Anda di halaman 1dari 4

Jenayah dan Sekuriti Makanan ketika Menyambut Hari Raya Korban*

Profesor Madya Dr. Mohd Anuar Ramli, Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya. Emel: mohdanuar@um.edu.my.

Pembongkaran skandal kartel daging sejuk beku pada penghujung 2020 telah
menggemparkan pengguna Muslim di Malaysia. Ini kerana daging yang diseludup dan
diimport dari negara China, Ukraine, Brazil dan Argentina tidak mempunyai sijil halal.
Daging ini kemudiannya dibungkus semula dan dipalsukan dengan peniruan terhadap
jenama produk daging yang halal, sedangkan status asalnya adalah haram. Kejutan ini
menyebabkan pengguna Muslim mula hilang keyakinan terhadap daging sejuk beku di
pasaran.

Pada dasarnya, daging merupakan sumber protein yang mendapat permintaan tinggi di
seluruh dunia. Keadaan ini mendorong kepada perlakuan jenayah makanan yang tidak
hanya bermotifkan keuntungan semata-mata sebaliknya ia turut menyebabkan implikasi
negatif sama ada aspek fizikal dan spiritual pengguna Muslim, jika melibatkan makanan
halalan tayyiban. Ini kerana mengambil makanan halal adalah tuntutan agama yang perlu
dipatuhi bagi pengguna Muslim.

Dalam aktiviti jenayah yang melibatkan haiwan ternakan atau daging, biasanya terdapat
sejumlah pelaku yang berkomplot untuk melakukan jenayah. Ia merangkumi pihak
peladang, rumah sembelihan, organisasi jenayah rentas sempadan, syarikat logistik,
penjual malah kaki tangan pihak berkuasa yang bersubahat dengan menerima rasuah
dalam memalsukan dokumen yang berkaitan sebelum daging tersebut sampai ke tangan
pengguna. Justeru, kartel daging yang telah lama beroperasi ini berjaya mengaburi mata
pelbagai pihak.

Dengan tibanya musim hari raya korban, pihak penjenayah turut memainkan peranan
dalam rantaian bekalan daging. Di antaranya, mereka menyeludup haiwan ternakan
melalui sempadan-sempadan negara, mencuri dan menjual ternakan kepada pihak lain,
tidak mengisytiharkan status haiwan ternakan yang berpenyakit, malah ada penjual yang
menukar haiwan yang ditempah pada awalnya dengan haiwan yang kurang kualiti dan
haiwan yang tidak cukup umur untuk dilaksanakan ibadah korban untuk mengaut
keuntungan. Di samping itu juga, ada pihak yang melaksanakan korban tidak mendapatkan
Sijil Kesihatan Veterinar (SKV) dan permit penyembelihan ternakan. Proses ini penting
bagi memastikan haiwan dalam keadaan sihat dan bebas dari penyakit berjangkit seperti
penyakit kuku dan mulut, hawar berdarah, dan ancaman jangkitan zoonotik seperti
tuberculosis, salmonellosis dan lain-lain.

Tindakan-tindakan jenayah ini telah mendatangkan keuntungan kepada pihak yang


membekalkan ternakan tetapi dalam masa yang sama ia boleh memberi kesan kepada
kesihatan dan keselamatan pengguna. Tegasnya, ia diharamkan dalam Islam kerana boleh
mendatangkan kemudharatan kepada manusia. Bahkan status ibadah korban yang
dilaksanakan berpotensi menjadi tidak sah kerana keadaan haiwan yang tidak cukup umur
dan berpenyakit.

Dalam perbincangan fiqah, ulama menetapkan syarat yang berkaitan dengan haiwan
korban. Di antaranya berkaitan dengan umur haiwan ternak yang cukup ketika hendak
dikorbankan, haiwan korban tidak boleh kurus dan tiada daging, dan perlu bebas dari
penyakit. Dengan itu, bagi memastikan haiwan korban dalam keadaan yang baik dan
selamat, patuhilah prosedur yang ditetapkan agar ibadah korban kita diterima di sisi Allah
SWT.

Tegasnya, dalam melaksanakan ibadah korban, kita perlu memilih haiwan yang terbaik dan
tiada penyakit agar ia dapat dinikmati dengan selamat oleh penerima. Ketika musim ibadah
korban inilah ramai orang yang dapat menikmati daging segar berbanding masa yang lain.
Tambahan, pengguna Muslim masih lagi mengalami trauma untuk makan daging sejuk
beku ekoran pembongkaran jenayah kartel daging.

Selain itu, kita juga sedang melalui fasa pandemik COVID-19, yang mana ramai orang yang
terpaksa mengangkat atau mengibarkan bendera putih kerana terputusnya bekalan
makanan. Jika kita telusuri dalam sirah Nabi Muhammad SAW, baginda pernah
mengeluarkan arahan agar daging korban tidak boleh disimpan melebihi tiga hari.
Peristiwa ini terakam dalam laporan Abu Ubaid: Aku telah bersama Ali bin Abi Talib ketika
hari raya korban. Maka beliau memulakannya dengan solat sebelum berkhutbah dan
berkata: “Sesungguhnya Rasulullah SAW telah menegah kita daripada memakan daging
korban melebihi tiga hari”. (Riwayat Muslim, 1969)

Larangan Rasulullah SAW ini adalah disebabkan ada tetamu (orang badwi) yang datang ke
Madinah dalam keadaan kelaparan dan kesusahan pada masa tersebut. Jadi daging korban
turut diagihkan dan tidak disimpan untuk memenuhi keperluan mereka. Namun begitu,
pada tahun berikutnya Baginda SAW telah menasakhkan larangan tersebut dan sahabat
boleh menyimpan daging korban melebihi tiga hari. Pemansuhan ini terakam dalam sabda
Baginda SAW: Sesiapa yang melakukan korban, janganlah kamu menyimpan sesuatupun
daripada daging tersebut di rumah. Ketika tibanya tahun hadapan, para sahabat
bertanyakan kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah SAW, adakah perlu kami
melakukan sepertimana tahun lepas? Baginda SAW menjawab: “Makanlah kalian, berikanlah
makan kepada orang lain dan simpanlah kerana pada waktu itu (tahun yang lepas) manusia
berada di dalam kesusahan (iaitu kelaparan) dan aku menginginkan agar kamu membantu
yang lain”. (Riwayat al-Bukhari, 5569).

Rasulullah SAW telah menunjukkan contoh teladan bagaimana sekuriti makanan diuruskan
ketika berlakunya krisis ketidakcukupan kepada capaian sumber makanan dalam
masyarakat. Jadi, bagi orang yang melaksanakan ibadah korban, sebaiknya tidak
menyimpan daging korban melebihi tiga hari atau mengambil sekadar keperluan sahaja
ketika wujud situasi atau kelompok yang kelaparan. Tindakan ini dapat kita praktikkan
dalam pengagihan daging korban pada masa kini agar lebih ramai penerima dapat merasai
daging segar. Malahan para penerima juga tidak boleh bersikap tamak dan menimbun
daging sehingga orang lain tidak berpeluang untuk merasai daging korban.

Di samping itu, dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia, daging korban boleh
diagihkan kepada penerima bukan Islam yang susah dan mempunyai hubungan baik
dengan orang Islam. Daging korban yang boleh diagihkan adalah dari korban yang
berbentuk sunat, bukan yang wajib seperti korban nazar. Pandangan ini bersandarkan
Irsyad al-Fatwa yang diterbitkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dengan
justifikasi maslahah dan siyasah syar’iyyah. Namun, perlu diketahui bahawa bagi orang
India yang beragama Hindu, daging lembu tidak boleh dimakan, sebaliknya mereka boleh
diberikan daging kambing yang dikorbankan. Sedangkan bagi kaum Cina dan lain-lain,
tiada pantang larang khusus berkaitan dengan pengambilan daging.

Justeru, pada masa kini bekalan daging negara masih lagi belum mencukupi sama ada
untuk penggunaan harian di bulan-bulan yang lain ataupun ketika sambutan Aidiladha.
Kebergantungan kita kepada daging dan haiwan import mendorong pihak tertentu
merancang jenayah makanan bagi mengaut keuntungan tanpa memikirkan risiko kepada
pengguna.

Tuntasnya, bagi menjamin bekalan daging dalam negara mencukupi dan tidak bergantung
kepada import dari luar, industri ternakan ruminan pada masa ini yang masih berskala
kecil perlu dikembangkan dan Pusat Fidlot Negara (NFC) boleh dihidupkan semula. Di
samping itu Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0) 2021-2030 perlu memfokuskan
terhadap pemerkasaan sekuriti makanan khususnya yang melibatkan ternakan ruminan
agar isu berkaitan jenayah daging halal dapat ditangani dan kekurangan bekalan haiwan
korban ketika sambutan Aidiladha dapat dipenuhi di samping pengguna dapat mengakses
kepada bekalan daging halal dan segar di pasaran dengan secukupnya.

* Rencana ini adalah sebahagian daripada hasil penyelidikan geran FRGS-FP007-2018A.

Anda mungkin juga menyukai