Anda di halaman 1dari 3

Tradisi Bertukar Juadah Berbuka

Profesor Madya Dr. Mohd Anuar Ramli, Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya. Emel: mohdanuar@um.edu.my

Masih segar dalam ingatan, apabila ketibaan bulan Ramadhan, banyak tradisi dalam
masyarakat Melayu diamalkan bagi memeriahkan lagi sambutan bulan yang penuh
keberkatan. Tradisi ini merangkumi amalan sebelum Ramadan tiba, ketika bulan Ramadan
dan pasca bulan Ramadan, iaitu Syawal. Bagi masyarakat rantau Alam Melayu, Ramadhan
disambut dengan persiapan yang rapi. Kemeriahannya begitu terasa. Umpamanya dalam
masyarakat Melayu, ada sambutan kenduri menjelang Ramadan, dalam masyarakat
Sumatera Utara, ada tradisi Punggahan (makan bersama), dalam masyarakat Jawa ada
tradisi Nyadran (bersih kubur), tradisi Apeman (masak kuih apam dan dibahagikan) di
Yogyakarta, masyarakat di Jambi ada tradisi Bebantai (menyembelih kerbau), tradisi
Meugang oleh masyarakat Aceh (menyembelih haiwan) dan tradisi Mantai (menyembelih
haiwan) oleh masyarakat Minang di Negeri Sembilan. Pendek kata, tradisi diamalkan ini
adalah bagi menyambut kedatangan bulan Ramadan dengan berbagai falsafah yang
tersirat.

Jika disorot ke belakang, masyarakat Melayu tradisional khususnya orang-orang tua telah
bersiap sedia menyambut bulan ini dengan berbagai persiapan. Sebelum dapur gas dan
elektrik diguna secara meluas, biasanya masyarakat telah bersiap mencari kayu api sebagai
persediaan bahan bakar untuk menyiapkan juadah berbuka dan bersahur. Begitu juga,
mereka telah membuat persediaan sumber makanan yang akan digunakan ketika bulan
Ramadan. Sebagai masyarakat berasaskan pertanian dan padi sebagai tanaman dan
makanan asasi utama, beras telah disimpan untuk penyediaan juadah makanan yang
bervariasi di samping untuk membayar fitrah. Mereka telah menumbuk padi untuk
memisahkan sekamnya, dan sebahagian berasnya digiling untuk menghasilkan tepung
beras bagi menyiapkan kuih berbuka puasa. Kuih-kuih tradisional Melayu seperti buah
melaka, pulut seri melaka, bengkang, lepat, kuih pelita, tepung bungkus antara juadah yang
menjadi pilihan untuk berbuka puasa.
Dalam masyarakat tradisional juga, kaum ibu lebih memilih untuk menyiapkan juadah
berbuka di dapur berbanding membelinya di bazar atau pasar Ramadan. Kebiasaannya,
mereka akan menyediakan juadah dalam jumlah yang berganda melebihi keperluan isi
rumah. Penyediaan ini bukanlah bertujuan untuk membazir atau berlebihan. Sebaliknya
masyarakat tradisional mengamalkan tradisi saling bertukar juadah antara jiran-jiran
terdekat. Bayangkan jika ada tiga orang jiran terdekat yang saling bertukar-tukar juadah,
sekurang-kurangnya ada empat menu berbeza siap terhidang untuk berbuka puasa.
Perkongsian pintar ini memeriahkan lagi suasana berbuka puasa dengan pelbagai pilihan
juadah berbuka.

Namun begitu, tradisi bertukar-tukar juadah ini semakin terhakis dalam sambutan
Ramadhan dari tahun ke tahun. Apatah lagi, peralihan dari tradisi menyediakan juadah di
dapur telah beralih kepada pembelian juadah di bazar Ramadhan, menyebabkan amalan ini
semakin terpinggir kerana jumlah pembelian yang terhad ekoran harga kuih yang semakin
meningkat. Keadaan ini membataskan perkongsian juadah berbuka dengan jiran sekeliling
dan amalan ini semakin hari semakin terhakis dari masyarakat Melayu.

Jika kita telusuri dalam koleksi Sunnah Nabi Muhammad SAW, didapati terdapat hadis yang
menggalakkan amalan menjamu makanan untuk berbuka puasa. Tradisi bertukar juadah
ini adalah termasuk dalam amalan menjamu orang berbuka puasa. Ini kerana ganjarannya
sangat besar bagi orang yang menjamu orang lain berbuka puasa. Nabi SAW bersabda:
“Siapa yang memberi makan orang yang berpuasa maka baginya pahala seumpamanya
tanpa sedikitpun kurang pahala orang berpuasa.” (Riwayat Ahmad, al-Tirmizi dan al-
Baihaqi). Nabi SAW juga bersabda: “Sesungguhnya orang yang berpuasa apabila makan
bersamanya orang berpuasa yang lain, maka sentiasalah para malaikat mengucap selawat
ke atasnya sehingga selesai daripada makannya.” (Riwayat Ahmad, al-Tirmizi dan al-
Baihaqi). Berdasarkan hadis-hadis tersebut jelas bahawa memberi makan orang yang
berpuasa diganjari pahala yang besar. Ini kerana Ramadan adalah bulan yang Allah
kurniakan gandaan pahala, rahmat, keampunan dan menjanjikan pembebasan dari api
neraka.
Jelasnya, tradisi saling bertukar juadah berbuka ini adalah selari dengan galakan menjamu
orang berbuka puasa. Namun amalan berbalas pemberian ini bukanlah bersifat mandatori
dan perlu dibalas oleh pihak yang menerima juadah berbuka puasa. Ini kerana ia termasuk
dalam amalan sedekah yang mana melibatkan pemberian secara sukarela tanpa imbalan.
Tetapi sebagai tradisi masyarakat Melayu yang terkenal dan sarat dengan budaya
“kesalingan”, kolektif dan gotong royong. Bak kata pepatah “orang berbudi, kita berbahasa,
orang memberi, kita merasa” jelas menggambarkan indahnya tradisi masyarakat Melayu.
Tambahan pula, tradisi ini selari dengan Sunnah Nabi SAW yang menggalakkan kita
menjamu orang berbuka puasa dan amalan sedekah yang dituntut sebagai medium
perkongsian rezki dengan para jiran sekeliling.

Justeru, tradisi saling bertukar juadah berbuka puasa ini perlu disemarakkan kembali agar
hubungan kejiranan dapat dipereratkan kembali di samping kita dapat memenuhi galakan
Sunnah Nabi SAW agar menjamu orang yang berpuasa di bulan Ramadan. Marilah
bersama-sama kita merebut ganjaran yang ditawarkan oleh Allah SWT dengan melibatkan
diri dalam pelbagai amal kebajikan dan amalan tradisi yang baik.

Anda mungkin juga menyukai