Anda di halaman 1dari 3

IMPAK WABAK COVID-19 TERHADAP KESEJAHTERAAN MENTAL

Tidak dinafikan bahawa penularan wabak COVID-19 memberikan impak yang besar
terhadap dunia, bukan sahaja di Malaysia malah seluruh benua. Wabak COVID-19 ini
menghujani manusia ibarat badai yang melanda. Tambahan pula, gelombang yang tidak
terduga ini jelas telah menjejaskan setiap aspek kehidupan masyarakat malah mengganggu
ketenteraman emosi individu tersebut. Seluruh masyarakat, tanpa mengira status sosial atau
umur, mengalami gangguan emosi akibat kebimbangan terhadap ketidakstabilan ekonomi,
kesihatan fizikal dan mental, perubahan dalam pembelajaran dan sebagainya. Persoalannya,
sejauh manakah wabak ini dapat mempengaruhi emosi seseorang dan dapatkah setiap satu
daripada mereka menemukan ketahanan dan menyesuaikan diri dengan perubahan drastik itu?
Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 214, “Apakah kamu mengira bahawa kamu
akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (ujian) sebagaimana ujian yang menimpa
orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan,
serta digoncangkan (dengan bermacam-macam ujian) sehingga berkatalah Rasul dan orang-
orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah,
sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.

COVID-19 telah memberikan kesan yang besar kepada ekonomi Malaysia. Oleh sebab
sekatan pergerakan dan langkah-langkah kawalan yang ditetapkan oleh kerajaan, terdapat
banyak perniagaan terpaksa ditutup atau tidak boleh beroperasi sepenuhnya menyebabkan
pendapatan para pekerja turut terjejas. Ada di antara masyarakat yang hilang sumber rezeki
kerana tempat kerjanya ditutup lalu mereka ini melakukan kerja separuh waktu demi sesuap
nasi. Namun, pendapatan yang diperolehi tidaklah seberapa untuk menanggung seisi rumah.
Kondisi ekonomi yang tidak stabil ini mewujudkan keresahan dalam jiwa masyarakat kerana
kekurangan wang untuk memenuhi keperluan asas seperti makanan, perumahan, atau
penjagaan kesihatan. Tambahan pula, keadaan ini boleh menimbulkan konflik dan tekanan
yang serius dalam hubungan kekeluargaan sehingga timbulnya isu bunuh diri. Oleh itu, sudah
terang lagi bersuluh bahawa ketidakstabilan kewangan akan memberikan kesan emosi yang
negatif kepada masyarakat sekali gus menjejaskan kesihatan mental mereka secara
keseluruhannya. Tuntasnya, dalam mengharungi penularan wabak COVID-19, setiap individu
sewajarnya memberikan sokongan dan semangat yang luar biasa antara satu sama lain kerana
berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.
Kesihatan masyarakat di Malaysia kian membimbangkan dek penularan wabak COVID-
19. Individu yang dijangkiti virus, terutamanya warga emas dan juga mereka yang mempunyai
penyakit kronik seperti sakit jantung, kegagalan buah pinggang, tekanan darah tinggi dan
sebagainya akan benar-benar membahayakan kesihatan dan nyawa mereka. Hal ini kerana daya
tahan badan individu yang berpenyakit adalah lebih lemah berbanding dengan orang yang sihat
serta penghasilan antibodi mereka mengambil masa yang lebih lama atau mungkin tidak
dihasilkan dalam kuantiti yang tinggi pada awal jangkitan. Oleh hal yang demikian, kerisauan
mereka apabila mereka dijangkiti dengan virus ini semakin meningkat kerana sudah terbukti
virus COVID-19 boleh meragut nyawa pada bila-bila masa seterusnya menjadikan mereka
murung dan tidak berdaya. Kekurangan oksigen dalam badan individu juga akan menurun
sedikit demi sedikit berpunca daripada serangan virus- virus ini ke seluruh tisu-tisu dalam
badan, menyebabkan fungsi organ dalaman tidak dapat bekerja dengan baik. Kebanyakan
daripada warga emas dan juga individu yang mempunyai masalah kesihatan tidak berjaya
melawan virus ini lalu membawa mereka kepada maut. Justeru, semangat untuk terus hidup
dan mental yang kuat memainkan peranan penting untuk kembali sihat seperti sedia kala.

Krisis global akibat penularan wabak COVID-19 bukan sahaja mempengaruhi ekonomi
dan kesihatan, malah sektor pendidikan turut terkesan. Hal ini kerana para pelajar sukar untuk
menyesuaikan diri dengan gaya pembelajaran baru melalui peningkatan teknologi pendidikan
dan strategi pembelajaran yang lebih fleksibel. Walaupun kerajaan memperkenalkan ‘Learning
from home’, perkara ini tidak dapat menjamin sesi pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc)
berjalan dengan lancar. Gangguan internet yang kurang memuaskan dan juga ketiadaan peranti
pintar untuk meneruskan pembelajaran menyebabkan para pelajar stres sekali gus hilang minat
untuk belajar. Ekonomi keluarga yang kurang stabil dek wabak ini menghalang mereka untuk
memiliki kemudahan gajet serta internet yang baik bagi menimba ilmu pengetahuan. Walaupun
pembelajaran dalam talian memberikan kesan emosi yang buruk kepada pelajar, namun tidak
dapat dinafikan bahawa kaedah pembelajaran secara maya ini amatlah fleksibel dan efektif
kerana pelajar boleh belajar di serata tempat serta boleh menonton kembali rakaman video
pembelajaran pada bila-bila masa sahaja. Tuntasnya, kekurangan yang dimiliki oleh orang yang
tidak bernasib baik menghalang mereka untuk belajar dengan baik seterusnya menambahkan
tekanan dalam diri individu. Biarpun begitu, pepatah hendak seribu daya, tak hendak seribu
dalih mengajar manusia untuk terus berjuang demi mencapai apa yang diinginkan dan bukanlah
menjadikan kekurangan itu sebagai alasan tidak memperoleh kejayaan.
Firman Allah SWT dalam surah al baqarah ayat 155 yang bermaksud “Dan
sesungguhnya kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh),
(dengan merasai) kelaparan, (dengan berlakunya) kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan.
Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang sabar.” Dapatlah disimpulkan bahawa
apabila seseorang menerima tekanan hidup, hendaklah dia bersabar dan berfikiran positif
dengan ujian tersebut. Setiap ujian yang diberikan oleh Allah SWT pada akhirnya akan kembali
kepada-Nya. Justeru, umum haruslah menjauhi diri daripada mengeluh dengan nasib yang
menimpa apatah lagi berasa hidup ini tidak adil kerana semua itu akan mendorong mereka
kepada gangguan emosi serta fizikal. Biarpun begitu, tidak dapat disangkal bahawa penularan
wabak COVID-19 benar-benar menguji komuniti tanpa mengira identiti. Natijahnya, semua
pihak perlu menangani musibah ini dengan tenang samaada dalam hal berkaitan ekonomi,
kesihatan mahupun pendidikan kerana fikiran yang lapang dapat membuahkan idea yang
bernas dan tidak akan timbul niat yang negatif seperti membunuh diri dan sebagainya dek
tekanan hidup yang dahsyat.

(Ditulis oleh : Tuan Arifa Sumayyah binti Tuan Amri)


Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia

References :
1) Unesdoc.unesco.org. (n.d.). https://unesdoc.unesco.org/ark:/48223/pf0000378626_may

2) Othman, D. M. S. (2022, August 3). Ingat allah Hilang Tekanan. Harian Metro.
https://www.hmetro.com.my/addin/2022/08/867741/ingat-allah-hilang-tekanan

Anda mungkin juga menyukai