Anda di halaman 1dari 5

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta Jika

hari ini seorang Presiden sebuah negara Jika hari ini seorang ulama yang mulia Jika hari ini seorang peguam menang bicara Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca. Bait-bait sajak ini sudah cukup untuk menyedarkan umat manusia betapa besarnya pengorbanan seorang guru bagi melahirkan seorang insan yang bersahsiah dan berilmu pengetahuan. Junjungan kasih buat tuan pengerusi, panel kehakiman bervisi, seterusnya hadirin yang dihormati. Assalamualaikum dan salam sejahtera. Hayatilah cetusan minda penuh barakah Transformasi Pendidikan Tanggungjawab Pendidik. Saudara sekalian, Mengangkat tema hari guru pada tahun ini, Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara, jelas, menunjukkan guru adalah insan yang menggalas bebanan utuk merubah dan memantapkan pendidikan negara seterusnya menjadi agen perubah bagi membentuk, membina dan melahirkan generasi umat berkualiti. Buktinya, bermula dari era Nubuwwah memasuki era Khulafa sehingga ke puncak peradaban di zaman Abbasiyyah, gurulah yang mencorakkan kejayaan ini, gurulah yang melahirkan cendekiawan terulung Islam. Oleh itu, pendefinisian frasa transform atau tranformasi mengikut kamus Dewan Edisi Terbaharu adalah bermaksud mengubah bentuk. Tanggungjawab pula adalah satu bebanan yang digalas dan perlunya diletakkan komitmen. Tuntasnya,definisi pidato saya tertumpu dalam skop tugas seorang pengajar atau warga pendidik dalam membawa perubahan kepada arus pendidikan negara Malaysia.

Hadirin sekalian, Perkongsian pertama : pendidik menyemaikan nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar . Dalam memenuhi hasrat negara melahirkan warga negara minda kelas pertama yang berteraskan modal insan berkualiti, aspek nilai murni tidak boleh diketepikan. Maka dengan itu, Institut Intergriti Malaysia (IIM) telah melancarkan Pelan Integriti Nasional (PIN) bagi memenuhi cabaran keempat, wawasan 2020 iaitu membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan etikanya, mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh dan ditunjangi oleh budi pekerti yang luhur. Menyedari hakikat ini, maka subjek Pendidikan Sivik dan Kewarnegaraan dimuatkan dalam saluran sekolah-sekolah dalam mendidik dan membentuk budi bahasa dan nilai-nilai murni yang teguh. Hal ini kerana pada peringkat inilah peniruan tingkahlaku berlaku. Bertepatan dengan ungkapan Dr. Hamka, hendaklah adab sopan anak-anak dibentuk sejak kecil kerana ketika kecil mudah membentuk dan mengasuhnya. Belum dirosakkan oleh adat kebiasaan yang sukar ditinggalkan. Jelaslah, guru perlu memiliki peribadi yang cemerlang agar boleh diteladani dan menjadi role model terbaik kepada anak didik dan masyarakatnya. Akhirnya, sistem pendidikan negara akan lebih mantap dan mapan.

Hadirin, Perkongsian kedua, pendidik memantapkan daya kepemimpinan dalam kalangan pelajar. Berpaksikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, jelas menunjukkan hasrat yang dinyatakan adalah untuk melahirkan insan yang seimbang. Justeru, tugas seorang pendidiklah bagi memastikan hasrat murni negara ini tercapai bukan tidak mampu digapai. Pendidiklah yang bertanggungjawab membentuk disiplin pelajar. Maka diperkenalkan subjek Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK) yang cukup menitikberatkan aspek disiplin, kesihatan, emosi serta kemahiran sosial. Gerak kerja kokurikulum seperti persatuan dan unit pakaian seragam dipadukan dalam sistem pendidikan negara berusaha membentuk pelajar menjadi insan yang mampu berdaya saing dan berkepemimpinan. Maka, tidak hairanlah kita berjaya melahirkan Pandalela Rinong, seorang atlet bidang terjun papan anjal hingga ke persada antarabangsa. Inilah berkat menerapkan disipilin yang tinggi. Jelaslah, guru menjadi agen perubahan terbaik pendidikan negara.

Saudara sekalian, Perkongsian ketiga : pendidik bijak berteknologi, pendidikan bertaraf tinggi. Bermula dengan era penjajahan, rakyat kita buta huruf. Namun pada hari ini, segalanya di hujung jari. Menerjah dan memasuki laman-laman tertentu hanya beberapa saat. Klik dan akses terus-terusan. Dengan adanya teknologi bertaraf tinggi inilah akhirnya kita berjaya melahirkan tokoh yang hebat seperti Saudara Najmil Faiz Mohamed Aris, Pelajar PhD di bidang Nano Technology di Universiti Metropolitan di Leeds yang mendapat perhatian media Malaysia kerana kejayaan beliau mengharumkan nama negara menerusi pembentangan tesisnya di Parlimen Britain pada tahun 2005. Hakikatnya, dengan adanya guru yang mengajarkan kepada beliau maka mampulah beliau berdiri gah sebegitu.

Guru yang menggunakan sains dan teknologi akan mampu melahirkan pelajar yang bijak dalam mencanai idea dan kreatif mereka cipta. Buktinya, kita berjaya mendapat tempat di peringkat antarabangsa dalam rekaan Formula One.

Hadirin, Perkongsian keempat : Perlaksaan dasar pendidikan, tanggungjawab pendidik melaksanakannya. Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dilancarkan pada tahun 2010 dan perlaksanaannya pada tahun 2011. Bertukarnya KBSR kepada KSSR. Begitulah pendidik, jika dasar berubah, perlunya juga kita berubah bukannya semakin lemah tetapi semakin tabah. Perlunya untuk memberikan bentuk pengajaran dan pembelajaran yang semakin menarik dan penyampaian ilmu lebih berkesan. Dalam hal ini, peranan guru sangat diuji kerana perlunya menguasai dua dokumen pendidikan iaitu KBSR dan KSSR. Namun, saya yakin guru yang bijak dan hebat, ini bukanlah masalah tetapi inilah cabaran dan takkan mengaku kalah. Dengan adanya perubahan dasar pendidikan sebeginilah, dapat menunjukkan bahawa kita mengalami perubahan yang sangat positif dan pasti gurulah penentu perubahan ini. Jelas, guru berperanan penting dalam tranformasi pendidikan negara. Saudara sekalian, Tuntasnya, Jika diperhalusi keseluruhan aspek, maka nampak dengan jelas bahawa tugas guru semakin mencabar. Kerana sebagai penjana transformasi pendidikan negara, para pendidik perlu memikul semua perancangan pendidikan yang telah direncanakan. Dalam erti kata lain, apa sahaja perancangan yang telah dirancang perlunya guru melaksanakannya dengan sempurna agar apa yang tersurat mahupun yang tersirat dapat dicapai.

Anda mungkin juga menyukai