Anda di halaman 1dari 7

ULASAN ARTIKEL

Artikel berkaitan dengan Isu Undang-Undang Jenayah Islam Di Malaysia dan Sejauh Manakah
Pelaksanaannya ini ditulis oleh Zulkifli Bin Hasan. Penulis merupakan Ketua Program Diploma
Amalan Kehakiman dan Guaman Syarie Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains
Islam Malaysia (USIM). Artikel ini menceritakan kekurangan bidang kuasa Mahkamah Syariah
yang amat terhad dan perlu diberi penambahbaikan terutamanya dari sudut pengamalan dan
perlaksanaan undang-undang jenayah Islam di Malaysia. Disamping itu, artikel ini memfokuskan
kepada perbincangan dengan memberi gambaran secara umum mengenai perkembangan undang-
undang jenayah Islam di Malaysia dan menghuraikan amalan serta pelaksanaannya di
Mahkamah Syariah.

Menurut penulis, perundangan jenayah Islam di Malaysia hanya merangkumi hukuman


secara takzir dan tiada sebarang undang-undang khas yang meliputi hukum hudud dan qisas
dilaksanakan secara meluas. Namun begitu, kerajaan Kelantan dan Terengganu pernah berusaha
untuk melaksanakan undang-undang tersebut namun sehingga kini masih belum terlaksana. Ini
kerana bidang kuasa Mahkamah Syariah amat terhad berbanding Mahkamah Sivil.

Pindaan yang dilakukan pada tahun 1988 dalam Perlembagaan Persekutuan perkara 121
(1A) telah mengasingkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil. Ini bermakna
sebarang urusan yang berkaitan dengan bidang kuasa Mahkamah Sivil tidak boleh dicampuri
oleh Mahkamah Syariah. Justeru, undang-undang jenayah syariah ini boleh diklasifikasikan
kepada beberapa jenis kesalahan. Kesalahan-kesalahan ini dapat dibahagikan kepada kesalahan
berhubung dengan seksual, minuman keras, akidah, kesusilaan, judi, rukun Islam, kesucian
Agama Islam dan institusinya serta matrimoni dan juga kesalahan-kesalahan lain.

Undang-undang Islam sebagai suatu undang-undang negara adalah didasarkan kepada


Al-Quran dan As-Sunnah, walaupun masih banyak orang-orang Islam sendiri meragui
kewibawaannya malah banyak yang mempersendakan tentang kemampuannya untuk
menyelesaikan masalah negara dan kesesuaiannya dengan zaman. Keperluan itu lebih mendesak
apabila keadaan masyarakat Islam itu sendiri masih jauh ketinggalan dalam bidang penghayatan
undang-undang Islam. Apatah lagi pada zaman orang-orang tertentu sering mempergunakan

1
ungkapan penghayatan nilai-nilai Islam dalam masyarakat, sedangkan undang-undang Islam
diketepikan dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah. Undang-Undang Islam telah lama
dihayati oleh umat Islam, tetapi kerana tentangan dan permusuhan yang sering melanda umat
Islam daripada berbagai-bagai sumber maka kelangsungan pelaksanaan Undang-undang Islam
terbantut dan tidak dapat dilaksanakan seperti undang-undang sivil.

Peruntukan perundangan Islam dalam enakmen-enakmen adalah amat terhad yang


merangkumi peruntukan hukumannya. Ini kerana hukumannya hanya merangkumi takzir iaitu
penjara, denda dan sebatan. Menurut penulis, antara enakmen-enakmen yang boleh dilihat seperti
Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995, Akta jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997,
Enakmen Jenayah Syariah Kelantan 1985 dan Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat
Melayu Kelantan 1986. Pengklasifikasian jenayah syariah dapat diringkaskan kepada dua
bahagian iaitu kesalahan di bawah enakmen atau jenayah syariah dan enakmen atau akta undang-
undang kekeluargaan Islam.

Merujuk kepada artikel yang ditulis, terdapat sepuluh kesalahan yang diperuntukkan di
bawah Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 iaitu perbuatan sumbang mahram, pelacuran,
muncikari, persetubuhan luar nikah, perbuatan persediaan untuk melakukan persetubuhan luar
nikah, hubungan jenis antara orang yang sama jantina, persetubuhan bertentangan dengan hukum
tabii, khalwat, lelaki berlagak seperti perempuan dan perbuatan tidak sopan di tempat awam.
Berdasarkan artikel tersebut, jika dilihat pelaksanaan hukumannya amat ringan yang
merangkumi penjara, sebatan dan denda sahaja. Denda yang dikenakan pula dalam lingkungan
RM 3,000 hingga RM 6,000 sahaja yang mana jumlah tersebut terlalu sedikit dengan kesalahan
yang dilakukan. Berbanding dengan kesalahan undang-undang sivil yang mana jumlah denda
yang dikenakan amat tinggi sehinggakan mereka yang bersalah berfikir dua kali untuk
melakukan lagi kesalahan tersebut.

Perlembagaan Persekutuan dianggap sebagai undang-undang tertinggi negara. Dari segi


definisi, perlembagaan merupakan suatu himpuan peraturan tertinggi yang telah dipersetujui
bersama dan maksud setiap peruntukan memberi manfaat kepada warga selain memasyurkan
sebagai sebuah negara merdeka.. Pembebasan sesebuah tanah jajahan seperti Malaysia dan
pembentukan sesebuah negara moden biasanya ditanda oleh pembentukan sebuah perlembagaan
bertulis. Bertitik tolak dari Perkara 3 (1-5), maka perkara-perkara lain berkaitan mempunyai

2
hubungan dengan pentadiran hal ehwal agama Islam misalnya penubuhan Jabatan Agama Islam
di negeri-negeri, Jabatan Mufti, Mahkamah Syariah dan lain-lain. Selaras dengan tuntutan
semasa untuk memperkemaskan pentadbiran hal ehwal Islam, kerajaan-kerajaan negeri telah
mula mengasingkan tiga institusi penting iaitu Jabatan Agama, Jabatan Mufti dan Mahkamah
Syariah apabila undang-undang induk dipinda dengan memperuntukkan fungsi Majlis secara
jelas iaitu membantu dan menasihati Yang di-Pertuan Agong atau Sultan berkenaan dengan
semua perkara yang berhubung dengan agama Islam di dalam negeri kecuali perkara-perkara
hukum Syarak iaitu penubuhan Jabatan Mufti dan yang berhubung dengan pentadbiran keadilan
iaitu penubuhan Mahkamah Syariah dan Majlis Agama negeri menjadi pihak berkuasa utama di
dalam negeri masing-masing.

Apa yang perlu difahami ialah dalam perkara yang berkaitan dengan pentadbiran hal
ehwal Agama Islam, Perlembagaan Persekutuan juga telah memberi kuasa kepada Badan
Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang yang berkaitan dengan pentadbiran hal
ehwal Islam di negeri masing-masing termasuk di Wilayah-wilayah Persekutuan. Apa yang
menarik perhatian ialah di Wilayah-wilayah Persekutuan, undang-undang yang berkaitan dengan
pentadbiran undang-undang Islam adalah diluluskan oleh Parlimen yang juga berfungsi sebagai
Badan Perundangan Persekutuan. Namun, perlu difahami bahawa status undang-undang yang
berkaitan dengan pentadbiran hal ehwal agama atau hukum Syarak hanya berkuat kuasa di dalam
Wilayah-wilayah Persekutuan sahaja dan sama seperti undang-undang Islam yang digubal di
negeri-negeri. Kerajaan-kerajaan negeri tidak mempunyai bidang kuasa mengenai kesalahan-
kesalahan kecuali setakat yang diberi oleh undang-undang Persekutuan iaitu peruntukan
hukuman bagi kesalahan-kesalahan termasuk kesalahan jenayah Syariah untuk seluruh
Persekutuan, namun peruntukan yang diluluskan hanya berkuatkuasa di negeri-negeri jika Badan
Perundangan Negeri menggubal atau meminda undang-undang kesalahan jenayah Syariah di
negeri masing-masing supaya selaras dengan peruntukan berkenaan. Badan Perundangan Negeri
tidak diberi kuasa menggubal suatu peruntukan yang melebihi daripada peruntukan berkenaan
dan harus mengambikira perkara 75 Perlembagaan Persekutuan.

Berkaitan dengan isu-isu semasa undang-undang jenayah syariah di Malaysia, penulis


menyenaraikan empat isu yang merangkumi ketidakseragaman undang-undang, kesalahan
mutad, ajaran sesat dan kesalahan khalwat. Berhubung dengan ketidakseragaman dan konflik

3
undang-undang, penyelarasan undang-undang syariah bagi negeri seluruh Malaysia bukannya
satu perkara baru dan banyak usaha telah dilaksanakan untuk menyeragamkan undang-undang
syariah, namun sehingga kini ia masih belum dapat mencapai matlamatnya. Isu
ketidakseragaman undang-undang ini sepatutnya dapat diselesaikan. Ini memandangkan ianya
boleh menimbulkan pelbagai permasalahan undang-undang dan juga reaksi negatif masyarakat
kepada pentadbiran undang-undang Islam. Ia merujuk kepada peruntukan-peruntukan denda
negeri-negeri berkaitan kesalahan yang sama contohnya Enakmen Jenayah Syariah (Selangor)
1995 dan Akta Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 yang melibatkan kesalahan
menghina atau menyebabkan dipandang hina agama Islam. Kedua-dua enakmen memperuntukan
denda yang berlainan sedangkan jenis kesalahan yang dilakukan adalah sama.

Mutakhir ini, gejala kerosakan akidah semakin menular di negara kita sama ada ianya
berkaitan ajaran sesat ataupun membabitkan pertukaran agama. Perkara ini telah mendapat
perhatian serius oleh pelbagai pihak apabila kenyataan Mufti Perak mengenai kes murtad yang
berlaku di kalangan orang melayu. Ini termasuk berita pengkristianan orang melayu di Ipoh yang
disebarkan melalui SMS. Adalah tidak dapat dinafikan bahawa isu murtad ini bukanlah perkara
baru, malahan sebelum ini telah ada kes murtad berlaku di negara kita walaupun ianya amat
terpencil seperti isu Kamariah Ali dan Azlina Jailani. Namun demikian, jika penelitian dibuat,
walaupun bilangan kes murtad ini agak kecil tetapi pada hakikatnya ianya merupakan barah
akidah yang mula menular di kalangan orang Islam di Malaysia walhal ianya tidak sepatutnya
berlaku. Hukuman murtad terbahagi kepada dua kategori. Pertama dibunuh dengan hukuman
hudud. Keduanya diminta supaya orang yang murtad bertaubat dan kembali kepada Islam dan
jika enggan, maka hendaklah dibunuh. Menurut mazhab al-Syafie, tempoh bagi orang murtad
kembali kepada Islam selama tiga hari tiga malam atau tidak diberi tempoh langsung menurut
pendapat yang rajih. Antara isu mutad yang paling hangat diperkatakan dewasa ini ialah kes Lina
Joy v. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan & Ors[2005] 6 MLJ 193 seorang Melayu yang
telah menukar agamanya kepada Kristian.

Dewasa ini, diakhir zaman ini, fenomena kemunculan ajaran sesat seringkali berlaku.
Kewujudannya merentasi masa, tempat dan keadaan. Sama ada di zaman awal peradaban Islam
di alaf millenium mahupun akan datang. Paparan isu kebanyakannya didedahkan oleh pihak
media secara terbuka. Memandangkan ia berkait rapat dengan agama, maka perhatian

4
terhadapnya diberi satu tumpuan. Pada masa ini di negara kita sudah banyak terdapat ajaran-
ajaran sesat yang muncul dari semasa ke semasa di mana hampir keseluruhannya tidak dapat
dihapuskan oleh pihak-pihak tertentu. Jika ditinjau masalah ajaran sesat ini ianya bukan sahaja
lahir dalam masyarakat umat Islam sahaja bahkan semua agama dan semua bangsa menghadapi
cabaran dengan kelahiran ajaran yang menyeleweng daripada ajaran asal. Pelbagai peruntukan
telah diberi untuk mencegah amalan ajaran sesat ini seperti seksyen 4(1), 7(1), 8(a)(b), 9, 13(1),
14(1), 16(1)(a) dan 20 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995. Namun begitu, jika
diteliti, terdapat kelemahan dari aspek undang-undang di mana hukuman yang diperuntukkan
bagi kesalahan-kesalahan ini adalah terlalu ringan berbanding dengan kemudaratannya kepada
orang Islam.

Antara kesalahan yang banyak dibicarakan di Mahkamah Syariah adalah kesalahan


khalwat. Mutakhir ini, gejala sosial di Malaysia semakin banyak dan menjadi-jadi. Gejala sosial
meliputi kegawatan moral yang melanda masyarakat tidak kira agama, bangsa, umur dan
jawatan. Setiap hari di pelbagai media massa seperti akhbar, televisyen, majalah, internet dan
sebagainya kita mendengar dan melihat kes-kes buang bayi, keluarga bercerai berai, rempit,
bohsia dan sebagainya. Salah laku remaja dan dewasa yang berdua-duaan sudah menjadi lumrah
dalam masyarakat moden Malaysia. Hubungan antara lelaki dan perempuan yang akhirnya
menjurus kepada perlakuan khalwat yang menyebabkan masyarakat memandang jijik kerana
kesan yang timbul dari perbuatan khalwat itu. Kesalahan khalwat tidak boleh dipandang ringan.
Yang dikhuatiri daripada perbuatan itu ialah kemungkinan akan berlaku zina, yang bukan saja
membawa dosa besar kepada pasangan terbabit tetapi memberi kesan besar kepada masyarakat
sekiranya menghasilkan anak luar nikah. Anak yang masih suci dicampak merata-rata macam
sampah. Setiap hari kita melihat dan mendengar anak dibuang ke dalam tong sampah, longkang,
tepi jalan, dan ada juga yang masih ada sifat naluri kemanusiaan diletakkan di tangga masjid.

Berdasarkan statistik yang telah dibuat, Jumlah keseluruhan bilangan kes khalwat yang
berjaya direkodkan pada tahun 2006 sahaja telah mencecah mencecah 1576 kes. Rekod juga
menunjukkan bahawa purata usia yang paling tinggi melakukan kesalahan khalwat ialah yang
berumur 21-25 iaitu sebanyak 362 bagi kesalahan di bawah seksyen 29(a) dan 384 di bawah
seksyen 29(b) dan peringkat usia paling sedikit melakukan kesalahan khalwat ialah 56-60 iaitu 3
orang bagi pesalah lelaki manakala seorang bagi pesalah wanita. Masyarakat amat peka

5
mengenai kes khalwat kerana tidak mahu kawasan perumahan mereka menjadi tempat maksiat.
Kebanyakan kes tangkapan khalwat datang dari laporan, aduan dan kerjasama masyarakat, ini
menunjukkan bahawa masyarakat tidak boleh menerima perbuatan mungkar dan memandang
keji perbuatan khalwat. Mereka bertanggungjawab untuk membanterasnya.

Walau bagaimanapun, sebagaimana dijelaskan bahawa kuasa untuk menggubal undang-


undang Islam adalah di bawah kuasa kerajaan-kerajaan negeri termasuk juga di Wilayah-wilayah
Persekutuan, maka usaha-usaha penyeragaman di peringkat kebangsaan adalah bergantung
kepada kuasa budibicara kerajaan-kerajaan negeri. Pihak yang bertindak sebagai urusetia
sebenarnya tidak mempunyai kuasa eksekutif untuk menentukan kerajaan-kerajaan negeri
mengikuti model atau syor penyeragaman yang telah disediakan itu. Sebaliknya kerajaan-
kerajaan negeri walaupun sedia menerimapakai suatu model undang-undang yang sepatutnya
diterimapakai, tetapi tiada halangan dari sudut perundangan bagi pihak kerajaan-kerajaan negeri
meminda mana-mana peruntukan dalam undang-undang yang disyorkan itu terutama bagi
kesesuaian di negeri masing-masing. Sebab itu, sekali lagi mutakhir ini suatu penyelarasan
menyeluruh cuba dibuat dengan memperkenalkan undang-undang keluarga yang baru.

Memandangkan Undang-undang Islam telah lama terpinggir dari arus perdana


perundangan kerana angkara penjajah, maka langkah-langkah perlu diambil untuk
mengembalikan semula undang-undang Islam supaya dapat dilaksanakan dalam masyarakat. Ada
tiga perkara yang perlu diambil perhatian bagi tujuan melaksanakan undang-undang Islam.
Pertamanya ialah mewujudkan institusi kajian yang berautoriti. Memandangkan Undang-undang
Islam ini telah lama terhenti perkembangannya dalam aspek perlaksanaannya, maka ia
memerlukan kajian yang menyeluruh untuk menjadikan undang-undang Islam itu relevan dan
dapat dilaksanakan dalam masyarakat masa kini. Untuk itu, satu kajian menyeluruh perlu dibuat
terhadap Undang-undang Islam itu supaya melalu kajian itu dapat diambil asas-asas perundangan
Islam yang dapat dilaksanakan dan sesuai dipakai oleh sesebuah negara kerana syariah Islam itu
didapati ada terdapat perbezaan pandangan di kalangan ulamak dalam isu-isu tertentu,
terutamanya apabila sesebuah negara itu telah terikat dari sudut amalan masyarakatnya. Selain
itu, kajian terhadap undang-undang yang diamalkan dalam masyarakat juga perlu dibuat untuk
menentukan kedudukan undang-undang yang diamalkan itu adakah bercanggah dengan Islam
atau tidak. Maka dengan kajian ini akan jelas kepada kita antara undang-undang yang tidak

6
bercanggah dengan syariah yang perlu dikekalkan dengan undang-undang yang bercanggah
dengan syariah yang perlu dihapuskan.

Keduanya, membina kesedaran masyarakat tentang kepentingan undang-undang Islam.


Masyarakat yang telah leka hidup dengan undang-undang penjajah begitu lama perlu disedarkan
mereka. Bagi menimbulkan kesedaran terhadap kepentingan undang-undang Islam ini perlulah
disalurkan melalui saluran-saluran rasmi dan tidak rasmi. Melalui saluran rasmi, aspek Undang-
undang Islam itu perlu dimasukkan dalam kurikulum pendidikan terutama di peringkat
menengah dan pengajian tinggi. Jika ini dapat dilakukan, maka sebahagian besar masyarakat
akan dapat memahami undang-undang Islam dengan betul dan merasa kepentingannya dalam
hidup. Selain daripada saluran rasmi, saluran tidak rasmi juga perlu digunakan untuk memberi
kesedaran dan kefahaman terhadap undang-undang Islam. Ia dapat disalurkan melalui media
cetak dan elektronik seperti akhbar-akhbar, majalah-majalah, radio, televisyen, seminar-seminar,
wacana-wacana ilmiah, khutbah Jumaat dan sebagainya. Dengan penyebaran demikian,
masyarakat akan mengetahui tentang kandungan undang-undang Islam dan kepentingannya
untuk kehidupan mereka.

Akhir sekali, menggubal undang-undang Islam dalam bentuk akta dan statut.
Perundangan Islam amat banyak dalam kitab-kitab fiqh dari berbagai mazhab; Maliki, Hanafi,
Shafiei dan Hanbali. Bagi tujuan perlaksanaan mengambil masa yang lama untuk menyelesaikan
sesuatu kes dengan merujuk kepada kitab-kitab fiqah yang berjilid-jilid tebalnya. Oleh itu, adalah
lebih praktikal sekiranya undang-undang Islam itu dapat digubal dalam bentuk kanun, yang
kandungannya adalah berbentuk umum dalam bidang undang-undang tertentu. Dengan adanya
undang-undang yang digubal ini memudahkan para pengamal undang-undang sama ada hakim,
peguam atau pihak-pihak lain yang terlibat dapat merujuk kepadanya. Undang-undang yang
digubal ini hendaklah menyeluruh dan meliputi perlembagaan, jenayah, sivil, prosedur,
keterangan dan sebagainya.

Anda mungkin juga menyukai