Anda di halaman 1dari 4

Pelan Pemulihan Kendiri Pasca COVID-19

Profesor Madya Dr. Mohd Anuar Ramli, Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya. Emel: mohdanuar@um.edu.my.

Pandemik COVID-19 ibarat mimpi ngeri dalam abad ke-21. Jika sebelum berlakunya
pandemik ini, setiap orang membayangkan bahawa kita akan melalui zaman yang moden
dan canggih dengan pelbagai inovasi dan penemuan dalam sains dan teknologi,
umpamanya seperti teknologi kereta terbang. Tetapi pada realitinya, menjelang tahun
2020 hingga kini, kita banyak menghabiskan masa terkurung dalam rumah, berbanding
terlibat dengan aktiviti di luar rumah.
Pandemik ini benar-benar menguji setiap aspek kehidupan kita. Setiap orang terkesan
dengan pandemik yang berlaku sama ada dalam jumlah yang kecil mahupun besar. Akibat
dari pandemik ini, ramai orang yang mengalami tekanan, kebimbangan dan kemurungan
kerana tidak bersedia dan tidak menjangka akan melalui ujian yang berat ini. Tambahan ia
berlarutan ke tahun kedua. Ramai yang kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan,
kehilangan ahli keluarga, jiran tetangga dan sahabat handai, kerugian harta benda dan
menanggung hutang.
Dalam hal yang berkaitan dengan ujian hidup ini, Allah SWT telah berfirman dalam surah
al-Ankabut ayat 2-3: Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan
hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? (2)
Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka,
maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang
yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-
orang yang berdusta. (3)
Berdasarkan ayat-ayat tersebut, dapat difahami bahawa ujian ini adalah satu indikator
keimanan kita kepada Allah SWT. Ini kerana Allah telah menjelaskan bahawa ujian ini
adalah medan penentuan sama ada seorang hamba benar-benar beriman kepadanya
ataupun sekadar berdusta.
Sempena awal Muharram yang sedang disambut, marilah kita bersama-sama menghayati
semangat hijrah Rasul SAW yang menjadi solusi dalam menghadapi ujian berat berupa
tentangan golongan kafir Quraish. Kisah teladan hijrah yang ditunjukkan Nabi SAW dan
para Sahabat bagi membina kehidupan baharu di Madinah akhirnya membuahkan
kejayaan dalam gerakan dakwah Baginda hingga ke hari ini.
Selaras dengan itu, dalam rangka menyambut tahun baharu hijrah 1443H, perlunya kita
bergerak kepada pelan pemulihan kendiri bagi meneruskan kehidupan pasca pandemik. Ini
kerana virus COVID-19 akan berlegar-legar dalam masyarakat dan virus ini tidak akan
lenyap begitu mudah, sebaliknya apabila imuniti kelompok berjaya dicapai, pandemik ini
akan beralih kepada endemik sahaja. Dengan kata lain, kes jangkitan COVID-19 masih
wujud tetapi dalam jumlah kecil umpama kes Denggi.
Oleh itu, perlunya kepada satu pelan keluar (exit plan) sebagai perancangan ataupun pelan
pemulihan kendiri pasca pandemik agar kita dapat bangkit kembali untuk membina
kekuatan dalaman dan luaran. Apa yang telah berlaku dalam tempoh dua tahun ini boleh
dijadikan ibrah dan panduan untuk kita memandang ke hadapan serta menyusun langkah.
Sebagaimana peristiwa hijrah Rasulullah SAW ke Madinah yang dianggap sebagai pelan
keluar daripada penindasan orang Quraish. Baginda membina kekuatan kembali hampir 10
tahun dan dapat membuka Mekah dan jajahan takluk lain sebagai sebahagian negara Islam.
Pelan keluar ini adalah berdasarkan sikap optimisme dalam mewujudkan harapan,
mempercayai keyakinan diri, dan menggerakkan aktiviti bagi memastikan kejayaan
dicapai. Sebaliknya, sikap pesimisme perlu dihindari bagi mengelak pelan pemulihan yang
disusun menemui kegagalan. Jadi sikap optimisme sewajarnya mengatasi pesimisme dalam
merangka pelan keluar pasca pandemik COVID-19. Malah dalam ayat 7 surah al-Talak,
Allah telah menjanjikan kesenangan selepas kesusahan dengan firmanNya: (Orang-orang
yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan
sesudah berlakunya kesusahan.
Jelasnya, hanya jiwa yang optimis dapat mencanai ketabahan diri dan menghasilkan
ketenangan jiwa di samping keyakinan bahawa di sebalik setiap ujian Allah yang berat
pasti ada hikmahnya. Sedangkan kesusahan dan penderitaan tidak akan berkekalan lama,
malah akan berlalu pergi berganti dengan kesenangan, asalkan tidak berhenti berusaha
dan putus asa dalam hidup. Ibaratnya, di mana ada kemahuan, pasti di situ ada jalan
keluarnya.
Jadi, pelan pemulihan kendiri ini merangkumi aspek spiritual, mental, fizikal dan material. ,
Kita perlu bangkit untuk memulihkan Dari aspek spiritual atau rohani, pemulihan kendiri
perlu dilakukan untuk memantapkan hubungan manusia dengan Sang Pencipta. Sebagai
makhluk, kita berhajat kepada bantuan Allah SWT dan sentiasa berbaik sangka dengan
setiap qadha dan qadarnya. Ini kerana dalam surah al-Taghabun ayat 11, Allah SWT telah
menyatakan dengan jelas: Tidak ada suatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali
dengan izin Allah; dan barangsiapa yang beriman kepada Allah nescaya Dia akan memberi
petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu. Dengan itu, pasca
pandemik setiap kita sewajarnya kembali kepada normal lama atau berhijrah dengan
menghidupkan kembali rumah Allah, solat Jumaat dan solat jemaah di samping
meneruskan rutin amalan yang diwajibkan, disunatkan dan menjauhi perkara yang
dilarang. Dengan proses pemulihan ini, kita akan mendapat kekuatan untuk kembali
meneruskan kehidupan dengan yakin dan bertawakkal kepada Allah SWT.
Dari aspek mental dan akal, pemulihan kendiri melibatkan pengisian dengan unsur positif
yang boleh membangkitkan semangat dan motivasi hidup, menghindari unsur negatif yang
boleh menyebabkan tekanan, kebimbangan dan kemurungan di samping mengelakkan diri
dari berfikir berlebihan tentang perkara yang di luar kawalan kita. Dalam surah al-Hujurat
ayat 12, Allah SWT telah melarang berprasangka buruk: Wahai orang-orang yang beriman,
jauhilah kebanyakan prasangka, kerana sebahagian dari prasangka itu dosa. Dalam hadis
qudsi, Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Allah berfirman: Aku sesuai dengan
prasangka hambaku pada-Ku (Muttafaq alayh). Justeru, pemulihan mental dan akal pasca
pandemik atau hijrah perlu dilakukan dengan berbaik sangka kepada Allah SWT di
samping menjaga kesihatan mental dari anasir yang boleh merosakkannya. Malah carilah
ilmu agar kita dapat menguatkan akal dan keimanan kita. Ini kerana mental dan akal yang
sihat mampu mencetuskan pemikiran yang positif dan menimbulkan rasa optimis untuk
terus berjuang dalam kehidupan.
Dari aspek fizikal atau tubuh badan pula, pelan pemulihan kendiri perlu dilakukan pasca
pandemik agar kita kekal sihat dan dapat meneruskan kehidupan dengan baik. Ia
melibatkan pemulihan berbentuk dalaman dan juga luaran. Dalam hal ini, Nabi SAW
bersabda: Sesiapa di antara kamu yang bangkit pada waktu pagi dalam keadaan sihat tubuh
badan dan aman pada dirinya, serta memiliki makanan pada hari itu, maka seolah-olah dia
diberi segala nikmat dunia (Riwayat al-Tirmizi).
Pemulihan dalaman dilakukan dengan mengambil makanan yang halalan tayyiban,
makanan berkualiti dan berkhasiat, menjauhi makanan yang haram, syubhat atau makanan
bersumberkan penghasilan yang haram. Jadi makanan yang halal, cukup dan seimbang
dapat membentuk tubuh badan yang sihat. Berbanding ketika pandemik kemungkinan
wujud kekangan untuk mendapatkan makanan yang cukup dan berkhasiat.
Manakala pemulihan luaran adalah berbentuk penjagaan kesihatan tubuh badan melalui
riadah atau bersenam. Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya bagi diri kamu mempunyai
tanggungjawab untuk menunaikan hak terhadap tubuh badan kamu (Riwayat al-Bukhari).
Ini kerana kita pandemik berlaku, kita terkurung dan pergerakan menjadi terbatas di
samping aktiviti bersukan terpaksa dihadkan bagi mengelak jangkitan. Situasi ini
memberikan kesan terhadap fizikal manusia sama ada akan ada orang yang mengalami
penurunan berat badan akibat tidak cukup makan dan menahan lapar kerana makanan
terpaksa dicatu atau terpaksa mengambil makanan tidak bergizi kerana harga lebih murah
atau mereka akan mengalami pertambahan berat badan dan obesiti kerana banyak
mengambil makanan tanpa pergerakkan yang mampu membakar kalori secukupnya.
Dengan itu, pelan pemulihan pasca pandemik atau hijrah dilakukan dengan mengambil
makanan halalan tayyiban, seimbang, berkhasiat di samping meneruskan kembali aktiviti
bersukan atau bersenam bagi memastikan tubuh badan kekal sihat. Tubuh badan yang
sihat akan memberi energi untuk kita berusaha dan berjuang meneruskan kehidupan pasca
pandemik.
Dari aspek material atau kebendaan, pelan pemulihan kendiri melibatkan perancangan
untuk memulihkan sumber pendapatan dan ekonomi keluarga di samping lebih cakna dan
peduli dengan masyarakat sekitar. Ketika pandemik berlaku, banyak pihak yang hilang
sumber pendapatan dan terjejas teruk. Dalam masa yang sama banyak bantuan daripada
pihak kerajaan, swasta, institusi zakat, badan bukan kerajaan dan pihak persendirian yang
menggerakkan bantuan keperluan asas dengan mewujudkan bakul makanan dan bank
makanan bagi meringankan beban mereka yang terjejas. Namun, bantuan yang diberikan
bersifat terbatas. Tidak dapat tidak, pasca pandemik mereka perlu memikirkan dan
berusaha untuk bangkit kembali berhijrah untuk mencari sumber kewangan bagi
meneruskan kehidupan. Dalam hal ini, Rasulullah menegaskan tentang kemuliaan mereka
yang menikmati hasil titik peluh sendiri dengan sabdanya: Sesungguhnya jika seseorang di
antara kamu membawa tali-talinya dan pergi ke bukit mencari kayu api, lalu dipikul di
belakangnya untuk dijual sehingga dia mampu memenuhi keperluan keluarga dan hidupnya
adalah lebih baik daripada meminta-minta kepada orang lain sama ada mereka memberi
atau tidak. (Riwayat al-Bukhari).
Namun pelan pemulihan kendiri ini tidak menafikan bantuan sosial daripada pihak yang
lain. Ini kerana Nabi SAW bersabda: Barangsiapa yang membantu seorang muslim (dalam)
suatu kesusahan di dunia maka Allah akan menolongnya dalam kesusahan pada hari kiamat,
dan barangsiapa yang meringankan (beban) seorang muslim yang sedang kesulitan maka
Allah akan meringankan (bebannya) di dunia dan akhirat. (Riwayat Muslim). Hadis tersebut
jelas menyatakan kelebihan orang yang membantu meringankan beban pihak lain. Namun
begitu, mereka tidak boleh mengambil kesempatan di atas bantuan tanpa berusaha untuk
keluar dari kemelut ekonomi rumahtangga.
Tegasnya, pelan pemulihan kendiri pasca pandemik COVID-19 ini tidak akan berjaya tanpa
ada inisiatif setiap individu dalam mengubah kehidupannya. Semangat hijrah Nabi SAW
wajar dijadikan teladan untuk kita terus bermotivasi dan meraih prestasi. Ini kerana hijrah
baginda adalah titik tolak sebuah perjuangan yang keras untuk menyampaikan dakwah
Islam ke seluruh pelosok alam. Siri dakwah secara lembut, melalui peperangan dan
berbagai strategi lagi telah berjaya menjadi pelan keluar kepada kemelut ujian penindasan
kaum kafir Quraish dan akhirnya kota Mekah berjaya ditawan kembali dengan penuh gaya
tanpa pertumpahan darah.
Justeru, memang tidak dinafikan bahawa pandemik ini telah meninggalkan kesan
traumatik yang mendalam kepada ramai orang tetapi sebagai pelan keluar pasca
pandemik, pelan pemulihan kendiri sebagai inspirasi hijrah Rasulullah perlu dirancang rapi
agar kita dapat meneruskan kehidupan dengan baik kelak.

Anda mungkin juga menyukai