Anda di halaman 1dari 7

Jenis kesalahan yang dikenakan hukuman penjara dan denda

Kesalahan tazir dan hukuman yang dikenakan tidak dijelaskan oleh syariah Islam dan ia
terpulang kepada pemerintah, khususnya para hakim. Walaupun hakim mempunyai
kebebasan dalam menjatuhkan hukuman namun semasa menjatuhkan hukuman, para
hakim mestilah menggunakan budi bicara yang baik berdasarkan tujuan untuk mendidik
pesalah daripada mengulang kesalahan yang sama dan menjamin kesejahteraan dan
keselamatan masyarakat. Ini bermakna para hakim bebas mengenakan hukuman yang
paling lembut atau paling keras, asalkan pada budi bicaranya ia lebih berkesan untuk
mencapai matlamat tersebut
Terdapat pelbagai bentuk hukuman takzir dalam syariat Islam. Sesetengah
daripadanya mengenai tubuh badan seperti hukuman bunuh dan sebat dan terdapat juga
dalam bentuk menyekat kebebasan seperti penjara dan buang daerah serta hukuman
dalam bentuk harta seperti denda. Hukuman takzir yang seringkali digunakan pada masa
kini ialah denda dan penjara.
i) Perbahasan hukuman penjara/penahanan
Penjara termasuk dalam bentuk hukuman yang menyekat kebebasan atau penahanan.
Maksud penahanan di sini ialah menghalang seseorang daripada melakukan sesuatu.
Menurut Ibnu Qayyim al-Jauziyah, tahanan dalam istilah syarak bukanlah mengurung
seseorang dalam tempat yang sempit tetapi melarangnya daripada melakukan sesuatu
sama ada di rumah, masjid atau di mana-mana sahaja. Bentuk penahanan seperti inilah
yang berlaku ketika zaman Rasulullah S.A.W. iaitu tiada tempat tertentu yang disediakan
sebagai tempat tahanan. Namun selepas bilangan umat Islam smakin bertambah semasa
zaman Saidina Umar, beliau telah membeli rumah Safuan bin Umayyah dan
menjadikannya sebagai penjara.
Percanggahan pendapat telah berlaku dalam kalangan para fuqaha sama ada
hukuman seperti ini harus dilakukan atau tidak. Sebahagian ulamak menolak kerana
Rasulullah S.A.W dan Saidina Abu Bakar tidak pernah melakukannya manakala
sebahagian lagi menerima.Golongan yang mengharuskan bentuk hukuman sebegini
adalah berdasarkan beberapa hujah. Antaranya ialah Nabi Muhammad S.A.W pernah
menjatuhkan hukuman tahanan malah baginda pernah menahan beberapa orang yang
dituduh membunuh di Madinah. Baginda juga pernah menahan seorang lelaki selama satu
jam pada siang hari dan kemudian membebaskannya. Begitu jugalah berdasarkan hadis
baginda yang menceritakan sikap menunda-nunda pembayaran hutang sedangkan ia
mampu boleh menyebabkan dia boleh diadukan dan dipenjarakan. ( Abu Bakar Jabir al-
Jazairi,2000:708)
Hujah yang seterusnya adalah berdasarkan perbuatan para sahabat seperti Saidina
Umar yang memiliki sebuah penjara dan pernah menahan Hatibah kerana mencerca orang
lain. Beliau juga pernah menahan seorang lelaki yang bernama Sabigh kerana
persoalannya terhadap surah az-Zariat, al-Mursalat dan an-Naziat.(Muhammad
RawwasQas Akji,1999:582).
Saidina Uthman juga pernah menghukum penjara Dhabi b.al- Harith yang
merupakan seorang pencuri daripada Bani Tamim sehingga mati.Saidina Ali Bin Abi
Thalib juga memiliki sebuah penjara di Kufah dan Abdullah bin Zubair juga mempunyai
penjara di Mekah. Golongan ini juga berhujah berdasarkan dalil


maka kurunglah mereka (perempuan yang berzina itu) dalam rumah hingga mereka
sampai ajal matinya, atau hingga Allah mengadakan untuk mereka jalan keluar (dari
hukuman itu).
Berdasarkan ayat tersebut, mereka berpendapat hukuman penjara atau tahanan
adalah harus hukumnya. (Md Akhir Hj Yaakob,1996:262).
Ulamak Hanafiyah pula menlandaskan pensyariatan penjara pada ayat 33 Surah
al-Maidah:
Sesungguhnya pembalasan terhadap orang-orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya
dan membuat kerusakan di muka bumi, hanyalah mereka dibunuh atau disalib, atau
dipotong tangan dan kaki mereka dengan bertimbal balik, atau dibuang dari negeri
(tempat kediamannya). Yang demikian itu (sebagai) suatu penghinaan untuk mereka
didunia, dan di akhirat mereka beroleh siksaan yang besar.(Al-Maidah Ayat: 33)
Mereka menyatakan bahawa maksud dibuang dalam ayat ini adalah membawa erti
memenjarakan.
Ijmak para fuqaha telah sepakat bahawa hukuman penahanan atau penjara boleh
dijadikan sebagai salah satu daripada hukuman takzir.

ii) Jenis-jenis penahanan
Dalam syariat Islam, terdapat dua jenis penahanan iaitu penahanan terhad dan penahanan
tidak terhad
Penahanan terhad ini dikenakan atas kesalahan-kesalahan takzir dan penjenayah-
penjenayah yang biasa. Tempoh masa yang paling singkat bagi hukuman penahanan jenis
ini ialah selama satu hari. Jika penjara sehari semalam sudah cukup untuk menyedarkan
seseorang maka pemerintah tidak boleh memenjarakannya lebih daripada tempoh
tersebut. Tempoh masa paling lama pula menurut sebahagian ulamak ialah tidak lebih
daripada enam bulan dan ada juga yang berpendapat tidak lebih daripada satu tahun.
Selain itu terdapat juga ulamak yang berpendapat bahawa tempoh penahanan adalah
terpulang kepada pihak pemerintah untuk menentukannya.
Penahanan tidak terhad pula, para fuqaha sepakat bahawa hukuman penahanan
sebegini dikenakan kepada penjenayah-penjenayah yang berbahaya dan melakukan
jenayah berat. Mereka ini dianggap tidak memadai dengan hanya dikenakan hukuman
yang biasa dan mengikut pandangan pihak hakim, tidak boleh dipulihkan akhlak mereka
dengan mengenakan hukuman biasa. Penjenayah-penjenayah tersebut hendaklah ditahan
sehingga mereka bertaubat. Tempoh penahanannya tidak ditentukan kerana ia tidak
mempunyai tempoh yang ditetapkan. Ia boleh menjadi penahanan sehingga mati atau
penjenayah benar-benar bertaubat. ( Md Akhir Hj Yaakob,1999: 264)
iii) Faktor-faktor penahanan/penjara
Menurut al-Qarafi al-Maliki hukuman penjara atau penahanan boleh berlaku
disebabkan lapan keadaan atau faktor. ( Wahbah Zuhaili,2011:530)
Antaranya ialah penjenayah boleh dipenjarakan sekiranya penjenayah tiada harta
benda untuk membayar denda jenayah yang dilakukan atau menahan penjenayah yang
masih belum pasti kedudukan kewangannya agar dapat dilakukan siasatan kedudukan
kewangannya yang sebenar. Jika sudah didapati dan diyakini hasil siasatan
pembuktian tersebut maka keputusan akan dibuat berdasarkan hasil pembuktian itu.
Hukuman penjara juga boleh dikenakan kepada hamba yang melarikan diri
daripada tuannya selama setahun penahanan dengan tujuan memelihara harta benda
tuannya agar tuannya dapat datang menuntut kembali harta tersebut kelak. Orang
yang tidak mahu mempertahankan orang yang berlindung di bawahnya dan individu-
individu yang bermasalah juga boleh dikenakan hukuman penjara oleh pihak
pemerintah.
Memenjarakan orang yang melakukan jenayah sebagai tazir agar dapat
mencegahnya daripada melakukan maksiat atau mengulangi maksiat tersebut terhadap
Allah S.W.T. Penjara juga boleh dikenakan kepada orang yang tidak mahu
melaksanakan tanggungjawab atau tidak bersedia untuk melakukan pentasharufan ke
atas perkara-perkara yang wajib dilakukan pentasharufan dan ianya melibatkan hak-
hak hamba seperti memenjarakan seseorang yang memeluk Islam dengan mempunyai
10 orang isteri atau memperisterikan dua saudaranya pada satu masa yang sama,
namun ia tidak mahu memilih salah satu daripadanya.
Selain itu, orang yang membuat pengakuan bahawa barang itu tidak ada padanya,
walhal barang itu ada padanya. Maka ia dipenjarakan sehingga ia mengaku.
Penjarakan orang yang tidak mahu menunaikan hak Allah atau enggan melaksanakan
tanggungjawab terhadap Allah S.W.T. dan perlaksanaan tersebut tidak boleh
diwakilkan seperti tidak berpuasa di bulan Ramadhan. Menurut ulamak Syafiiyah,
golongan yang tidak mahu melaksanakan puasa yang wajib hukumnya iaitu puasa di
bulan Ramadhan maka golongan tersebut mestilah dipenjarakan tetapi menurut ulamak
Malikiyah, golongan tersebut dihukum bunuh sama seperti golongan yang enggan
menunaikan solat.
Menurut al-Qarafi lagi, penjara dan penahanan tidak boleh dilaksanakan selain
daripada faktor-faktor tersebut. Hukuman penjara juga tidak boleh dilaksanakan apabila
ia berkait dengan perkara yang melibatkan suatu hak dan hakim mempunyai pilihan lain
untuk memastikan hak itu terlaksana. Oleh kerana itu, seseorang yang berhutang yang
tidak membayar hutangnya walaupun sudah diketahui dia memiliki harta dan kekayaan,
maka hakim tidak boleh menjatuhkan hukuman penjara terhadapnya. Tindakan yang
sewajarnya yang dilaksanakan ialah hakim mengambil harta pihak yang berhutang
tersebut mengikut jumlah yang dihutanginya dan menyerahkan kepada pemiutang. Begitu
jugalah jika pihak yang berhutang memiliki sesuatu yang boleh dijual walaupun ianya
merupakan barang gadaian. Maka pihak pemerintah boleh menggunakannya untuk
melunaskan hutang tersebut dan tidak boleh mengenakan hukuman penjara tetrhadap
pihak yang berhutang itu. Hal ini kerana, hukuman penjara hanya akan terus membiarkan
dirinya berada dalam kezaliman dan kemungkaran akan terus berleluasa.
Hukuman takzir dengan harta (denda)
Diriwayatkan daripada Abu Yusuf bahawa seseorang pemerintah boleh menghukum
takzir dengan mengenakan denda atau mengambil harta orang yang dihukum.
Abu Daud meriwayatkan daripada Rasulullah S.A.W tentang seseorang yang
mencuri buah yang masih di pokoknya sebelum diletakkan di dalam bekasnya dan dia
telah dikenakan hukuman sebat dan didenda dua kali ganda dari hasil curiannya. Begitu
jugalah keputusan hukuman Umar Ibnu Khattab berkaitan masalah dhaallah iaitu binatang
ternakan yang hilang dari pemilikan dan disembunyikan akan dikenakan denda dua kali
ganda. Sekelompok ulamak dan Imam Ahmad berpendapat bahawa dalam kes unta milik
seorang badawi yang diambil oleh hamba yang sedang kelaparan, Saidina Umar
melipatkali gandakan denda kepada pemilik hamba bagi mengelakkan hukuman potong
tangan. ( Wahbah Zuhaili,2011:540)


i) Perbahasan hukuman denda
Para fuqaha walaubagaimanapun tidak sependapat dalam menetukan sama ada denda
boleh dikenakan terhadap semua bentuk kesalahan takzir atau tidak.
Dalam mazhab Hanafi, hukuman dalam bentuk denda hukumnya adalah tidak harus.
Imam Abu Hanifah dan Muhammad tidak mengharuskannya. Walaubagaimanapun Abu
Yusuf berpendapat harus takzir dengan denda jika perlu. Dalam mazhab Syafii dan
Maliki pula, pada dasarnya harus dijadikan denda sebagai hukuman tetapi wujud
perselisihan dalam bentuk hukuman yang manakah lebih baik. Menurut mazhab Hanbali
pula, hukuman denda adalah harus dalam sesetengah keadaan dan tidak harus dalam
sesetengah keadaan yang lain.
Hujah mereka yang tidak menerima hukuman denda sebagai salah satu bentuk
hukuman takzir kerana hukuman denda dibenarkan pada awal Islam namun ianya
kemudian dimansukhkan kerana hukuman denda dapat membawa kepada berlakunya
kezaliman dari pihak pemerintahan dengan mengambil harta orang ramai secara batil.
Hukuman denda yang melibatkan harta orang lain ini telah dimansukhkan oleh hadis
Rasulullah S.A.W iaitu dalam harta seseorang tidak ada hak orang lain melainkan
zakat(HR Ibnu Majah). (Abdul Azis Dahlan,1997:1774).
Mereka juga menggunakan dalil surah al-Baqarah iaitu larangan Allah terhadap
manusia agar tidak memakan harta orang lain secara batil. Menurut mereka lagi, campur
tangan hakim daam soal harta seseorang seperti mengenakan denda kepada pesalah
termasuk dalam larangan Allah dalam ayat tersebut kerana dasar hukuman denda itu tidak
wujud.
Namun begitu, Ibn Taimiyah dan Ibn al-Qayyim telah menolak pendapat tersebut
yang menyatakan bahawa hukuman denda dimansukhkan. Hujah mereka ialah
berdasarkan beberapa kes yang berlaku pada zaman Rasulullah S.A.W dan Khulafa al-
Rasyidin yang mengenakan hukuman denda dan ianya menjadi bukti yang kukuh bahawa
hukuman denda tidak pernah dimansukhkan. Menurut mereka lagi tiada sebarang nas
yang kukuh yang menunjukkan pengharaman hukuman denda.
ii) Jenis denda mengikut kepastian kadarnya.
Hukuman denda atau hukuman yang melibatkan harta benda menurut pandangan Ibnu
Qayyim terdapat dua kategori iaitu hukuman denda yang madbuth (sudah pasti kadar
ukurannya ) dan ghairu madbuth (tidak pasti kadar ukurannya).
Hukuman denda yang madhbuth iaitu denda yang sudah pasti kadarnya ialah
denda yang sebanding dengan sesuatu yang telah dirosakkannya. Kadang-kadang ianya
berkait dengan hak Allah seperti membunuh binatang bruan semasa dalam ihram atau
berkait dengan hak hamba seperti merosakkan harta milik seseorang. Allah S.W.T telah
menetapkan bahawa denda berburu bunatang buruan semasa ihram adalah termasuk
dalam cakupan hukuman berdasarkan dalil al-Quran iaitu:
Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu membunuh binatang buruan,
ketika kamu sedang ihram. Barangsiapa di antara kamu membunuhnya dengan
sengaja, maka dendanya ialah mengganti dengan binatang ternak seimbang
dengan buruan yang dibunuhnya
Begitu jugalah dengan memberi denda atau hukuman yang bertentangan dengan tujuan
utama sesuatu jenayah itu dilakukan seperti menghukum seorang anak yang membunuh
ayahnya untuk mewarisi hartanya dengan membatalkan haknya untuk mendapatkan harta
itu.
Manakala penentuan denda ghairu madhbuth iaitu denda yang tidak pasti lagi
kadar dendanya akan diserahkan kepada pihak pemerintah dan ijtihad para hakim.
Keputusan yang dibuat mestilah berdasarkan kemaslahatan umum. Oleh itu, syariat tidak
memberi penjelasan, perintah secara umum atau menetapkan kadar ukurannya.
Dalam hal ini para fuqaha berbeza-beza pendapat sama ada hukuman denda
sebegini dinasakhkan atau masih berlaku. Keputusan hukumannya haruslah disesuaikan
dengan kemaslahatan umum dan bergantung kepada kebijaksanaan serta ijtihad pihak
pemerintah. Hal ini kerana tiada dalil yang menunjukkan penasakhan bentuk hukuman ini
malah para sahabat mempraktikkannya.
Bentuk-bentuk hukuman tidak terbatas kepada denda dan penjara sahaja.Bahkan terdapat
pelbagai jenis atau bentuk hukuman yang boleh ditetapkan oleh pihak pemerintah bagi
membenteras jenayah dan memberi pengajaran kepada pesalah. Namun hukuman tersebut
mestilah diasaskan untuk kepentingan umum kerana tujuan utama perlaksanaan hukuman
dalam syariat Islam adalah sebagai pencegahan dan pengajaran.







RUJUKAN
Abu Bakar Jabir al-Jazairi.2000.Ensiklopedia Minhajul Muslim. Jakarta.Darul Falah
Muhammad RawwasQas Akji.1999. Fiqh Umar al-Khattab.Jakarta.pt Raja Grafinda
Md Akhir Hj Yaakob.1996.Undang-Undang Sivil Islam.Selanggor.Dewan Pustaka Islam
Abdul Azis Dahlan.1997.Ensiklopedia Hukum Islam.Jakarta.pt Intermasa
Wahbah Zuhaili.2011. Fiqh Islam wa Adillatuhu. Jakarta. Darul Fikir

Anda mungkin juga menyukai