Anda di halaman 1dari 3

1.

Bincangkan peranan guru dalam merealisasikan falsafah kebangsaan untuk


melahirkan murid yang seimbang melalui pengajaran dan pembelajaran yang
bermakna.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) merupakan gambaran cita-cita serta hala


tuju kepada semua usaha dalam proses pendidikan (Saharia Ismail, 2015). FPK
mengandungi lebih sepuluh elemen penting untuk melahirkan insan yang seimbang dan
harmonis daripada segi intelek, rohani, emosi dan jasmani serta beberapa elemen lagi.
Insan yang seimbang bermaksud semua keperluan murid mencukupi dari aspek
pertumbuhan akal, perkembangan rohani, emosi dan jasmani secara sihat dan bersepadu.
Pembelajaran bermakna pula bukanlah satu pendekatan pembelajaran yang baru tetapi
beberapa elemen baru telah dimasukkan ke dalam pendekatan ini bagi menjenamakannya
semula sebagai pedagogi baru (Ellyza Karim, 2019). Antara elemen penting dalam
pembelajaran bermakna ialah 6K iaitu kemahiran berfikir, komunikasi, kreativiti, kolaborasi,
kewarganegaraan dan karater yang disokong kuat oleh empat aspek iaitu rakan
pembelajaran, amalan pedagogi, pemanfaatan digital serta persekitraaan pembelajaran.
Oleh itu, guru berperanan besar dalam merealisasikan FPK untuk melahirkan murid yang
seimbang melalui pengajaran dan pembelajaran (PdP) bermakna.

Pertama, guru perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan pedagogi dan isi
kandungan. Penguasaan guru yang tinggi terhadap dua aspek ini dapat memastikan
pemindahan ilmu pengetahuan kepada murid dapat berjalan dengan berkesan. Hal ini
disokong oleh Naquiah Nahar & Jimaain Safar (2017) yang menyatakan kompetensi guru
yang tinggi terhadap pedagogi dan isi kandungan merupakan faktor penentu kejayaan atau
kegagalan sesuatu PdP khususnya dalam konteks pedagogi abad ke-21. Oleh itu,guru
seharusnya sedar akan perkara ini dan memastikan dirinya menguasai ilmu-ilmu pedagogi
terkini seperti pembelajaran terarah kendiri, pembelajaran berasaskan masalah,
pembelajaran berasaskan projek, pembelajaran masteri dan sebagainya. Dengan
penguasaan yang tinggi akan memastikan pembelajaran bermakna dapat berjalan melalui
elemen amalan pedagogi yang akan memastikan murid dapat menguasai isi pelajaran yang
disampaikan. Akhirnya, murid akan dapat menguasai pengetahuan, kemahiran dan nilai
yang disampaikan guru lantas melahirkan murid yang seimbang dari aspek intelek, emosi,
jasmani dan rohani selaras dengan FPK.

Selain itu, guru juga berperanan untuk mengintegrasikan digital dalam bilik darjah
semasa PdP sesuai dengan tuntutan pembelajaran bermakna untuk melahirkan murid yang
seimbang. Pemanfaatan digital boleh dilakukan dengan memanfaatkan capaian internet,
perisian komputer, aplikasi yang sesuai dan sebagainya. Sebagai contoh, semasa mengajar
bahasa Melayu dengan tema perayaan di Malaysia, guru boleh mengarahkan murid dalam
kumpulan kecil mencipta poster maya perayaan-perayaan di Malaysia dengan
menggunakan perisian microsoft power point di makmal komputer. Semasa menyiapkan
tugasan ini, murid-murid akan memanfaatkan capaian internet untuk mencari maklumat
tentang perayaan dan menterjemahkannya dalam bentuk poster maya. Semasa proses ini,
murid akan memperoleh ilmu pengetahuan melalui penerokaan kendiri dalam alam maya.
Emosi murid juga akan terlatih kerana dalam kumpulan murid akan berdepan dengan
perbezaan pendapat, mengurus idea, menangani konflik, membuat keputusan dan
menyelesaikan masalah. Oleh itu, aspek intelek dan emosi murid dapat dikembangkan
dengan baik dengan pemantauan guru. Hal ini juga terkait dengan elemen kolaborasi dan
pemanfaatan digital dalam konsep pembelajaran bermakna. Tegasnya, pemanfaatan digital
dalam PdP sebagaimana tuntutan pembelajaran bermakna dapat merealisasikan hasrat
FPK untuk melahirkan murid yang seimbang dalam pelbagai aspek.

Di samping itu, guru juga berperanan untuk menerapkan nilai-nilai murni dalam
setiap sesi PdP untuk memastikan elemen kerohanian dan emosi murid dapat
dikembangkan. Elemen kerohanian merujuk kepada pembentukan dan pembinaan watak
dan jati diri manusia. Unsur ini diselitkan agar murid percaya kepada Tuhan selaras prinsip
Rukun Negara, sentiasa bersyukur dengan nikmat, berakhlak mulia dan berpegang teguh
kepada amalan-amalan baik. Sebagai contoh, semasa mengajar Bahasa Melayu dengan
tema kekeluargaan, guru boleh menerapkan elemen menghormati dan menghargai
kewujudan ahli keluarga khususnya ibu bapa dan adik-beradik. Guru mengingatkan betapa
ada sebahagian rakan-rakan yang kurang bernasib baik dengan kehilangan ahli keluarga
khususnya ibu atau bapa. Oleh itu, murid akan lebih menghargai keluarganya dan
mengamalkan amalan baik seperti bantu-membantu, bersopan santun dan sebagainya. Hal
ini juga bertepatan dengan elemen karakter dan sahsiah yang ditekankan dalam konsep
pembelajaran bermakna. Tegasnya, elemen nilai murni yang bertepatan dengan elemen
karakter dalam pembelajaran bermakna perlu diterapkan guru untuk melahirkan murid yang
seimbang khusus dari aspek emosi dan rohani.

Akhir sekali, guru juga berperana menerapkan elemen patriotisme dalam bilik darjah
untuk membentuk murid yang seimbang dan harmonis selaras hasrat FPK. Elemen
patriotisme yang merangkumi semangat cinta akan negara, bangga menjadi anak Malaysia
dan sanggup berkorban demi negara boleh diterapkan dalam sesi PdP. Dalam PdP Bahasa
Melayu khususnya, guru boleh memanfaatkan tema jati diri, patriotisme dan
kewarganegaraan khususnya semasa Bulan Kebangsaan untuk menerapkan nilai ini.
Sebagai contoh, semasa mengajarkan kata adjektif, guru boleh memanfaatkan petikan
kemerdekaan untuk dijadikan bahan pembelajaran. Di samping murid mencari kata adjektif
di dalam petikan tersebut, murid dapat menyerap cerita dan intipati petikan dan
mendedahkan mereka dengan nilai-nilai patriotisme. Hal ini juga dapat dikaitkan dengan
elemen kewarganegaraan dalam teras pembelajaran bermakna yang menuntut murid untuk
mempunyai semangat cinta akan negara dan memiliki identiti nasional. Dengan semangat
patriotik yang berkobar-kobar, murid akan lebih berusaha untuk memajukan dirinya untuk
membantu negaranya pada masa hadapan. Justeru, dengan sikap dan semangat berkobar-
kobar ini, murid yang seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek dapatlah
dilahirkan selaras hasrat FPK.

Tuntasnya, guru memainkan peranan yang sangat besar dalam memastikan FPK
direalisasikan khususnya dalam membentuk murid yang seimbang kerana gurulah yang
menguasai serta mengawal bilik darjah. Kombinasi usaha guru dengan memenuhi tuntutan
elemen pembelajaran bermakna dapat memastikan segala aspirasi yang dihasratkan dalam
FPK dapat dicapai. Oleh itu, dalam konteks melahirkan murid yang seimbang melalui
pembelajaran bermakna, guru perlu berperanan menyediakan dirinya dengan pengetahuan
pedagogi dan isi kandungan, memanfaatkan digital dalam bilik darjah, menerapkan nilai
murni dalam pembelajaran dan memupuk semangat patriotik serta identiti nasional dalam
kalangan murid. Akhirnya, diharapkan guru-guru sentiasa berusaha mengoptimumkan
keberkesanan PdP melalui pembelajaran bermakna agar murid yang seimbang dapat
dibentuk selaras dengan aspirasi FPK.

RUJUKAN

Ellyza Karim. (2019). Reka Bentuk Pembelajaran Dalam Kapasiti Pedagogi Pembelajaran
Bermakna di IPG Kampus Pendidikan Teknik. Jurnal Refleksi Kepimpinan. Jilid II,
144-159.

Saharia Ismail. (2015). Pembangunan Insan Dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.


Journal of Human Capital Development. Vol. 8 No. 2, 83-99.

Naquiah Nahar & Jimaain Safar. (2017). Enguasaan Pengetahuan Kandungan (Content
Knowledge): Pemangkin Keterampilan Pedagogi Jawi Berkesan Abad Ke-21. Jurnal
Teknikal dan Sains Sosial, Bil 8 Jilid 1, 46 – 59.

Anda mungkin juga menyukai