Anda di halaman 1dari 2

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Mungkin ramai yang tidak mengetahui tentang rayuan mengerjakan ibadah haji yang boleh
diajukan kepada pihak pengurusan Tabung Haji. Mengikut pengalaman ana sendiri,
memang pihak Tabung Haji tidak menyediakan apa-apa borang atau format berkaitan
rayuan tersebut. “Kalau adapun rayuan yang berbentuk surat rayuan, yang dihantar oleh
pihak pendeposit kepada Tabung Haji, kami memang terima surat itu tetapi tidak menjamin
bahawa kami mampu menyediakan tempat bagi mereka mengerjakan haji pada tahun
berkenaan” komen salah seorang pegawai Tabung Haji yang menjawab pertanyaan ana.

Mengikut pegawai tersebut, memang pihak pendeposit Tabung Haji ada niat mengerjakan
haji, kalau tidak masakan mereka menyimpan atau menabung di Tabung Haji. Sekurang-
kurangnya tindakan mereka berurusan dengan pihak Tabung Haji itu telah menunjukkan
suatu reaksi positif terhadap apa yang mereka niatkan. Iaitu mengerjakan ibadah haji. Selain
itu ia menyenangkan mereka melakukan simpanan sedikit demi sedikit sehingga mampu
mengerjakan ibadah rukun Islam yang kelima itu.

Mengikut had kouta sekarang, kalau seseorang itu mendaftar haji pada tahun ini,
kemungkinan beliau dapat menerima tawaran atau giliran melakukan haji pada tahun 2020.
Atau dengan perkataan lain terpaksa menunggu lebih dari 12 tahun. Oleh itu, tindakan awal
pendeposit mendaftar haji adalah wajar. “Kalau dah niat, daftarlah segera..” sambung
pagawai tadi.

Cuma, sekiranya pihak pendeposit ditimpa musibah yang menjejaskan tahap kesihatannya,
maka pihak Tabung Haji sebenarnya membuka ruang sekiranya mereka ingin membuat
rayuan agar dipercepatkan gilirannya menunaikan ibadah haji. Seperti mereka yang telah
sembuh dan telah mendapat perakuan Dr. pakar berkenaan kemampuannya menunaikan
ibadah haji. Sekiranya mereka tunggu kemungkinan tahap kesihatan mereka menjadi
bertambah buruk. Sebagai contoh, pengidap strok yang telah sembuh mereka amat terdedah
kepada risiko serangan kali kedua atau berikutnya.

Setelah pihak Tabung Haji menerima surat rayuan daripada pihak pendeposit, mereka
biasanya (mengikut pengalaman beberapa jiran dan relatif) akan hantar satu surat menolak
rayuan tersebut. Alasan yang diberikan biasanya kerana kuota telah penuh.

Tetapi pada pandangan peribadi ana, pihak Tabung Haji sebenarnya tidaklah menolak 100%
rayuan tersebut. Mereka masih memproses rayuan berkenaan berdasarkan no. rujukan surat
balasan berkenaan. Sekiranya ada peluang, nama pendeposit yang merayu itu tadi akan
mendapat pertimbangan. Betullah kata pegawai tabung haji itu “Pakcik ada hak merayu..”

Kronologi proses rayuan salah seorang pendeposit TH


20.06.2006 – Sepasang suami dan isteri mendaftar untuk menunaikan ibadah haji di
Pejabat Tabung Haji. Tarikh giliran menunaikan haji yang tertera pada slip itu adalah pada
tahun 2014.
17.02.2008 – Si suami diserang angin ahmar (strok)
02.03.2009 – Si suami diakui 99% telah sihat dan diperakukan (oleh Dr. pakar) boleh
melaksanakan ibadah haji. Sehubungan itu,  satu surat rayuan telah dihantar ke Pejabat
Tabung Haji dengan disertakan surat akuan Dr pakar tadi untuk membolehkan si suami dan
ditemani oleh si isteri termasuk dalam senarai peserta jemaah haji tahun 2009. Mengikut
pendapat Dr. yang disampaikan secara lisan kepada si isteri, penyakit si suami boleh
menyerang lagi dan serangan berikutnya adalah lebih teruk.
13.04.2009 – Surat dari Tabung Haji menolak rayuan mereka suami isteri menunai haji
pada tahun ini.
16.08.2009 – Pegawai Tabung Haji datang sendiri ke rumah sepasang suami isteri tersebut
membawakan perkhabaran gembira, mereka telah terpilih untuk menunaikah haji tahun ini.
Segala persiapan perlulah dilakukan segera kerana jemaah haji pilihan biasa telah
melakukan semua itu sejak sebulan yang lalu.
Kesimpulan
Kalau anda telah berniat untuk melaksanakan ibadah haji (anda memang perlu bahkan
wajib meniatkannya), maka segeralah menabung dan mendaftar haji di Pejabat Tabung Haji
serta lakukanlah potongan bulanan ke atas tabungan tersebut. Kalaupun jangkamasa yang
perlu anda tunggu itu terlalu lama, tetapi sekiranya anda berdepan dengan  keadaan-
keadaan rumit yang mewajarkan anda dipertimbangkan, agar giliran anda itu dipercepatkan,
maka buatlah rayuan. Kalaupun ia ditolak, jangan berputus asa. Berdoa dan bertawakkallah!
InsyaAllah, Dia Maha Mengetahui lagi Maha Mengasihani..
Wallahu aklam.

p/s: Untuk membuat rayuan menunaikan haji, pendeposit tidak perlu memastikan jumlah
keseluruhan kos mengerjakan haji telah mencukupi dalam akaun mereka terlebih dahulu.
Asalkan mereka mempunyai sebab yang munasabah spt tahap kesihatan, terus sahaja buat
rayuan. Sekiranya terpilih, barulah berusaha memenuhi jumlah yang sepatutnya ada bagi
menampung kos saraan haji pada tahun tersebut. InsyaAllah, bantuan Allah itu amat luas
kepada hamba-hambaNya yang bertaqwa dan berserah diri kepadaNya..

Anda mungkin juga menyukai