Anda di halaman 1dari 7

PERANAN GURU SUKATAN AL-AZHAR KE ARAH MEMANTAPKAN BAHASA ARAB MURID DI SEKOLAH AGAMA MENENGAH JAIS1 (*)

MUKADDIMAH Bahasa Arab adalah bahasa Al-Qur'an, kitab suci umat Islam. Tanpa memahami bahasa Arab, al-Qur'an tidak dapat difahami dengan sempurna. Ilmu-ilmu Islam yang terkandung di dalam buku-buku rujukan dan sumber utama juga menggunakan Bahasa Arab sebagai Bahasa pengantar. Oleh sebab itu diperlukan kefahaman yang cukup untuk dapat menelaah dan mengupas sumber-sumber tersebut agar bermanfaat sepenuhnya. Justeru, salah satu faktor kemunduran dan jauhnya umat Islam dari al-Qur'an adalah berpunca dari kurangnya memahami al-Qur'an kerana tidak mampu berbahasa Arab. Mana tidaknya, yang dapat bercakap Bahasa Arab sahaja belum tentu mampu memahami al-Qur'an dengan baik apatah lagi yang langsung tidak ada ilmu tentang bahasa ini. Ianya memerlukan ilmu yang cukup dan Bahasa Arab yang betul agar dapat mengerti isi dan kandungan kalamullah ini. Tidak dinafikan bahawa usaha untuk mendekatkan umat Islam kepada al-Qur'an menerusi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab telahpun dilakukan sejak dahulu lagi. Namun hasil kajian mendapati bahawa usaha ke arah itu belum berjaya sepenuhnya. Belum ramai penutur bahasa ini yang mampu dihasilkan oleh institusiinstitusi pendidikan dalam negeri. Maka tak hairan jika penutur Bahasa Arab yang baik kebanyakannya hanya berasal daripada mereka yang belajar di timur tengah (negaranegara Arab). Maka dari itu, adalah menjadi cabaran semua pihak khususnya ahli-ahli di bidang Bahasa Arab menerusi institusi pendidikan yang disokong oleh kerajaan untuk mencari dan mendapatkan solusi (jalan keluar) berupa metodologi (kaedah) pengajaran dan pembelajaran (P&P) bahasa yang mampu menghasilkan pelajar-pelajar yang nantinya dapat memahami al-Qur'an sekaligus bertutur Bahasa Arab dengan baik dan benar. Ini juga merupakan tanggungjawab yang perlu digalas bersama-sama demi mewujudkan impian dan cita-cita ke arah "kembali ke al-Qur'an menerusi Bahasa Arab".

OBJEKTIF P&P BAHASA ARAB Memahami dan mengerti isi kandungan al-Qur'an serta Hadith nabi adalah tujuan utama P&P Bahasa Arab. Ini tidak terlepas dari keyakinan terhadap dua sumber rujukan utama agama Islam sebagai panduan hidup umat Islam untuk berjaya di dunia dan juga
(*)1 Kertas kerja disediakan dan disampaikan oleh Dr. Mualimin Mochammad Sahid (pensyarah Pusat Bahasa Arab Negeri Selangor) pada seminar memperkasa guru-guru sukatan al-Azhar di Sekolah Agama Menengah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Sabtu, 20 Sya'ban 1434 H / 29 juni 2013 M.

akhirat. Dengan berasaskan konsep ibadah, tujuan P&P bahasa ini menjadi semakin jelas disebabkan kedudukan dua sumber ini bagi umat Islam. Bahasa Arab yang mampu dikuasai dengan baik dan betul akan dapat membantu mempelajari ilmu-ilmu Islam yang terkandung di dalam subjek-subjek agama dengan lebih mudah. Dengan kemampuan bahasa yang cukup, usaha ke arah memperbaiki mutu dan kualiti menghafal al-Qur'an lebih mudah dilaksanakan. Disamping itu, tujuan lain P&P Bahasa Arab ini adalah untuk meningkatkan kemampuan bertutur Bahasa Arab sebagai bahasa pengantar rasmi dunia dengan baik dan betul, serta persediaan untuk menghadapi perkembangan zaman yang semakin maju.

KEDUDUKAN DAN KEPENTINGAN BAHASA ARAB BAGI UMAT ISLAM Tidak dinafikan hubungan antara Islam dan Bahasa Arab amat kukuh. Al-Qur'an diturunkan dalam bahasa ini sebagai risalah akhir zaman yang menjadi petunjuk bagi seluruh umat manusia. Dalam surah Yusuf ayat 2, ALLAH menjelaskan: "Sesungguhnya Kami menurunkan Kitab ini sebagai Qur'an yang dibaca dengan Bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya". Dalam ayat ini seruan menggunakan akal untuk memahami al-Qur'an dititikberatkan kerana ia perlu difahami dengan sebaik-baiknya. Sudah tentu umat Islam yang bukan penutur Bahasa Arab wajar menggandakan usaha untuk memahami al-Qur'an yang diturunkan dalam Bahasa Arab. Islam dan Bahasa Arab tidak dapat dipisahkan. Jika orang yang menguasai Bahasa Inggeris dipandang tinggi dalam dunia sains dan teknologi, seorang Muslim yang menguasai Bahasa Arab juga sudah pasti mendapat tempat yang sama atau bahkan lebih tinggi. Dan lebih membanggakan lagi jika setiap orang Islam mampu memahami sumber-sumber asli Islam yang menggunakan Bahasa Arab. Disamping itu, kedudukan Bahasa Arab bagi umat Islam menjadi semakin penting jika konsep "Belajar Bahasa Arab adalah belajar Bahasa al-Qur'an, dan belajar bahasa al-Qur'an bererti belajar al-Qur'an itu sendiri" difahami dengan baik. Maka nilai ibadah yang tinggi dari P&P bahasa ini tidak dapat dinafikan lagi. Adapun dari segi keduniaan, sudah menjadi pengetahuan ramai bahawa Bahasa Arab adalah salah satu bahasa penting dan utama di dunia serta telah diakui sebagai bahasa rasmi di peringkat antarabangsa. SISTEM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BAHASA ARAB YANG BERSEPADU & HOLISTIK. Sistem bersepadu dan holistik (Integrated and Holistic System) telah menjadi sebuah sistem pendidikan yang mula dilaksanakan di banyak institusi pendidikan dalam mahupun luar negara. Ianya adalah satu sistem yang seharusnya digunapakai sebagai dasar dan falsafah utama untuk mencapai matlamat sebenar pendidikan. Sistem yang menitikberatkan pada pembelajaran yang berdasarkan kepada hasil (outcome) ini diharap mampu menghasilkan murid-murid yang menghayati ilmu yang dipelajari,

memiliki sifat dan akhlak mulia, berjaya dalam bidang akademik serta mengamalkan ilmu yang diperolehi dalam kehidupan sehari-hari. IHES dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab diharap menjadi faktor penyokong utama dalam membentuk genarasi al-Qur'an (Qur'anic generation) kerana ianya adalah salah satu komponen penting dalam menjayakan program pembentukan generasi al-Qur'an (QGDP). Ini kerana Bahasa Arab yang merupakan bahasa al-Qur'an akan menjadi bahasa dan medium utama dalam pelaksanaan QGDP tersebut. Maka apabila Bahasa Arab dikuasai oleh para pelajar, pembentukan generasi al-Qur'an akan menjadi semakin mudah. Justeru, P&P Bahasa Arab tidak semata-mata bertujuan menguasai ilmu bahasa dan menjadi penutur Bahasa Arab sahaja, namun lebih dari itu P&P bahasa ini diharap akan membantu dalam merealisasikan pembentukan generasi al-Qur'an yang menjadi cita-cita dan hasrat umat Islam masa depan, kerana merekalah tuntunan mulia (role model) dan contoh terbaik (qudwah hasanah) bagi masyarakat sejagat. PERKEMBANGAN P&P BAHASA PENDIDIKAN DALAM NEGERI ARAB DI INSTITUSI-INSTITUSI

Seiring dengan semakin meningkatnya kesedaran dan kefahaman masyarakat Islam terhadap pentingnya agama dalam kehidupan sehari-hari, semakin tinggi pula minat terhadap penguasaan Bahasa Arab baik dari kalangan golongan dewasa apatah lagi golongan muda dan kanak-kanak. Institusi pendidikan dengan sokongan kerajaan telah lama memperkenalkan P&P Bahasa Arab dan melipatgandakan usaha untuk mencapai kejayaan di bidang bahasa ini. Di antara usaha yang telah dijalankan adalah dengan menghantar pelajar-pelajar tempatan untuk menimba ilmu agama dan Bahasa Arab di Timur Tengah, mendatangkan pakar-pakar ilmu Islam dan Bahasa Arab untuk berkhidmat di institusi-institusi pendidikan Islam, baik menengah mahupun tinggi, serta menyusun kurikulum yang moden dan sesuai. Usaha mulia dan tanpa henti dari semua pihak ini tidak dinafikan telahpun menuai kejayaannya. Ramai penutur Bahasa Arab dapat ditemui di negara ini dan tidak sedikit pakar Bahasa Arab telah terhasil daripada program penghantaran mahasiswa ke luar negara (Timur Tengah), serta pelbagai karya dan tulisan Bahasa Arab telah diterbitkan. Namun yang menjadi tanda tanya besar adalah mengapakah P&P Bahasa Arab di dalam negara belum dapat mencapai matlamat sebenar dari subjek ini. Apakah punca rendahnya minat pelajar dalam mempelajari Bahasa Arab? Dan mengapakah sistem pendidikan Bahasa Arab di sekolah-sekolah agama belum dapat menghasilkan pelajarpelajar yang mampu memahami al-Qur'an dengan baik dan merasa susah (tidak fasih) untuk bertutur dan berkomunikasi dalam bahasa ini walaupun telah menghabiskan masa yang lama untuk mempelajarinya. Maka menjadi tanggungjawab semua pihak, khususnya para pakar dan pencinta Bahasa Arab untuk bersama-sama menggalas usaha demi mencapai cita-cita

terwujudnya masyarakat yang memahami al-Qur'an kerana mahir Bahasa Arab baik secara lisan mahupun dalam tulisan. CABARAN YANG DIHADAPI DALAM P&P BAHASA ARAB DAN MASALAHMASALAHNYA. Menguasai Bahasa Arab dengan baik dan betul adalah sesuatu yang tidak mustahil. Namun ianya juga bukan sesuatu yang mudah dan begitu sahaja boleh dicapai. Usaha berganda perlu dilakukan, masalah-masalah yang timbul perlu dicarikan penyelesaian dan jalan keluar, serta cabaran-cabaranya pula perlu dihadapi dan diharungi demi mencapai matlamat P&P Bahasa Arab ini. Ada dua cabaran dalam P&P Bahasa Arab ini, iaitu cabaran yang datang dari luar dan juga dari dalam. Secara ringkas, cabaran dari luar berpunca dari usaha musuh-musuh Islam dalam menjauhkan umat Islam dari panduan hidup, iaitu kitab suci al-Qur'an dan juga sunnah Rasul melalui serangan pemikiran (ghazwul fikri). Musuh-musuh Islam mencuba dengan berbagai cara merosakkan imej agama dan juga Bahasa Arab. Salah satunya adalah dengan tidak mempopularkan bahasa standard (fushah) dan sebaliknya menggalakkan bahasa pasar (lahjah 'ammiyah). Bahkan mereka tidak akan menghentikan usaha untuk menggantikan bahasa penulisan di beberapa negara Arab dengan bahasa 'ammiyyah. Ini belum termasuk lagi propaganda bahawa Bahasa Arab adalah bahasa yang tidak mempunyai nilai pasaran (not marketable) dan lain-lain dakwaan lagi. Adapun cabaran dari dalam adalah rendahnya minat para pelajar terhadap Bahasa Arab disebabkan oleh persekitaran yang tidak mendukung, seperti ketiadaan sokongan daripada ibu bapa, keluarga dan rakan-rakan serta kaedah pengajaran dan pembelajaran yang kurang menarik. Hal inilah juga yang menjadikan masalah dalam P&P Bahasa Arab di kebanyakan institusi-institusi pendidikan agama. Lebih jelasnya, masalah P&P Bahasa Arab ini dapat dihuraikan seperti berikut: MURID Masalah yang sering timbul adalah berpunca daripada persepsi negatif pelajar terhadap Bahasa Arab yang dianggap bahasa yang susah dan mustahil untuk dikuasai, sehingga mengakibatkan timbulnya sifat malas untuk belajar dan lemahnya semangat untuk menguasainya. GURU Masalah lain boleh berpunca daripada kualiti guru sendiri, seperti kurang kreatif dalam P&P sehingga apa yang diajarkan tidak menarik minat pelajar, ataupun disebabkan kerana kurang mantap dalam penguasaan Bahasa Arab yang mengakibatkan timbulnya kaedah pengajaran yang salah seperti: kaedah terjemahan langsung dan kurang menggunakan Bahasa Arab sehari-hari. Punca lainnya adalah tiadanya pengalaman dan kemahiran dalam menggunakan serta

memanfaatkan alat bantu mengajar yang boleh meningkatkan minat pelajar, seperti ICT dan sebagainya. BUKU Kurikulum yang kurang sesuai dan ketiadaan buku rujukan seperti kamus dan lain-lain, serta sumber bacaan yang cukup dapat mengakibatkan tahap kejayaan P&P Bahasa Arab yang rendah dan kurang memberansangkan. Buku teks yang terlalu tinggi atau terlampau rendah menjadikan pelajar tidak dapat menguasai Bahasa Arab dengan baik. Kurangnya buku rujukan dan bahan-bahan sokongan lain juga akan membantutkan pencapaian Bahasa Arab yang diharapkan. BI'AH (persekitaran) Persekitaran yang kondusif (baik dan sesuai) menjadi salah satu elemen penting dalam kejayaan P&P Bahasa Arab. Sebaliknya, jika persekitaran tidak baik, pencapaian kejayaan dalam menguasai bahasa ini juga akan menjadi tidak mudah. Oleh itu, tidak dapat dinafikan bahawa cara terbaik dan paling ideal untuk menguasai bahasa asing adalah dengan tinggal di tempat penutur-penutur bahasa itu dan bergaul serta berkomunikasi dengan mereka setiap hari. Menjadikan persekitaran yang baik dan sesuai, di mana semua pihak turut menyokong, dan suasana pembelajaran yang dipenuhi dengan segala keperluan dan persekitaran berbahasa Arab (total immersion), meskipun bukan berada di negeri penutur-penutur asli, akan dapat membantu memperkasakan bahasa dan mempercepatkan penguasaannya serta melancarkan proses pembelajaran yang berkesan. PERANAN DAN KEPENTINGAN PELAJARAN SUKATAN AL-AZHAR BAHASA ARAB DALAM MATA

Memandangkan mata pelajaran sukatan Al-Azhar yang keseluruhannya menggunakan bahasa Arab, adalah sangat penting untuk memberikan tumpuan dan perhatian lebih terhadap kemahiran bahasa Arab yang perlu dimiliki baik oleh guru mahupun pelajar. Ini hanya boleh diwujudkan sekiranya pengajaran dan pembelajaran (P & P) bahasa Arab di Sekolah adalah berjaya dilaksanakan dengan cemerlang. Sebab dengan kejayaan P & P mata pelajaran bahasa Arab pelajar akan mampu memahami mata pelajaran dan akhirnya dapat mencapai tahap kecermelangan dalam semua mata pelajaran lain seperti yang diharapkan. Sebaliknya, jika P & P bahasa Arab tidak dapat mencapai matlamatnya, maka hasil dan keputusan mata pelajaran lain yang akan diperolehi adalah rendah dan tidak memberangsangkan. Oleh yang demikian, kunci daripada kejayaan dalam semua mata pelajaran sukatan Al-Azhar terletak pada tahap kemampuan dan kemahiran dalam bahasa Arab. Bukan hanya itu, akibat daripada hasil yang tidak cemerlang ini juga akan menjadi punca kepada lemahnya para calon mahasiswa daripada Sekolah menengah agama yang

akan menyambung pelajaran ke universiti di Timur Tengah. Sehingga kebanyakan pelajar universiti akan menghadapi kesukaran ketika belajar di peringkat pengajian tinggi ini dan mendapat hasil yang kurang baik.

MASALAH DAN CABARAN YANG DIHADAI DALAM P&P SUKATAN ALAZHAR Tidak seperti mata pelajaran lain, sukatan Al-Azhar yang diajarkan di Sekolah Agama Menengah JAIS mempunyai tingkat kesukaran yang tersendiri. Bukan hanya kandungan sukatan yang disusun dalam bahasa Arab sepenuhnya sahaja, tetapi untuk memahami isi dan tajuk setiap pembahasan pun memerlukan kemahiran dalam bahasa Arab yang baik. Hal ini wajar, sebab sukatan Al-Azhar ini disusun supaya dapat menepati tahap kurikulum seperti yang dijalankan di universiti Al-Azhar sehingga pelajar lepasan Sekolah Agama Menengah tidak terkejut ketika memulakan sesi pembelajaran di peringkat universiti. Oleh yang demikian, masih terdapat pelbagai cabaran dan masalah yang dihadapi oleh guru dan murid dalam P & P matapelajar sukatan Al-Azhar ini. Di antara cabaran yang paling sering dihadapi adalah kesukaran memahami buku teks, proses pengajaran dengan menggunakan bahasa Melayu (kaedah terjemah), dan kemungkinan murid tidak dapat memahami pelajaran sekiranya diajarkan dalam bahasa Arab (sepenuhnya). Akhirnya diambil jalan dan cara yang paling mudah dengan menterjemahkan teks ke dalam bahasa Melayu. Akibatnya, P&P bahasa Arab dan matapelajaran sukatan Al-Azhar belum dapat mencapai matlamat yang sebenar kerana sebab yang disebut di atas serta sebab-sebab lain seperti: kaedah menghafal matapelajaran dan bukan memahami, konsep belajar untuk lulus mumtaz dan bukan untuk faedah ilmu dan kefahaman (Exam-oriented method). Hal ini juga menjadi punca fenomena yang timbul seperti lemahnya pelajar dalam kemahiran mendengar, bertutur dan menulis dalam bahasa Arab meskipun memperolehi markah yang cemerlang (mumtaz) dalam setiap peperiksaan. Maka sudah semestinya perhatian dan usaha yang lebih perlu dilakukan untuk memberikan masa dan ruang bagi meningkatkan tahap kemahiran bahasa Arab. Dimulai daripada memperkasa kemampuan bahasa Arab guru-guru (menerusi bengkel dan latihan), kerana mereka adalah merupakan tokoh penggerak kejayaan murid dalam mencapai matlamat P&P matapelajaran sukatan Al-Azhar.

PUSAT BAHASA ARAB NEGERI SELANGOR MEMBANTU MEMPERKASA BAHASA ARAB GURU DAN PELAJAR SEKOLAH-SEKOLAH JAIS Sebagai satu institusi pendidikan dan pusat latihan di bawah Bahagian Pendidikan Islam JAIS, Pusat Bahasa Arab Negeri Selangor (PBAS) ditubuhkan untuk membantu memperkasa bahasa Arab untuk guru dan murid di sekolah seluruh Selangor. Sejak dimulai penubuhannya pada awal tahun 2012, PBAS telah berusaha menjalankan program dan latihan bahasa Arab untuk guru dan murid.

Pusat ini dilengkapi dengan kemudahan dan peralatan untuk membantu meningkatkan mutu dan keberkesanan P&P Bahasa Arab, seperti: Makmal Bahasa, Studio Rakaman dan lain-lain. Ia juga dibarisi para tenaga pakar bahasa Arab dari dalam dan luar negara yang juga ditugaskan menjadi contoh (icon/role model) dalam melestarikan dan menghidupkan bahasa Arab di kalangan guru dan pelajar. Dalam melaksanakan matlamatnya, PBAS berpegang pada prinsip dan dasar untuk menjadikan bahasa Arab sebagai bahasa utama pengajaran dan pembelajaran matapelajaran bahasa Arab di sekolah. PBAS juga ditugaskan untuk menjalankan program-program Bahasa Arab seperti motivasi, seminar, bengkel, latihan, kursus, mukhayyam dan lain-lain secara berterusan, untuk memupuk minat pelajar dalam bahasa Arab serta mahir dalam mendengar (istima') dan bertutur (kalam) dengan tanpa rasa takut. Oleh yang demikian, sudah tiba saatnya kita berganding bahu dan bekerjasama untuk memulakan usaha memartabatkan bahasa Arab di sekolah. Dan adalah sangat mustahak untuk membantu guru-guru sukatan Al-Azhar dalam menggalas cabaran dan menjalankan tugas mengajar dengan kaedah yang baik dan betul, serta membekali mereka dengan kemahiran yang cukup. Dalam hal ini, Pusat Bahasa Arab Negeri Selangor akan selalu bersedia memberikan ruang, menyumbangkan fikiran dan tenaga untuk membantu mewujudkan usaha sama dalam mencapai matlamat memperkasa bahasa Arab di Sekolah Agama Menengah JAIS. (*)

________________________
(*)

Pusat Bahasa Arab Negeri Selangor terletak di: Jalan Bukit Jati, Kampung Jawa, Klang, dan boleh dihubungi untuk mendapatkan khidmat program bahasa Arab guru dan pelajar di talian: (Tel) 03-3373 8654 (Faks) 03-3373 8922.
E-mail: info@selangorarabiccentre.net

Website: http://www.selangorarabiccentre.net

Anda mungkin juga menyukai