Anda di halaman 1dari 3

Poligami tanpa izin isteri

SOALAN:
BARU-BARU ini saya mendapat tahu bahawa suami saya telah berkahwin
lain apabila terbaca e-mel yang dihantar oleh 'madu' saya.
Apabila saya bertanyakan kepada suami, dia mengaku telah bernikah
dengan perempuan itu dan mempunyai seorang anak.
Yang menjadi kemusykilan saya bagaimana suami boleh berkahwin tanpa
kebenaran saya kerana setahu saya jika suami ingin berpoligami, dia mesti
mendapatkan tandatangan isteri pertama yang menyatakan persetujuan
untuk berpoligami.
Isteri Keliru,
Selangor.
JAWAPAN:
Suami berpoligami tanpa pengetahuan atau izin isteri bukan lagi satu isu
yang baru di negara kita. Persoalan yang sering ditimbulkan adalah sama
ada izin isteri untuk suai berpoligami adalah suatu kemestian atau sekadar
pemberitahuan semata.
Merujuk kepada perundangan undang-undang Islam di Malaysia berkaitan
isu poligami masih longgar dari segi prosedur dan praktis.
Seksyen 23 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor)
2003 memperuntukkan bahawa suami perlu mendapat dan
mengemukakan satu kebenaran bertulis di mahkamah untuk berpoligami.
Manakala seksyen 23 (4) Enakmen tersebut menggariskan beberapa
prosedur untuk suami yang ingin berpoligami.
Mahkamah akan meneliti mengenai alasan-alasan yang dikemukakan oleh
suami untuk berpoligami, antaranya ialah seperti:
lPendapatan suami pada masa itu
lButir-butir tanggungan kewangannya
lBilangan orang yang ditanggungnya
lIzin atau pandangan isteri yang sedia ada diperoleh
Manakala seksyen 23 (5) Enakmen tersebut menyatakan apabila
menerima permohonan itu, mahkamah akan memanggil suami, isteri yang
sedia ada, bakal isteri, wali kepada bakal isteri dan mana-mana orang lain
untuk memberi keterangan terhadap perkahwinan tersebut.
Terdapat beberapa kes mahkamah memanggil isteri sedia ada untuk
memberi pandangan mereka terhadap permohonan poligami suaminya.
Ini sememangnya satu tindakan yang wajar kerana isteri sedia ada sudah
bertahun-tahun tinggal bersama suaminya dan dia lebih tahu tentang
suaminya daripada orang lain.
Persoalan kemampuan suami untuk berlaku adil antara isteri-isteri adalah
penting untuk ditentukan dan tiada siapa yang lebih layak memberi
pandangan selain daripada isteri sedia ada.
Di Selangor, seorang suami yang ingin memohon berpoligami perlu
mengikuti sesi kaunseling untuk perbincangan, nasihat dan untuk
mendapatkan panduan.
Kemudian, dia dikehendaki mengisi borang 1B, iaitu borang permohonan
berpoligami. Suami kemudiannya perlu membuat Akuan Bersumpah di
hadapan Ketua Pendaftar atau Pendaftar atau Timbalan Pendaftar atau
Penolong Pendaftar bagi kariah masjidnya dengan membawa dua orang
saksi lelaki.
Seperti yang dinyatakan, walaupun secara teorinya ada peruntukan
undang-undang tentang keizinan isteri sebagai salah satu pertimbangan
yang wajar dilihat oleh mahkamah syariah dalam memberi kebenaran
berpoligami.
Namun realitinya, isteri hanya diminta menandatangani borang
permohonan sahaja.
Walaubagaimanapun, seksyen 23 (8) Enakmen tersebut menyatakan
bahawa jika suami tidak mematuhi prosedur yang ditetapkan, maka suami
perlu dengan serta membayar jumlah mas kahwin dan pemberian kepada
isteri yang sedia ada.
Untuk makluman puan, mahkamah mempunyai bidang kuasa atas
permohonan pembayaran nafkah kepada isteri yang sedia ada.
Selain itu, mahkamah juga mempunyai bidang kuasa dalam
memerintahkan harta sepencarian atau apa-apa aset yang telah diperolehi
semasa perkahwinan tersebut dibahagikan antara puan dan suami.
Oleh itu, puan boleh membuat permohonan di mahkamah mengenai
pembahagian harta sepencarian serta apa-apa aset yang diperoleh
bersama untuk dijadikan sebagai satu perintah mahkamah.
Permohonan ini adalah termaktub di bawah seksyen 23 (10) Enakmen
tersebut.
Secara kesimpulannya dapat dinyatakan di sini bahawa keizinan isteri
dalam memberi kebenaran untuk suami berpoligami adalah salah satu
prosedur merujuk kepada Enakmen Undang-undang Keluarga Islam
(Negeri Selangor) 2003.
Puan juga boleh memfailkan permohonan mengenai harta atau aset-aset
seperti yang dinyatakan di atas di Mahkamah Rendah Syariah untuk
keperluan dan kepentingan puan dan anak-anak.
Diharap penjelasan yang diberi dapat membantu puan. Untuk sebarang
pertanyaan, puan boleh menghubungi pihak kami atau Biro Bantuan
Guaman yang berdekatan.
Kongsi Konten di :
Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?
y=2008&dt=1219&sec=Keluarga&pg=ke_02.htm#ixzz599TDfQnM
© Utusan Melayu (M) Bhd

Anda mungkin juga menyukai