Anda di halaman 1dari 3

BAGAIKAN PUNGGUK MERINDUKAN BULAN

Setelah setahun pandemik COVID-19 merebak ke seluruh dunia, kini kita masih lagi melalui
pembatasan pergerakan demi untuk memutuskan rantaian COVID-19. Angka jangkitan
mencecah 4 angka setiap hari dan jumlah kematian secara kumulatifnya semakin
meningkat. Dalam situasi ini, tiap kita perlu berkorban dan mematuhi aturan yang
ditetapkan dengan pembudayaan norma baharu dalam kehidupan.
Setiap kita rindukan kehidupan silam yang bersifat kolektif. Sambutan perayaan
demi perayaan pada masa kini perlu diraikan dalam bentuk norma baharu. Tiap perayaan
telah melaluinya, dari Hari Raya Aidil Fitri, Aidil Adha, Tadau Kaamatan, Wesak, Deepavali,
Gawai, Krismas, Thaipusam dan Tahun Baru Cina dan semuanya disambut dalam norma
baharu. Kenangan sambutan perayaan dengan meriah, tradisi rumah terbuka, bertukar
hadiah dan ziarah menziarahi masih tersemat kuat diingatan. Walaupun kadangkala ada
percikan ketidakpuasan hati antara satu sama lain kalangan kita, namun kita tetap saling
hidup aman damai tanpa konflik dan rusuhan. Malah kita saling hormat menghormati
pegangan dan tradisi tiap kaum dan agama.

Lantaran itu, Malaysia berada pada kedudukan ke-20 dalam Indeks Kemanan Global
pada tahun 2020 di dunia dan ke-4 di Asia. Malaysia merupakan antara negara yang
berada pada tahap keamanan yang tinggi. Kedudukan ini terhasil dari pelbagai indikator,
antaranya adalah tahap konflik dalaman yang rendah dan tiada demonstrasi ganas.
Masyarakat pelbagai kaum dan agama hidup dalam keadaan yang harmoni dengan
mengharungi pandemik COVID-19 bersama. Semua pihak dapat menerima norma baharu
yang ditetapkan oleh pihak pemerintah bagi memutuskan rantaian COVID-19.

Antara norma baharu masa kini adalah sambutan perayaan utama dalam skala yang
kecil. Sebelum pandemik COVID-19, sambutan hari raya utama diraikan dengan meriah.
Orang Islam berkumpul di masjid dan surau untuk menjalankan solat hari raya, penganut
Hindu membuat perarakan Thaipusam ke kuil dan meraikan Deepavali dengan meriah,
penganut Buddha meraikan Tahun Baru Cina dan perayaan-perayaan mereka di tokong
dan penganut Kristian berkumpul di gereja merayakan sambutan Krismas. Semuanya
berkumpul beramai-ramai untuk menjalankan tanggungjawab agama masing-masing.
Tetapi kini sambutan perayaan masih lagi diteruskan namun dengan prosedur operasi
standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan dengan jumlah yang terbatas.

Di samping itu, amalan rumah terbuka merupakan sambutan bersama masyarakat


pelbagai kaum dan agama di Malaysia. Pihak penganjur akan menyediakan ruang tempat
dan makanan yang sesuai dengan pengunjung yang dijemput. Biasanya, tiap pihak akan
menjaga sensitiviti dan pantang larang antara satu sama lain. Ini kerana jemputan rumah
terbuka adalah berasaskan konsep muhibbah dan melibatkan jemputan dalam kalangan
kenalan, rakan sekerja dan juga kejiranan. Tradisi ini telah diamalkan secara meluas dalam
kalangan masyarakat Malaysia. Tetapi kini, sambutannya hanya dalam sekala kecil dan
dalam lingkungan kekeluargaan sahaja.

Begitu juga dengan tradisi mudik atau pulang ke kampung yang menjadi sebahagian
daripada kemeriahan sambutan perayaan besar di Malaysia. Ini kerana hari raya
merupakan ruang pertemuan antara adik beradik dan sanak saudara. Yang berada di kota
akan pulang ke kampung halaman untuk meraikan sambutan hari raya Bersama-sama.
Jalan raya selalunya akan padat dengan kenderaan-kenderaan. Terasa kemeriahannya
sejak dari dalam perjalanan lagi. Namun kini, setelah setahun pandemik COVID-19, kita
masih lagi melalui detik-detik pembatasan pergerakan sama ada merentas daerah ataupun
negeri. Tiada lagi tradisi ziarah menziarahi. Kita perlu menjaga kita bersama kerana
pergerakan secara besar-besaran akan mendatangkan risiko kepada warga emas dan
mereka yang berpenyakit kronik. Kes jangkitan akan terus naik sekiranya pergerakan ini
tidak dikawal. Dengan itu, tiap kita perlu bertanggungjawab memastikan tiada penularan
berlaku dalam kalangan kita. Pengorbanan ini demi kebajikan warga emas dan mereka
yang berisiko. Tidak dapat dinafikan, perasaan rindu dan sayang tidak akan mudah padam
tetapi sikap mementingkan diri hanya akan mengorbankan banyak pihak.

Tradisi-tradisi tersebut telah diamalkan dalam masyarakat majmuk di Malaysia


dalam suasana yang harmoni sebelum serangan virus COVID-19. Walaupun berlainan
agama dan kaum, kita turut bersama mengambil kesempatan bercuti bersama keluarga
masing-masing. Budaya timur yang berasaskan nilai kolektiviti dan kekeluargaan tetap
kukuh diamalkan. Kita tidak mencampuri urusan sambutan keagamaan masing-masing.
Ditambah lagi dengan batasan yang jelas telah ditetapkan berdasarkan firman Allah dalam
surah al-Kafirun, ayat 6: bagi kamu agama kamu, bagiku agamaku. Toleransi ini
membentuk persefahaman bersama bahawa ada batasan sempadan sensitiviti yang perlu
dijaga. Ini kerana urusan keagamaan adalah urusan dalaman penganutnya. Malah bagi
penganut Islam, ada konsep khusus iaitu penyerupaan dan peniruan yang dilarang
(tasyabbuh). Larangan ini melibatkan penyertaan dalam ritual dan upacara keagamaan lain
kerana berkait rapat dengan akidah dan keimanan. Sedangkan dalam amalan berbentuk
sosial seperti rumah terbuka, ziarah menziarahi dan saling bertukar hadiah atas semangat
kejiranan dan persahabatan tidak dilarang. Bahkan ia dapat memupuk perpaduan yang
erat dan dapat meminimumkan jurang prejudis antara satu sama lain.

Selain itu, Islam juga melarang penganutnya dari memusnahkan rumah ibadat
agama lain, termasuklah peralatan yang ada di dalamnya, sama ada peralatan umum
ataupun khusus bagi upacara keagamaan mereka seperti patung-patung berhala yang
menjadi sembahan mereka. Walaupun kita berbeza, umat Islam diharamkan untuk
melakukan kerosakan atau memusnahkan rumah ibadat penganut agama lain dan
sembahan mereka di samping dilarang juga daripada mencaci maki sembahan orang bukan
Islam. Dalam hal ini, Allah SWT telah berfirman dalam surah al-Hajj, ayat 40: “Dan
sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang
lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah ibadat orang-
orang Yahudi dan masjid-masjid yang di dalamnya banyak disebut nama Allah..”

Berdasarkan ayat tersebut, jelas menunjukkan larangan daripada merobohkan


rumah ibadat dan memusnahkan sembahan orang bukan Islam. Sekiranya terdapat orang
yang melakukan tindakan sedemikian dan dibuktikan bersalah, hukuman yang bersesuaian
boleh dijatuhkan. Selain melanggar undang-undang Islam, pemusnahan rumah ibadah
agama lain juga dapat menimbulkan ketegangan yang merugikan pelbagai pihak kerana
sangat dikhuatiri sekiranya ada pihak yang cuba menangguk di air keruh dengan mengapi-
apikan isu sebegini bagi meraih kepentingan politik yang sempit.
Larangan ini termasuk juga tegahan mengganggu sambutan perayaan mereka.
Jelasnya, masing-masing penganut agama bebas untuk meraikan perayaan mereka dengan
aman dan damai. Tidak boleh memaksa pihak lain untuk turut bersama melakukan ritual
atau upacara berkaitan dengan keagamaan masing-masing kerana ia terkeluar dari batasan
toleransi dan hormat menghormati. Asas toleransi ini dapat dilihat dalam surah al-
Mumtahanah ayat 8: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil
kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak
mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-
orang yang berlaku adil.

Oleh yang demikian, dalam sambutan perayaan masyarakat majmuk di Malaysia,


ada ruang untuk kita bersama untuk memeriahkannya, sama ada secara aktif ataupun
pasif. Secara aktif, pihak komuniti dan kejiranan boleh mengadakan rumah terbuka
bersama (selepas pandemik COVID-19 berakhir) bagi mengeratkan ikatan perpaduan dan
persefahaman antara komuniti di samping menjaga sensitiviti antara satu sama lain.
Manakala secara pasif, kita tidak perlu mencampuri ritual atau upacara keagamaan dalam
sambutan perayaan masing-masing dan kita tidak mengganggu perjalanannya. Menjelang
sambutan Tahun Baru Cina bakal menjelma tidak lama lagi, pelbagai prosedur operasi
standard (SOP) telah ditetapkan pihak kerajaan agar jangkitan COVID-19 dapat diputuskan.
Tradisi makan besar bersama kaum keluarga, memberi angpow, menghadiahkan limau
masih boleh diteruskan selari dengan ketetapan kerajaan. Jagalah keselamatan keluarga
kita bersama terutama warga tua dan golongan yang berisiko dari jangkitan COVID-19. Kini
kita perlu membudayakan norma baharu dalam sambutan perayaan bagi menjaga nyawa
pihak-pihak. Walaupun kita tidak lagi berkomunikasi secara bersemuka akibat perintah
kawalan pergerakan, kini telah banyak teknologi dan aplikasi yang boleh digunakan
sebagai alternatif untuk bersama-sama memeriahkan sambutan perayaan. Biar jauh dari
segi jaraknya, namun kasih sayang dan ingatan masih lagi dapat dieratkan oleh kita melalui
teknologi digital.

Jelasnya, setiap kita merindui detik dan memori silam dalam sambutan perayaan. Detik-
detik bersama kaum keluarga, ziarah menziarahi, bertukar hadiah, pulang berhari raya dan
tradisi rumah terbuka masih segar diingatan. Ini kerana kita makhluk nostalgik dan sering
merindui kenangan silam. Lumrah manusia lazimnya jarang menghargai masa yang sedang
dilalui sekarang sebelum ia berlalu pergi. Tidak mustahil satu hari nanti kita akan merindui
kenangan-kenangan ketika pandemik COVID-19. Oleh itu, marilah sama-sama kita menjaga
kita dengan mematuhi arahan pihak berwajib agar kita dapat kembali kepada norma yang
asal khususnya dalam sambutan perayaan.

Tulisan ini disediakan oleh Dr Mohd Anuar Ramli, Prof Madya di Jabatan Fiqh dan Usul,
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya bersama En. Lutfil Hakim Mohd Izani,
Mahasiswa Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Penulis boleh dihubungi di emel:
mohdanuar@um.edu.my

Anda mungkin juga menyukai