Anda di halaman 1dari 3

Hidupkan Budaya Gotong Royong Dalam Menjamin Sekuriti Makanan

Profesor Madya Dr. Mohd Anuar Ramli, Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya. Emel: mohdanuar@um.edu.my

Pandemik COVID-19 kini telah memasuki tahun kedua. Setiap hari kita dikejutkan dengan
senario adanya keluarga yang terputus bekalan makanan, bahkan hingga isu orang yang
mengalami tekanan perasaan, kemurungan dan bunuh diri. Peningkatan kes bunuh diri
terutamanya sangat mengejutkan. Sehinggakan pelbagai inisiatif dilakukan sama dengan
pengibaran bendera dan bank-bank makanan diwujudkan oleh pelbagai pihak bagi
membantu pihak terkesan secara langsung. Di samping itu, bantuan berbentuk sokongan
psiko-sosial dan psiko-spiritual turut dilancarkan bagi membantu pihak-pihak terkesan
agar mendapat khidmat nasihat dan kaunseling dalam menghadapi ujian COVID-19.
Apa yang jelas, pandemik ini telah memberi kesan kepada tiap pihak sama ada yang
muda ataupun tua, lelaki mahupun perempuan. Setiap kita pasti terasa sedih dan beremosi
dengan gejala yang berlaku dalam masyarakat. Namun begitu, setiap kita mempunyai
peranan masing-masing sama ada bersifat individu, dan juga secara kolektif. Dalam
masyarakat majmuk di Malaysia, kita hidup bersama-sama merentasi sempadan kaum dan
agama. Persaudaraan kemanusiaan (ukhwah basyariyyah) ini perlu dijelmakan bagi sama-
sama menghadapi pandemik ini dengan berjaya. Setiap kita berasal dari datuk dan nenek
yang sama, iaitu Adam dan Hawa, sewajarnya ia menjadi kekuatan bersama dalam
memerangi COVID-19.
Lantaran itu, program bantuan yang digerakkan boleh dimanfaatkan bersama tanpa
sempadan agama dan kaum kerana kelaparan adalah isu kemanusiaan. Dalam suasana
kejiranan, budaya gotong royong perlu dihidupkan bagi membantu pihak-pihak yang
terkesan. Masjid dan rumah ibadah boleh menjadi pusat bantuan atau bank makanan bagi
mereka yang memerlukan khususnya dalam peringkat komuniti. Manakala dari segi
bantuan secara individu, ia boleh diwujudkan di kediaman masing-masing khususnya,
terutama bagi mereka yang berkemampuan.
Dengan budaya gotong royong, tiap pihak yang terkesan dijamin cukup sumber
makanannya khususnya ketika perintah kawalan gerakan dikenakan. Dalam keadaan
terkurung, pasti ramai yang kehilangan pekerjaan, dan terjejas sumber pendapatan
sekaligus menyebabkan catuan terhadap makanan yang diambil. Malah pandemik ini turut
mengakibatkan pengurangan capaian kepada makanan sihat dan seimbang dalam
masyarakat. Terutama golongan yang miskin, di mana ketaksamaan sosial dan ekonomi
sudah tinggi dari segi latarbelakangnya, dengan penularan wabak ini telah meningkatkan
lagi kerentanan sumber makanan terhadap mereka.
Di samping itu, isu kecukupan bekalan makanan atau sekuriti makanan amat
menjejaskan golongan miskin berikutan kekurangan capaian kepada sumber makanan dan
tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk membeli makanan. Dalam situasi ini,
kumpulan yang paling rentan adalah golongan miskin bandar, penduduk di kawasan
terpencil, pendatang, petani kecil dan para pekerja tidak formal atau mereka yang kerja
sendiri. Mereka terpaksa mengawal perbelanjaan untuk meneruskan kelangsungan
kehidupan seharian di samping mengelak dari terputusnya makanan.
Dalam laporan The State of Food Security and Nutrition in the World 2020 bagi kes di
Malaysia, kelaziman kekurangan zat makanan dalam jumlah keseluruhan penduduk bagi
tahun 2017-2019 adalah sebanyak 3%, manakala kelaziman sederhana atau teruk
makanan tidak mencukupi dalam jumlah keseluruhan penduduk dari tahun 2017-2019
adalah sebanyak 15.1%, sedangkan kelaziman teruk makanan tidak mencukupi bagi jumlah
keseluruhan penduduk bagi tahun 2017-2019 adalah 6.7%. Data ini tidak melibatkan
senario pandemik seperti masa kini yang menyaksikan kes-kes ketidakcukupan makanan
ini meningkat dengan mendadak.

Senario begini sangat membimbangkan kerana dapat memberi kesan terhadap


tumbesaran fizikal dan mental isi rumah terutamanya kanak-kanak. Mereka memerlukan
pengambilan makanan yang cukup, berkhasiat dan seimbang. Dari aspek kuantiti,
kebiasaannya mereka mengalami kehabisan makanan dan menyebabkan pengambilan
kuantiti makanan tidak cukup dengan keperluan fizikal. Manakala dari segi kualiti, mereka
terpaksa mengambil makanan yang tidak berkhasiat dan tidak sesuai dan situasi ini
menyebabkan pengambilan zat makanan yang tidak seimbang dalam kalangan isi rumah.

Bagi isi rumah yang miskin tegar, adalah sukar bagi mereka untuk kelangsungan
hidup kerana mereka tidak memiliki sumber kewangan yang mencukupi. Mereka terpaksa
menggunakan solusi jangka pendek untuk mengatasi masalah yang dihadapi dan
alternatifnya, mereka akan mencatu pengambilan makanan. Begitu juga dengan isi rumah
yang kehilangan sumber pendapatan ketika pandemik COVID-19, mereka akan mengalami
peralihan pengambilan makanan daripada makanan yang kaya zat, seperti sayur-sayuran
atau daging, dan ayam kepada makanan yang lebih berkanji atau kurang khasiat. Walaupun
ini membantu untuk memberi tenaga yang mencukupi dalam jangka pendek, tingkah laku
ini akan memberi kesan jangka panjang yang negatif terhadap kesihatan, kesejahteraan
dan produktiviti generasi akan datang dan masyarakat secara keseluruhan.

Justeru, budaya gotong royong ini perlu digerakkan dalam komuniti setempat bagi
memastikan tidak ada pihak yang kelaparan atau terputus bekalan makanan di musim
pandemik COVID-19. Jadilah anggota masyarakat yang prihatin dalam mengambil berat
keadaan satu sama lain. Moga pandemik ini berjaya kita harungi dan rantaian CODIV-19
dapat kita putuskan bersama.

Anda mungkin juga menyukai