Anda di halaman 1dari 3

Ibadah Korban: Tindakan Kejam Atas Haiwan Atau Simbol Ketakwaan

Profesor Madya Dr. Mohd Anuar Ramli, Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya. Emel: mohdanuar@um.edu.my

Setiap kali menjelang 10 Zulhijjah, pasti dialog di antara seorang ayah dengan anak
kesayangannya terngiang di telinga kita. Kisah yang tercatat dalam surah al-Saffat ayat 101
yang mana Nabi Ibrahim bersabda kepada anakandanya: Wahai anak kesayanganku!
Sesungguhnya aku melihat dalam mimpiku bahawa aku akan menyembelihmu. Apakah
pendapatmu? Anaknya menjawab: Wahai ayah, lakukanlah apa yang diperintahkan
kepadamu. InsyaAllah, ayah akan mendapati aku termasuk orang-orang yang sabar.

Peristiwa yang terakam di dalam al-Qur’an tersebut menggambarkan betapa


tingginya tahap ketaatan dan ketakwaan seorang bapa dan anak terhadap perintah Allah
sehinggakan nyawa menjadi pertaruhan untuk dikorbankan. Sedangkan Nabi Ismail
merupakan anak tunggal bersama isteri baginda, iaitu Hajar. Hasil daripada keikhlasan
mereka dalam melaksanakan perintah Allah SWT, akhirnya Allah menggantikan seekor
kibas untuk disembelih oleh Nabi Ibrahim AS. Rentetan daripada peristiwa tersebut juga,
ibadah korban disyariatkan dan terus diterima dalam syariat umat Nabi Muhammad SAW
serta diamalkan sehingga kini.

Namun begitu, setiap kali sambutan Aidil Adha, akan ada suara-suara sumbang yang
mempertikaikan ibadah korban oleh umat Islam. Mereka mengaitkan amalan ini dengan
tindakan ganas terhadap haiwan. Amalan menyembelih haiwan korban dianggap sebagai
pesta keganasan dan penyiksaan terhadap haiwan. Malah ia dilihat sebagai menjijikkan,
mengerikan dan bersifat tahyul serta tidak bertamadun yang dilakukan pada zaman
moden. Dengan itu, kelompok ini menilai bahawa haiwan tidak wajar dikorbankan atas
nama agama.
Jika dilihat dalam sejarah kemanusiaan yang panjang, amalan mengorbankan nyawa
bukanlah suatu yang baharu diamalkan oleh manusia. Dalam amalan masyarakat di
pelbagai belahan dunia, ia melibatkan korban nyawa haiwan sebagai sembahan dan
pemujaan kepada tuhan, dewa dan roh tertentu. Biasanya, ia dilakukan ketika sambutan
perayaan dan upacara tradisi tertentu dengan pelbagai motif. Ada yang dilakukan sebagai
simbol penghormatan, kesyukuran dan terima kasih. Di samping itu, dalam proses
pengorbanan haiwan yang dilakukan terdapat pelbagai teknik dan kaedah yang dilakukan
sesuai dengan kepercayaan serta tradisi masing-masing.

Bagi umat Islam, ibadah korban yang dilakukan adalah berasaskan kepada tujuan
yang khusus di samping ia merupakan tuntutan agama bagi mencapai ketakwaan kepada
Allah SWT. Lantaran itu, haiwan yang ingin dikorbankan akan dipilih daripada yang terbaik
dan diuruskan dengan ihsan. Proses sembelihan juga dilaksanakan selari dengan panduan
Syarak, iaitu dengan memutuskan saluran halqum dan marih agar haiwan mati dengan
cepat. Bahkan daging haiwan yang dikorbankan turut diagihkan kepada pelbagai pihak
sama ada kelompok yang miskin mahupun kaya, dalam bentuk yang mentah mahupun
dimasak. Pendek kata, ibadah ini disambut dengan meriah dalam kalangan umat Islam di
seluruh dunia setiap tahun.

Dengan itu, tidak wajar untuk menimbulkan pertikaian terhadap amalan agama
pihak lain khususnya urusan dalaman umat Islam dan ia sewajarnya dihormati
sebagaimana umat Islam tidak mengganggu urusan ibadah agama lain terutama dalam
negara kita yang mempunyai komposisi masyarakat majmuk, berbilang kaum, agama dan
kepercayaan. Jika dilihat dalam Indeks Keamanan Global pada tahun 2021, Malaysia berada
pada kedudukan ke-23 dalam peringkat dunia dan ke-4 di Asia. Berdasarkan petunjuk
tersebut, negara kita merupakan antara negara yang berada pada tahap keamanan yang
tinggi. Kedudukan ini terhasil dari pelbagai indikator, antaranya adalah tahap konflik
dalaman yang rendah antara kaum dan agama, dan tiada demonstrasi ganas. Masyarakat
pelbagai kaum dan agama hidup dalam keadaan yang harmoni dan menghormati antara
satu sama lain tanpa mencampuri urusan agama pihak lain.

Tradisi-tradisi keagamaan setiap kaum telah diamalkan dalam masyarakat majmuk


dalam suasana yang harmoni. Walaupun berlainan agama dan kaum, kita turut mengambil
kesempatan bercuti bersama keluarga masing-masing ketika hari perayaan besar. Budaya
timur yang berasaskan nilai kolektiviti dan kekeluargaan tetap kukuh diamalkan. Kita tidak
mencampuri urusan sambutan keagamaan masing-masing. Ditambah lagi dengan batasan
yang jelas telah ditetapkan berdasarkan firman Allah dalam surah al-Kafirun, ayat 6: bagi
kamu agama kamu, bagiku agamaku. Toleransi ini membentuk persefahaman bersama
bahawa ada batasan sempadan sensitiviti yang perlu dijaga. Ini kerana urusan keagamaan
adalah urusan dalaman penganutnya.

Malah bagi penganut Islam, ada konsep khusus iaitu penyerupaan dan peniruan
yang dilarang (tasyabbuh). Larangan ini melibatkan penyertaan dalam ritual dan upacara
keagamaan lain kerana berkait rapat dengan akidah dan keimanan. Sedangkan dalam
amalan berbentuk sosial seperti rumah terbuka, ziarah menziarahi dan saling bertukar
hadiah atas semangat kejiranan dan persahabatan tidak dilarang. Bahkan ia dapat
memupuk perpaduan yang erat dan dapat meminimumkan jurang prejudis antara satu
sama lain. Larangan ini termasuk juga tegahan mengganggu sambutan perayaan pihak lain.
Jelasnya, masing-masing penganut agama bebas untuk meraikan perayaan mereka dengan
aman dan damai. Tidak boleh memaksa penganut agama lain untuk turut bersama
melakukan ritual atau upacara berkaitan dengan keagamaan masing-masing kerana ia
terkeluar dari batasan toleransi dan hormat menghormati.

Oleh itu, menjelang sambutan Aidil Adha, marilah kita pupuk sikap bertoleransi
antara agama dan kaum. Janganlah mengganggu amalan dan ibadah tiap pihak agar kita
dapat terus menikmati perdamaian dan keharmonian bersama. Bagi umat Islam, ibadah
korban adalah satu tuntutan agama dalam mencapai ketakwaan kepada Allah SWT di
samping ia juga ibadah bersifat sosial yang disulami dengan amalan sedekah dan hadiah
daging kepada pelbagai lapisan masyarakat. Terutama ketika pandemik COVID-19, seketul
daging segar yang diterima mampu untuk menggembirakan hati penerima. Di samping itu
juga, pihak-pihak yang menguruskan ibadah korban, jagalah kebajikan haiwan dengan
penuh ihsan agar ia tidak menjadi modal kepada "pencinta haiwan" untuk menyerang
amalan ini. Sebagai makhluk yang dipikulkan tanggungjawab, amanah ini perlu
dilaksanakan dengan sebaiknya agar tidak melakukan keganasan atau penyiksaan
terhadap haiwan. Sebaliknya, haiwan dimanfaatkan untuk memenuhi keperluan manusia
di samping mencapai takwa kepada Allah SWT. Semoga ibadah korban kita diterima di sisi
Allah SWT.

Anda mungkin juga menyukai