Anda di halaman 1dari 17

2

FIQH MUAMALAT DAN


JINAYAT

TAJUK:

PENILAIAN HUKUMAN
PENJARA DAN DENDA
MENURUT UNDANG-
UNDANG JENAYAH ISLAM











































3



SENARAI KANDUNGAN HALAMAN


1.0 PENGENALAN 3
2.0 DEFINISI & KONSEP 4
3.0 JENIS KESALAHAN YANG MEMBAWA KEPADA HUKUMAN
DENDA DAN PENJARA
5-12
4.0 PENILAIAN HUKUMAN PENJARA DAN DENDA PADA MASA
KINI
12 - 15
5.0 KESIMPULAN 15
6.0 RUJUKAN 16





4

1.0 PENGENALAN

Dalam undang-undang jenayah Islam, kesalahan-kesalahan jenayah terbahagi kepada tiga
iaitu hudud, qisas dan diyat, serta takzir. Walau bagaimanapun, hukuman yang sedia ada
pada hari ini, terutamanya di Malaysia, telah memperlihatkan bahawa jenis kesalahan
yang membawa kepada hukuman hudud, qisas dan diyat tidak dilaksanakan dan hanya
menekankan serta mengaplikasi hukuman yang berbentuk takzir sahaja. Jenis hukuman
yang berbentuk takzir yang sangat banyak diaplikasikan pada hari ini adalah hukuman
penjara dan denda.
Secara umumnya, tujuan utama pelaksanaan hukuman takzir dalam syariat Islam
adalah sebagai satu bentuk pencegahan, pengajaran di samping pemulihan dan
pendidikan. Pencegahan boleh difahami dengan mencegah pesalah daripada mengulangi
kesalahannya serta mencegah orang lain daripada melakukan perbuatan yang sama pada
kemudian hari.
Selain itu, menurut para fuqaha, pemulihan dan pendidikan yang dimaksudkan
daripada hukuman ini adalah dengan cara membetulkan diri pesalah dan
membersihkannya daripada segala kesalahan jenayah dan akhirnya menjadi orang yang
berguna dan boleh menyumbang bakti kepada masyarakat.

Objektif daripada kajian ini adalah :
Menjelaskan konsep dan definisi mengenai tajuk kajian iaitu penilaian hukuman
denda dan penjara menurut undang-undang Islam
Menjelaskan jenis kesalahan yang dikenakan hukuman penjara dan denda
Menilai kedudukan hukuman penjara dan denda pada hari ini






5

2.0 DEFINISI & KONSEP

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, penjara dapat didefinisikan sebagai tempat
kurungan atau bangunan bagi penjenayah menjalani hukuman berdasarkan tempoh
hukuman yang telah ditetapkan akibat melakukan kesalahan di sisi undang-undang.
Denda pula bermaksud suatu hukuman yang telah dikenakan kepada pesalah
untuk membayar sejumlah wang kerana telah melakukan sesuatu kesalahan atau
pelanggaran undang-undang dan jumlah wang itu bergantung kepada jenis kesalahan
yang dilakukan.
Undang-undang jenayah Islam pula dapat difahami maknanya daripada dua aspek,
iaitu aspek bahasa dan istilah. Dari segi bahasa, perkataan jenayah atau jinayat berasal
daripada perkataan dalam bahasa arab, iaitu, jana- yajni-jinayatan, yang bermaksud
memetik buah daripada pokok, dan kemudian perkataan yang lain, iaitu jarimah yang
memberi makna perbuatan dosa atau maksiat atau segala perbuatan yan berupa kejahatan
yang dilakukan oleh manusia ( Musa Fathullah Harun 1996 : 4 ).
Menurut istilah syarak pula, jenayah atau jarimah mempunyai makna dari sudut
umum dan khusus. Dari sudut pemahaman umum, makna perkataan tersebut adalah
segala perbuatan yang dilarang oleh syarak, yang mana sekiranya dilakukan, pelakunya
akan dikenakan hukuman menurut undang-undang jenayah Islam sama ada dikenakan
hukuman had atau takzir, dan perbuatan kesalahan itu merupakan perbuatan yang
menjurus ke arah pelanggaran ke atas jiwa, harta atau lain-lainnya. Bagi makna dari sudut
khusus pula, iaitu menurut istilah fuqaha, perkataan itu dapat didefinisikan dengan
sesuatu kesalahan yang melibatkan pelanggaran ke atas jiwa anggota manusia, sama ada
perbuatan yang melibatkan pembunuhan atau mencederakan seseorang ( Musa Fathullah
Harun 1966 : 4 ).
Dari segi konsep, penjara dan denda merupakan bentuk hukuman yang terdapat
dalam undang-undang jenayah Islam dan termasuk dalam kategori hukuman bagi
kesalahan-kesalahan takzir yang mana hukuman bagi jenis kesalahan ini tidak ditentukan
oleh syarak tetapi ditentukan oleh para pemerintah demi menjaga kepentingan masyarakat
dan negara.

6


3.0 JENIS KESALAHAN YANG MEMBAWA KEPADA HUKUMAN DENDA
DAN PENJARA

Kesalahan takzir dan hukuman yang dikenakan tidak dijelaskan oleh syariah Islam dan ia
terpulang kepada pemerintah, khususnya para hakim. Walaupun hakim mempunyai
kebebasan dalam menjatuhkan hukuman namun semasa menjatuhkan hukuman, para
hakim mestilah menggunakan budi bicara yang baik berdasarkan tujuan untuk mendidik
pesalah daripada mengulang kesalahan yang sama dan menjamin kesejahteraan dan
keselamatan masyarakat. Ini bermakna para hakim bebas mengenakan hukuman yang
paling lembut atau paling keras, asalkan pada budi bicaranya ia lebih berkesan untuk
mencapai matlamat tersebut
Terdapat pelbagai bentuk hukuman takzir dalam syariat Islam. Sesetengah
daripadanya mengenai tubuh badan seperti hukuman bunuh dan sebat dan terdapat juga
dalam bentuk menyekat kebebasan seperti penjara dan buang daerah serta hukuman
dalam bentuk harta seperti denda. Hukuman takzir yang seringkali digunakan pada masa
kini ialah denda dan penjara.

i) Perbahasan hukuman penjara/penahanan

Penjara termasuk dalam bentuk hukuman yang menyekat kebebasan atau
penahanan. Maksud penahanan di sini ialah menghalang seseorang daripada melakukan
sesuatu. Menurut Ibnu Qayyim al-Jauziyah, tahanan dalam istilah syarak bukanlah
mengurung seseorang dalam tempat yang sempit tetapi melarangnya daripada melakukan
sesuatu sama ada di rumah, masjid atau di mana-mana sahaja. Bentuk penahanan seperti
inilah yang berlaku ketika zaman Rasulullah S.A.W. iaitu tiada tempat tertentu yang
disediakan sebagai tempat tahanan. Namun selepas bilangan umat Islam smakin
bertambah semasa zaman Saidina Umar, beliau telah membeli rumah Safuan bin
Umayyah dan menjadikannya sebagai penjara.
Percanggahan pendapat telah berlaku dalam kalangan para fuqaha sama ada
hukuman seperti ini harus dilakukan atau tidak. Sebahagian ulama menolak kerana
7

Rasulullah S.A.W dan Saidina Abu Bakar tidak pernah melakukannya manakala
sebahagian lagi menerima. Golongan yang mengharuskan bentuk hukuman sebegini
adalah berdasarkan beberapa hujah. Antaranya ialah Nabi Muhammad S.A.W pernah
menjatuhkan hukuman tahanan malah baginda pernah menahan beberapa orang yang
dituduh membunuh di Madinah. Baginda juga pernah menahan seorang lelaki selama satu
jam pada siang hari dan kemudian membebaskannya. Begitu jugalah berdasarkan hadis
baginda yang menceritakan sikap menunda-nunda pembayaran hutang sedangkan ia
mampu boleh menyebabkan dia boleh diadukan dan dipenjarakan ( Abu Bakar Jabir al-
Jazairi 2000 : 708).
Hujah yang seterusnya adalah berdasarkan perbuatan para sahabat seperti Saidina
Umar yang memiliki sebuah penjara dan pernah menahan Hatibah kerana mencerca orang
lain. Beliau juga pernah menahan seorang lelaki yang bernama Sabigh kerana
persoalannya terhadap surah az-Zariat, al-Mursalat dan an-Naziat ( Muhammad
RawwasQas Akji 1999 : 582 ).
Saidina Uthman juga pernah menghukum penjara Dhabi b.al- Harith yang
merupakan seorang pencuri daripada Bani Tamim sehingga mati.Saidina Ali Bin Abi
Thalib juga memiliki sebuah penjara di Kufah dan Abdullah bin Zubair juga mempunyai
penjara di Mekah. Golongan ini juga berhujah berdasarkan dalil :


maka kurunglah mereka (perempuan yang berzina itu) dalam rumah hingga mereka
sampai ajal matinya, atau hingga Allah mengadakan untuk mereka jalan keluar (dari
hukuman itu). (al-Nisa 4:15 )

Berdasarkan ayat tersebut, mereka berpendapat hukuman penjara atau tahanan
adalah harus hukumnya ( Md Akhir Hj Yaakob 1996 : 262 ).
Ulamak Hanafiyah pula melandaskan pensyariatan penjara pada ayat 33 Surah al-Maidah:

8


Sesungguhnya pembalasan terhadap orang-orang yang memerangi Allah dan Rasul-
Nya dan membuat kerusakan di muka bumi, hanyalah mereka dibunuh atau disalib, atau
dipotong tangan dan kaki mereka dengan bertimbal balik, atau dibuang dari negeri
(tempat kediamannya). Yang demikian itu (sebagai) suatu penghinaan untuk mereka
didunia, dan di akhirat mereka beroleh siksaan yang besar ( Al-Maidah 5 : 33).

Mereka menyatakan bahawa maksud dibuang dalam ayat ini adalah membawa
erti memenjarakan. Ijmak para fuqaha telah sepakat bahawa hukuman penahanan atau
penjara boleh dijadikan sebagai salah satu daripada hukuman takzir.

ii) Jenis-jenis penahanan

Dalam syariat Islam, terdapat dua jenis penahanan iaitu penahanan terhad dan
penahanan tidak terhad. Penahanan terhad ini dikenakan atas kesalahan-kesalahan takzir
dan penjenayah-penjenayah yang biasa. Tempoh masa yang paling singkat bagi hukuman
penahanan jenis ini ialah selama satu hari. Jika penjara sehari semalam sudah cukup
untuk menyedarkan seseorang maka pemerintah tidak boleh memenjarakannya lebih
daripada tempoh tersebut. Tempoh masa paling lama pula menurut sebahagian ulamak
ialah tidak lebih daripada enam bulan dan ada juga yang berpendapat tidak lebih daripada
satu tahun. Selain itu terdapat juga ulamak yang berpendapat bahawa tempoh penahanan
adalah terpulang kepada pihak pemerintah untuk menentukannya.
Penahanan tidak terhad pula, para fuqaha sepakat bahawa hukuman penahanan
sebegini dikenakan kepada penjenayah-penjenayah yang berbahaya dan melakukan
jenayah berat. Mereka ini dianggap tidak memadai dengan hanya dikenakan hukuman
yang biasa dan mengikut pandangan pihak hakim, tidak boleh dipulihkan akhlak mereka
dengan mengenakan hukuman biasa. Penjenayah-penjenayah tersebut hendaklah ditahan
sehingga mereka bertaubat. Tempoh penahanannya tidak ditentukan kerana ia tidak
9

mempunyai tempoh yang ditetapkan. Ia boleh menjadi penahanan sehingga mati atau
penjenayah benar-benar bertaubat ( Md Akhir Hj Yaakob 1999 : 264).

iii) Faktor-faktor penahanan/penjara

Menurut al-Qarafi al-Maliki hukuman penjara atau penahanan boleh berlaku disebabkan
lapan keadaan atau faktor ( Wahbah Zuhaili 2011 : 530 ). Antaranya ialah penjenayah
boleh dipenjarakan sekiranya penjenayah tiada harta benda untuk membayar denda
jenayah yang dilakukan atau menahan penjenayah yang masih belum pasti kedudukan
kewangannya agar dapat dilakukan siasatan kedudukan kewangannya yang sebenar. Jika
sudah didapati dan diyakini hasil siasatan pembuktian tersebut maka keputusan akan
dibuat berdasarkan hasil pembuktian itu.
Hukuman penjara juga boleh dikenakan kepada hamba yang melarikan diri
daripada tuannya selama setahun penahanan dengan tujuan memelihara harta benda
tuannya agar tuannya dapat datang menuntut kembali harta tersebut kelak. Orang yang
tidak mahu mempertahankan orang yang berlindung di bawahnya dan individu-individu
yang bermasalah juga boleh dikenakan hukuman penjara oleh pihak pemerintah.
Memenjarakan orang yang melakukan jenayah sebagai takzir agar dapat
mencegahnya daripada melakukan maksiat atau mengulangi maksiat tersebut terhadap
Allah S.W.T. Penjara juga boleh dikenakan kepada orang yang tidak mahu melaksanakan
tanggungjawab atau tidak bersedia untuk melakukan pentasharufan ke atas perkara-
perkara yang wajib dilakukan pentasharufan dan ianya melibatkan hak-hak hamba seperti
memenjarakan seseorang yang memeluk Islam dengan mempunyai 10 orang isteri atau
memperisterikan dua saudaranya pada satu masa yang sama, namun ia tidak mahu
memilih salah satu daripadanya.
Selain itu, orang yang membuat pengakuan bahawa barang itu tidak ada padanya,
walhal barang itu ada padanya. Maka ia dipenjarakan sehingga ia mengaku. Penjarakan
orang yang tidak mahu menunaikan hak Allah atau enggan melaksanakan tanggungjawab
terhadap Allah S.W.T. dan perlaksanaan tersebut tidak boleh diwakilkan seperti tidak
berpuasa di bulan Ramadhan. Menurut ulamak Syafiiyah, golongan yang tidak mahu
melaksanakan puasa yang wajib hukumnya iaitu puasa di bulan Ramadhan maka
10

golongan tersebut mestilah dipenjarakan tetapi menurut ulamak Malikiyah, golongan
tersebut dihukum bunuh sama seperti golongan yang enggan menunaikan solat.
Menurut al-Qarafi lagi, penjara dan penahanan tidak boleh dilaksanakan selain
daripada faktor-faktor tersebut. Hukuman penjara juga tidak boleh dilaksanakan apabila
ia berkait dengan perkara yang melibatkan suatu hak dan hakim mempunyai pilihan lain
untuk memastikan hak itu terlaksana. Oleh kerana itu, seseorang yang berhutang yang
tidak membayar hutangnya walaupun sudah diketahui dia memiliki harta dan kekayaan,
maka hakim tidak boleh menjatuhkan hukuman penjara terhadapnya. Tindakan yang
sewajarnya yang dilaksanakan ialah hakim mengambil harta pihak yang berhutang
tersebut mengikut jumlah yang dihutanginya dan menyerahkan kepada pemiutang. Begitu
jugalah jika pihak yang berhutang memiliki sesuatu yang boleh dijual walaupun ianya
merupakan barang gadaian. Maka pihak pemerintah boleh menggunakannya untuk
melunaskan hutang tersebut dan tidak boleh mengenakan hukuman penjara tetrhadap
pihak yang berhutang itu. Hal ini kerana, hukuman penjara hanya akan terus membiarkan
dirinya berada dalam kezaliman dan kemungkaran akan terus berleluasa.

iv) Hukuman takzir dengan harta (denda)

Diriwayatkan daripada Abu Yusuf bahawa seseorang pemerintah boleh menghukum
takzir dengan mengenakan denda atau mengambil harta orang yang dihukum.
Abu Daud meriwayatkan daripada Rasulullah S.A.W tentang seseorang yang mencuri
buah yang masih di pokoknya sebelum diletakkan di dalam bekasnya dan dia telah
dikenakan hukuman sebat dan didenda dua kali ganda dari hasil curiannya. Begitu jugalah
keputusan hukuman Umar Ibnu Khattab berkaitan masalah dhaallah iaitu binatang
ternakan yang hilang dari pemilikan dan disembunyikan akan dikenakan denda dua kali
ganda. Sekelompok ulamak dan Imam Ahmad berpendapat bahawa dalam kes unta milik
seorang badawi yang diambil oleh hamba yang sedang kelaparan, Saidina Umar
melipatkali gandakan denda kepada pemilik hamba bagi mengelakkan hukuman potong
tangan ( Wahbah Zuhaili 2011 : 540 ).


11



i) Perbahasan hukuman denda

Para fuqaha walaubagaimanapun tidak sependapat dalam menetukan sama ada denda
boleh dikenakan terhadap semua bentuk kesalahan takzir atau tidak.
Dalam mazhab Hanafi, hukuman dalam bentuk denda hukumnya adalah tidak harus.
Imam Abu Hanifah dan Muhammad tidak mengharuskannya. Walaubagaimanapun Abu
Yusuf berpendapat harus takzir dengan denda jika perlu. Dalam mazhab Syafii dan
Maliki pula, pada dasarnya harus dijadikan denda sebagai hukuman tetapi wujud
perselisihan dalam bentuk hukuman yang manakah lebih baik. Menurut mazhab Hanbali
pula, hukuman denda adalah harus dalam sesetengah keadaan dan tidak harus dalam
sesetengah keadaan yang lain.
Hujah mereka yang tidak menerima hukuman denda sebagai salah satu bentuk
hukuman takzir kerana hukuman denda dibenarkan pada awal Islam namun ianya
kemudian dimansukhkan kerana hukuman denda dapat membawa kepada berlakunya
kezaliman dari pihak pemerintahan dengan mengambil harta orang ramai secara batil.
Hukuman denda yang melibatkan harta orang lain ini telah dimansukhkan oleh hadis
Rasulullah S.A.W iaitu dalam harta seseorang tidak ada hak orang lain melainkan
zakat (HR Ibnu Majah) (Abdul Azis Dahlan 1997 : 1774). (Abdul Azis Dahlan 1997 :
1774).
Mereka juga menggunakan dalil surah al-Baqarah iaitu larangan Allah terhadap
manusia agar tidak memakan harta orang lain secara batil berdasarkan surah al-Baqarah
ayat 188:


Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu
dengan jalan yang bathil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada
hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu
dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui.. (al-Baqarah 1:188)
12

Menurut mereka lagi, campur tangan hakim daam soal harta seseorang seperti
mengenakan denda kepada pesalah termasuk dalam larangan Allah dalam ayat tersebut
kerana dasar hukuman denda itu tidak wujud.
Namun begitu, Ibn Taimiyah dan Ibn al-Qayyim telah menolak pendapat tersebut
yang menyatakan bahawa hukuman denda dimansukhkan. Hujah mereka ialah
berdasarkan beberapa kes yang berlaku pada zaman Rasulullah S.A.W dan Khulafa al-
Rasyidin yang mengenakan hukuman denda dan ianya menjadi bukti yang kukuh bahawa
hukuman denda tidak pernah dimansukhkan. Menurut mereka lagi tiada sebarang nas
yang kukuh yang menunjukkan pengharaman hukuman denda.


ii) Jenis denda mengikut kepastian kadarnya.

Hukuman denda atau hukuman yang melibatkan harta benda menurut pandangan Ibnu
Qayyim terdapat dua kategori iaitu hukuman denda yang madbuth (sudah pasti kadar
ukurannya ) dan ghairu madbuth (tidak pasti kadar ukurannya).
Hukuman denda yang madhbuth iaitu denda yang sudah pasti kadarnya ialah
denda yang sebanding dengan sesuatu yang telah dirosakkannya. Kadang-kadang ianya
berkait dengan hak Allah seperti membunuh binatang buruan semasa dalam ihram atau
berkait dengan hak hamba seperti merosakkan harta milik seseorang. Allah S.W.T telah
menetapkan bahawa denda berburu bunatang buruan semasa ihram adalah termasuk
dalam cakupan hukuman berdasarkan dalil al-Quran iaitu:

59:5
Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu membunuh binatang buruan, ketika
kamu sedang ihram. Barangsiapa di antara kamu membunuhnya dengan sengaja, maka
dendanya ialah mengganti dengan binatang ternak seimbang dengan buruan yang
dibunuhnya. (al-Maidah 5:95)
13


Begitu jugalah dengan memberi denda atau hukuman yang bertentangan dengan tujuan
utama sesuatu jenayah itu dilakukan seperti menghukum seorang anak yang membunuh
ayahnya untuk mewarisi hartanya dengan membatalkan haknya untuk mendapatkan harta
itu.
Manakala penentuan denda ghairu madhbuth iaitu denda yang tidak pasti lagi
kadar dendanya akan diserahkan kepada pihak pemerintah dan ijtihad para hakim.
Keputusan yang dibuat mestilah berdasarkan kemaslahatan umum. Oleh itu, syariat tidak
memberi penjelasan, perintah secara umum atau menetapkan kadar ukurannya.
Dalam hal ini para fuqaha berbeza-beza pendapat sama ada hukuman denda
sebegini dinasakhkan atau masih berlaku. Keputusan hukumannya haruslah disesuaikan
dengan kemaslahatan umum dan bergantung kepada kebijaksanaan serta ijtihad pihak
pemerintah. Hal ini kerana tiada dalil yang menunjukkan penasakhan bentuk hukuman ini
malah para sahabat mempraktikkannya.
Bentuk-bentuk hukuman tidak terbatas kepada denda dan penjara sahaja.Bahkan terdapat
pelbagai jenis atau bentuk hukuman yang boleh ditetapkan oleh pihak pemerintah bagi
membenteras jenayah dan memberi pengajaran kepada pesalah. Namun hukuman tersebut
mestilah diasaskan untuk kepentingan umum kerana tujuan utama perlaksanaan hukuman
dalam syariat Islam adalah sebagai pencegahan dan pengajaran.


4.0 PENILAIAN HUKUMAN PENJARA DAN DENDA PADA MASA KINI

Pada masa kini, hukuman penjara dan denda telah dikategorikan sebagai hukuman yang
berbentuk konvensional. Di samping itu, dapat dilihat bahawa hampir kesemua jenis
kesalahan yang ada pada masa kini dan di negara ini akan menerima hukuman penjara
dan denda. Oleh yang demikian, di sini dinyatakan beberapa penilaian mengenai
kesesuaian hukuman ini dikenakan ke atas pesalah, terutamanya pada zaman globalisasi
kini.
Pertama, di Malaysia mempunyai dua jenis undang-undang, iaitu undang-undang
sivil dan undang-undang syariah. Hukuman penjara dan denda turut terdapat dalam
14

peruntukan kedua-dua jenis undang-undang ini. Bagi undang-undang sivil, kesalahan
penjara dan denda adalah tertakluk kepada penguatkuasa hukuman yang menghukum
kesalahan seseorang individu itu dengan berdasarkan peruntukan yang terdapat dalam
undang-undang sivil. Bagi undang-undang syariah pula, hukuman penjara dengan tidak
melebihi tiga tahun dan denda yang tidak melebihi RM 5000 telah diperuntukkan dalam
Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah Syariah) 1965 dan (pindaan 1984).
Kedua, hukuman denda yang dijatuhkan oleh mahkamah Syariah sering dianggap
tidak berkesan untuk memberi pengajaran kepada pesalah-pesalah yang sabit kesalahan di
bawah undang-undang syariah dan lebih buruk lagi apabila hukuman denda yang
dikenakan ini tidak mampu mendatangkan apa-apa kesan dalam diri masyarakat. Hal ini
kerana, memandangkan jumlah denda yang dikenakan itu adalah dalam lingkungan nilai
yang terendah dan seringkali dapat diselesaikan oleh pesalah-pesalah yang mempunyai
kemampuan untuk membayar kadar denda yang dikenakan tanpa dapat menimbulkan rasa
keinsafan dalam diri mereka terhadap kesalahan yang dilakukan.
Walaupun hukuman denda tersebut dapat menimbulkan kesedaran, sudah
semestinya kesedaran tersebut hanya terkesan dalam diri individu atau pesalah itu sendiri
tanpa melibatkan peranan sosial masyarakat yang dapat memberikan iktibar kepada
mereka secara umumnya.
Ketiga, berhubung dengan pelaksanaan hukuman ke atas pesalah-pesalah jenayah
syariah dan sivil yang dikenakan hukuman penjara, mereka akan ditempatkan bersama-
sama dalam satu penjara, memandangkan tiada penjara khusus yang disediakan untuk
pesalah-pesalah ini, terutamanya penjara khusus bagi pesalah-pesalah yang melakukan
jenayah syariah. Hal ini telah mengakibatkan kesesakan di dalam penjara kerana penjara
merupakan tempat untuk menjalani hukuman dan menebus kesilapan tanpa mengira jenis
kesalahan yang dilakukan. Oleh itu, tidak dapat dinafikan bahawa objektif hukuman
penjara itu dilaksanakan tidak tercapai. Hal ini kerana, bentuk-bentuk kesalahan yang
dilakukan oleh pesalah jenayah syariah dan pesalah sivil adalah jauh berbeza dan pastinya
kaedah untuk menangani mereka turut berbeza.
Dalam Islam, hukuman penjara adalah bertujuan untuk memberi peluang kepada
individu yang bersalah untuk menginsafi kesalahan yang telah dilakukan dan menjalani
sesi pemulihan dan bertaubat. Oleh yang demikian, sudah pasti aspek pemulihan dari
15

sudut akidah dan akhlak sangat dititikberatkan dalam pelaksanaan hukuman ini.
Sekiranya, pesalah jenayah syariah bercampur dengan pesalah jenayah sivil, maka
dikhuatiri, mereka akan terpengaruh dengan kelakuan dan sikap banduan-banduan yang
lain dan hal ini akan mengakibatkan mereka tidak mendapat apa-apa kesan positif
daripada hukuman yang telah dikenakan, dan lebih buruk lagi sekiranya mereka masih
terlibat dengan jenayah yang sama atau jenayah yang lain setelah keluar daripada penjara
tersebut.
Keempat, dapat dilihat dengan jelas bahawa timbul masalah apabila hukuman
hudud tidak diamalkan di negara Malaysia dan hanya melaksanakan hukuman yang
berteraskan kepada konsep takzir sahaja iaitu penjara dan denda. Hal ini kerana,
hakikatnya, seseorang individu yang melakukan kesalahan itu akan lebih terkesan dengan
hukuman yang berbentuk fizikal yang terdapat dalam hukuman hudud, seperti potong
tangan bagi kesalahan mencuri berbanding dengan hukuman penjara sahaja yang mana,
hukuman penjara ini dianggap umpama memberi kesenangan kepada penjenayah
kerana walaupun dihukum penjara, namun para penjenayah masih mampu memperolehi
kesenangan seperti tempat tinggal, pakaian, makanan dan rakan-rakan untuk bersosial.
Kesannya, hukuman penjara ini kurang menghasilkan impak terutamanya dari dalam diri
individu itu sendiri dan akhirnya akan menjadi lebih buruk apabila individu itu
mempunyai kebarangkalian untuk melakukan kesalahan yang sama atau kesalahan yang
lain di kemudian hari.
Kelima, dapat dilihat bahawa pada masa kini, wujud sedikit kelemahan terhadap
hukuman penjara dan denda apabila hampir kesemua kesalahan yang ada dikenakan
hukuman yang sedemikian. Hal ini kerana, hukuman ini lebih memfokuskan kepada
memenjarakan si pesalah disamping denda yang lebih menguntungkan kerajaan
berbanding mangsa. Jika pesalah tidak mampu untuk membayar denda, maka hukuman
yang lain yang akan dikenakan ialah penjara. Itulah formula yang diaplikasikan dalam
kebiasaan undang-undang konvensional. Realitinya, perlaksanaan undang-undang
konvensional hari ini menjadi penyumbang utama kepada penambahan mangsa yang
tidak terbela, bukan sahaja mangsa kepada jenayah atau kesalahan, tetapi termasuk juga
ahli keluarga kepada si pesalah, khususnya isteri dan anak-anak yang akhirnya terbiar
16

apabila suami mereka dipenjarakan dalam tempoh yang agak lama. Hal ini pastinya akan
mewujudkan masalah yang lebih buruk sekiranya dibiarkan begitu sahaja.

Berdasarkan penilaian-penilaian yang telah dibuat, dapatlah disimpulkan bahawa
pelaksanaan hukuman penjara dan denda pada masa kini kurang menghasilkan
keberkesanan dan hal ini sama sekali berbeza dengan pendekatan hukuman yang
disyariatkan oleh Islam. Di samping itu, dapat dilihat, bahawa kadangkala pelaksanaan
hukuman yang dilakukan hanyalah sekadar memenuhi tuntutan undang-undang dan
dalam keadaan-keadaan tertentu hukuman yang dijalankan hanyalah berteraskan kepada
kepentingan peribadi sesuatu pihak sahaja. Oleh itu, pastinya, pelaksanaan hukuman yang
dilaksanakan tidak dapat mencapai objektif yang disasarkan terutamanya dari aspek
individu yang terbabit dan menjadi lebih buruk lagi apabila tidak mendapat kesan dari
aspek masyarakat umum.


5.0 KESIMPULAN

Sebagai kesimpulannya, hukuman penjara dan denda adalah termasuk dalam kategori
jenis hukuman takzir. Hukuman takzir ini adalah berdasarkan kepada budi bicara
pemerintah, memandangkan skop kesalahan bagi jenis hukuman takzir ini adalah luas dan
tidak terdapat dalam al Quran dan sunnah. Di Malaysia, hukuman penjara dan denda
adalah hukuman yang popular kerana hampir kesemua kesalahan yang ada akan
dikenakan hukuman penjara dan denda dan dikenali sebagai hukuman berbentuk
konvensional. Hal ini adalah tidak terkecuali apabila undang-undang syariah juga
memperuntukkan berkenaan hukuman ini dalam peruntukan Akta Mahkamah Syariah
dalam bidangkuasa jenayah syariah. Namun demikian, pada masa kini, hukuman penjara
dan denda dilihat kurang menghasilkan kesan apabila pelaksanaan hukuman yang
dijalankan tidak berunsurkan syariat Islam dan hanya dijalankan semata-mata bagi
memenuhi tuntutan undang-undang serta kurang ketelusan yang akhirnya menyebabkan
objektif pelaksanaan hukuman tidak dapat dicapai.

17

6.0 RUJUKAN

1. Abu Bakar Jabir al Jazairi. 2000. Ensiklopedia Minhajul Muslim. Jakarta : Darul
Falah.
2. Abdul Azis Dahlan. 1997. Ensiklopedia Hukum Islam. Jakarta : pt Intermasa.
3. Md Akhir Hj Yaakob. 1996. Undang-Undang Sivil Islam. Selangor : Dewan Pustaka
Islam.
4. Muhammad Rawwasqas Akji. 1999. Fiqh Umar al Khattab. Jakarta : pt Raja
Grafinda.
5. Musa Fathullah Harun. 1966. Undang-Undang Jenayah Islam. Selangor : Percetakan
Dewan Bahasa dan Pustaka.
6. Amir Husin Mohd Nor. Mohd Nasran Mohamad. Zaini Nasohah. 2010.
Penguatkuasaan Kes Jenayah Syariah di Malaysia. Bangi : Jabatan Syariah,
Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.
7. Wahbah Zuhaili. 2011. Fiqh Islam wa Adillatuhu. Jakarta : Darul Fikir.

Anda mungkin juga menyukai