Anda di halaman 1dari 3

BAGAIKAN PUNGGUK MERINDUKAN BULAN

Profesor Madya Dr. Mohd Anuar Ramli, Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya. Emel: mohdanuar@um.edu.my

Setelah memasuki tahun kedua pandemik COVID-19 merebak ke seluruh dunia, kini kita
masih lagi melalui pembatasan pergerakan dan penutupan penuh demi memutuskan
rantaian COVID-19. Angka jangkitan hampir mencecah 5 angka dan jumlah kematian
secara kumulatifnya semakin meningkat. Dalam situasi ini, tiap kita perlu berkorban dan
mematuhi aturan yang ditetapkan dengan pembudayaan norma baharu dalam kehidupan.
Setiap kita merindui kehidupan silam yang bersifat kolektif. Sambutan perayaan
demi perayaan pada masa kini perlu diraikan dalam bentuk norma baharu. Tiap-tiap
perayaan telah kita melaluinya, dari Hari Raya Aidil Fitri, Aidil Adha, Tadau Kaamatan,
Wesak, Deepavali, Gawai, Krismas, Thaipusam dan Tahun Baru Cina dan semuanya
disambut dalam norma baharu. Kenangan sambutan perayaan dengan meriah, tradisi
rumah terbuka, bertukar hadiah dan ziarah menziarahi masih tersemat kuat diingatan.
Walaupun kadangkala ada percikan ketidakpuasan hati antara satu sama lain kalangan
kita, namun kita tetap saling hidup aman damai tanpa konflik dan rusuhan. Malah kita
saling hormat menghormati pegangan dan tradisi setiap kaum dan agama.

Antara norma baharu masa kini ialah sambutan perayaan utama dalam skala yang
kecil. Sebelum pandemik COVID-19, sambutan hari raya utama diraikan dengan meriah.
Orang Islam berkumpul di masjid dan surau untuk menjalankan solat hari raya, penganut
Hindu membuat perarakan Thaipusam ke kuil dan meraikan Deepavali dengan meriah,
penganut Buddha meraikan Tahun Baru Cina dan perayaan-perayaan mereka di tokong
dan penganut Kristian berkumpul di gereja merayakan sambutan Krismas. Semuanya
berkumpul beramai-ramai untuk menjalankan tanggungjawab agama masing-masing.
Tetapi kini sambutan perayaan masih lagi diteruskan namun dengan prosedur operasi
standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan dengan jumlah yang terbatas.

Di samping itu, amalan rumah terbuka merupakan sambutan bersama masyarakat


pelbagai kaum dan agama di Malaysia. Pihak penganjur akan menyediakan ruang tempat
dan makanan yang sesuai dengan pengunjung yang dijemput. Biasanya, setiap pihak akan
menjaga sensitiviti dan pantang larang antara satu sama lain. Ini kerana jemputan rumah
terbuka adalah berasaskan konsep muhibbah dan melibatkan jemputan dalam kalangan
kenalan, rakan sekerja dan juga kejiranan. Tradisi ini telah diamalkan secara meluas dalam
kalangan masyarakat Malaysia. Tetapi kini, sambutannya hanya dalam sekala kecil dan
dalam lingkungan kekeluargaan sahaja.

Begitu juga dengan tradisi mudik atau pulang ke kampung yang menjadi sebahagian
daripada kemeriahan sambutan perayaan besar di Malaysia. Ini kerana hari raya
merupakan ruang pertemuan antara adik beradik dan sanak saudara. Yang berada di kota
akan pulang ke kampung halaman untuk meraikan sambutan hari raya Bersama-sama.
Jalan raya selalunya akan padat dengan kenderaan-kenderaan. Terasa kemeriahannya
sejak dalam perjalanan lagi. Namun kini, setelah memasuki tahun kedua pandemik COVID-
19, kita masih lagi melalui detik-detik pembatasan pergerakan sama ada merentas daerah
ataupun negeri. Tiada lagi tradisi ziarah menziarahi. Kita perlu menjaga kita bersama
kerana pergerakan secara besar-besaran akan mendatangkan risiko kepada warga emas
dan mereka yang berpenyakit kronik. Kes jangkitan akan terus naik sekiranya pergerakan
ini tidak dikawal. Dengan itu, tiap kita perlu bertanggungjawab memastikan tiada
penularan berlaku dalam kalangan kita. Pengorbanan ini demi kebajikan warga emas dan
mereka yang berisiko. Tidak dapat dinafikan, perasaan rindu dan sayang tidak akan mudah
padam tetapi sikap mementingkan diri hanya akan mengorbankan jiwa banyak pihak.

Menjelang sambutan Aidil Adha yang bakal menjelma tidak lama lagi, pelbagai
prosedur operasi standard (SOP) telah ditetapkan pihak kerajaan agar jangkitan COVID-19
dapat diputuskan. Ibadat korban dan solat aidil adha masih boleh diteruskan tetapi perlu
mengikut ketetapan pihak kerajaan. Jagalah keselamatan keluarga kita bersama terutama
warga tua dan golongan yang berisiko daripada jangkitan COVID-19. Ambil iktibar dari
tindakan mereka yang merentas negeri untuk menyambut aildil fitri, akhirnya telah
menimbulkan kluster-kluster baru.

Kini kita perlu membudayakan norma baharu dalam sambutan perayaan bagi
menjaga nyawa pihak-pihak. Walaupun kita tidak lagi berkomunikasi secara bersemuka
akibat perintah kawalan pergerakan, kini telah banyak teknologi dan aplikasi yang boleh
digunakan sebagai alternatif untuk bersama-sama memeriahkan sambutan perayaan. Biar
jauh daripada segi jaraknya, namun kasih sayang dan ingatan masih lagi dapat
dipereratkan oleh kita melalui teknologi digital. Jelasnya, setiap kita merindui detik dan
memori silam dalam sambutan perayaan. Detik-detik bersama kaum keluarga, ziarah
menziarahi, pulang berhari raya dan tradisi rumah terbuka masih segar diingatan. Oleh itu,
marilah sama-sama kita menjaga kita dengan mematuhi arahan pihak berwajib agar kita
dapat kembali kepada norma yang asal khususnya dalam sambutan perayaan dan
penularan virus dapat dihentikan secara tuntas.

Selain itu, Islam juga melarang penganutnya daripada memusnahkan rumah ibadat
agama lain, termasuklah peralatan yang ada di dalamnya, sama ada peralatan umum
ataupun khusus bagi upacara keagamaan mereka seperti patung-patung berhala yang
menjadi sembahan mereka. Walaupun kita berbeza, umat Islam dilarang dari melakukan
kerosakan atau memusnahkan rumah ibadat penganut agama lain dan sembahan mereka
di samping dilarang juga daripada mencaci maki sembahan orang bukan Islam. Dalam hal
ini, Allah SWT telah berfirman dalam surah al-Hajj, ayat 40: “Dan sekiranya Allah tiada
menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah
dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah ibadat orang-orang Yahudi dan
masjid-masjid yang di dalamnya banyak disebut nama Allah..”

Berdasarkan ayat tersebut, jelas menunjukkan larangan daripada merobohkan


rumah ibadat dan memusnahkan sembahan orang bukan Islam. Sekiranya terdapat orang
yang melakukan tindakan sedemikian dan dibuktikan bersalah, hukuman yang bersesuaian
boleh dijatuhkan. Selain melanggar undang-undang Islam, pemusnahan rumah ibadah
agama lain juga dapat menimbulkan ketegangan yang merugikan pelbagai pihak kerana
sangat dikhuatiri sekiranya ada pihak yang cuba menangguk di air keruh dengan mengapi-
apikan isu sebegini bagi meraih kepentingan politik yang sempit.
Oleh yang demikian, dalam sambutan perayaan masyarakat majmuk di Malaysia,
ada ruang untuk kita bersama untuk memeriahkannya, sama ada secara aktif ataupun
pasif. Secara aktif, pihak komuniti dan kejiranan boleh mengadakan rumah terbuka
bersama (selepas pandemik COVID-19 berakhir) bagi mengeratkan ikatan perpaduan dan
persefahaman antara komuniti di samping menjaga sensitiviti antara satu sama lain. Jangan
melakukan provokasi keagamaan dan perkauman. Manakala secara pasif, kita tidak perlu
mencampuri ritual atau upacara keagamaan dalam sambutan perayaan masing-masing dan
kita tidak mengganggu perjalanannya. Fahami batasan antara satu sama lain agar tidak
diceroboh.

Anda mungkin juga menyukai