Anda di halaman 1dari 9

ADAT KELAHIRAN KAUM MURUT

Bagi adat kelahiran kaum Murut pula, mereka tidak mempunyai adat resam dan pantang larang yang khusus semasa mengandung dan bersalin. Mereka akan mempunyai beberapa pantang larang apabila selepas bayi itu dilahirkan, iaitu dari segi pemberian nama . Bagi masyarakat Murut, bayi yang dilahirkan tidak akan diberi nama dengan serta merta. Hal ini bertujuan untuk mengelakkan sebarang perkara buruk menimpa bayi tersebut. Oleh yang demikian, pemilihan nama amat dititikberatkan oleh masyarakat Murut. Oleh itu, kebanyakan nama yang diberi adalah berdasarkan nama alam semula jadi atau melalui sesuatu peristiwa tertentu. Selain itu, nama orang Murut juga berkemungkinan bertukar untuk beberapa kali. Situasi ini bergantung kepada keadaan yang berlaku di sekeliling mereka. Sebagai contoh, jika seseorang itu kerap sakit atau ada orang yang meninggal dunia dan secara kebetulan nama mereka adalah sama, kaum murut yang mempunyai nama itu tadi perlu menukar nama tersebut dengan serta merta bagi mengelakkan perkara yang sama berlaku kepada dirinya.

ADAT PERKAHWINAN KAUM MURUT

Sebagai permulaan adat istiadat perkahwinan Murut di Pekan Nabawan khususnya, keduadua pasangan terbabit terlebih dahulu bersetuju untuk sehidup semati antara satu sama lain dan diikuti pula dengan rombongan pihak lelaki yang bertandang ke rumah perempuan untuk menyatakan hasrat mereka. Walau bagaimanapun, ada juga ibu bapa yang berperanan menjodohkan anak mereka dengan anak-anak sahabat atau saudara semenjak mereka dilahirkan lagi. Namun begitu, dalam arus pemodenan dalam aspek sosial amnya, belia sekarang kebanyakannya bebas memilih pasangan sendiri berdasarkan cinta dan kasih sayang. Senario ini menyebabkan ibu bapa tidak lagi bersusah payah mencari jodoh untuk dikahwinkan dengan anaknya . Dalam adat meminang ini, pihak lelaki akan disertai oleh salah satu ahli keluarga terdekat sebagai saksi bagi menunjukkan kesungguhan dan keikhlasan hati si lelaki terhadap bakal isterinya. Selepas kedua-dua belah pihak bersetuju, pihak lelaki akan menghantar rombongan untuk majlis pertunangan. Kebiasaannya majlis pertunangan ini dilangsungkan secara besar-besaran ataupun sederhana selepas kedua-dua belah pihak menyetujui segala yang telah ditetapkan seperti peraturan dan amanat yang telah dipersetujui. Antara perkara yang perlu dan wajib dibawa oleh pihak lelaki untuk menunang dan ianya adalah syarat pertunangan iaitu sebentuk cincin emas atau rantai emas dan wang tunai sebanyak RM200. Jika perempuan itu telah menerima tunang lelaki tersebut, kedua-dua pihak hendaklah berbincang untuk menentukan jumlah berian nilaian wang dan jumlah nilaian harta. Justeru itu, segala perbincangan dan keputusan yang tercapai di antara kedua-dua pihak berkenaan dengan jumlah berian yang dinilai dengan mata wang dan nilaian harta hendaklah dicatat dan pihak lelaki dan pihak perempuan hendaklah menurunkan tandatangan dalam kertas tersebut sebagai tanda persetujuan dan ditandatangani oleh seorang saksi iaitu Ketua Kampung atau orang yang dilantik khas menjalankan adat istiadat atau orang yang berumur dan dipercayai oleh kedua-dua pihak . Setelah itu, pihak lelaki berserta rombongan sekali lagi datang ke rumah perempuan pada tempoh tarikh yang telah ditetapkan untuk melangsungkan perkahwinan yang disebut sebagai Amparulilabaya atau Mui Kiding oleh kaum Murut yang bermaksud perkahwinan secara besar-besaran. Corak atau cara majlis perkahwinan yang dilaksanakan adalah tertakluk kepada anutan atau kepercayaan agama atas persetujuan kedua-dua pihak. Sepanjang majlis perkahwinan ini berlangsung, para tetamu akan dihidangkan dengan pelbagai makanan dan minuman serta mereka juga tidak lupa menghidangkan minuman tradisi mereka iaitu tapai . 2

Ketika bersanding pihak lelaki hendaklah menyerahkan atau memberi nilai berian yang telah dibawa oleh keluarga pihak lelaki sesuai dengan kemampuan pihak lelaki pada ketika itu. Nilai berian itu mestilah dicatat dan ditandatangani oleh pihak lelaki dan pihak perempuan serta ditandatangani oleh dua orang saksi. Saksi adalah sama ada Ketua Kampung atau orang yang dilantik khas untuk menjalankan adat-istiadat atau orang yang telah berumur dan dipercayai oleh kedua-dua pihak iaitu seorang daripada pihak lelaki dan seorang daripada pihak perempuan . Pada masa kini nilai atau jumlah mutlak berian bagi seseorang gadis Murut di Pekan Nabawan dan lain-lain tempat dalam daerah Nabwan adalah ditentukan dalam satu pergerakan nilai iaitu di antara RM8,000 sehingga RM10,000 mengikut kemampuan pihak lelaki. Nilaian keseluruhan berian yang dimaksudkan itu adalah jumlah dalam nilaian mata wang dan nilaian dalam harta berharga. Walau bagaimanapun jumlah berian berupa wang tunai mestilah RM5,000 dan ke atas manakala nilaian harta berharga pula mestilah RM5,000 ke bawah. Nilai berian bagi perempuan masyarakat Murut di Pekan Nabawan merangkumi berian tetap antara RM5,000 hingga RM6,000, belanja dapur antara 2,000 hingga RM3,000 dan kaapuan nu tapi sebanyak RM1,000. Belanja dapur mestilah diserahkan kepada keluarga pihak perempuan sebelum majlis perkahwinan berlangsung. Manakala kaapuan nu tapi adalah wajib khas diberikan kepada ibu pihak perempuan . Sekiranya nilai berian yang telah dibawa oleh lelaki itu belum atau tidak mencukupi nilai berian sebagaimana jumlah yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak, maka nilai

lebihan atau baki yang belum terbayar dinamakan Berian Tertunggak dan pihak lelaki mesti membayarnya dalam tempoh beberapa peringkat dengan tempoh masa tertentu yang dipersetujui oleh pihak perempuan . Sekiranya pihak lelaki mahu membayar berian tertunggak itu, pihak lelaki tidak boleh meminta majlis rasmi diadakan. Pihak lelaki itu akan membayar atau memberi berian tertunggak dengan sendiri ataupun menghantar wakil bagi pihak dirinya. Setiap kali lelaki memberi berian tertunggak maka jumlah berian yang diberikan itu hendaklah dicatat dan ditandatangani oleh lelaki itu sendiri atau yang mewakilinya dan pihak perempuan dengan dua orang saksi. Selepas beberapa waktu yang telah ditetapkan majlis Bului akan diadakan. Majlis ini tidak jauh bezanya dengan majlis Amparulilabaya yang mana tedapat juga adat penghantaran berian kepada pihak perempuan. Dalam majlis Bului ini, persandingan tidak akan dilakukan. Majlis ini dikatakan sangat menyeronokkan kerana ia mempamerkan persembahan tarian tradisional di samping iringan pukulan gong dan tarian sumazau yang diiringi dengan muzik lagu-lagu murut masih dikekalkan dalam majlis Bului ini . 3

Dalam majlis ini juga, selain minuman ringan para tetamu akan dihidangkan dengan minuman tradisi seperti tapai yang disimpan dalam tajau dan diminum dengan menggunakan saluran buluh kecil. Pelbagai jenis makanan dan makanan tradisi seperti jeruk ikan dan jeruk khinzir turut dihidangkan kepada tetamu . Selang beberapa tahun, majlis tinau yang merupakan majlis peringkat terakhir dalam majlis perkahwinan kaum Murut yang bermaksud penghabisan penghantaran berian untuk pihak perempuan. Ini bermakna dalam majlis ini, pihak lelaki mestilah membayar kesemua baki nilai berian yang telah ditetapkan oleh pihak perempuan mengikut perjanjian yang dipersetujui. Walau bagaimanapun keadaan berbeza apabila pihak lelaki telah membayar kesemua nilai berian yang telah ditetapkan semasa majlis perkahwinan berlangsung. Walaupun pihak lelaki telah membayar kesemuanya, majlis tinau ini juga tetap dilangsungkan. Pihak lelaki tidak dipaksa membayar perbelanjaan majlis itu, tetapi ia bergantung kepada budi bicara pihak lelaki. Walau bagaimanapun, kebiasaan orang Murut di Pekan Nabawan ini akan memberi wang sagu hati mengikut kemampuan mereka kepada pihak perempuan untuk menampung kos perbelanjaan majlis ini. Majlis tinau ini tidak ditetapkan oleh pihak perempuan kerana ia terpulang kepada kemampuan pihak lelaki untuk membayar baki berian tertunggak itu. Tempoh pelaksanaan majlis juga tidak terhad dan ia bergantung kepada keputusan kedua-dua pihak . Menurut adat istiadat kaum Murut di Pekan Nabawan, kadar berian adalah berbeza di mana kadar berian akan ditentukan oleh bapa pihak perempuan. Berian kaum Murut ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu berian kampung dan berian putus. Berian kampung ini bermaksud berian yang berupa barang-barang lama termasuk harta berharga seperti tempayan. Biasanya tempayan-tempayan ini mempunyai nama-nama yang tertentu seperti Tiluan, Binungkul, Mandila Lair, Tiuon, Belayung Lair dan lain-lain tajau yang mempunyai nilai. Selain itu, gong besi, barang-barang kemas lama seperti bungkas, kotos, nampalur,

bubulou dan banyak lagi juga termasuk dalam berian kampung ini1.
Walau bagaimanapun, sekiranya pihak lelaki tidak mempunyai barang berharga ini atau tidak memenuhi apa yang diminta oleh keluarga pihak perempuan, keluarga pihak lelaki akan menggunakan berian putus. Berian putus ini bermaksud segala yang diminta akan dikira dengan wang tunai. Bagi pihak lelaki yang tidak mampu membayar berian tersebut

mereka akan dikehendaki menyediakan tujuh jenis tempayan sebagai tanda minta maaf daripada pihak perempuan. Keluarga pihak lelaki juga perlu menyediakan atau menghias rumah pihak perempuan dengan barang-barang hiasan yang berbentuk sulaman yang diperbuat daripada manik yang berwarna warni yang disulam dengan begitu menarik. Keluarga pihak perempuan akan menyediakan makanan dan minuman untuk para tetamu. Makanan dan minuman yang dihidangkan ini akan dibayar oleh para tetamu mengikut kadar yang telah ditetapkan. Dalam adat istiadat kaum Murut di Pekan Nabawan juga, pemberian berian bagi perempuan yang telah pernah berkahwin sama ada telah berpisah secara sah dengan suaminya melalui penceraian yang sah atau kerana kematian atau mana-mana perempuan yang pernah melahirkan anak dan masih muda adalah tidak sama dengan berian perempuan yang tidak pernah berkahwin. Berian bagi janda sekali adalah RM5,000. Nilaian berian berupa matawang adalah RM2,500 ke atas dan selebihnya adalah dalam nilaian harta berharga. Manakala bagi janda dua kali dan masih muda, jumlah berian adalah sebanyak RM3,000 iaitu RM1,500 dalam nilaian berupa matawang dan selebihnya dalam nilaian harta. Bagi perempuan yang sudah lanjut usia pula, hanya belanja dapar sahaja yang akan dikeluarkan untuk mengadakan majlis kesyukuran di antara keluarga lelaki dengan keluarga perempuan mengikut kemampuan dan kerelaan kedua-dua pihak .

ADAT KEMATIAN KAUM MURUT Setiap suku bangsa di dunia ini mempunyai adat istiadat masing-masing. Begitu juga dengan suku-suku kaum yang terdapat di Sabah. Masyarakat Murut di Pekan Nabawan juga mempunyai adat dan budaya kematian yang sangat menarik dan pernah diamalkan pada masa dahulu. Namun demikian, disebabkan oleh perubahan-perubahan dan keperluan semasa sebahagian daripada peraturan-peraturan yang kompleks itu ditinggalkan serta tidak dipratikkan pada masa kini.

Di hari kematian Masyarakat Murut di Pekan Nabawan sama seperti masyarakat Murut di tempat lain yang mengamalkan hampir sama adat dan budaya apabila berlakunya kematian di tempat mereka. Di hari kematian, perkara yang pertama mereka harus lakukan ialah mereka akan membunyikan atau memukul gong yang dikenali sebagai tawak dan rentak paluan gong dikenali sebagai kokol. Pukulan atau paluan gong ini adalah paluan khas pada hari kematian sahaja. Paluan gong ini berbeza dengan paluan gong untuk majlis-majlis tertentu. Penduduk kampung akan memahami akan maksud mengapa paluan kokol ini dilakukan secara tiba-tiba. Mereka beranggapan ada di kalangan mereka yang telah meninggal dunia . Pada dasarnya tujuan untuk membuat rentak kokol ini ialah untuk memanggil orang yang berada jauh dari tempat kejadian ataupun dari tempat kejadian dan orang di kampung tempat kematian itu. Ini kerana pada ketika dahulu kebanyakan masyarakat Murut di Nabawan ini terdiri daripada para petani. Pertanian yang dijalankan ialah bercorak pertanian pindah. Faktor ini menyebabkan mereka berada jauh daripada kawasan perkampungan. Oleh kerana tiada cara perhubungan yang lebih baik untuk menyampaikan berita tersebut dengan cepat maka masyarakat ini menggunakan gong sebagai salah satu kaedah yang terpantas untuk menyampaikan berita tersebut . Oleh itu, sesiapa yang mendengar paluan gong tersebut dengan serta merta perlu berhenti daripada melakukan pekerjaan yang sedang dibuatnya, umpamanya sedang berburu, berladang atau menangkap ikan. Mengikut adat Murut ini juga, anak menantu dan ipar duai si mati perlu segera diberitahu oleh salah seorang dari ahli rumah si mati dan jika tidak 6

seluruh penduduk kampung akan didenda. Dendanya berupa seekor kinzir dan ia perlu diberi kepada anak menantu dan ipar duai si mati tadi. Ahli rumah yang bertindak sebagai penghantar utusan tersebut juga perlu balik ke rumah pada hari yang sama dan jika tidak dipercayai dia akan ditimpa kecelakaan . Mayat akan dimandi dan dipakaikan dengan baju yang bersih dan cantik. Ketika itu ahli keluarga atau saudara-saudara si mati akan menangis meratapi kematian tersebut sebagai tanda kesedihan. Mayat akan berada di rumah selama dua hari sebelum dimasukkan ke dalam tajau yang dipanggil bangkalan di kalangan masyarakat Murut. Tajau tersebut akan ditutup dengan kayu dan di atasnya dipasang lampu kecil bertujuan untuk menakutkan hantu syaitan. Tetamu yang datang menziarahi akan dijamu dengan minuman tapai. Mereka juga dilarang berpakaian cantik atau menyanyi, kerana ini melambangkan kegembiraan. Selepas mayat dimasukkan ke dalam tajau, tetamu akan pulang ke rumah masing-masing. Penduduk kampung beserta keluarga akan berbincang untuk memilih hari dan masa yang sesuai untuk menghantar tajau ke rumah kuburan. Sebelum itu, jamuan makan serta tari menari akan diadakan terlebih dahulu. Ini diadakan pada malam pertama mayat disimpan dalam tajau dan adat ini dipanggil mengalai .

Pada hari kedua, iaitu kira-kira jam 12.00 tengah malam pula, tajau mayat dibawa keluar dari bilik ke tengah-tengah hadirin pada ketika ini keluarga dan sanak saudara akan sekali lagi bertangis-tangisan sambil mengelilingi tajau tersebut. Berikutnya pada hari ketiga , kaum lelaki akan beramai-ramai menuju ke tanah perkuburan untuk membaiki rumah kuburan sekiranya terdapat sebarang kerosakan. Terdapat pantang larang tertentu yang perlu diikuti semasa membaiki rumah kuburan tersebut. Pada malam terakhirnya, iaitu malam keempat mereka akan bersuka ria sebagai tanda menghormati malam terakhir mayat tersebut berada di rumahnya. Keesokannya di awal pagi tajau mayat akan diusung dengan menggunakan usungan kayu ke tanah perkuburan. Ketika ini keluarga si mati, terutama kaum perempuan akan menangis kerana mereka percaya dengan berbuat demikian, roh si mati akan selamat sampai ke syurga disamping bertujuan mengucapkan selamat jalan kepada si mati . Walau bagaimanapun pada masa kini, oleh kerana kebanyakan kaum Murut di Pekan Nabawan ini sudah mempunyai pegangan agama masing-masing maka upacara seperti ini kurang dipratikkan lagi. Budaya menyimpan si mati dalam tajau tidak diamalkan lagi oleh masyarakat ini. Bagi yang beragama Kristian, si mati akan dimasukkan dalam keranda. 7

Manakala bagi yang beragama Islam, si mati akan dikendalikan mengikut hukum syarak agama Islam. Pantang larang di hari kematian Dihari kematian, masyarakat Murut di pekan Nabawan ini juga sama seperti kaum yang lain yang mengamalkan beberapa pantang larang yang dipatuhi. Pada masa mayat si mati masih berada di rumah, penduduk kampung itu adalah dilarang untuk melakukan sebarang aktiviti harian mereka seperti mengerjakan ladang, memburu dan sebagainya. Menurut masyarakat ini, pada ketika dahulu sekirannya larangan ini tidak dipatuhi, dipercayai orang yang melanggar larangan tersebut akan ditimpa malapetaka . Orang yang tidak mengikuti larangan juga dianggap tidak menghormati roh si mati. Sekiranya ini berlaku, roh si mati dipercayai akan membalas dendam terhadap orang yang engkar itu dengan cara menurunkan malapetaka seperti kebakaran, kematian dan serangan penyakit terhadap orang ataupun ladang orang berkenaan. Oleh yang demikian, mereka mestilah menghormati serta mematuhi akan pantang larang tersebut. Senario ini menyebabkan masyarakat Murut di Pekan Nabawan sehingga kini juga sangat menghormati sekiranya ada kematian yang berlaku di kampung mereka. Bagi mayat si mati yang dibaringkan di tengah ruang rumah pula, hendaklah diawasi dengan baik di sepanjang masa. Pengawasan ini bertujuan untuk mengelakkan mayat si mati di langkah oleh binatang seperti kucing dan anjing. Seandainya mayat tersebut di langkah kucing atau anjing dipercayai mayat itu akan bangkit dan menggangu penduduk yang berhampiran dengannya. Sekiranya hal ini berlaku, mayat (hantu bangkit) boleh dimatikan semula apabila dipukul dengan menggunakan bantal .

Upacara pengebumian Gong akan dibunyikan di sepanjang jalan tajau mayat di hantar ke perkuburan. Tajau mayat tersebut akan dihiasi dengan manik-manik yang beraneka warna dan dipaku dengan kayu yang berukir indah. Makanan dan minuman tertentu akan dibawa bersama untuk dinikmati selepas upacara menghantar tajau mayat selesai. Masyarakat Murut di Nabawan juga percaya bahawa roh si mati akan turut serta dalam majlis makan tersebut. Di sekeliling rumah atau pondok kuburan tersebut pula dicacakkan beberapa bendera yang bewarnawarni. Bagi sesiapa yang menghantar tajau mayat tersebut , mereka akan dikenakan pantang larang tertentu selama empat hari. Pantang larang juga tidak terkecuali bagi balu si 8

mati di mana dia tidak boleh keluar rumah kecuali atas beberapa sebab-sebab tertentu dan dia juga perlu memotong pendek rambutnya .

Pada masa kini, paluan gong tidak lagi dibunyikan sepanjang menghantar mayat di kubur. Bagi masyarakat Murut yang beragama Kristian dan Islam, sebelum upacara pegembumian dilakukan si mati akan disembayangkan dahulu. Ia bertujuan untuk meminta pertolongan daripada Yang Maha Kuasa untuk memudahkan pengendalian pengembumian si mati dan dijauhi daripada sebarang gangguan syaitan sepanjang pengebumian si mati. Selepas kematian Selepas empat hari tajau mayat di hantar ke perkuburan, ahli keluarga akan meletakkan tiga potongan bara di mana tajau mayat tersebut diletakkan di dalam rumah. Bara-bara tersebut akan dikawal apinya kerana dibimbangi api bara tersebut dapat ditiup oleh roh si mati kerana mereka percaya sekiranya api tersebut menyala, rumah tersebut akan ditimpa bencana. Oleh itu untuk mengelakkan perkara ini, mereka perlu mengusir roh si mati dengan cara memukul rotan ke lantai atau dinding rumah kerana perbuatan ini dipercayai boleh mengejutkan roh si mati tersebut. Keesokannya, adat tolak bala diadakan sebagai menandakan tamatnya pantang larang upacara kematian. Lazimnya jamuan ringan akan dihidangkan dan tetamu akan membawa buah tangan berupa tajau dan gong untuk diberikan kepada keluarga si mati. Tetamu-tetamu tersebut juga akan berada di rumah tersebut selama tiga hari tiga malam . Walau bagaimanapun, bagi mereka yang mempunyai pegangan kuat terhadap agama masing-masing. Selepas pegembumian mereka tidak terikat lagi dengan upacara tersebut. Malahan ahli keluarga terdekat akan berkumpul di rumah si mati dan berdoa agar roh si mati tenang di alam barunya.

Anda mungkin juga menyukai