampungan atau kawasan yang sama.
Setiap perut mempunyai seorang ketua yang digelar Buapak. Buapak ini dipilih oleh anak-
anak buah di dalam sesuatu perut berkenaan.
Kumpulan yang kedua ialah suku. Suku dibentuk oleh beberapa perut yang menjadikan
keluarga berkenaan semakin besar. Suku diketuai oleh seorang ketua yang digelar Dato'
Lembaga.
Kumpulan ketiga ialah Luak. Luak adalah unit kawasan pentadbiran dari segi adat di mana
ada empat luak utama iaitu Rembau, Sungai Ujung, Johol dan Jelebu. Setiap luak diketuai
oleh seorang Undang.
Selain daripada empat luak utama ini ada satu lagi luak yang kelima dipanggil Luak Tanah
Mengandung. Luak Tanah Mengandung ini adalah terdiri daripada lima luak kecil di Seri
Menanti iaitu Luak Inas, Luak Ulu Muar, Luak Gunung Pasir, Luak Terachi dan Luak
Jempol. Setiap luak kecil ini ditadbirkan oleh seorang ketua. Luak adalah unit kawasan
pentadbiran dari segi adat di mana ada empat luak utama iaitu Rembau, Sungai Ujung, Johol
dan Jelebu. Setiap luak diketuai oleh seorang Undang.

Keutamaan Wanita
Adat pepatih lebih mementingkan kaum wanita daripada lelaki. Pada dasarnya, adat ini
adalah adat yang terbaik di Negeri Melayu kerana ia sangat mencakupi segala aspek.
Keutamaan wanita di dalam adat pepatih sebenarnya lebih kepada mewarisi harta pusaka dan
membawa darah keturunan. Berbeza dari kesultanan Melayu yang lain, harta dan darah
keturunan di warisi oleh kaum lelaki.
Menurut adat pepatih, wanita yang mengandungkan dan melahirkan anak maka wanitalah
yang membawa darah keturunan kepada pewaris iaitu anaknya. Dari segi harta pula, hanya
harta pusaka iaitu termasuk tanah dan rumah induk diwarisi oleh wanita bertujuan agar kaum
wanita tidak terabai sekiranya dicerai suami.
Harta Sepencarian
Namun demikian harta sepencarian adalah milik bersama lelaki dan wanita yang di bahagi
mengikut hukum Islam. Harta atau tanah yang diperolehi sebagai harta sepencarian maka
pembahagiannya adalah menurut hukum faraid (tidak ada kena mengena dengan tanah adat
yang hanya untuk perempuan sahaja).

Harta Pusaka Tidak Boleh Dijual


Hasil positif daripada pengamalan adat pepatih ini, harta pusaka tidak tergadai kerana tidak
boleh dijual. Dalam sesebuah kampung, biasanya terdiri daripada saudara mara kerana tanah
pusaka telah dibahagi dari awal keturunan kepada generasi sekarang. Dalam erti kata lain, di
dalam sebuah kawasan, biasanya terdiri dari keluarga dari satu keturunan. Bulat air kerana
pembentung, bulat manusia kerana muafakat.
Maka sehingga hari ini, suasana itu terbukti apabila daerah Port Dickson bukan merupakan
pengamal adat Perpatih, sementara daerah seperti Rembau, Jelebu dan Kuala Pilah dinobat
sebagai antara pengikut kuat kepada adat ini.

Prinsip-prinsip Adat Perpatih


Adat Perpatih mempunyai lima prinsip utama.
1. Keturunan dikira melalui nasab ibu: Adat Perpatih memberi keistimewaan kepada
perempuan yang dianggap bonda kandung iaitu ibu yang melahirkan anggota-anggota
masyarakat. Seseorang individu itu adalah anggota suku ibunya dan bukan anggota suku
bapanya.
2. Tempat Kediaman adalah di kawasan ibu isteri: Apabila berlangsungnya sesuatu
perkahwinan, si lelaki akan meninggalkan kampung halamannya dan menetap di kawasan ibu
isterinya sebagai orang semenda. Pada zaman dahulu si lelaki akan mengusahakan tanah
keluarga isterinya.
3. Perempuan mewarisi pusaka, lelaki menyandang saka: Hanya lelaki sahaja yang berhak
menyandang saka (jawatan-jawatan dalam adat) manakala perempuan adalah mewarisi harta
pusaka keluarga ibunya.
4. Perkahwinan seperut atau sesuku adalah dilarang: Dalam sesuatu perut dan suku, hubungan
adalah rapat dan si lelaki menganggap perempuan dalam perut atau sukunya adalah saudara
perempuannya. Begitu juga sebaliknya. Oleh itulah perkawinan sesama suku ini adalah
terlarang. Perempuan yang berkahwin sesama suku akan hilang haknya untuk mewarisi harta
pusaka ibunya manakala lelaki pula akan hilang hak untuk menyandang sebarang jawatan
dalam adat.
5. Orang luar boleh menjadi ahli sesuatu suku: Untuk tujuan perkahwinan atau waris
mewarisi, dibenarkan orang luar untuk menjadi ahli sesuatu suku dengan cara melalui
upacara berkedim. Dalam upacara ini seseorang itu akan bersumpah taat setia dan bersaudara
dengan ahli-ahli suku yang akan disertainya.

Amalan Adat Perpatih Masakini


Pada masa ini Adat Perpatih di Negeri Sembilan hanya diamalkan pada urusan-urusan
tertentu sahaja seperti nikah kahwin, pemberian pusaka dan perlantikan pemimpin. Selain
daripada itu amat kurang adat ini dipraktikkan.
Pembahagian Harta
Persoalan yang sering wujud mengenai Adat Perpatih adalah mengenai pemberian harta
pusaka yang memberikan kelebihan kepada perempuan. Inilah satu-satunya isu dalam Adat
Perpatih yang selalu disalah fahamkan. Sebenarnya, pemberian pesaka yang dimaksudkan
dalam adat ini ialah pemberian tanah adat. Tanah adat ini adalah tanah yang turun temurun
daripada nenek moyang sesuatu keluarga. Tanah adat ini diberikan kepada perempuan ialah
semata-mata untuk menjaga kehormatan dan maruah kaum wanita Adat Perpatih.

Ini bermakna seorang wanita Adat Perpatih walau miskin macam mana pun tidak akan
merempat atau menjual maruahnya untuk hidup. Jika pulang ke kampungnya dia sudah
mempunyai tanah kampung dan sawah untuk dikerjakan sebagai penyambung rezeki.
Manakala anak lelaki pula dianggap lebih teguh dan tahu untuk terus berusaha untuk hidup
(survival).

Kesimpulan
Walau pun adat Perpatih pada masa ini masih terus diamalkan oleh masyarakat Melayu
Negeri Sembilan tetapi ia kini telah mengalami perubahan mengikut arus zaman.
iaitu berubah dari segi bentuknya, tetapi isi atau prinsipnya masih kekal sehingga hari ini. Ini
jelas dilaksanakan dalam adat perkahwinan dan adat resam semasa. Pelaksanaan adat ini
mempunyai kelebihan dan hujahnya sendiri demi kebaikan anggota masyarakat yang
mengamalkan adat tersebut. Setiap peraturan dalam Adat Perpatih ada perbilangannya dan
setiap peraturan itu ada rasional atau sebab-sebab terjadinya hukum atau adat tersebut.

Sumber dari suntingan : Akhbar Harian Kosmo (7 Januari 2009)


Wikipedia.org/wiki/adat perpatih

Anda mungkin juga menyukai