Anda di halaman 1dari 22

ADAT RESAM PERKAHWINAN MELAYU

Biar Mati Anak, Jangan Mati Adat

Thursday, March 12, 2009


PENGENALAN
Masyarakat Melayu begitu berpegang teguh dengan adat resam kerana ia
dipercayai mempunyai kesan dalam kehidupan. Bagi masyarakat Melayu, adat resam
perkahwinan begitu dititikberatkan. Sesuatu upacara dalam peringkat perkahwinan itu
akan dijalankan dengan meriah dan penuh adat istiadat.
Adat perkahwinan Melayu merupakan adat resam yang paling disayangi dan
yang paling dipegang teguh oleh kebanyakan orang Melayu. Namun pada zaman
sekarang, tidak semua orang mengetahui apakah adat perkahwinan Melayu yang
sebenar.
Antara objektif yang telah dibincangkan adalah:
1. untuk memberi pendedahan yang mendalam terhadap adat perkahwinan Melayu
kepada masyarakat.
2.Mengajak masyarakat mengenal adat perkahwinan Melayu.
3.Mengajak masyarakat sama-sama memelihara warisan nenek moyang
4.Memberi petunjuk dan sedikit pengetahuan kepada golongan yang bakal
mengakiri zaman bujang mereka.
5.Memupuk semangat kerjasama antara ahli kumpulan
6.Membina keyakinan diri serta meningkatkan kemahiran sosial setiap ahli
kumpulan

Posted by http://titassemtwo.blogspot.com at 12:41 AM 5 comments:

Wednesday, March 11, 2009


ADAT MERISIK
Dalam adat perkahwinan masyarakat Melayu, terdapat beberapa peringkat penting. Pertama
sekali adalah peringkat merisik.
Adat ini juga dipanggil meninjau atau menengok. Dalam budaya Melayu, adat ini merupakan
tahap awal menjodohkan teruna dan dara, yang melibatkan pertemuan antara wakil keluarga
teruna dengan orang tua pihak dara. Pertemuan tersebut dianggap penting untuk menghormati
keluarga pihak dara, sebagaimana ungkapan dalam adat Melayu kalau hendak meminang
anaknya, pinanglah ibu bapaknya terlebih dahulu. Ungkapan tersebut menjelaskan bahwa
pandangan dan restu orang tua perlu diperoleh terlebih dahulu dalam membuat keputusan yang
besar seperti perkawinan. Tujuan adat ini dilakukan adalah untuk memastikan bahawa gadis yang
dihajati oleh seorang lelaki itu masih belum berpunya. Ini penting, kerana dalam Islam seseorang
itu dilarang meminang tunangan orang. Di samping itu, adat ini juga bertujuan untuk menyelidik
latar belakang si gadis. Lazimnya adat ini akan dijalankan oleh saudara mara terdekat pihak
lelaki seperti ibu atau bapa saudaranya. Prosesi merisik dilakukan dengan tertib dan sopan untuk
menjaga dan memelihara nama baik kedua belah pihak.
Bagi pihak si gadis, terdapat beberapa kriteria yang perlu dipertimbangkan sebelum menerima
lamaran pihak lelaki antaranya ialah lelaki tersebut perlulah mempunyai latar belakang agama
serta mempunyai pekerjaan yang baik.
Apabila wakil pihak lelaki sampai di rumah si dara, para wakil keluarga lelaki akan bercakapcakap mengenai keadaan kehidupan, pekerjaan, maupun isu-isu terkini sembil menikmati jamuan
yang dihidangkan dan dihantarkan sendiri oleh si dara. Pada saat si dara menghidangkan jamuan
itulah para wakil dari pihak lelaki berkesempatan untuk melihat wajah si dara. Setelah itu, topik
pembicaraan mulai difokuskan untuk menyampaikan maksud kedatangan pihak teruna, dan
pantun untuk merisik mulai diperdengarkan oleh juru cakap mereka. Pada tahap ini, pihak teruna
menyatakan kehendak hati untuk memetik bunga yang sedang menguntum apabila si dara
belum memiliki pasangan.

Pantun merisik ini diawali oleh pihak keluarga teruna yang kemudian akan dibalas oleh pihak
keluarga dara yang menanyakan maksud kedatangan keluarga teruna.

Sudah lama langsatnya condong


Barulah kini batangnya rebah
Sudah lama niat dikandung
Baru sekarang diizinkan Allah
Dari Pauh singgah Permatang
Singgah merapat papan kemudi
Dari jauh saya datang
Karena tuan yang baik budi
Kalau gugur buah setandan
Sampai ke tanah baru tergolek
Kami bersyukur kepada Tuhan
Datang kami disambut baik
Berapa tinggi pucuk pisang
Tinggi lagi asap api
Berapa tinggi Gunung Ledang
Tinggi lagi harapan hati
Kabung enau tebang satu
Tebang sekali dengan sigainya
Tinggi gunung tinggi lagi harapanku
Harapan dalam tutur katanya
Besar api Teluk Gadung
Anak buaya mengonggong bangkai
Niat hati nak peluk gunung
Apakan daya tangan tak sampai
Sudah lama langsatnya condong
Dahannya rebah ke ampaian
Sudah lama niat dikandung
Baru sekarang disampaikan
Setelah pihak teruna selesai melantunkan pantun yang mengungkapkan maksud hati mereka,
maka pihak dara akan membalas pantun sebagaimana berikut ini:
Perahu kolek ke hilir tanjung
Sarat bermuat tali temali
Salam tersusun sirih junjung
Apa hajat sampai kemari?
Malam-malam pasang pelita

Pelita dipasang atas peti


Kalau sudah bagai dikata
Sila terangkan hajat di hati
Tidak pernah rotan merentang
Kayu cendana dijilat api
Tidak pernah tuan bertandang
Tentu ada maksud di hati
Tumbuk lada di atas para
Ada kasut simpan di hati
Tepuk dada tanya selera
Apa maksud di dalam hati
Kemudian, pihak lelaki akan membalas pantun tersebut dengan lantunan pantun yang
menyiratkan kehendak untuk memetik bunga di taman.
Daun raya di atas bukit
Tempat raja menanam pala
Harap kami bukan sedikit
Sebanyak rambut di atas kepala
Sudah lama kami ke tasik
Tali perahu terap belaka
Sudah lama kami merisik
Baru kini bertatap muka
Tinggi-tinggi si matahari
Anak kerbau mati tertambat
Sekian lama kami mencari
Baru sekarang kami mendapat
Raja Hindu raja di Sailan
Singgah berenang di persiraman
Bagai pungguk rindukan bulan
Kumbang merindu bunga di taman
Cendrawasih burung yang sakti
Singgah hinggap di atas karang
Kasih berputik di dalam hati
Dari dahulu sampai sekarang
Singgah berenang di persiraman

Mayang terendam di dalam tasik


Kumbang merindu bunga di taman
Bintang merindu cendrawasih

Dalam adat Melayu, pihak si dara biasanya tidak langsung menjawab apa yang menjadi
kehendak pihak lelaki. Sesudah berpantun wakil lelaki tersebut akan memberikan sebentuk
cincin tanya berupa cincin belah rotan dan jika pihak gadis bersetuju mereka akan menetapkan
tarikh untuk peminangan. Walau bagaimanapun adat merisik jarang dilakukan lagi kerana
pasangan tersebut telah berkenalan terlebih dahulu, justeru itu mereka akan terus menjalankan
adat meminang untuk menjimatkan kos dan masa.
http://malaysiana.pnm.my/01/01010201mel_merisik.htm

http://melayuonline.com/culture/?a=Uk5aIC9zVEkvUXZ5bEpwRnNx=

Posted by http://titassemtwo.blogspot.com at 11:46 PM 9 comments:

MEMINANG & BERTUNANG


Setelah kata persetujuan dicapai oleh keluarga di pihak lelaki, wakil dari pihak lelaki yang
biasanya dipilih dari kalangan orang tua-tua akan diutuskan oleh ibu bapa lelaki tersebut untuk
mewakili mereka meminang anak dara yang telah dipilih. Biasanya, ibu bapa kepada anak dara
tersebut tidak akan memberi jawapan yang muktamad kepada pihak yang datang meminang
kerana mengikut adat, mereka sepatutnya diberi tempoh untuk memberi jawapan atau dipanggil
bertangguh. Ini kononnya kerana hendak berpakat dengan ahli-ahli keluarga dan waris yang
rapat, walaupun sebenarnya mereka memang sudah bersedia untuk menerima pinangan itu.
Sebenarnya, adat bertangguh ini mencerminkan budaya Melayu yang amat berhati-hati
dalam menentukan jodoh dan menunjukkan kesopanan dalam setiap tingkahlaku. Sudah
menjadi rutin dalam kehidupan seharian masyarakat Melayu untuk tidak tergopoh-gapah dalam
mengendalikan apa sahaja dan adalah menjadi pegangan bahawa setiap hal yang dilaksanakan
perlu dijalankan dengan rapi dan tersusun mengikut adat yang ditetapkan.
Setelah tamat tempoh yang diberikan, biasanya 2 hari, ada juga yang sampai seminggu, pihak
perempuan akan menghantar rombongan yang dihadiri oleh orang tua-tua yang mewakili pihak
mereka untuk memberikan jawapan. Sekiranya pinangan diterima, pada pertemuan itu mereka
akan berbincang tentang segala syarat berkenaan mas kahwin dan hantaran perbelanjaan
majlis perkahwinan. Tarikh yang sesuai juga akan dipilih untuk melangsungkan
perkahwinan. Sekiranya perkahwinan itu agak lambat dijalankan, pihak lelaki biasanya akan
Menghantar Tanda terlebih dahulu kepada pihak perempuan.
Konsep Menghantar Tanda adalah diertikan sebagai putus cakap. Ini bermaksud pinangan

dari pihak lelaki sudah pun diterima oleh pihak perempuan. Oleh yang demikian, maka
penghantaran tanda daripada lelaki kepada anak dara yang bakal dikahwininya akan dilakukan
melalui upacara bertunang. Upacara ini membawa pengertian bahawa anak dara tersebut sudah
pun dimiliki dan kini dipanggil tunangan orang. Tanda yang dihantar oleh lelaki tersebut
mengikut adat lazimnya adalah sebentuk cincin sahaja, iaitu cincin berbatu intan atau berlian,
besarnya mengikut citarasa dan kemampuan ibu bapa lelaki tersebut.

Namun begitu, bagi masyarakat Melayu, selain


cincin, beberapa barangan lain turut diberikan seperti sepasang kain dan selendang, selipar atau
sepatu, kuih-muih, manisan, dan yang paling utama dan dianggap sakral, sirih junjung. Semua
hantaran akan dihias dengan cantik dan menarik serta akan dibalas oleh pihak perempuan
sebagai tanda setuju menerima pinangan. Jumlah hantaran yang dihantar oleh pihak lelaki akan
dibuat dalam angka ganjil dan dibalas lebih oleh pihak perempuan, selalunya sebanyak dua
dulang. Contohnya, jika pihak lelaki memberikan 7 hantaran dulang, biasanya pihak perempuan
akan membalas 9 dulang. Hantaran dari pihak perempuan biasanya berupa sirih junjung,
sepersalinan baju melayu, capal dan kuih-muih.

Sekiranya dalam tempoh menunggu diijabkabulkan, ikatan pertunangan diputuskan oleh


pihak lelaki, maka cincin dan segala barang hantaran tidak boleh diminta semula dari
pihak perempuan. Berbeza pula halnya jika ikatan pertunangan diputuskan oleh pihak
perempuan. Jika ia diputuskan tanpa sebarang sebab yang dapat diterima umum, maka pihak
perempuan hendaklah mengembalikan semula segala hantaran yang telah diberikan oleh
pihak lelaki itu dalam nilai sekali ganda banyaknya atau harganya.
Selain dari adat pertunangan yang disebutkan di atas, terdapat 2 lagi cara pertunangan yang
juga wujud dalam adat resam Melayu, iaitu :
Pertunangan yang dilakukan oleh ibu bapa kedua-dua pihak sewaktu anak mereka masih
kecil lagi, dan ini tidak memerlukan penghantaran tanda. Hal ini berlaku mungkin kerana ikatan
persahabatan yang erat dan mesra di antara ibu bapa kedua belah pihak dan ikatan itu diharapkan
dapat merapatkan lagi ikatan silaturrahim antara mereka. Pertunangan yang demikian biasanya
dihormati dan dilangsungkan sehingga kedua-dua anak itu berkahwin.
Pertunangan mengikut wasiat salah seorang daripada ibu bapa yang telah meninggal
dunia di antara dua buah keluarga. Ini juga tidak memerlukan penghantaran tanda dan biasanya
diakhiri dengan ikatan perkahwinan.
Mengikut adatnya juga, sekiranya pihak gadis rupawan mempunyai kakak yang masih belum
berkahwin, hantaran untuknya juga turut diberikan. Adat ini dipanggil langkah bendul.
Alangkah bagusnya nasib sang putera bahawa si gadis rupawan tidak mempunyai kakak.
Bilangan hantaran agak unik kerana jumlahnya ganjil iaitu samada lima, tujuh, sembilan,
sebelas atau tiga belas, kerana jumlah genap dikatakan memberi implikasi yang tidak baik.
Jumlah hantaran yang diberi oleh pihak gadis rupawan pula akan melebihi jumlah hantaran pihak
sang putera. Adat menghantar belanja turut diadakan semasa adat bertunang ini dijalankan.
Namun begitu ada juga yang menjalankannya secara berasingan daripada adat bertunang iaitu
mengadakannya beberapa minggu sebelum majlis persandingan dijalankan.

*PERTUNANGAN DI SISI SYARAK*


Terbahagi kepada lima cara:
- Lelaki memberitahu hajatnya untuk meminang kepada seorang perempuan secara langsung.
- Lelaki memberitahu hajatnya untuk meminang kepada wali perempuan.
- Menggunakan pihak ketiga untuk meminang.
- Wali menawarkan anak perempuannya kepada seorang lelaki soleh.
- Perempuan menawarkan dirinya sendiri kepada seorang lelaki soleh.
Sekiranya kedua-dua pihak telah bersetuju dan menerima (menggunakan salah satu cara di atas)
maka ini adalah sudah dikira bertunang di sisi syarak.
*PERTUNANGAN DI SISI ADAT*
Kebiasaannya pihak lelaki akan memberikan barang-barang hantaran ke rumah pihak perempuan
pada majlis pertunangan yang telah ditetapkan. Kemudian perempuan akan disarungkan cincin
di jari manisnya sebagai tanda sudah bertunang oleh ibu/saudara pihak lelaki . Maka pihak
perempuan akan menetapkan dan membincangkan hantaran untuk perkahwinan berdasarkan
status seseorang perempuan itu. Dan diakhiri dengan bacaan doa dan sedikit jamuan ringan.
Majlis pertunangan ini diadakan selepas kedua-dua pihak bersetuju untuk bertunang selepas adat
merisik.

Pemberian cincin semasa pertunangan adalah suatu adat yang diamalkan di Malaysia
(mungkin diambil dari warisan orang bukan Islam) dan ia bukanlah satu syariat yang telah
ditetapkan oleh Islam. Namun ia tidaklah menjadi satu kesalahan sekiranya pemberian cincin itu
diberikan sekadar tanda pertunangan selagimana tidak menyalahi syariat. Perlu diketahui bahawa
menganggap perbuatan menanggalkan cincin sebagai tanda pertunangan diputuskan maka
ia adalah bercanggah dengan Islam.

HEBAHAN PERTUNANGAN
Tidaklah digalakkan menghebahkan pertunangan sepertimana perkahwinan. Pada pendapat saya
bahawa hebahan pertunangan sekadar perlu adalah terletak di atas budi bicara keluarga masingmasing. Adapun hebahan tentang perkahwinan adalah digalakkan (sunat) oleh Islam dan
menghadirinya adalah wajib.
WAKTU PERTUNANGAN
Berkaitan dengan pertunangan yang lama - terletak di atas diri kedua-dua pihak yang bertunang
untuk menentukannya. Sekiranya kedua-dua (peminang lelaki dan perempuan) mampu

melaluinya dan bersedia dalam tempoh masa pertunangan yang panjang maka tidaklah mengapa.
Namun pertunangan yang panjang mungkin membawa sedikit masalah.
Hakikatnya, pertunangan dalam Islam membawa seribu satu hikmah. Selain dapat
mengenali pasangan dengan lebih dekat, hubungan keluarga 2 hala dapat dibina ketika ini.
Kebolehterimaan, tolak-ansur dan saling memahami adalah kunci kepada kukuhnya ikatan yang
terpatri. Kekuatan iman juga sering teruji ketika di alam pertunangan..Justeru, alam pertunangan
juga boleh dijadikan kayu ukur terhadap rumahtangga yang bakal dibina..Moga Allah sentiasa
memberi hidayah dan membimbing hambaNYA ke jalan yang benar..
'RAHSIAKAN PERTUNANGAN SEBARKAN PERKAHWINAN'
Posted by http://titassemtwo.blogspot.com at 3:58 PM 13 comments:

MAS KAHWIN MENGIKUT NEGERI DI MALAYSIA


1.JOHOR
ANAK DARA
RM 22.50
JANDA
RM 22.50
2.MELAKA
ANAK DARA
RM 40
JANDA
RM 40
3.NEGERI SEMBILAN
-BUKAN WARIS
ANAK DARA
RM 24
JANDA
RM 12
-AHLI WARIS
ANAK DARA
RM 48
JANDA
RM 24
-KERABAT DIRAJA
RM 725
4.SELANGOR
-PUTERI SULTAN
ANAK DARA

RM 2500
JANDA
RM 625
-PUTERI RAJA MUDA ATAU PUTERI KEPADA PUTERA SULTAN
ANAK DARA
RM 2000
JANDA
RM 500
-PUTERI KERABAT DIRAJA
ANAK DARA
RM 1000
JANDA
RM 250
-PUTERI ANAK RAJA (WARIS)
ANAK DARA
RM 550
JANDA
RM 137.50
-PUTERI ANAK RAJA (YANG LAIN)
ANAK DARA
RM 300
JANDA
RM 75
-ANAK PEREMPUAN ORANG-ORANG BESAR
ANAK DARA
RM 300
JANDA
RM 75
-CUCU ORANG-ORANG BESAR
ANAK DARA
RM 200
JANDA
RM 50
-ORANG KEBANYAKKAN
ANAK DARA
RM 80
JANDA
RM40

5.KUALA LUMPUR
ANAK DARA
RM 80
JANDA
RM 40
6.PERAK
ANAK DARA
RM 101
7.PULAU PINANG
ANAK DARA
RM 24
JANDA
RM 24
8.PAHANG
ANAK DARA
RM 22.50
JANDA
RM 22.50
9.KEDAH
-TIDAK DITETAPKAN
10.PERLIS
-TIDAK DITETAPKAN
11.TERENGGANU
-TIDAK DITETAPKAN
12.KELANTAN
-TIDAK DITETAPKAN
13.SABAH
ANAK DARA
RM 100
JANDA
RM 80
14.SARAWAK

ANAK DARA
RM 120
JANDA
RM 120
15.WILAYAH PERSEKUTUAN
ANAK DARA
RM 80
JANDA
RM 80

Mas kahwin dan hantaran adalah dua perkara yang berbeza. Mas kahwin telah ditetapkan
mengikut negeri seperti yg ditunjukkan di atas tetapi hantaran pula terpulang kepada persetujuan
kedua-dua belah pihak pengantin. kebiasaannya jumlah hantaran dihantar dengan nombor yang
ganjil seperti lima, tujuh,sembilan dan sebelas. Jumlah hantaran daripada pihak pengantin lelaki
adalah lebih kecil daripada jumlah hantaran pengantin perempuan. contohnya, jika pihak
pengantin lelaki menghantar hantaran sebanyak tujuh dulang hantaran maka pihak pengantin
perempuan akan membalasnya dengan sembilan dulang hantaran. Gambar di bawah merupakan
hantaran-hantaran yang selalunya dihantar.

al-Quran

perfume set

Alat penjagaan diri

Jam tangan

Make up

Chocolate

cake

pelbagai variasi hantaran


Posted by http://titassemtwo.blogspot.com at 3:42 PM 2 comments:

ADAT BERINAI
Majlis berinai di dalam masyarakat Melayu dijalankan secara berperingkat. Terdapat 3 peringkat
berinai iaitu berinai curi, berinai kecil dan berinai besar. Pengantin perempuan akan memakai
inai pada kesemua jari tangan dan kaki termasuklah pada tapak tangan. Sebaliknya, pengantin
lelaki hanya memakai inai pada jari kelingking, jari manis dan jari hantu pada sebelah tangan
sahaja. Namun kini, masyarakat hanya membuat majlis berinai secara kecil-kecilan kerana faktor
kos yang tinggi jika mahu melaksanakan adat berinai besar.

BERINAI CURI
Berinai curi biasanya diadakan pada waktu petang hari selepas hari yang tangan dan tapak kaki
bakal pengantin perempuan diinai. Bakal pengantin perempuan dihiasi dan didudukkan di atas
pelamin. Ia juga dikatakan diadakan tiga malam sebelum hari langsung dan hanya untuk tatapan
saudara mara terdekat sahaja.
BERINAI KECIL
Berinai kecil juga diadakan pada waktu petang seperti berinai curi. Namun ia dilakukan selepas
hari berinai curi. Adat ini diadakan dua malam sebelum hari langsung untuk saudara mara, jiran
tetangga dan sahabat handai.

BERINAI BESAR
Istiadat ini dijalankan pada malam sebelum majlis langsung atau selepas majlis akad nikah untuk
para jemputan khas daripada kedua-dua belah pihak pengantin. Pada majlis tersebut, pengantin
lelaki akan diinaikan terlebih dahulu di atas pelamin diikuti pengantin perempuan. Istiadat
berinai besar bermula dengan para tetamu lelaki naik ke pelamin untuk membuang sedikit nasi
kunyit pada sebelah kiri kanan pengantin lelaki. Kemudian dilakukan dengan bertih, diikuti oleh
tangkai daun wangi yang dicelupkan ke dalam air daun setawar dan kemudian digunakan untuk
menyentuh kedua-dua belakang tangan pengantin lelaki. Akhirnya, tetamu akan mengambil
sedikit pes inai dari longgok di tengah dulang dan selepas meletakkannya pada daun sirih yang
disediakan oleh emak pengantin, akan meletakkannya pada tapak tangan pengantin lelaki. Daun
sirih itu bertujuan untuk mengelakkan mengotorkan tangan pengantin. Sejurus selepas ini, emak
pengantin akan merapatkan kedua-dua tangan pengantin dan menaikkannya pada aras dada
sebagai tanda menyembah kepada tetamu yang melakukan istiadat ini. Istiadat ini biasanya
dilakukan oleh semua tetamu yang minat, tetapi bilangan mereka harus merupakan bilangan
ganjil dan bukannya genap.
Ketika tetamu lelaki telah siap, para tetamu perempuan akan turut menjalankan istiadat ini
dengan cara yang sama. Selepas semua tetamu yang minat telah menjalankan istiadat ini, seorang
wakil daripada kalangan tetamu lelaki akan ke depan untuk membaca doa selamat. Pengantin
lelaki kemudian akan pulang ke rumah sendiri, dan pengantin perempuan turut didudukkan di
atas pelamin untuk menjalankan istiadat yang sama. Istidat ini diakhiri seperti biasa dengan
jamuan kari dan nasi.
http://ms.wikipedia.org/wiki/Adat_resam_kahwin_Melayu#Berinai
http://www.ashtech.com.my/adat/berinai.html
Posted by http://titassemtwo.blogspot.com at 12:08 AM 5 comments:
Older Posts Home
Subscribe to: Posts (Atom)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Alarm Clock
Cuaca
MENGENAI KAMI
http://titassemtwo.blogspot.com
Universiti Malaysia Pahang, Gambang, Kuantan, Malaysia
Blog ini dihasilkan oleh Nur Azaria binti Ghazali, Siti Zubaidah binti Mohd Noor,
NurNabilla binti Hamzah,Nazurah Nasuha binti Nijar, Sharizan binti Zainal Abidin dan
Nurul Wahida binti Omar. Ahli-ahli ini terdiri dari pelajar-pelajar Sarjana Muda Sistem
Komputer & Rangkaian di bawah Fakulti Sains Komputer & Kejuruteraan Perisian.
Diharapkan dengan terhasilnya blog ini sedikit sebanyak dapat memberi maklumat dan
pengetahuan kepada umum terutamanya pelajar-pelajar UMP mengenai Adat Resam
Perkahwinan Masyarakat Melayu. Blog ini terhasil atas tujuan proses P&P kami iaitu
TITAS dibawah pimpinan Ustaz Muhd Zuridan.Terima Kasih.
View my complete profile

President

Nur Azaria binti Ghazali

Vice President

Siti Zubaidah binti Mohd Noor

NurNabilla binti Hamzah

Sharizan binti Zainal Abidin

Treasurer

Nazurah Nasuha binti Nijar

Nurul Wahida Binti Omar

Followers
Blog Archive

2009 (9)
o March (9)

PENGENALAN

ADAT MERISIK

MEMINANG & BERTUNANG

MAS KAHWIN MENGIKUT NEGERI DI MALAYSIA 1.JOHOR AN...

ADAT BERINAI

AKAD NIKAH

MAJLIS PERSANDINGAN

KENDURI KAHWIN (WALIMATUL URUS)

ADAT PERKAHWINAN MELAYU MENGIKUT NEGERI

Anda mungkin juga menyukai