Anda di halaman 1dari 2

Sejarah Hari Raya Aidilfitri

 Sumber: http://www.sepaku.net/sepaku-nur-addin/9754-sejarah-hari-raya.html

SEJARAH hari raya dalam Islam bermula apabila Rasulullah berhijrah ke Madinah.
Baginda mendapati ada dua hari raya yang disambut oleh bangsa Arab pada
masa itu. Apabila Rasulullah bertanya kepada mereka apakah dua hari raya itu,
mereka segera menjawab bahawa dua hari raya yang mereka sambut itu adalah
perayaan yang diwarisi secara turun temurun daripada datuk nenek mereka.

Lalu Rasulullah menyatakan kepada orang Arab Madinah bahawa Islam


menggantikan dua hari raya yang kamu raikan itu dengan dua hari yang lebih
bermakna iaitu Hari Raya korban atau Aidiladha dan Hari Raya Fitrah atau
Aidilfitri.

Konsep hari raya dalam Islam jelas menunjukkan bahawa ia adalah perayaan
keagamaan. Ini bermakna jika ia disambut di atas landasan agama, maka hari
raya yang diraikan itu adalah satu ibadat.

Aidilfitri disambut sebagai suatu kemenangan bagi orang yang dapat


mengerjakan ibadat puasa Ramadan dengan sempurna.

Kemenangan itu bukan saja menang kerana berjaya mengawal nafsu makan dan
minum selama sebulan pada siang hari sepanjang Ramadan, malah kejayaan
menghalang diri daripada melakukan perkara dilarang, di mana jika dilakukan
akan terbatal puasanya. Kerana itu Allah menganugerahkan satu hari untuk kita
sama-sama meraikan kejayaan daripada kemenangan itu.
Kalimat ‘fitri’ sendiri bermaksud fitrah iaitu dengan kejayaan manusia balik
kepada fitrah yang asal. Fitrah asal ini sebenarnya suatu permulaan kejadian
manusia yang sememangnya bersih daripada dosa dan noda.

Oleh kerana ia dikatakan sebagai perayaan keagamaan, maka cara menyambut


hari raya itu sendiri perlulah mengikut adab dan peraturan tertentu. Apabila saja
diumumkan hari raya, maka mulakanlah malamnya dengan aktiviti ibadat. Ini
seperti memperbanyakkan solat sunat, bertasbih, bertakbir dan bertahmid
sebagai tanda kesyukuran.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Tabrani dari Ubadah bin Soib menyatakan
bahawa:
“Sesiapa yang menghidupkan malam Aidilfitri dan Aidiladha dengan amalan yang
baik dan ikhlas kerana Allah, maka tidak akan mati hatinya pada hari semua hati-
hati akan mati, iaitu hari kiamat.”

Pada pagi hari raya dimulakan dengan membersih diri, bersiap-siap untuk ke
masjid menunaikan solat sunat Aidilfitri dan seterusnya menghidupkan ukhwah
dengan kunjung mengunjung di kalangan saudara mara dan sahabat handai.

Perlu diingat Islam tidak pernah mengajar umatnya agar untuk berlebih-lebih
atau melampau batas dalam menyambut apa saja perayaan. Ini bermakna Islam
menegah umatnya melakukan pembaziran dalam menyambut hari raya seperti
boros berbelanja semata-mata untuk bergaya dengan pakaian mahal dan kuih
muih terlalu banyak.
Pada zaman Rasulullah, datang seorang sahabat kepada baginda dengan
berpakaian serba baru, kata sahabat ini: "Ya Rasulullah, pada tahun ini saya
tidak dapat dapat menyambut Aidilfitri.” Lalu baginda segera bertanya: “Kenapa
wahai saudaraku?” Lelaki itu berkata: "Kerana saya tidak ada baju baru."

Rasulullah kemudian bertanya kepada beberapa sahabat lain, agar sesiapa yang
mempunyai baju baru dapat diberikan kepada lelaki tadi. Ini bermakna Islam
tidak melarang sesiapa saja untuk bergaya dengan baju baru. Tetapi pengajaran
daripada kisah tadi ialah dalam menyambut hari raya tidak semua bernasib baik
dengan mempunyai pakaian baru. Lalu, digalak sesiapa yang ingin membuat
kebajikan dengan bersedekah apa saja kepada orang yang tidak berupaya.

Konsep hari raya selalunya dikaitkan dengan pembaziran. Membelanjakan wang


ringgit untuk membeli secara berlebihan atau membeli sesuatu yang boleh
membawa kemudaratan seperti mercun dan bunga api amat salah di sisi agama.
Mungkin pembaziran ini berlaku kerana masyarakat kita hidup dalam
kemewahan.

Sepatutnya rezeki yang lebih itu disumbangkan kepada saudara seagama lain
yang mungkin tidak dapat merayakan hari raya seperti kita.

Satu lagi budaya yang lazim berlaku dalam sambutan hari raya ialah pemberian
duit raya. Islam tidak melarang pemberian ini, asalkan tidak melampaui konsep
pemberiannya itu. Usahlah kita mendidik anak-anak supaya berkunjung ke rumah
jiran semata-mata dengan harapan anak akan diberi duit raya ini. Jika
sebaliknya, maka pelbagai anggapan dan prasangka buruk diberikan kepada
sesiapa yang tidak melazimkan pemberian itu. Misalnya, dikatakan kedekut,
tangkai jering dan bakhil.

Menyentuh soal wang ini, satu kewajipan yang perlu ditunaikan oleh semua umat
Islam menjelang Aidilfitri ialah zakat fitrah. Wang zakat ini adalah sumbangan
yang akan diberikan kepada golongan yang tidak berupaya, miskin, fakir dan
sebagainya mengikut lapan asnaf yang ditetapkan syariat.

Jika Aidilfitri disambut dengan kegembiraan yang melampau tanpa melihat


beberapa pengisian yang disebutkan tadi, pasti tujuan asalnya jauh menyimpang.
Kedatangan Syawal sepatutnya menginsafkan Muslimin di sebalik makna
kemenangan dan kejayaan dalam sambutan Aidilfitri, kita tidak sepatutnya
melupakan tuntutan agama.

Anda mungkin juga menyukai